Fussilat: Seni Bertarung Untuk Menang Dan Bahagia

hand wrestling

Semua orang mahu menang. Ada yang mahu menang untuk kepentingan sendiri. Ada yang mahu menang untuk memenangkan apa yang diperjuangkan. Dua-dua itu benar.

Kita yakin dengan kemenangan itu kita bahagia.

Biar pun sering terjadi, kemenangan kita itu datang bersamanya derita.

Kita perkenalkan pelbagai kaedah untuk menang. Ada cara keras, ada cara tekan, ada cara menyelinap, ada cara ‘playsafe’ dan ada yang sampai menipu atau menindas lawan.

Kita sukar untuk percaya, bahawa ALLAH, Tuhan kita, sudah menjelaskan kaedah menang yang ampuh dan pasti berhasil. Kaedah yang disalah tanggap sebagai naif, malah klise bagi sebahagian pula.

Iaitulah kaedah MENUMPASKAN KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN.

Baca perlahan-lahan untuk tadabbur ayat ini:

41_34

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41:34]

PERTAMA

Kebaikan dan kejahatan tidak sama.

Itu harus jelas, terlebih dahulu. Jelas perbezaan antara kebaikan dan kejahatan.

“Ahh, buruk baik sama aje!” kata A.

Kata-katanya salah.

“Kalau dia buat jahat, kita balaslah cara jahat. Baru buku bertemu ruas!” kata B.

Kata-katanya juga salah.

Salah kerana kebaikan itu Allah suka. Allah redha. Ia membawa ke Syurga.

Salah kerana kejahatan itu Allah benci. Allah murka. Ia membawa ke Neraka.

Satu tindak balas kita mendekatkan diri ke Syurga.

Satu tindak balas kita mendekatkan diri ke Neraka.

KEDUA

“Balaslah kejahatan yang dikenakan ke atas kamu, dengan sesuatu yang lebih baik”

Setelah jelas mana yang baik, mana yang jahat, pilih tindak balas yang sesuai. Pilihlah tindak balas yang lebih baik berbanding dengan kejahatan yang dikenakan ke atas kita. Apa sahaja, asalkan yang lebih baik daripada kejahatan. Serendah-rendah kebaikan pun tidak mengapa, asalkan bukan yang jahat.

Apa pilihan yang lebih baik itu?

i. Menyayangi orang yang menganiaya kita?

Itu makam tinggi. Mungkin ramai yang tidak mampu. Malah kebanyakan manusia tidak mampu. Hanya Allah yang Maha Mampu. Setelah manusia berdosa meminta ampun dan Dia ampunkan, Dia sayang pula kepada insan itu. Mana mungkin kita mampu mengasihi orang yang menzalimi kita.

Tetapi kalau mampu, itu memang hebat. Memang tinggi.

ii. Berbuat baik kepada yang menganiaya kita?

Tidaklah kasih, tetapi kejahatannya kita balas dengan kebaikan. Walaupun dengan hati yang luka dan inisiatif yang dipaksa. Membelakangkan kecederaan emosi. Dia campak sampah ke rumah kita, balasannya adalah kita hantar kuih ke rumah dia. Ini juga tinggi, bukan calang-calang orang mampu melakukannya.

Tetapi kalau mampu, itu memang hebat. Memang tinggi.

iii. Baik kepada yang menganiaya kita?

Tidaklah sampai menghadiahkan kuih kepada si dia yang melonggokkan sampah ke halaman rumah kita. Tetapi cukup dengan mengawal air muka. Paksa diri untuk senyum. Urut dada untuk maafkan. Keluar ke halaman, bersihkan sampah yang dilonggok itu, dan jika mood tengah baik, bersihkan sekali sampah di halaman rumah si dia itu.

Dia hendak marah dan terus benci, terpulang.

Kita biasa-biasa sahaja. Berlapang dada.

Ini serendah-rendah ukhuwwah. Masih dalam lingkungan ukhuwwah. Persaudaraan yang berkadar langsung dengan iman, tandanya iman masih berfungi menyelamatkan persahabatan.

Mungkin boleh buat. Namun banyak perlu bermujahadah.

iv. Mencegah diri daripada bertindak jahat?

Tetap mahu bertindak. Tetapi bertindak dengan tindakan baik. Jahatnya si dia perlu dibendung, maka dia perlu diberi amaran. Mungkin perlu dibuat aduan. Mungkin perlu diambil tindakan undang-undang dan saman.

Tindakan-tindakan itu ada kewajarannya. Kita mungkin sabar. Orang lain mungkin tidak sabar. Kita mampu bertahan. Orang lain mungkin tidak mampu bertahan. Maka kejahatan si dia yang bukan hanya kita jadi mangsanya, kita perlu mencegah dia daripada menzalimi orang lain pula.

Kita bertindak.

Tetapi tindakan kita beralaskan kewarasan. Kita bertindak mengikut saluran. Pilih saluran yang efektif. Saluran yang sampai kepada tuntutan agama terhadap kemungkaran iaitu mencegah. Dan bukan sekadar mencegah, malah mengubah. Mengubah mungkar menjadi maaruf.

Sebahagian maaruf, adalah dengan bertindak ke atas si zalim.

Dan dalam mana-mana pilihan di atas, kita tidak lupa berdoa. Memohon kepada Allah agar melembutkan hatinya. Sebagai mukmin, kita bukan hanya mahu orang yang kita sayang sama-sama masuk Syurga. Malah kita juga mahu orang yang kita benci, berubah dan sama-sama masuk Syurga.

Siapa yang mahu menghantar manusia ke Neraka?

Tiada mukmin yang mahu di Neraka itu ada manusia.

Walaupun akhirnya ia akan dipenuhi dengan manusia dan jin.

Namun kalau boleh bukan kita yang menghantarnya.

Sebab menyelamatkan seorang daripada Neraka, amat besar ganjarannya, malah membantu pula usaha kita untuk ke Syurga.

KETIGA

Janji-Nya ialah:

Jika antara kamu dan dia ada permusuhan, membalas kejahatan dengan kebaikan akan mengubah lawan menjadi kawan.

Bukan sekadar kawan, tetapi kawan yang akrab.

Masakan tidak, kita bukan sekadar kawan biasa, kita kawan yang membantu bekas lawan itu daripada terjerumus ke Neraka, kepada mampir menuju Syurga.

Itulah kawan sejati.

Manusia yang mampu membalas kejahatan dengan kebaikan.

Ini janji Allah.

Dan Allah benar-benar tidak memungkiri janji.

Pasti.

SESUATU YANG SUKAR

Allah tidak kata kaedah ini mudah.

Sekali dengar terus boleh buat.

Baca perlahan-lahan ayat ini, dan tadabbur akan maknanya:

41_35

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat 41:35]

Memang hati memberontak.

“Masakan orang buat jahat dengan kita, mahu dibalas dengan kebaikan?” kata A.

“Rugilah saya!” kata B.

Allah Maha Tahu berat hati A dan B.

Sebab itu Allah kata, perkara ini sukar untuk diterima, sukar untuk diamalkan, kecuali orang yang SABAR.

Sudah terima, ia sukar hendak dilakukan secara konsisten, rumit untuk diamalkan, kecuali yang menghitung untung dan rugi dengan hitungan AKHIRAT.

Soal iman kepada Allah dan Akhirat.

Dan baiknya Allah, ganjaran datang semenjak di dunia lagi, iaitulah KEMENANGAN YANG MENDATANGKAN BAHAGIA.

PETUA UNTUK SIAPA

“Nasihat ini untuk siapa?” tanya C.

Sebelum ayat 34 dan 35 Surah Fussilat, Allah sudah memberitahu melalui ayat 33, mereka yang perlu memberi perhatian lebih kepada kaedah ini ialah orang yang paling berisiko mengalaminya. Orang yang paling terdedah kepada penganiayaan.

Baca ayat ini, tadabbur akan maknanya:

41_33

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam!” [Fussilat 41:33]

Manusia yang menyeru manusia kepada Allah.

Iaitulah pendakwah.

Iaitulah pejuang kebenaran.

Iaitulah pembela keadilan.

Iaitulah manusia-manusia yang beramal soleh.

Dan dalam perjuangannya dia berkata, SESUNGGUHNYA AKU ADALAH DARIPADA KALANGAN KAUM MUSLIMIN!

HASRIZAL
43000 BSP

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

57232659

Keraguan: Adakah Ia Jalan Islah?

  Perjalanan saya di dalam siri kuliah Modern History of Europe pada semester ini, menyebabkan …

5 comments

  1. Suasana alam sekeliling era terkini, lebih menjuruskan/mempengaruhi kepada tindakan nafs (emosi) menguasai diri berbanding sifat kesabaran yagn diperlukan itu. Maka itu, tarbiyah, kefahaman dan kecekapan mendahulukan tindakan bersabar, perlulah dipertajamkan lagi.

    • Benar.

      Terutamanya untuk generasi anak muda yang dalamannya diabaikan pendidikan, luarannya digasak sekeras-kerasnya.

      (rindu komen tuan)

  2. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.
    Surah Hud 11:114

  3. Kata Habib Ali Al-Jufri;

    Aku ingin tujukan ucapanku kepada orang yang mendakwa diri mereka mencintai Islam tapi tidak mencerminkan Islam, mereka menganggap perbincangan tentang CINTA/KASIH akan melemahkan Islam, melemahkan semangat jihad.

    “Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”

    [Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim]

    “Wahai kekasihku, hadis ini telah menerangkan hakikat sebuah KEKUATAN, kekuatan yang mengandungi CABARAN. Adakah kamu mampu untuk mencabar nafsumu, adakah kamu mampu utk menahan marahmu, adakah kamu mampu untuk menahan kebencian yang meluap2 dalam dirimu?

    Jika kamu mampu untuk mengalahkan nafsumu, mengalahkan egomu, dan mampu membawa nafsumu untuk mencari dan mendapatkan makna CINTA, kamu telah mencapai kesempurnaan iman.

    Pada tahap ini, kamu MENGENALI Tuhanmu, kerana kamu telah berjaya membuang hijab antaramu dan Allah, yang berada dalam dirimu, iaitu hijab marah, benci dll. Jika kamu telah dapat membuang semua hijab ini, maka tersingkaplah kepadamu hakikat dirimu. Maka, cahaya Allah akan menyinarimu dan kamu mengenal Allah.

    Jika kamu MENGETAHUI cara mencintai orang lain secara mutlaq (tanpa sebarang sebab), maka kamu mampu MERASAI makna cinta Allah kepadamu secara mutlaq. Sesungguhnya Dia menciptakanmu dan menyangimu, sebagaimana dirimu.

    Sumber: http://madrasahyoutube.blogspot.com/2013/01/apa-yang-dunia-mahukan-sekarang-adalah.html

  4. Salam ustaz, saya pernah juga mendengar mengenai ini dari ustaz2..mereka mengaitkan juga kisah nabi Muhammad (saw) yang membalas kejahatan dgn kebaikan pada peristiwa Yahudi yang memberi pinjam duit kepada nabi lalu berkasar ketika meminta kerana katanya nabi melewatkan pembayaran..dan nabi balas dengan lebih baik…dan Abu Bakar (rad) reaksi terhadap orang yang memfitnah Aisyah (rad.a) yang mana dibantu oleh Abu Bakar (rad) saya sudah ingat2 lupa..boleh ustaz cerahkan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *