Apa Yang Sistem Pendidikan Finland Telah Buat ke Atas Kamu, Anak-anak?

Semalam selepas makan, anak timbulkan topik kebimbangannya dengan kawan-kawan yang secara terbuka menyatakan tidak kisah kalau gagal dalam pelajaran.

Katanya hairan sebab dulu semasa di Finland, apabila cikgu mengadakan ujian atau kuiz, memang ada yang gagal tetapi hanya seorang dua. Di sekolah sekarang jika separuh kelas gagal ujian pun macam biasa-biasa sahaja.

Pertamanya kami buat rumusan umum bahawa ini mungkin kerana pandemik. Bersekolah di atas talian memang sangat susah untuk menikmati persekolahan. Kita masih baharu di Ireland dan belum berpeluang melihat norma kehidupan yang sebenar.

Tetapi semalam itu adalah peluang. Saya gunakan peluang tersebut untuk ingatkan mereka apa yang pengalaman persekolahan di Finland telah buat kepada mereka, tanpa mereka sedar.

Semasa bersekolah di Finland, biasa sahaja anak-anak macam kanak-kanak dan remaja lain di mana-mana, mereka merungut tentang sekolah dan cikgu. Tahap murid berpuas hati dengan sekolah di Finland ada tinggi dan rendah berbanding data tentang kebagusan sekolah dan sistem pendidikannya. Namun, kebaikan yang kita nikmati jangan dilupa.

Ini peluang kami membuat tinjauan retrospektif, pasca sistem pendidikan Finland.

MOTIVASI

Motivasi ada dua; ekstrinsik (luaran), dan intrinsik (dalaman).

Motivasi luaran adalah dalam bentuk ganjaran, menggembirakan hati emak ayah, menjaga reputasi sekolah, bangga jika gred peperiksaan bagus, semua itu ada manfaatnya. Namun, motivasi ekstrinsik (luaran) akan hilang keberkesanannya selepas sekolah rendah di kalangan kebanyakan murid (Kohn, 1993).

Ia juga punca kepada tekanan dan kegelisahan (anxiety).

Motivasi intrinsik lahir daripada keghairahan mendalam anak, minat dan sebab-sebab untuk belajar dan berusaha keras.

Hasil kerja yang lahir daripada motivasi intrinsik membawa kepada keyakinan diri yang baik dan semangat untuk bertekad, walaupun semasa mendepani masalah dan kegagalan.

Murid boleh hilang minat belajar dengan mudah apabila meningkat remaja.

Penyelamatnya adalah motivasi instrinsik. Jika semasa sekolah rendah berpeluang menikmati pembelajaran dengan motivasi intrinsik, maka eloklah bekalan menuju keremajaan yang sukar.

Tetapi motivasi intrinsik ini amat sukar untuk wujud dalam diri pelajar melainkan sistem pendidikan direkabentuk secara bijak dan berwibawa.

PEPERIKSAAN

Ramai orang percaya bahawa jika tiada peperiksaan, murid jadi malas. Walhal tanpa peperiksaanlah, murid berpeluang membina motivasi intrinsik.

Orang susah hendak percaya tetapi “kamu telah menempuhnya, bukan?”

Saya ingatkan anak-anak, “kamu ingat semasa di Finland, setiap semester cikgu semak personal goal kamu? Gol semester lepas tercapai atau tidak, semester ini nak capai apa dan bagaimana strateginya… kamu mungkin tidak rasa benda itu โ€˜bergunaโ€™!”

Biasalah remaja, mengutuk cikgu dan sekolah adalah benda biasa. Tetapi tanpa sedar, dan kamu memang tidak sedar semasa itu, faktor luaran untuk mendesak kamu belajar telah disingkir daripada kehidupan. 4 tahun kamu belajar di Finland, ia adalah dengan dorongan dalaman yang sekolah sokong melalui rekabentuk.

By design.

Frankly speaking, anak-anak kami memang merapu pun dan banyak memeningkan kepala abi dan ummi mereka. Tetapi kami tahu kami tidak perlu membebel suruh mereka belajar.

Kemampuan anak untuk perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan motivasi rakan-rakan sekelas apabila mereka secara terbuka mengaku tidak kisah gagal di dalam akademik dan persekolahan itu pun, adalah nikmat yang kami syukuri.

Moga saki baki kebaikan dari Finland boleh kekal dan media sosial tidak merosakkan kamu.

Itu sahaja kebimbangan kami sebab media sosial ini ‘setan gondol’ perosak segala kebaikan dan peluang.

Pembelajaran Regulasi Kendiri by hasrizal

Hasrizal
Naas, Ireland.

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share