Perjalanan Sengsara Mendidik Anak Remaja

“Mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan mahu meluangkan masa bersama supaya kita boleh sokong menyokong, hubungi saya. Kejiranan kita ada kumpulan WhatsApp khusus untuk itu” tulis Angela.

Kumpulan WhatsApp kejiranan kami dibanjiri emoji gembira, lega, berterima kasih, dan ramai yang memberikan maklum balas positif kepada jemputan Angela. Ibulah… bukan bapa. Mungkin bapa baca dan berdiam diri meneruskan kehidupan. Saya pula bapa yang membaca mesej berkenaan, termenung, dan menuju laptop untuk membuat catatan ini.

Jika keibubapaan itu satu cabaran, terimalah hakikat bahawa di zaman ini mengibubapakan bayi dan kanak-kanak kecil tidak lagi kesunyian. Banyak sokongan, ramai yang ingin berkongsi.

Argh…. everyone going through the same sh**…!” lebih kurang begitulah kisahnya.

Mengendalikan anak kecil memang meletihkan. Muntah, kencing dan tahi yang perlu diuruskan memang muntah, kencing dan tahi. Busuk, mungkin menjijikkan bagi sesetengah kita, dan meletihkan. Tetapi selepas semua itu dibersihkan, bersih.

Mendidik anak remaja, ibu bapa bukan perlu membersihkan muntah, tetapi mendepani kelakuan yang memualkan. Kita tidak pening dengan kencing di lantai yang menyulitkan solat, tetapi menahan perasaan apabila dikencing anak dengan pembohongan depan kita buat lain, belakang buat lain. Tiada lagi tahi bertaburan, tetapi yang bertabur adalah cabaran kelakuan yang tai*.

There you go.

Lega saya dapat meluahkan hal ini.

Selain agama melarang tindakan fizikal yang membabitkan muka atau melanggar batas, undang-undang juga amat tidak membenarkan. Justeru menampar dan melibas anak dengan tali pinggang hanya menjadi imaginasi ibu bapa, memendamkannya sambil mengertap gigi, mengurut dada, berdoa dan berzikir, dan kalau teruk sangat mungkin akhirnya mula menelan Sertraline.

DI MANA SILAPNYA

Di mana?

Didikan agama, sudah diberi sebaik mungkin. Bukan indoktrinasi. Tetapi didik.

Kasih sayang juga diberi sepenuh hati, seikhlas diri. Baik semasa baik, mahu pun semasa meragam.

Tidak cukup dengan artikel, usaha menambah ilmu pergi kepada buku, bahan penyelidikan, program akademik… demi mendidik dengan asas ilmu. Bukan ikut-ikutan, atau gerak hati dan intuition semata-mata.

Di manakah silapnya?

Jika diikutkan perasaan, terperangkaplah ibu bapa dalam mencari faktor untuk dipersalahkan, atau lebih malang jika salah menyalahkan sesama kita.

“Jika duduk Malaysia, tidaklah jadi macam apa yang terjadi!” mungkin ada yang berpendapat begitu.

Ada juga benarnya.

Paling kurang 5 kali sehari ada azan berkumandang.

Kawan-kawan Muslim yang solat, menjaga aurat dan membaca al-Quran lebih ramai.

Tetapi itu yang mata kasar kita nampak. Kita nampak apa yang kita mahu nampak.

Selam ke dalam sedikit, tidak susah untuk berjumpa dengan versi Melayu Muslim Malaysia dalam bab seks bebas remaja, bertudung tidak bertudung, hidup double life depan mak ayah lain di luar rumah lain, azan lima kali berkumandang tetapi telinga tersumbat dengan earpod dan lagu sampah dari Seoul hingga ke LA… di era globalisasi ini, duduk mana pun, faktor persekitaran dan kawalan peraturan merosot untuk memberi laluan kepada pengaruh bahan-bahan yang consumed dari Tiktok, Instagram, Snapchat dan pelbagai platform media sosial lain.

Adakalanya kita jadi tenggelam punca.

MEDIA SOSIAL

Usia 13 tahun sebagai syarat minimum penggunaan media sosial oleh kanak-kanak, bukan kerana 13 tahun adalah usia yang selamat. Sebaliknya ia diletakkan syarat begitu kerana undang-undang tidak membenarkan mereka menggunakan data sesiapa di bawah umur 13 tahun. Antara mendidik dan menyekat, pilih yang mana pun, ia adalah tsunami dajjalic.

Cara yang lebih baik ialah bagi yang peduli akan hal ini dan masih muda, fikir dulu sebelum kahwin dan beranak. Bersedia menjadi suami, bapa, isteri dan ibu, bukan merujuk kepada sudah habis belajar dan ada pekerjaan. Tetapi bolehkah dipastikan mengurus pasangan lebih mudah berbanding menguruskan anak, dan sejauh mana bijak lagi matang mengendalikan semua jenis tekanan dari dalam dan luar?

Teringat kepada catatan demi catatan di dalam Aku Terima Nikahnya, kemudian Diari Abah.

Untuk menjadi ibu bapa, kita tidak bersedia jika hanya suka kanak-kanak. Zuriat kita bukan selamanya kanak-kanak. Sampai masa, kecomelan dan balasan penyejuk hati yang selalu kanak-kanak berikan selepas muntah, kencing dan berak mereka dibersihkan itu, berganti dengan buat hal sendiri, biadab, mengutamakan kawan dan enggan lagi meluangkan masa bersama kita. Yang menyayangi mereka nombor 1 adalah musuh nombor 1 mereka. Sekurang-kurangnya dari jelingan mata dan dengus yang mereka lemparkan.

MENYELAMI PERASAAN PARA RASUL

Pada masa itu, kita mula ingin mendalami perasaan Nabi dan Rasul yang diuji dengan kecelaan ahli keluarga kesayangan mereka. Membaca luka hati Nabi Ya’qub a.s. dengan kerenah anak-anaknya membiarkan Yusuf mati dibaham haiwan liar, perasaan Nuh a.s. yang terpaksa menelan hakikat isteri dan anaknya mati dalam kekufuran kepada Allah, percubaan mendalami perasaan Muhammad sallallāh ‘alayhi wa sallam sendiri tatkala gagal memujuk bapa saudara kesayangannya agar memilih iman… ahhh, bukan kita tidak tahu semua ini. Kita tahu.

Justeru kita terus sampai dengan lunak ke logik bahawa “iman tak dapat diwarisi” di dalam korus nasyid Iman Mutiara lantunan Raihan. Malah dengan ilmu yang tinggi sedikit, akur pada tahap rasional bahawa hidayah milik Allah (Q30: 29) dan tugas kita hanya memberi peringatan (Q88: 21-22).

Kita juga menerima hakikat bahawa Nabi Nuh, Nabi Ya’qub, Nabi Muhammad sallallāh ‘alayhim wa sallam bukan loser. Ia adalah ujian Allah. Ujian yang menzahirkan kebesaran-Nya.

Tetapi kita masih terperangkap di dalam ketakutan terhadap pandangan orang sekeliling. Menilai, menghukum dan mengata kita, depan atau belakang.

Di mana-masa inilah, ibu bapa perlu mencari motivasi paling tulen. Membetulkan pegangan hidup, bukan sahaja untuk terus membantu anak-anak semasa mereka menolak bantuan, tetapi membantu diri kita sendiri kerana mendidik anak remaja amat perit dan melukakan jiwa.

BERTAKHALLUQ DENGAN NAMA DAN SIFAT ALLAH

Konsep ini rumit.

Ramai yang menyangkanya sebagai hadith.

Di era ESQ dahulu, ia jadi kontroversi, terutamanya apabila kupasan dan aplikasi jadi melampau-lampau lagi komersil.

Tetapi menyemak kembali tinta Hujjatul Islam Imam al-Ghazali di dalam Kitab Ihya’, ada penerangannya. Penjelasan mengapa Al-Asma’ al-Husna bukan hanya menjelaskan nama-nama Allah yang Maha Baik, tetapi juga untuk kita meneladaninya.

Kita bertemu dengan panduan untuk diri masing-masing bertadabbur merenung nama-nama Allah dan bagaimana cara Allah menyayangi kita pada hamba-Nya, boleh kita teladani.

Rahman adalah kasih sayang sempurna yang hanya selayaknya merupakan kasih sayang Allah. Rahman itu sifat Allah semasa memberi rezeki kepada hamba-Nya walaupun semasa hamba itu menafikan Dia, ingkar, khianat, melupakan-Nya dan tidak pernah bersyukur.

Jahatlah macam mana pun, setiap yang berusaha, mendapat bahagiannya.

Rahim pula adalah sifat Allah semasa memberi, dan memberinya dengan kasih sayang bersesuaian dengan si penerima yang juga mengasihi Tuhannya dengan mentaati perintah-Nya.

Tiada manusia yang bersifat dengan sifat Rahman, namun rahim diungkap juga sebagai sifat Muhammad s.a.w dan mukmin sesama mukmin (Q48:29)

Cara Tuhan mengasihi makhluk-Nya terlalu tinggi dan istimewa. Di kalangan makhluk-Nya, hanya kasih sayang ibu bapa yang layak diungkap dengan sandaran kepada kasih sayang Tuhan.

Semasa kita minta ampun untuk ibu bapa kita, keampunan itu diminta dengan ungkapan “sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku kecil” (Q17:24). Ibu bapa mengasihi dan memaafkan kita tanpa syarat. Demikianlah kita bermohon kepada Allah agar merahmati dan mengampuni mereka tanpa syarat.

Ia juga menjadi ruang teladan untuk kita faham betapa luhurnya kasih sayang ibu bapa. Semasa anak durhaka, kurang ajar, tidak pernah berterima kasih semasa menerima, tidak pernah meminta maaf semasa buat salah, si anak masih makan makanan yang disediakan ibu bapa, dan mendapatkan keperluan hidupnya.

If you don’t like me, then kick me out!” si anak remaja menempik teguran ibu bapa.

Mungkin sangkanya hidup ini seperti drama dan filem yang ditonton.

Kamu buang kami dan suruh kami buang kamu. Tetapi kamu hendak kami buang kamu ke mana? Di mana sekali pun kamu pergi, ke rumah best friend kamu, kamu bukan anak ibu bapa best friend kamu. Kamu tetap anak kami dan tanggungjawab kami.

Sebab itu semasa kelakuanmu sungguh engkar dan derhaka, makan minum dan keselamatanmu tetap kami jaga.

Sebab hanya kami yang mampu menyayangi kamu semasa kamu derhaka.

Namun, sakit dan sedihnya hati ibu bapa, semasa menunaikan tanggungjawab mereka ketika anak menderhaka, jangan sesekali kita lupa atau menidakkannya.

Dan kerana itu juga, bayangkan bagaimana Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya semasa sang hamba itu kufur lagi tidak bersyukur.

Marilah kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

Bersyukur kerana semasa mendidik anak remaja yang menyebabkan kita rasa kesunyian itu, kita tidak bersendirian.

Allah ada.

Dampingilah Dia.

Insya-Allah sengsara ini hanya sementara.

Hasrizal
Naas, Ireland


https://www.helpguide.org/articles/parenting-family/helping-troubled-teens.htm

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

One comment

  1. Assalamualaikum Ustaz,
    Dah lama saya tak singgah ke blog ustaz ni.

    Alhamdulillah. Ustaz, begitulah dugaan Allah kepada hambaNya. Dalam diberi nikmat anak kepada kita, nikmat itu jugalah dugaan.
    Dugaan yang menguji sejauh mana kita mampu bersabar, sejauh mana kita sentiasa kembali memohon pertolonganNya di kala kita hilang arah tuju untuk mendidik anak2 permata hati ini.

    Saya yang lemah ini, hanya mampu beristighfar semana mampu, mengenang kembali waktu remaja dulu, saya pun tak lah baik mana (betul diri saya saja ni, bukan Ustaz tau).
    Saya ingat, dulu saya pun ada menyakiti hati mak dan abah. Kini bila tiba giliran saya pula. Selain menegur anak2, saya cuba memperbanyakkan beristighfar.
    Saya sedar bagaimana rasa mak dan abah dulu, jadi saya memohon, dengan kesabaran menghadapi perangai anak2 serta doa2 yg sentiasa dititipkan seikhlas hati kepadaNya, mudah2an Allah mengampuni dosa2 saya.

    Kini saya cuba berkhidmat kepada mak dan abah sebaik mungkin, meskipun kadangkala kata2 mereka di usia tua ini, memang menyinggung perasaan.
    Maksud saya, selain anak2..mak dan abah di usia tua juga menduga, apalagi adik beradik dan sanak saudara.

    Saya yakin, dugaan2 tersebut tentu ada hikmahnya untuk diri saya.

    Pernah dulu saya terbaca/pernah dengar tentang amalan sepasang suami isteri yang hebat di Malaysia.
    Tiap kali anak2 mereka “buat hal”, kedua2 pasangan suami isteri ini akan menunaikan solat taubat.
    Subhanallah. Mudah2an Allah mengurniakan kekuatan kepada saya untuk melakukan yang sama seperti mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share