Nafar ke Medan Juang

“Ini bicara Allah kepada kamu. Rasakan yang Allah sedang bercakap secara khusus kepada kamu” kata Ustaz Harun kepada kami.

Angin desa di Kubang Lembek tengah hari itu damai sekali. Tidak terasa terik mentari membakar siang.

Saya dan beberapa rakan tekun mendengar.

“Ayat ini adalah mahkota penuntut ilmu di jalan Allah. Ke mana sahaja kamu pergi, junjunglah ayat ini” pesan Ustaz Harun lagi, melangsaikan pertemuan kami tengah hari itu.

Sudah menjadi suatu kemestian, saya dan rakan-rakan selalu mencari ruang dan peluang untuk bertemu dengan alim ulama’. Pada usia akhir belasan tahun, kami sedang mengorak langkah untuk jejak ilmuwan. Nasihat dan mutiara kata para ulama’ yang berjiwa mursyid itu menjadi dambaan kami, buat bekalan kembara diri… yang panjang itu nanti.

Ustaz Harun mensyarahkan kepada kami kalam Allah yang terungkap pada surah al-Taubah ayat 122:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ – 9:122

Adalah tidak wajar orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).

DI CELAH KEGENTINGAN TABUK

Musim panas dan pohon tamar berbuah ranum.

Tuaian harus disegerakan untuk manfaat bekalan keperluan hidup setahun mendatang.

Dalam suasana itulah Allah SWT menguji kaum mukminin untuk turun berjuang. Jangan terkecuali walaupun seorang. Namun segalanya terhasil dengan hikmah yang besar. Sekumpulan sahabat tercicir dengan alasan dan situasi masing-masing. Mereka ditegur dan diperbetulkan oleh Nabi sallāhu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang amat menusuk kalbu. Pengajaran kekal yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Peringatan itu menjadikan para sahabat begitu peka dan responsif terhadap perintah jihad. Hingga tiada langsung yang berlengah. Tatkala ada sub misi (sariyyah, bukan ghazwah) yang dilancarkan oleh Baginda sallāhu ‘alayhi wa sallam, kesemua sahabat menyertainya hingga baginda ditinggalkan sendirian di kota. Lalu turun ayat ini memberi peringatan, bahawa sebesar mana sekali pun suatu misi, adalah tidak wajar untuk kaum mukminin itu keluar semua sekali memenuhi agenda yang satu.

Dalam kewajipan melaksanakan jihad, kewajipan menuntut ilmu beriringan sedarjat.

MENUNTUT ILMU ITU JUGA NAFAR

Falaulā nafara…

Keluar menuntut ilmu, digelar Allah dengan kalimah nafara, iaitu kalimah yang lazimnya hanya terguna pada mengungkapkan soal keluar berjihad perang di jalan Allah. Pemilihan kalimah itu harus kita teladani, bahawa Allah SWT mahu kita melihat proses menuntut ilmu di jalan Allah sebagai suatu medan tempur. Justeru persiapan kaum yang keluar berperang, harus juga menjadi persiapan yang sama buat penuntut ilmu di jalan Allah.

Peperangan Itu Susah

Penuntut ilmu juga harus menyediakan fizikal, mental, emosional dan spiritual mereka terhadap hakikat ini, bahawa jalan yang dipilih adalah jalan yang penuh ujian dan kesusahan. Pertaruhannya adalah segala milikan diri, dari masa, tenaga dan harta, hinggalah kepada nyawa dan survival jiwa.

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ – 2:155

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan sebahagian harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah 2: 155)

“Sudah diberi biasiswa takkanlah susah lagi?” terdetik di bibir rakan-rakan mengulas kehidupan yang bakal kami tempuh.

Hakikatnya, soal kewangan yang sering menjadi fokus kerisauan, bukanlah cabaran terbesar belayar di perantauan. Mungkin dalam sederetan ujian yang mendatang, musibah besar yang sering mengorbankan seorang penuntut ilmu ialah sebuah KEBEBASAN. Bebas terbang ke sana sini, tiada lagi leteren dan hambatan kawalan yang menghantui. Segalanya bebas.

