ARTIKEL 2005: Al-Ghazzali Sasaran Liberalisasi Agama

Complicated

[DISIARKAN DI MAJALAH I KELUARAN SEPTEMBER 2005 – Artikel ini ditulis pada tahun 2005 apabila Majalah I meminta saya menulis sebuah artikel bagi menjawab polemik yang ditimbulkan oleh Astora Jabat di dalam Majalah al-Islam ketika itu. Artikel ini ditulis tanpa latihan akademik, namun kesan kesulitan berat yang saya hadapi semasa usaha menulis artikel ini, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Master di UIAM. Artikel ini sudah pun berusia 8 tahun. Saya siarkan semula dengan sedikit pembetulan, namun terbuka untuk penambah baikan jika ada nasihat dan panduan pembaca semua.]

Islam telah memberikan kedudukan yang penting kepada Ulama kerana mereka adalah penyambung kepada misi penyebaran risalah Islam yang ditinggalkan oleh rasul terakhir iaitu Muhammad bin Abdillah sallallaahu alayhi wa sallam. Peredaran masa dan perubahan persekitaran menjadikan ketulenan risalah Islam terdedah kepada cabaran ketidak mampuan manusia memikul beban menjaganya. Walaupun Allah SWT telah memberi jaminan untuk Bertindak dengan DiriNya sendiri sebagai Pemelihara syariat Islam [Al-Hijr 15: 9], namun Sunnatullah menetapkan kepada perlunya mengambil asbab. Oleh yang demikian, di bahu ulama Islam itulah terpikulnya amanah yang besar memindahkan Islam dari satu generasi ke generasi yang lain.

Abu Darda’ meriwayatkan di dalam suatu hadith yang panjang bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda, “… dan sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris kepada para Nabi” [riwayat Abu Dawood].

Oleh kerana itu, Allah SWT telah mengikat para ulama dengan beberapa kriteria utama, di antaranya adalah sifat mereka sebagai orang yang paling takut kepada Allah [Faathir 35: 28]. Kesedaran terhadap tanggungan mereka di hadapan Allah sebagai benteng pertahanan agamaNya, menimbulkan rasa takut yang terbit dari dalam hati dan seterusnya mengawal diri dari cuai dan cemar.

Amat mudah untuk kita menerima betapa rasionalnya penghormatan yang diberikan oleh umat Islam kepada institusi ulama’ kerana dari merekalah suluhan syariat Allah itu dipelajari. Walaupun begitu, penghormatan ini adalah atas nilai agama dan bukannya bersifat peribadi sehingga mengundang sifat taasub dan mengangkat para ulama ke darjat yang lebih daripada apa yang telah diperuntukkan oleh Allah SWT.

Di antara tokoh ulama yang terbilang di dalam sejarah keilmuan Islam adalah Abu Hamid al-Ghazzali. Ketokohannya dapat dilihat melalui pelbagai gelaran yang dinisbahkan kepada beliau seperti Hujjah al-Islam, Zayn ad-Din dan sebagainya. Al-Imam al-Ghazzali begitu cemerlang di dalam hampir apa sahaja bidang yang diceburinya sebagaimana yang diperakui oleh Ibn Katheer di dalam al-Bidayah.

CEMUHAN ASTORA JABAT TERHADAP AL-GHAZZALI

Amat mengejutkan apabila Astora Jabat selaku ketua editor Majalah al-Islam telah mengeluarkan suatu justifikasi yang luar biasa terhadap al-Ghazzali. Tulisannya di dalam majalah berkenaan, keluaran Mei 2005, telah menjadikan al-Ghazzali sebagai subjek tumpuannya di bawah tajuk ‘Ulama Mengkafirkan Ulama’. Beberapa hukuman telah dikenakan ke atas al-Ghazzali melalui artikel itu. Beliau dituduh melakukan ‘keganasan pemikiran’ kerana telah mengkafirkan idea al-Farabi dan Ibn Sina di dalam Falsafah.

Pertembungan al-Ghazzali dengan kedua-dua ilmuan Falsafah itu dihuraikan dengan bersandarkan kepada hadith-hadith yang berkaitan dengan Takfir (perbuatan seorang mengkafirkan seorang yang lain) sehingga menimbulkan satu antara dua. Sama ada al-Farabi dan Ibn Sina menjadi kafir sebagaimana yang dituduh oleh al-Ghazzali, atau tuduhan kafir itu terpulang balik dan menimpa al-Imam al-Ghazzali sendiri. Akhirnya, mahkamah Astora Jabat telah memutuskan bahawa perbuatan al-Ghazzali itu tidak membawa kepada pembatalan iman sebagaimana yang difahami secara literal melalui hadith-hadith rujukan beliau. Bahkan al-Ghazzali hanya berdosa besar kerana mengkafirkan al-Farabi dan Ibn Sina!

Agak sukar untuk ditentukan apakah sebenarnya yang ingin dicapai oleh Astora Jabat melalui isu semacam itu yang turut diperpanjangkan di dalam artikelnya yang menyusul di dalam Majalah al-Islam keluaran Jun 2005. Beliau mengkritik perbuatan al-Ghazzali dengan nada seperti mengkritik seorang ‘lebai kampung’ yang mengkafirkan seorang yang tidak sebulu dengannya. Atau seumpama seorang penceramah ‘gear lima’ parti Islam yang mengkafirkan seorang anggota parti Taghut yang menolak Islam!

Ulasan Astora Jabat itu meninggalkan kesan negatif bukan hanya kepada al-Ghazzali tetapi kepada kedudukan ulama secara keseluruhan. Akhirnya, apa yang terbayang di fikiran pembaca, hanyalah kelakuan cela dan dosa besar para Ulama yang selama ini dianggap sebagai pemimpin rohani umat. Siapa lagi yang boleh diikut dalam soal beragama, jika al-Ghazzali sendiri telah jatuh tersepuk di kancah dosa besar? Akibatnya, ramai umat Islam yang mengambil keputusan untuk bebas diri, tidak terikat dengan suluhan ulama dan masing-masing terpaksa ‘ikut kepala sendiri’ untuk mengamalkan Islam kerana tiada siapa lagi yang boleh dipercayai.

ASAS SERANGAN AL-GHAZZALI TERHADAP AL-FARABI DAN IBN SINA

Karya pertama al-Ghazzali di dalam Falsafah adalah bukunya yang bertajuk Maqasid al-Falasifah yang telah selesai dikarang pada 488H / 1095. Di dalam buku ini, beliau telah menghuraikan asas kepada peripatetic philosophy yang diasaskan oleh Aristotle bersangkutan dengan Logik, Fizik dan Metafizik. Beliau menulis buku ini secara objektif tanpa kecenderungan kepada mana-mana aliran. Ia seolah-olah menjadi muqaddimah kepada kritikan yang bakal dibuat oleh al-Ghazzali terhadap beberapa aspek Falsafah di dalam buku keduanya iaitu Tahafut al-Falasifah.

Mungkin pendekatan al-Ghazzali di dalam Maqasid yang tidak mengkritik sebaliknya hanya membentangkan ajaran neo-Platonist Arab tanpa komen, menyebabkan sesetengah kita menuduh al-Ghazzali sebagai sebahagian daripada neo-Platonist sebaris dengan al-Farabi dan Ibn Sina. Namun perlulah diperjelaskan di sini bahawa, Maqasid al-Falasifah tidak sepatutnya dianggap sebagai sebuah hasil karya yang berdiri sendiri. Sebaliknya ia adalah bahagian pertama strategi al-Ghazzali untuk menembak Falsafah neo-Platonist yang dilakukannya di dalam karangan kedua beliau iaitu Tahafut al-Falasifah.

TAHAFUT AL-FALASIFAH DAN SERANGAN AL-GHAZZALI

Al-Ghazzali telah menyebut di penghujung al-Maqasid bahawa mereka yang ingin mengetahui tentang kebenaran dan kebatilan Falsafah hendaklah menelaah Tahafut. Di dalam Tahafut al-Ghazzali telah membahaskan secara terpeinci tentang 20 perkara; yang mana 3 daripadanya melibatkan soal kekufuran dan 17 perkara yang bersangkutan dengan soal bid’ah.

Ketiga-tiga perkara tersebut adalah pandangan ahli Falsafah tentang sifat qadim bagi alam, ilmu Allah tidak mencakupi perkara-perkara juz’i dan dakwaan mereka bahawa kebangkitan manusia pada hari Akhirat kelak hanya terhad kepada roh sahaja, tanpa jasad. [Tarikh al-Falsafah fi al-Islam, Professor T. J. De Bour, Amsterdam University, Dar an-Nahdah al-Arabiyyah]

Ahli Falsafah seperti al-Farabi dan Ibn Sina telah melakukan kesilapan kerana cuba untuk menundukkan persoalan di luar tabi’i dengan teori-teori yang bebas berpandukan akal semata-mata. Keterlaluan akal dan Falsafah di dalam hal ini telah mencetuskan kelahiran sekelompok pemikir bebas di kalangan umat Islam yang menolak beberapa ibadah dan syiar Islam seperti persoalan solat dan keperluan meninggalkan larangan agama. Pada rasional golongan ini, ajaran syariat tidak membantu pencapaian intelektual lantaran kekaguman melampau mereka kepada Socrates, Plato, Aristotle dan lain-lain. Bagi mereka, amalan agama hanyalah anasir ritual semata-mata. [Ketokohan al-Ghazzali di Dalam Bidang Logik oleh Dr Mohd Fauzi Hamat, Penerbitan Universiti Malaya]

Inilah yang mendorong al-Ghazzali menghukumkan kufur kepada pegangan sedemikian rupa kerana ia mengundang kepada pembatalan seluruh ajaran Islam itu sendiri. Amat menghairankan, ketika al-Ghazzali bermati-matian mempertahankan kemurnian ajaran Islam dan menegah penyelewengan Falsafah, Astora Jabat menuduh bahawa al-Ghazzali itulah sebenarnya yang membuat keganasan pemikiran dan bukannya peruntuh agama dari kalangan ahli Falsafah berkenaan.

Apakah sebenarnya yang mahu diketengahkan oleh Astora Jabat? Adakah beliau mahu kembali mengambil modal neo-Platonist untuk membuat justifikasi kepada gejala liberalisasi Islam yang menular hari ini?

Memang benar, jika dinilai dari segi disiplin Falsafah serta kemegahan Tamadun Sains umat Islam, al-Farabi dan Ibn Sina adalah tokoh yang disegani. Namun pendirian mereka di dalam tiga persoalan Falsafah tersebut, adalah bertentangan dengan rukun Iman dan manusia dituntut supaya menilai dan menghukum pada yang zahir sahaja sedangkan kepada Allah jualah terserah apa-apa yang tersirat di sebalik kenyataan al-Farabi, Ibn Sina dan yang seumpama dengannya.

Tegasnya, serangan al-Ghazzali terhadap al-Farabi dan Ibn Sina mempunyai asas dan justifikasi yang kukuh dan jelas. Ia jauh sekali untuk dirujuk kepada penegasan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam tentang fenomena Takfir. Ini bukanlah seperti perbalahan di kedai kopi antara dua manusia bebal yang bermain-main dengan kalimah iman dan kufur. Ia adalah suatu lukisan terhadap garis pemisah di antara iman dan kufur, di antara menyelamatkan agama Allah dengan kebinasaan pembatalan seluruh ajaran Islam itu sendiri.

PUNCA KEKERASAN AL-GHAZZALI

Menurut Dr Mohd Fauzi Hamat di dalam penulisannya bertajuk Ketokohan al-Ghazzali di Dalam Bidang Logik [Penerbitan Universiti Malaya ISBN 983-100-247-4], catatan sejarah menunjukkan bahawa al-Ghazzali tidak mempunyai guru yang khusus di dalam bidang Falsafah, berbeza dengan proses pembelajarannya di dalam bidang Fiqh, Tasawuf dan sebagainya. Beliau hanya diperkenalkan kepada asas ilmu Falsafah semasa menuntut ilmu Kalam bersama al-Juwayni dan sumber-sumber lain di Naysabur dan Madrasah al-Nizamiyyah di Baghdad. Ini diperakui sendiri oleh al-Ghazzali di dalam bukunya al-Munqidz min adh-Dhalal.

Ini dilihat sebagai punca yang membawa kepada pendekatan yang amat keras oleh al-Imam al-Ghazzali kepada ahli Falsafah seperti al-Farabi Ibn Sina. Walaupun kaedah pembelajaran seperti itu telah berjaya membawa al-Ghazzali kepada penguasaan ilmu Falsafah, ketiadaan bimbingan seorang guru dianggap sebagai faktor mengapa al-Ghazzali begitu lantang mengkritik Falsafah [Zaki Mubarak, Al-Akhlaq ‘inda al-Ghazzali, Beirut].

Kenyataan ini amat rasional di dalam menilai isu mengapa al-Ghazzali mengambil sikap sedemikian terhadap al-Farabi dan Ibn Sina. Ia tidak sewajarnya dilihat sebagai suatu kenyataan untuk merendah-rendahkan al-Ghazzali. Namun ia adalah suatu dimensi yang perlu dipertimbangkan kerana asas interaksi kita bersama ulama adalah dengan berbaik sangka dan bukannya bertepuk tangan ketika bertemu kelemahan.

Sememangnya mengambil ilmu dari buku tidak sama dengan ilmu yang diambil dari seorang guru. Buku memberikan ilmu tetapi ia tidak membimbing sikap pembaca di dalam pemprosesan ilmu tersebut. Tetapi ilmu yang diambil dari seorang guru, adalah ilmu yang diselit dengan panduan dan bimbingan tentang bagaimana ilmu tersebut patut diproses, diamal dan disampaikan kepada orang lain. Barangkali jika al-Ghazzali berguru di dalam ilmu Falsafah, maka sentuhannya mungkin akan lebih bersederhana dan indah sebagaimana sentuhan beliau di dalam ilmu yang berkaitan dengan penyucian jiwa (tazkiyah an-nafs). Hal ini wajar diteliti dengan baik kerana tuduhan Astora Jabat terhadap al-Ghazzali adalah amat tidak wajar.

Beliau membangkitkan suatu isu yang kompleks dan mengelirukan masyarakat hanya untuk membuat justifikasi terhadap perkara kecil. Beliau mendedahkan kontroversi al-Ghazzali vs. al-Farabi dan Ibn Sina kepada pembaca hanya kerana mahu menerangkan bagaimana beliau dapat keluar dari belenggu ketaksuban terhadap ulama.

Sedangkan bagi kita semua, sikap taasub terhadap mana-mana ulama atau tokoh masyarakat, sememangnya tidak harus berlaku. Kita perlu berlapang dada menerima bahawa al-Ghazzali, asy-Syafi’e, Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja adalah manusia yang tidak terjamin daripada melakukan ketidak tepatan di dalam menghuraikan maksud agama.

Tetapi jauh sekali untuk kita bersorak gembira dan melepaskan diri dari ulama, atas kesedaran bahawa al-Ghazzali dan ulama lain itu telah juga berdosa besar, seperti kita!

Pelik sungguh sifir ini…

Wallahu A’lam.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com

Cheras, Kuala Lumpur

12 September 2005

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

itep-lecturers

Menghormati Ilmu Pendidikan Sebagai Batu Asas Sekolah

Program Islamic Teacher Education Program (ITEP) anjuran Razi Group, biar pun hanya peringkat sijil, ia …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *