Motivasi Memperalatkan Dakwah

Integration

Pada tahun 2004, saya melangkah kaki masuk ke dunia latihan dan motivasi melalui syarikat Fitrah Perkasa Sdn Bhd. (FPSB). Saya memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Penyelidikan dan Modul, iaitu penolong kepada Tuan Pengarah ketika itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

Sungguh ironi, pekerjaan pertama saya di Malaysia, adalah di dalam bidang yang saya tidak suka. Saya sangat pesimis dengan dunia motivasi kerana pengalaman sebagai peserta kepada program-program motivasi ketika di bangku sekolah, saya rasa ia program yang tidak berisi.

Tetapi semasa menyertai FPSB, rasa pesimis itu beransur hilang. 6 bulan pertama saya belum mendapat kebenaran untuk menyampaikan modul. Saya hanya bekerja petik suis lampu dan susun pensel peserta sebelum mereka tiba. Juga imamkan solat semasa solat Jemaah. Tetapi saya ditugaskan untuk memerhati, memahami, menganalisa dan membiasakan diri mengenainya.

Saya berpeluang bertemu dengan segala jenis manusia yang rencam. Daripada top management bank terkemuka, hinggalah kepada penyiram bunga di jalanraya di Kuching. Daripada 20 pelajar paling cemerlang negara dihantar GLC ke universiti terkemuka dunia, hinggalah kepada murid paling bermasalah, bohsia dan bohjan. Daripada individu sesat yang menyembah busut dan menyepak bini jika bersolat, hinggalah kepada alim ulama yang memerlukan teknik dakwah kreatif bagi merawat kebekuan rutin mereka.

Bagi saya, mentaliti menyertai motivasi ketika itu, DAKWAH MEMERLUKAN MOTIVASI.

motivasi sub dakwah

Motivasi membantu menjadikan dakwah lebih berstruktur, kemas, aliran idea tidak mengganggu kognitif, dan memanfaatkan audio, visual dan segala keinsanan manusia agar menjadi reseptor yang berkesan kepada mesej dakwah.

Alirannya, saya membaca dan mengkaji idea-idea motivasi Barat dan meneliti manakah komponen yang boleh memperkayakan dakwah. Saya telah memanfaatkan idea John C Maxwell, Stephen Covey, John Gray, Gary Chapman, pada memperkayakan dakwah dan melancarkan penyampaian mesej al-Quran dan Al-Sunnah dalam bentuk yang lebih dinamik.

“Oh, ini cara yang lebih mudah untuk menerangkan secara praktikal pengertian SABAR” saya mencatat, selepas membaca konsep PROAKTIF yang dibentangkan oleh Covey di dalam 7 Habits beliau.

Tapaknya masih dakwah.

Modul-modul sedia ada di dalam FPSB juga diperbaiki dari semasa ke semasa. Saya dan beberapa orang lagi ustaz memberikan pandangan agar penafsiran yang tidak begitu menepati makna nas, dibetulkan. Kisah yang bersumberkan Israiliyyat, ditinggalkan. Maklumat yang tidak dapat dikesan asal usulnya, dihindari.

Saranan-saranan ini diterima, walaupun secara praktis, banyak kesulitan timbul, pada mengubah kebiasaan sedia ada.

MERIAH

Lama kelamaan, dakwah bermotivasi semakin menjadi in-thing. Dunia latihan dan motivasi semakin meriah. Motivasi dan dakwah semakin bersahabat dan bertindan mesra.

Tanpa disedari, di celah dunia dakwah bermotivasi itu muncul idea MOTIVASI PERLUKAN DAKWAH.

dakwah sub motivasi

Apa yang mula berlaku bukan lagi pada memperkayakan dakwah Islam dengan elemen kreatif. Sebaliknya idea motivasi yang diperkayakan dengan elemen-elemen Islam. Kita bukan mengkreatifkan dakwah dengan elemen motivasi, tetapi kita mengkreatifkan motivasi dengan elemen dakwah.

Dakwah menjadi sub kepada motivasi.

IMPLIKASI MERBAHAYA

Saya terbaca di dalam majalah Nebula pada sekitar tahun 2006 atau 2007, satu contoh pemikiran memakaikan pakaian Islam kepada motivasi.

Seorang penulis di dalam majalah berkenaan mengatakan bahawa Zero Mind Process wujud di dalam Islam. Beliau telah memetik hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam tentang takrif Ihsan (Hadith Jibril) untuk membuktikannya. Hadith itu asalnya berbunyi:

أن تعبد الله كأنك تراه
فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Terjemahannya:

“(Ihsan itu ialah) seperti kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya
Dan jika tidak sampai kamu dapat seperti melihatnya, maka (ketahuilah / rasakanlah) bahawa sesungguhnya Allah melihat kamu”

Tetapi penulis berkenaan telah ‘menggunting’ nas hadith ini kepada:

فإن لم تكن، تراه

Yang diterjemahkan maksudnya sebagai:

“Jika kamu menafikan wujud dirimu, nescaya kamu akan dapat melihat (kebesaran) Allah”

Inilah dalil kepada teknik Zero Mind Process, tegas penulis tersebut.

Semasa membaca artikel itu, saya tersentak. Mula tersedar bahawa ada golongan motivator yang melakukan jenayah terhadap nas apabila mereka mengolah nas agar sesuai dengan modul dan teknik yang mereka bawa, dalam bentuk yang langsung tidak menepati nas, malah tidak pernah sama sekali dimaksudkan begitu.

Inilah juga yang sedang berleluasa pada masa ini.

Arah penghasilan modul, bukan meneliti isi kandungan nas untuk mencipta modul. Sebaliknya, meneliti isi kandungn nas untuk mengukuhkan modul. Nas duduk di bawah modul, dan bukan modul duduk di bawah nas.

Dan dicarilah para ustaz ustazah untuk bekerja menjustifikasikan keislaman modul yang dicipta oleh motivator yang mencipta modul itu jauh daripada asas Islam. Agamawan dan ahli akademik diperalatkan. Saya pandang ia ‘diperalatkan’ kerana ilmu-ilmu agama yang dikehendaki tunduk kepada epistemologi para motivator.

Modul itu lahir bukan daripada benih Islam, tetapi diberi kad pengenalan Islam apabila berpakaian dengan pakaian Islam. Ia tidak berjiwa Islam kerana Syariah masih sub kepada motivasi.

Inilah fitnah dunia motivasi dakwah, yang menjadikan dakwah sebagai sub kepada motivasi. Bukan lagi dunia dakwah yang memanfaatkan motivasi, yang saya kenali sepuluh tahun yang lalu.

Jika bid’ah dan kemungkaran berlaku dalam bentuk sembahyang di atas kubur, ia jelas bid’ah dan mungkar. Tetapi jika bid’ah dan kemungkaran berlaku dalam bentuk idea, metod, manhaj dan pemikiran, ‘makhluk paling Salafi’ pun mungkin terpedaya.

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya jika pernah terjebak dalam kebejatan itu. Dan mengurniakan basirah ke jiwa sahabat-sahabat saya agar jujur dengan kesarjanaan masing-masing, bahawa adakah dalam dunia latihan hari ini, ilmu Islam sedang menggunakan teori motivasi untuk memajukan dakwah, atau sebenarnya ilmu Islam sedang dipergunakan untuk memajukan teori motivasi, kerana bisnes memang sentiasa perlu berinovasi begitu.

Hakikatnya ia bisnes.

Duit.

Kapitalis.

Periuk nasi saya sedang bertabur pasir… saya merelakannya sebelum perut saya tersumbat pasir dan tanah kubur, pada bila-bila masa nanti.

HASRIZAL @ 43000 BSP

BEBERAPA NOTA:

  1. Perbincangan ini bukan bermaksud motivasi itu salah. Motivasi adalah satu bidang yang ada disiplinnya dan berdiri sendiri
  2. Konflik timbul, apabila percubaan mengintegrasikan motivasi dengan Islam.
  3. Integrasi itu tidak salah, malah mungkin perlu. Tetapi ia perlu dilakukan dengan kaedah yang betul, kerana ia menyentuh nas.
  4. Masyarakat tidak perlu paranoid untuk tertanya-tanya mana satu motivasi yang betul dan tidak betul. Perbincangan ini memerlukan banyak kerja oleh motivator, pembangun modul dan pendakwah.
  5. Masyarakat boleh bertenang, dan hanya perlu mengelakkan diri daripada program motivasi yang amat pelik. Apabila hati rasa program ini seperti ada sesuatu yang amat tidak kena, jangan abaikan ‘instinct’ itu. Lebih baik ia ditinggalkan, pada mematuhi hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam “tinggalkan apa yang meragukan kamu, kepada apa yang tidak meragukan kamu” [hadith riwayat Tirmidhi: Hasan Sahih]

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Rantaian Kefasikan ‘Print Screen’ yang Membinasakan

Ramadan adalah bulan mengejar kebaikan. Kita pula berperasaan tidak tentu hala tuju kerana pelbagai tragedi …

9 comments

  1. ustaz..sekarang ni busines business online pun menjadikan dakwah sebagai sub kepada business mereka.. contoh: sambil jual2 produk upload gambar2 doa/mutiara kata (a.k.a motivasi) untuk menyejukkan hati pelanggan…. piece! 🙂

  2. Ini masalah lama yang similiar kepada integrasi Sains dan agama Islam. Sepatutnya dalam Agama Islam, sains dikembangkan tetapi ia jadi pelik bila agama Islam itu disainskan.