Dan kebebasan itulah yang sering memutuskan tali pada sebuah layang-layang.

Terbang tinggi tidak ke mana, hingga nanti jatuh ke tanah berlumpur hina.

Peperangan Harus Terancang

Tidak wajar sekumpulan wira terjun ke medan perang sebagai bidan terjun.

Peperangan itu besar. Nilainya besar, harganya besar, pengorbanan untuknya juga besar. Jadi, langkah ke arahnya jangan mula bertapak hingga jelas di fikiran apa yang dimahukan. Begin with the End in Mind, adalah suatu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Apa yang mahu dituntut, mengapa ia perlu dituntut, malah soalan semudah “kenapa mahu jadi ustaz“, mesti difikirkan masak-masak. Terikut-ikut sentiasa menjadi musibah bagi apa jua aspek kehidupan. 

Apa yang saya cari?

Bakal terlepas peluang kenduri kendara kahwin adik beradik.

Bakal tercampak sunyi di negeri orang.

Bakal membiarkan bonda sunyi sendirian di desa nan sepi.

Bakal berpisah yang mungkin bertanda mati!

Besar sekali harga sebuah perjalanan kembara ilmu yang bakal dilakar ini.

Apakah yang saya cari?

Soalan tentang hal ini saya fikirkan sehadam-hadamnya. Pengajian Islam bukan tiada di negeri sendiri. Mengapa saya mengambil keputusan untuk mengembara jauh? Apa yang saya cari? Salji? Glamor? Naik kapal terbang? Siar gambar raya di surat khabar Ramadhan demi Ramadhan? Apa yang saya cari?

Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya ciptaan Allah. Dia yang Maha Bijaksana lagi Sempurna. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluq Allah yang istimewa, dan kembara ke bumi Anbiya’ ini adalah untuk mencari keistimewaan itu.

Menjadi pewaris Anbiya’ bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dalam pesanan Allah di dalam ayat ini.

Peperangan Harus Ada Kemahiran

Mustahil pergi berperang hanya dengan tawakkal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang diwajibkan Allah ke atas alam ini.

Kata bijak pandai:

الفوضى في الحقّ لا تحزم الباطل المنظّم

“Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik”

Niat yang baik adalah tuntutan Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara sistematik pula adalah Sunnatullah yang melengkapkannya. Justeru, keinginan untuk mewarisi perjuangan para Anbiya’, harus menyeluruh mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya’. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tablighdalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka.

Cerdik tapi tak baik, jadi penipu.

Baik tapi tak cerdik, jadi mangsa penipu.

Pendakwah mesti cerdik. Kemahiran mesti tinggi. Di atas kesedaran itu, saya letakkan azam yang tinggi, bahawa agenda di bumi Anbiya’ nanti bukan hanya pada melangsaikan silibus di bilik kuliah. Kemahiran bahasa, kemahiran ICT, kemahiran berfikir, kemahiran berkomunikasi, dan segala ilmu kendiri, mesti digarap tanpa berlengah-lengah dan bersantai diri. Pewaris Anbiya’ mesti outstanding!

Peperangan Harus Kenal Kawan dan Lawan

Peperangan itu licik.

Lawan disangka kawan.

Kawan dijadikan lawan.

Tipu daya di dalam sebuah pertempuran sering mengelirukan. Dalam tempoh masa yang terhad dan penuh kegentingan, seorang penuntut ilmu di jalan Allah harus peka sepeka mujahid fi sabilillah. Matanya harus cepat membaca suasana. Setiap manusia dan kehidupan yang melintas di depan mata harus cepat dikenal pasti, apakah itu kawan yang menawarkan kebaikan, atau lawan yang menjanjikan kebinasaan.

Penuntut ilmu di jalan Allah mesti berhati-hati.

Melihat segalanya dengan mata hati.

Peperangan Menjanjikan Ghanimah

“Anak cikgu sambung belajor di manaaa?” tanya jiran saya.

Emak yang sedang menyapu daun kering di bawah pohon rambutan menoleh.

“Dia sambung belajo ke Jordan. Bidang agama” kata emak. Senyum seribu makna dilemparkannya.

“Oh ye ke.. elok bebenor le tu, cikgu. Orang belajor agama ni, Allah Ta’ala sumpah depa takkan mati lapor!” balas makcik tersebut. Bahasa orang kampung, tapi maknanya mendalam sekali.

Saya tersenyum sendirian, tatkala mendengar Ustaz Harun menghuraikan ayat ini. Teringat kembali kepada dialog antara emak dengan jiran petang itu. Saya yang melangut di tangga rumah teruja mendengar sumpah Allah yang disebut makcik tersebut. Janjinya begitu, namun jalannya harus disuluh secara realistik. Segalanya tidak mudah, namun mati kelaparan tidak sekali-kali.

Kemurahan Allah SWT mengurniakan bekalan hidup buat manusia yang mewakafkan dirinya di medan perjuangan ini. Dunia tidak menghukum lapar dan mati ke atas penuntut ilmu di jalan Allah. Rezekinya ada, di mana-mana. Tetapi rezeki itu halus garis pemisah di antara buruk dan baiknya. Rezeki yang datang melapangkan jalan untuk terus berjuang. Tetapi ada juga rezeki yang membutakan jiwa penuntut ilmu di jalan Allah, hingga tenggelam dalam KEPERLUAN mengatasi TUJUAN.

Apa yang diperjuangkan bukan lagi sebuah TUJUAN, sebaliknya tenggelam dalam mengejar KEPERLUAN (yang tidak pernah cukup dan memuaskan).

Saya akur dengan nasihat Ustaz Harun. Jiwa gementar memikirkan liku-liku perjalanan ini.

AGENDA BESAR

Sesungguhnya besar sekali makna yang terungkap di sebalik kalimah NAFARA yang difirmankan Allah SWT di dalam ayat ini. Menuntut ilmu di jalan Allah SWT benar-benar sebuah peperangan. Pengorbanan yang diperlukan besar, kerana harganya mahal. Harganya mahal kerana nilainya tinggi. Nilainya tinggi kerana ia AGENDA melahirkan ilmuwan pewaris Nabi.

وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ

“… dan supaya mereka dapat memberikan inzar peringatan buat kaum mereka…”

Tugas yang dipikulkan ke atas penuntut ilmu di jalan Allah bukan sekadar memberi Ta’lim, memberi tahu.

Allah SWT memberitahu bahawa tugas penuntut ilmu di jalan Allah sama seperti tugas seorang Rasul iaitu menyampaikan sebuah INZAR (al-Muddatsir 74: 2). Inzar bukan sekadar memberitahu. Ia lebih dari itu. Inzar memberi pelajaran tentang kebaikan, juga memberi amaran terhadap keburukan. Inzar mengajak kepada yang maaruf, disertakan juga seruan mencegah dan meninggalkan mungkar. Inzar adalah sebuah mesej yang hidup, agar ummah sentiasa berjaga-jaga.

BERMULANYA LANGKAH

Pertemuan itu sungguh bermakna.

Saya bagai dikurniakan ijazah oleh seorang sifu, untuk mengatur langkah menuju ke medan tempur yang penuh kebarangkalian.

15 September 1993: Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang

Segalanya terungkap dalam sebuah firman. Surah al-Taubah ayat 122 mahkota kurniaan.

Dengan lafaz seeru ‘ala barakatillah, saya memeluk tanda perpisahan bonda, keluarga dan taulan. Bersama air mata harapan dan azimat at-Taubah 122, saya terbang membelah awan biru, ke bumi Anbiya’ yang sedang menunggu.

“…Di celah pohon zaitun yang rendang
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti hadirnya
Barisan waris perjuangan…” 

Check Also

Mencegah Anak Hidup Bermuka-muka | Sembang Abah

“Jangan conteng arang ke muka ayah!” “Jaga maruah keluarga kita!” “Tiada dalam keturunan kita yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.