Dara dan Sara? – Alternatif Barbie and Ken oleh Iran
“Perkara paling sweet ialah ketika dua orang saling rindu, namun tidak berkomunikasi, tetapi keduanya saling mendoakan di dalam sujudnya masing-masing”
Demikian ungkapan yang dikongsi.
‘Kata-kata hikmah’ yang terkini, disertai dengan ilustrasi.
Lama saya berfikir, sejauh manakah seriusnya hal ini. Penting sangatkah ia untuk disentuh, atau dalam bahasa yang lebih langsung, DITEGUR. Banyak isu lain yang lebih membimbangkan. Sejauh ozon berlubang, sekritikal isu Palestin dan Syria, sehangat isu Pilihanraya Umum yang tidak bersih, hinggalah kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna semasa.
Berbaloikah untuk menjentik topik ini?
Saya mencubanya di Facebook. Dari Facebook ia datang, di Facebook juga ia perlu disuarakan.
PASCA CINTA ANTA ANTI
Dulu-dulu, sahabat saya Ustaz Maszlee Malik telah mencetuskan diskusi yang meluas di kalangan anak muda dengan artikelnya ‘Cinta Anta Anti’. Berkongsi nasihat dengan adik-adik yang berperibadi Islam, sebahagiannya aktif dengan kerja-kerja amal Islami, tetapi terperangkap dalam nafsu yang dibungkus dalam pakaian Islam. Seorang ‘akhi’ menghantar sms berisi ‘Tazkirah of the Day’ kepada seorang ‘ukhti’, dan tersenyum-senyum mereka berdua dalam cinta jarak jauh, yang dipisahkan oleh Syariat.
Sesekali sms atau miss call ditujukan pada jam 4:30 pagi, memberi friendly reminder agar si ukhti bangun daripada tidur yang lena, membasahkan wajah dengan wudhu’ dan membawa muka itu sujud kepada Ilahi ketika dunia sedang alpa dalam mimpi dan tidur yang lena.
Mereka terlupa bahawa mereka juga sedang bermimpi dan tidur dalam jaga.
Dalam pelukan ‘akhi Syaitan’!
Terkini, fitnah itu bukan lagi diungkapkan melalui sms, atau teks.
Ia diilustrasikan.
Ilustrasi yang sering kita temui melalui sentuhan artis-artis Korea seperti Lee Tae-Ho, tetapi membawa mesej ‘Islamik’. Sesungguhnya ilustrasi sebegini memberi kesan yang lebih merbahaya kepada anak muda terhadap fitnah Cinta Anta Anti. Jumlahnya semakin besar dan tersebar. Perkongsiannya semakin meluas. Biar pun saya tiada statistik untuk membuktikan implikasi fenomena ini, namun cukuplah dengan pemerhatian peribadi saya terhadap trend cinta semasa melalui pergaulan, jemputan-jemputan ceramah dan reaksi hadirin terhadapnya.
Mata kita memerhati bentuk poster program, bagaimanakah gelagat peserta sesama mereka sebelum ceramah bermula, ungkapan pengerusi majlis semasa memulakan program, serta perbandingan terhadap jumlah kehadiran di bawah tajuk Cinta dan tajuk non-Cinta, oleh penceramah yang sama serta penceramah yang berbeza.
Mungkin agak kasar, namun kesimpulan saya ialah: GEDIK.
bp = tergedik-gedik lincah (bkn gadis); bergedik-gedik bergerak-gerak, terketar-ketar; menggedik-gedikkan menggerak-gerakkan (bahagian badan spt kaki dll sewaktu mengelamun); kegedikan keadaan (sifat) gedik: ~ tubuh badannya yg montok. [KAMUS DEWAN EDISI 4 – VERSI ATAS TALIAN]
SUBLIMATION IN PSYCHOLOGY?
Saya tidak dapat menyetujui saranan pendapat bahawa fenomena ini mesti dilihat sebagai sesuatu yang positif, bersandarkan kepada teori sublimation in psychology yang dihuraikan oleh Sigmund Freud sebagai satu bentuk defense mechanism bagi menukar pelbagai bentuk ekspresi psikologi kepada sesuatu yang diterima sebagai bermanfaat oleh masyarakat. Ia jauh lebih berbahaya daripada kisah J. F. Dieffenbach yang memotong ekor anjingnya semasa kecil secara yang sadis, dan kemudian menjadi titik mula kepada Dieffenbach menjadi pakar bedah yang terkenal!
Teori Sublimation ini mesti diiringi dengan teori Tipu Daya Iblis yang dibentangkan secara terpeinci di dalam naskhah klasik Talbees Iblis oleh Abu Al-Faraj ibn al-Jawzi al-Baghdadi (meninggal dunia tahun 597H) betapa Syaitan secara licik menggunakan pendekatan bertahap untuk menyesatkan, bukan hanya orang biasa-biasa seperti kita, hatta para ulama. Bukan hanya secara mikro di peringkat individu, malah secara makro hingga membentuk kelompok Khawarij, Syiah Batiniyyah dan yang seumpama dengannya.
Kerana itu zina, dan sebarang objektif Syaitanik, mesti dikesan daripada langkah-langkah kecil menuju ke arah itu.
“Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi” [Al-An’aam 6: 151]
KISAH ABDULLAH BIN ABU BAKAR
Teringat kita kepada ujian yang menimpa Abdullah, anak kepada Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu. Abdullah mengahwini seorang gadis perawan yang serba lengkap kelebihan dirinya iaitu Atiqah binti Zaid. Namun perkahwinan mereka berdua teruji apabila Abdullah yang terlalu mencintai Atiqah tercuai daripada pelbagai tanggungjawab hingga mengabaikan solat dan kesemuanya ini mengecewakan Abu Bakar. Sebagai bapa, beliau bertegas memberikan nasihat yang telah menyebabkan Abdullah ‘terpaksa’ menceraikan Atiqah kerana cinta mereka sudah menjadi FITNAH.
Demikianlah ujian cinta seorang pejuang yang membantu proses Hijrah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bernama Abdullah, anak kepada seorang tokoh terhebat bernama Abu Bakr.
Perceraian yang berlaku kerana cinta yang terlebih dos.
Cinta yang membingungkan.
Cinta Abdullah dan Atiqah hanya terjalin semula dalam sebuah perkahwinan selepas diislahkan oleh Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, namun harganya adalah sebuah PERCERAIAN.
Kes ini amat terpencil.
Namun dengan perceraian yang berlaku setiap 15 minit di dalam masyarakat kita, saya kira ‘belajar makna perkahwinan melalui perceraian’ mesti ditangani dengan serius.
PERKAHWINAN DAN MINDA SEDAR
Perkahwinan dan rumahtangga perlu didatangi dengan minda sedar. Minda yang jelas tentang erti sebuah perkahwinan yang lebih daripada sekadar rasa cinta, kemahuan seorang lelaki kepada seorang perempuan, atau perempuan kepada lelaki. Nikah datang dengan tuntutan upaya mengendalikan output perkahwinan, bermula daripada persefahaman dan kerjasama, pengurusan hubungan dua keluarga dalam dimensi mertua dan ipar, anak yang bayi kemudian kanak-kanak, remaja dan seterusnya dewasa, pengurusan kewangan, kesihatan, tekanan kerjaya dan keluarga, yang semua itu perlu didatangi dengan minda sedar, bukan gedik.
Kita bekerja keras untuk menimbulkan minda sedar itu.
Justeru saya perlu menyatakan bahawa, ilustrasi-ilustrasi cinta Islamik ini membinasakannya.
Oh, alternatifnya?
Perlukah ada alternatif?
Fitnah ini timbul bukankah kerana mahu ‘mengalternatifkan’ apa yang tidak perlu kepada alternatif?
Kita perlukan Ukhti Fatimah dan Akhi Ali.
Bukan Ukhti Barbie dan Akhi Ken!
HASRIZAL @ 43000 BSP
http://engineeringminda.blogspot.com/2013/01/cinta-nafsu-dan-akhawat.html
salam ustat, tumpang tanya kisah atas nie memang kisah abdullah bin abu bakar ka kisah abdullah bin umar?
ramai yang membawa mesej islamik akhirnya terkandas dalam kancah cinta enta enti.. mudahnya ..: gedik
terlalu memikirkan cinta sehingga lupakan kematian..wallahua’la a’lam
Assalamualaikum,
Tatkala perkara sebegini disentuh oleh sesiapa pun, pasti ramai yg mengambil jalan untuk berdiam diri, walaupun sekadar untuk mempersetujui apa yg disampaikan… Entah, apa yg pasti, topik cinta & cinton sebegini akan dipandang sepi, kerana ramai yg lebih “positif” drpd melihat yg “negatif”…
Matlamat tidak menghalalkan cara…
Kebetulan, sedang menggarap tulisan dalam tema yang sama. Syukran atas perkongsian.