Antara Isi dan Kulit: Al-Fahmu Buat si Ulu al-Albab

20130106-140539.jpg

Setiap kali berbincang atau bermesyuarat, kita amat berhajatkan kepada keupayaan memahami masalah.

“Apa masalahnya?”

Andai soalan ini tidak berjawab, maka berjela-jelalah mesyuarat ini. Sejam boleh berlanjutan jadi sehari. Satu mesyuarat boleh meleret jadi sepuluh. Lebih malang, kita tidak sedar pun yang kita sebenarnya sedang membuang masa. Semata-mata kerana kita tidak mempunyai sebarang indikator (petunjuk), bahawa kita bermasalah.

Bermasalah dalam memahami, “apa masalahnya”

Menjadi manusia yang faham, disebut sebagai Ulu al-Albab (أولو الألباب)

Al-Albab merupakan kata jamak kepada LUBB yang bermaksud isi atau inti. Ulu al-Albaab bermaksud orang yang dapat isi, dapat inti. Ada yang faham kulit, ada yang faham isi.

Faham isi, menjernihkan apa yang difikir dan dinampak. Hasilnya, kita nampak apa masalah kita. Dan barulah dalam kejernihan itu, kita bertemu dengan petunjuk kepada penyelesaian-penyelesaian yang hendak dicapai.

Alangkah berhajatnya kita kepada kurniaan ini.

BENCANA SALAH FAHAM

Lihat sahaja dalam diskusi di laman sosial. Lain yang dicakap, lain yang difaham, lain yang dimaksud, lain yang disahut. Akibatnya, beratus-ratus komen membentuk rantaian kalam, yang seperti mempamerkan populariti halaman, tetapi hakikatnya kosong dari faham, kosong dari petunjuk. Apabila ia menjadi kebiasaan, fenomena ini menjadi musibah pula, iaitu dalam lambakan kalam, kita kosong faham.

Kekosongan faham itu disembunyikan oleh petikan-petikan Quran, Hadith, yang lebih menyulitkan diri untuk sedar, bahawa kita sebenarnya tidak faham. Merawat situasi ini lebih sulit daripada rawatan kepada tidak tahu yang tulen. Tidak faham, tidak sesusah salah faham.

Justeru, pencegahannya mesti diutamakan.

Allah SWT menjadikan Ulu al-Albaab sebagai satu kualiti orang beriman yang kita dimotivasikan untuk mencapainya. 16 kali Allah mengulang-ulang di dalam al-Quran tentang Ulu al-Albaab, dengan pelbagai teknik mencapainya, berserta kelebihan menguasainya.

Dalam konteks menjadi manusia faham, manusia dapat petunjuk, manusia yang boleh diharap menyelesaikan masalah, Allah SWT membantu kita di dalam firman-Nya:

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna (Ulu al-Albaab)” [Al-Zumar 39:18]

Mencapai Ulu al-Albaab dan mendapat petunjuk, memerlukan seseorang itu mengutamakan apa yang terbaik. Dan apa yang terbaik itu, memerlukan kita untuk membuat perbandingan antara beberapa pilihan. Dan dalam konteks ini, pilihan itu adalah pilihan pendapat.

Justeru, Allah memulakannya dengan sebuah ayat naratif tentang kelebihan manusia yang ada kemahiran mendengar.

Dengar dahulu, kemudian ikut yang terbaik.

Allah tidak memerintahkan kita dengan ayat perintah atau arahan, agar kita melakukannya. Allah tidak kata, “dengarlah!”

Tetapi Allah bercerita tentang sifat yang ada pada sekumpulan manusia. Mereka mampu mendengar terlebih dahulu. Wazan sorof (struktur perkataan) yang dipakai oleh adalah yastami’oon (يستمعون) di atas wazan yafta’ilun (يفتعلون) yang memberikan konotasi istimrar yakni berterusan.

Satu proses yang memerlukan masa.

Usaha demi usaha.

MENAHAN DIRI DARIPADA PERSEPSI

Ertinya, berusaha mendengar, menyabarkan diri semasa mendengar, menahan diri daripada berhenti mendengar sebelum masanya. Berperang dengan keghairahan minda untuk membuat kesimpulan sebelum habis mendengar. Merendahkan pengaruh apa yang kita sudah tahu, pernah tahu, apatah lagi pernah terdengar, yang menjadi kulit-kulit penutup inti kefahaman sebenar.

Ia mujahadah yang besar.

Halangan utamanya pula adalah lapisan-lapisan penutup di dalam diri kita sendiri. Maka kalau Allah perintahkan pun, mungkin dengan mudah kita menolaknya. Atau tidak faham pun yang Allah sedang memerintahkan sesuatu. Justeru untuk mengajak kepada suatu urusan sebesar ini, Allah memberikan ruang yang cukup untuk kita mempertimbangkannya.

Kalau tidak buat pun, terpulang.

Tetapi kalau buat, khasiatnya besar.

Maka praktisnya dalam kehidupan seharian memerlukan keinsafan. Menginsafi bahawa dalam faham kita ada salah faham. Dalam tahu kita, ada jahil. Dalam bijak kita, ada bodoh. Dan menginsafi kekurangan di sebalik semua itu, kita bertenang. Menghindari latah, menghindari emosi. Mengelak diri daripada ekspresi, “Oo, kalau macam tu, maknanya sekian sekianlah ya!”

Kaya dengan “Oo”

Kaya tanda seruan “!!!”

Apabila emosi meninggi, jauhlah isi dan inti daripada dicapai.

Menginsafi hal ini memerlukan jiwa tenang. Dan kerana itu ‘perintah’nya pun bukan perintah. Hanya ayat naratif yang lurus, hambar, bersahaja, tetapi besar impaknya.

Kita perlu berusaha bukan hanya mendengar apa yang kita MAHU dengar, tetapi mendengar apa yang kita PERLU dengar.

Kita perlu berusaha bukan hanya mendengar daripada siapa yang kita mahu dengar, tetapi kita mendengar daripada siapa yang kita perlu dengar.

Kita jelas antara MAHU dan PERLU. Kita utamakan PERLU berbanding MAHU. Kerana khasiatnya, kita jadi MAMPU.

KONTROVERSI YANG RUMIT

Bab hukum, kita dengar pendapat mazhab kita, kita juga beri ruang untuk dengar dan faham pendapat mazhab lain. Bukan hanya mazhab fiqh vs mazhab fiqh, malah mazhab fiqh vs mazhab hadith. Agar kita faham, dan memahami. Kita bukan hanya faham apa yang kita faham, tetapi kita juga faham mengapa orang lain faham berbeza daripada kefahaman kita.

Kita bukan hanya banyak membaca, tetapi kita membaca pelbagai bahan bacaan. Bacaan jenis yang kita biasa baca, bacaan yang di luar kebiasaan bacaan kita. Kita baca buku orang kita, kita baca buku orang lain. Kita baca buku alim ulama kita, kita juga baca buku Orientalis dan penulis beragama lain. Agar kita faham agama kita, dan kita faham bagaimana cara orang lain faham agama kita.

Dalam berkumpulan pada urusan dakwah, kita jelas apa yang kita faham, dan kita berusaha untuk faham apa yang kumpulan lain faham. Mengapa faham mereka berlainan daripada faham kita.

Tidaklah nanti sewenang-wenangnya kita berkonklusi, “ooh, tu kena sogok wanglah tu!”

“Tali barut taghut tu!”

“Gila pangkatlah tu!”

“Mahu glamer!”

Sedangkan kelompok yang pendapatnya 180 darjah bertentangan dengan kita itu mungkin ikhlas, tidak berkepentingan seperti yang kita tuduh. Mereka bukan mengejar pangkat, mereka bukan orang upahan, jauh sekali disogok wang, apatah lagi gila glamer.

Pendapat mereka sangat kontras dengan pendapat kita kerana mereka mempunyai cara fikir yang sangat berlainan daripada cara fikir kita. Sistem fikir yang sangat bertentangan, walaupun saling merujuk dalil naqli yang sama.

Tuduh menuduh menjadikan permusuhan kita bertindan-tindan, berlapis-lapis.

20130106-141022.jpg

Untuk mencari kebenaran, kita mesti ada keupayaan mengopek lapisan-lapisan penutup isi, seperti usaha mengopek bawang. Ia proses yang amat memedihkan. Maka biarlah air mata memercik kesakitan, hati perlu terhindar daripada kepiluan, kerana apa yang ingin dicapai bukan kekenyangan emosi, tetapi mencapai inti pati sebuah FAHAM.

Pada keupayaan menjadi seorang pendengar.

Mendengar bukan sekadar yang MAHU.

Mendengar yang PERLU.

Agar akhirnya terhasil sebuah MAMPU.

Besar impaknya apabila Hasan al-Banna meletakkan rukun bai’ah yang pertama adalah AL-FAHMU.

Faham.

HASRIZAL
43000 BSP

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (5620) Pelawat

Comments

3 comments

  1. teruskan menulis saudaraku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>