Masihkah Kita Bersolidariti Tanpa Jemu?

Konflik yang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza, sudah menghampiri tiga bulan. Jumlah mangsa yang terkorban mencecah sekitar tiga puluh ribu orang. Ini jauh daripada angka dan apa yang telah kita saksikan di peringkat awal dahulu. Kini, kita perlu menyoal, adakah kita masih komited dengan perjuangan membantu dan bersolidariti dengan saudara-saudara kita di Palestin, di Gaza, atau bagaimana?

Jika kita sandarkan komitmen solidariti kita kepada usaha menyebarkan foto-foto mangsa yang terkorban, jumlah yang terkorban itu sudah berganda-ganda jauh lebih besar daripada apa yang terjadi dua bulan yang lalu. Ketika menyentuh hal ini dua bulan yang lalu, saya berdepan dengan serangan daripada sesetengah netizen. Seumpama mereka hanya membaca tajuk, lantas salah faham dan tidak bersetuju dengan saranan yang dikemukakan. Saya berpesan kepada diri sendiri dan pembaca, bahawa konflik Palestin ini memerlukan kita bernafas panjang. Ia tidak boleh bergantung semata-mata kepada emosi amarah dan sedih yang berhubung rapat dengan penyebaran imej dan video grafik mangsa kekejaman Zionis itu.

Ketika saya membuat rakaman video ini (Jumaat 12 Januari 2024), perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di the Hague, Belanda, sedang berlangsung pada hari yang kedua. Jika semalam Afrika Selatan membentangkan kes yang telah mereka kemukakan terhadap Israel, hari ini pula adalah merupakan hari untuk Israel menjawab dakwaan yang dikenakan ke atas mereka.

Apa yang kita belajar di peringkat ini ialah, dengan jumlah mangsa yang begitu besar dan kekejaman yang disaksikan oleh seluruh dunia, usaha untuk membuktikan bahawa rejim Zionis itu melakukan jenayah genocide pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Palestin, masih berliku-liku. Ini seharusnya menginsafkan kita bahawa solidariti dan perjuangan membantu saudara-saudara kita di Palestin tidak boleh bersandar hanya kepada sentimen, emosi, semangat semata-mata.

Sebaliknya, kita perlu terus mengambil tahu tentang undang-undang antarabangsa, sejarah, bagaimanakah penafsiran dibuat terhadap perkara-perkara berkenaan, dalam bahasa advokasi, kewartawanan, dan undang-undang.

Kita juga bimbang apabila peperangan ini sudah mula merebak di luar daripada wilayah Palestin, apabila Amerika Syarikat dan United Kingdom melancarkan serangan ke atas Yaman.

Semua perkara ini mudah-mudahan menjadikan kita lebih fokus dan memberi tumpuan utama kepada apa yang perlu.

Pada masa yang sama, jangan kita lupa kepada kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang telah Allah sebutkan di dalam surah At-Taubah ayat yang ke-22:

Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka suatu faedah yang mudah diperolehi, dan satu perjalanan sederhana yang tidak begitu jauh, nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; akan tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka, dek kepayahannya.

Kita tidak boleh berpura-pura dengan Palestin.

Jika kita mengambil berat, kita mengambil berat.

Jika kita tidak mengikhlaskan diri pada membantu, bantuan kita akan kemarau lalu Palestin hilang daripada kesedaran.

Hakikatnya, matlamat dan perjalanan fi sabilillah ini dirasakan begitu berat lagi sayup, bukanlah kerana matlamat itu terlalu jauh atau perjalanan itu memang panjang. Sebaliknya beban itu terasa disebabkan oleh kepayahan yang berada di sepanjang kembara itu, untuk mencapai sama ada kemenangan ataupun beroleh syahid.

Syahid, seperti yang telah diperolehi oleh saudara-saudara kita yang terkorban di dalam peperangan di Gaza pada ketika ini.

Teruskan bersolidariti, jangan patah semangat dan murung dengan kesedihan demi kesedihan yang melanda.

Fokus, kukuhkan diri, ikuti laporan berita setiap hari, fahamkan daripada dimensi yang pelbagai, agar lebih memahami.

Jangan lupa berusaha bersama-sama memperbaiki diri, meningkatkan kelayakan kita ketika berdoa, agar Allah lebih memandang doa kita, para hamba-Nya.

Sambutlah juga solidariti dan sokongan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia yang buat pertama kalinya membuka mata untuk melihat siapakah syaitan sebenar di sebalik segala musibah yang berlaku ini.

Bebas Palestin!

RIZAL.IE
palestin.saifulislam.com

​

Check Also

Sebelum 7 Oktober 2023

Jika di kalangan umat Islam sendiri, ada yang menyoal mengapa Harakah Muqawamah Islamiah melakukan serangan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share