    Tidak seperti ‘motivasi’, ‘sains’ ini bukan mainan orang awam, ia adalah dunia golongan profesional. Maka impak ‘sains’ tidak sebesar impak ‘motivasi’.

    Tapi tak apa lar, itu lar fungsi Islamic Scholars pun. Imam2 dulu2 dah bagi jasa besar, kumpul hadis, syarah hadis dn AQ, rangka sistem disiplin ilmu. Zaman kita nih, cuma perlu cari, terjemah dan amal. Kadang2 tu kena buat revised edition sbb dapat maklumat yg lagi sahih.

    Harap ulama dan umara dapat cari penyelesaian kepada masalah integrasi agama Islam dan ilmu2 baru nih. WA.

  3. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Assalamualaikum,

    Sebelum membaca entry ustaz ini, saya baru sahaja selesai membaca entry Prof Madya Dr MAZA (Ruj: http://drmaza.com/home/?p=2349) yang kebetulan membicangkan perkara yang sama. Seram sejuk juga, kaki dan tangan takut-takut diri juga terjebak secara tidak langsung.

  4. Perkataan yang betul ialah berbahaya. dalam bahasa Melayu tidak ada imbuhan ‘mer’, tetapi imbuhan ‘ber’. Contoh penggunaan: Jalan raya itu berbahaya kepada orang awam kerana banyak kenderaan berat menggunakan jalan ini.

  5. Tersenyum saya membaca ayat ‘makhluk paling salafi’.

    Tersenyum lagi bila tengok Ustaz sekarang menulis dengan diletakkan siap-siap ‘exemption clause’nya supaya fikiran-fikiran yang liar tidak terbabas keluar tajuk dan tidak pula menjerit ‘paranoid’.

    Nampaknya setelah lebih sedekad Ustaz dah berjumpa jalan tengah untuk melayan pembaca berfikiran selapis dan yang berlapis-lapis

    Allah yubarik fik ya Ustaz. ^_^

  6. Dakwah Sub Motivasi

    Assalamualaikum Ustaz Hasrizal,

    Dakwah Sub Motivasi. Terima kasih kerana melukis rajah tu. Itu sesuatu yg sangat bermain2 di jiwa, samada ia boleh atau tidak boleh. Hakikat yg terpaksa kita terima daripada ramai pakar motivasi, mereka menggunakan pendekatan Dakwah Sub Motivasi, secara sedar atau pun kebanyakannya tanpa sedar.

    Ramai pakar motivasi yang berniat baik, namun niat baik, tanpa pendekatan yang tepat seringkali membawa bencana. Niat yg baik, beserta pendekatan yg betul, perlu bersatu.

    Sy begitu berharap, artikel ini dimanfaatkan juga oleh Prof M, seorang penceramah motivasi yang sedang hangat dan begitu disukai di Malaysia kini. Perbincangan sebab-musabab boleh jadi satu sebab kepada kejayaan dalam matlamat. Namun tidak semua perkara hanya punya satu cara. Cara yg sesuai dan berjaya utk diri tidak semestinya tepat utk dikongsi sebagai satu teori. Apatah lagi masyarakat Malaysia yang sememangnya mudah tertarik dengan kejayaan duniawi, janganlah semudah itu menjaja teknik affirmation dan visualization kepada masyarakat yg tidak tahu hujung pangkal bagaimana affirmation dan visualization bertindak secara neurologi. Walaupun penceramah menggunakan perkataan ‘sunnahtullah’, namun jgn sampai diri jadi sebab yang menyebabkan masyarakat bertuhankan sebab-musabab.

    Motivasi adalah bidang yg baik, namun secara halus, ia boleh menyebabkan banyak kerosakan. Halus yang begitu halus.

    Semoga para pakar motivasi type ‘Dakwah Sub Motivasi’ menjadi type ‘Motivasi Sub Dakwah’.

    Wallahualam.

  7. Assalamualaikum ustaz,

    terima kasih atas posting terbaru ustaz mengenai kupasan Motivasi dan Dakwah. Ini membuka pemikiran saya tentang perkara-perkara sebegini yang berhubungkait dengan kehidupan kita sebagai Muslim.

    Cuma saya masih kurang jelas serta kurang memahami tentang konsep motivasi dan dakwah secara menyeluruh.

    Saya harap Ustaz dapat mengupas perkara ini secara detail lagi dan menerangkan lagi bentuk kiasan yang memudahkan pemahaman pembaca-pembaca kelak.

    Terima kasih.

  8. Baru kejap tadi saya jumpa tulisan yg sama … awak ada lebih dari satu blog ke
    ?

  9. Zaman ini adalah zaman fitnah… Sukar sekali jika kurang ilmu. Fitnah telah menusuk masuk secara halus melalui program-program ilmiah dan dakwah untuk menyesatkan ummah. Takut mengenangkan anak2 sekarang ni. Semoga kita semua terpelihara…InsyaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *