Di Atas Runtuhan Daulah Abbasiyyah Itu

abbasid

Daulah ‘Abbasiyyah [kredit foto: Princeton]

Kemusnahan yang berlaku kepada Baghdad semasa berlakunya serangan Mongol pada tahun 1258 tiada tolok bandingnya. Tidak pernah terjadi di dalam pengalaman umat Islam, kehancurannya menyamai apa yang Baghdad alami ketika itu, hingga menguji umat Islam, bagaimanakah mereka melihat peristiwa itu dan merumuskannya (Ahsan 1966).

Ibn al-Athir di dalam catatannya berkenaan hal ini di dalam al-Kamil fi al-Tarikh telah berkata:

“Selama bertahun-tahun, aku mendiamkan diri daripada menyebut tentang hal ini. Aku dapati ia terlalu mengerikan, jijik dan mengganggu fikiranku.Siapakah yang mungkin berasa mudah untuk menceritakan tentang kemusnahan Islam dan Muslim? … Oh, alangkah baiknya ibuku tidak melahirkan aku, atau aku mati sebelum ini dan terus dilupakan! Laporan ini meliputi cerita berkenaan dengan… bencana begitu besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menggemparkan seluruh dunia, dan Muslim terutamanya. Jika ada yang mengatakan bahawa semenjak hari pertama Tuhan mencipta manusia mereka tidak pernah menyaksikan kejadian seumpama ini, sesungguhnya dia telah berkata benar. Dan semenjak hari ini hingga ke saat akhir kehidupan di dunia ini, tidak mungkin dunia akan menyaksikan sesuatu sepertinya” (Spuler 1988)

Kerajaan ‘Abbasiyyah mendapat kuasa pada tahun 750 selepas menggulingkan pemerintahan Bani Umayyah. Rasionalnya tindakan ‘Abbasiyyah itu adalah pada menanggapinya sebagai sebuah reformasi untuk menghapuskan kelemahan-kelemahan yang telah berakar umbi di dalam pemerintahan Bani Umayyah.

Walau bagaimana pun, kritikan-kritikan yang dilontarkan oleh kempen ‘Abbasiyyah menentang Bani Umayyah tidak terlepas daripada pengulangan oleh kerajaan baru ini.

Pemerintahan ‘Abbasiyyah mencapai kemuncaknya di era pemerintahan Harun al-Rashid (786-809). Pada masa itu juga berlakunya konflik perebutan takhta antara dua anaknya, al-Amin dan al-Ma’mun, pemberontakan di merata-rata tempat serta ketegangan sosial apabila al-Ma’mun cuba mengenengahkan pendapat-pendapat Muktazilah yang bertentangan dengan pegangan ramai yang mengikut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Kemerosotan semakin ketara apabila khalifah-khalifah ‘Abbasiyyah kemudiannya menjadi boneka di tangan Buwayhi (945-1055) dan Saljuk (1055-1194). Tambahan pula pemerintahan berkenaan tidak memiliki kewibawaan sebagaimana ‘Abbasiyyah yang dikenali sebagai keturunan ‘Abbas, bapa saudara Rasulullah SAW.

Kuasa Mongol (Ilkhanid) (1258-1355) dan Timurid yang menyerang Baghdad boleh dianggap sebagai kemusnahan paling besar pernah terjadi di dalam sejarah umat Islam. Apabila empayar  Ilkhanid dan Timurid kemudiannya berpecah kepada negeri-negeri kecil yang bertebaran, dunia umat Islam menjadi semakin berpecah belah dan beralih penguasaan daripada sebuah dinasti kepada dinasti yang lain. Umat Islam kehilangan signifikasinya dalam tempoh ini sehinggalah penyatuan kembali terhasil di bawah pemerintahan Uthmaniah, dengan menguasai Mesir dan Syria pada tahun 1517 dan Baghdad serta Tabriz pada 1534.

Akan tetapi, gelaran Khalifah tetap mendukung makna, karisma dan penghormatan yang besar di sepanjang sejarah umat Islam. Bani Umayyah, ‘Abbasiyyah dan Uthmaniah memanfaatkannya untuk pengukuhan kekuasaan mereka dengan memakai gelaran Khalīfah. Ketika mana Khalīfah kehilangan dominasinya di dalam politik umat Islam yang merosot, pemakaian istilah sultan dan malik menjadi lebih biasa diguna. Institusi shura dan bay’ah dikekalkan namun tidaklah sampai kepada bentuk perlaksanaan yang sempurna di zaman al-Khulafā’ al-Rāshidīn.

Pengecualian tercatat di kalangan beberapa orang pemimpin di dalam setiap pemerintahan. Sebahagiannya memiliki ketinggian peribadi dan berusaha untuk melaksanakan peranan-peranan yang dikaitkan dengan khilafah. Manakala selebihnya, kebanyakan mereka adalah sederhana dalam pemerintahan, tidak menggambarkan secara ideal apa yang dikatakan sebagai model pemerintah Muslim di dalam institusi khilafah itu tadi (Chapra 2007).

Kelemahan ini membawa kepada kemerosotan keadilan sosial, kebebasan berpendapat berkadar langsung dengan perlanggaran peraturan-peraturan Shariah. Orang-orang yang berkebolehan tidak dilantik memegang jawatan-jawatan penting. Sebaliknya, golongan pengampu yang tidak mampu berperanan dan jauh sekali menyumbang kepada  negara, mengelilingi sultan serta memanipulasi mereka. Dalam situasi ini, terjadi konspirasi membabitkan kehakiman, perang saudara untuk merebut takhta, revolusi tentera yang telah memamah khazanah umat, membantutkan daya kreativiti mereka dalam bekerja dan mendorong kepada kemunduran secara melata. Peralihan kuasa, walaupun terjadi dalam satu keluarga yang terikat dengan pertalian saudara, sukar untuk terjadi tanpa menumpahkan darah. Kejadian sebegini yang terjadi berulang-ulang kali telah menimbulkan rasa tidak selamat, dan seterusnya menjejaskan produktiviti dan aktiviti perniagaan. Jurang antara ajaran Islam yang ideal dengan catatan sejarah tentang tingkah laku Muslim, melebar dari satu masa ke satu masa. Kerana itu Hodgson pernah berkata, “tamadun Islam sebagaimana kewujudannya, adalah jauh daripada manifestasi jelas terhadap ajaran Islam yang sebenar” (Hodgson 1974).

Khilāfah dan shūrā bukanlah jaminan kepada terpeliharanya umat Islam daripada konflik. Akan tetapi nilai kebertanggungjawaban pemerintah kepada rakyat bersama-sama dengan ruang kebebasan rakyat mengkritik polisi-polisi kerajaan akan banyak membantu menyuburkan keadilan sosial, keluhuran undang-undang serta penggunaan  yang efektif terhadap sumber-sumber yang menyumbang kepada pembangunan.

2.         KARAKTER POLITIK DALAMAN DAULAH ‘ABBĀSIYYAH

Untuk memahami dengan lebih terpeinci tentang tindak tanduk yang mempengaruhi bangun dan jatuhnya Daulah ‘Abbāsiyyah, kita perlu membahagikannya kepada karakter-karakter berikut (Elsohemy 2004):

2.1       Era Pertama ‘Abbāsiyyah (749-847M)

Di peringkat awal, gerakan ‘Abbāsiyyah berjalan secara tersembunyi. Ia bersesuaian dengan agenda pada masa tersebut untuk menggulingkan Bani Umayyah. Kerahsiaan ini berlaku kepada hiraki pergerakan hingga seorang penyokong tidak kenal siapakah ketuanya (Imam). Kerahsiaan ini juga bertujuan mewujudkan suasana yang kondusif bagi keluarga ‘Abbāsiyyah membabitkan golongan Parsi yang selama ini sentiasa dibelenggu status warganegara kelas kedua apabila Bani Umayyah bertegas membezakan di antara Arab dan bukan Arab. Keluarga ‘Abbāsiyyah memanfaatkan sentimen ini untuk meraih sokongan kaum Parsi kepada mereka, yang juga memiliki daya tarikan tersendiri sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW. Akan tetapi, sejarah kemudiannya memperlihatkan bahawa kaum Parsi mempunyai agenda mereka yang tersendiri, lalu mengambil langkah yang sama membentuk hiraki dan gerakan rahsia ke arah mengembalikan kegemilangan empayar Paris yang runtuh di tangan umat Islam sebelum ini.

Ibrahim ibn Muhammad ibn Ali telah meletakkan Abu Muslim al-Khurasani, seorang Parsi, sebagai wakil yang berkuasa di timur. Dalam masa yang sama Abu Muslim mempunyai agendanya untuk mengembalikan kegemilangan empayar Parsi dan beliau melakukannya secara tersembunyi. Abu Muslim berusaha untuk meluaskan pengaruhnya untuk membentuk sebuah kumpulan yang nantinya menjadi kerajaan yang berkuasa.

Penguasaan Parsi di dalam hiraki keluarga ‘Abbāsiyyah mengalami pasang surutnya. Peluang untuk kaum Parsi berkuasa sudah terbuka semenjak awal lagi apabila Abu ‘Abbas al-Safah (749-754M) melantik Abu Muslim sebagai ketua di dalam tentera. Persekitaran yang seperti ini turut membuka peluang kepada keluarga Parsi yang lain untuk turut sama meluaskan pengaruh mereka, seperti keluarga Baramiki dan al-Fadhl. Walau bagaimana pun pengaruh Parsi di dalam kerajaan ‘Abbāsiyyah tergugat apabila Abu Ja’far al-Mansur (754-775M) menaiki takhta. Beliau melihat golongan Parsi begitu berpengaruh lalu bertindak membunuh Abu Muslim al-Khurasani. Kejadian ini telah mencetuskan kemarahan penduduk Khurasan serta menimbulkan ketidak tenteraman sosial (Bosworth 1987).

Polisi Abu Ja’far al-Mansur disambung pula oleh anaknya Muhammad bin ‘Abdullah al-Mahdi (775-785M) yang berdepan dengan al-Ilhad dan al-Zindiq yang mendakwa diri mereka sebagai Muslim, namun mencela syiar-syiar Islam dan menimbulkan pertentangan secara terbuka. Keadaan ini mendesak al-Mahdi untuk menubuhkan sebuah jabatan khusus bagi menghapuskan golongan ini. Situasi sebegini berlanjutan di era Harun al-Rashid (786-809M) yang telah menyerang mati al-Baramki. Tekanan demi tekanan yang dikenakan ini, telah mengendurkan pengaruh serta kekuatan kaum Parsi buat seketika. Tetapi apabila Abdullah Abu al-‘Abbas al-Ma’mun (813-833M) menaiki takhta dalam suasana konflik dalaman berkaitan dengan perebutan takhta antara beliau dan al-Amin, kekuasaan Parsi bertambah dan sampai ke kemuncaknya. Ini berikutan daripada tindakan al-Ma’mun sendiri yang menggunakan khidmat golongan Parsi untuk membunuh al-Amin. Hal ini mudah difahami kerana al-Ma’mun sendiri merupakan anak kepada Harun al-Rashid dengan isterinya seorang Parsi, Umm al-Walad    (Marajil) dan dibesarkan oleh seorang Parsi bernama Fadl bin Sahl. Ini menjadikan semangat kekitaan al-Ma’mun kepada Parsi begitu besar dan kemenangannya menumpaskan al-Amin, dianggap sebagai simbol kemenangan golongan Parsi.Al-Ma’mun juga menerima pendapat yang didokong oleh Muktazilah pada kepercayaan bahawa al-Qur’an adalah makhluk. Ini mengukuhkan lagi pengaruh Parsi ketika itu yang turut mendukung pemahaman yang sama.

Al-Ma’mun yang telah memindahkan pusat pemerintahan daripada Baghdad ke Khurasan, dipengaruhi oleh penasihatnya Ali al-Rida, seorang Alawi. Al-Rida telah berjaya meyakinkan al-Ma’mun tentang kucar kacir yang dicetuskan oleh Fadhl ibn Sahl di Baghdad hingga membawa kepada tindakan al-Ma’mun membunuhnya. Suasana yang tidak tenteram ini menyaksikan kematian Al-Rida dan ia telah mengalihkan pengaruh Parsi kepada Turki dengan naiknya takhta adik kepada al-Ma’mun iaitu Abu Ishaq Muhammad al-Mu’tasim (833-842M). Era al-Mu’tasim membuka ruang kepada pengaruh Turki mengambil alih pengaruh Parsi kerana beliau merupakan anak kepada Harun al-Rashid kepada seorang hamba berbangsa Turki bernama Marida. Oleh kerana ketua tentera ketika itu, Ifsheen, dikenal pasti olehnya sebagai terbabit dengan golongan penyembah api Parsi, al-Mu’tasim telah memecat beliau dan menggantikannya dengan seorang Turki. Kesetiaan al-Mu’tasim kepada bangsa Turki juga menjadi dorongan untuk beliau membina kota Samara untuk keluarga ibunya. Sehingga ke era al-Wathiq (842-847M), bangsa Turki telah menguasai sebahagian besar daripada posisi penting di dalam pemerintahan Daulah ‘Abbāsiyyah. Kematian al-Wathiq tanpa zuriat telah  membuat ruang buat pertama kalinya perlantikan khalifah dimesyuaratkan. Kaum Turki yang berpengaruh memperolehi kebebasan untuk menentukan pemilihan dan akhirnya al-Mutawakkil (847-861M) telah dilantik sebagai pengganti.

Kesimpulannya, era pertama Daulah ‘Abbāsiyyah ini mendukung karakter kepimpinan khalifah ‘Abbāsiyyah yang kuat bersama kuasa pemerintahan yang berpusat. Pengaruh Parsi juga begitu kukuh di era ini dan menjelang era kedua Daulah ‘Abbāsiyyah, karakter ini mengalami perubahan yang ketara .

Aerial-view-of-SamarraKota Samarra [kredit foto: http://islamic-arts.org/2011/samarra/]

2.2       Era Kedua ‘Abbāsiyyah (847-946M)

Era kedua Daulah ‘Abbāsiyyah ini berlangsung di dalam pemerintahan tiga belas orang khalifah dalam format pemerintahan yang berbeza. Ia adalah era kerajaan yang tidak berpusat.  Penguasaan khalifah kepada empayar menjadi lemah apabila kaum Turki menguasai jawatan-jawatan utamanya dan berkuasa menentukan pengganti para khalifah. Mana-mana pemerintah yang tidak memuaskan hati, berhadapan dengan ancaman bunuh dan itu jugalah yang mengakibatkan kematian khalifah al-Mutawakkil, al-Mu’tasim, al-Muhtadi, al-Qahir dan al-Muttaqi. Sebagaimana pusat pemerintahan beralih daripada Baghdad ke Khurasan di era Parsi, pemerintahan di era ini berpindah ke Samara (Elsohemy 2004).

Desentralisasi pemerintahan itu terjadi apabila khalifah secara sukarela atau terpaksa, memberikan kuasa kepada para menteri, dan menteri-menteri itu pula mengagih-agihkannya kepada gabenor. Para gabenor yang berada di lokaliti masing-masing membentuk pengaruh mereka sendiri dan menubuhkan kerajaan-kerajaan kecil. Walaupun mereka masih menghormati khalifah, mereka memerintahnya secara otonomi. Kerajaan-kerajaan kecil ini saling berkrisis di antara satu sama lain, kalah mengalahkan di dalam siri peperangan. Sebagai contoh, kerajaan Tahari yang terbentuki di era kedua ini telah ditumpaskan oleh kerajaan Safari yang kemudiannya dikalahkan pula oleh Saminid. Inilah corak yang membentuk desentralisasi sebagai faktor penting yang menjurus kepada kelemahan Daulah ‘Abbāsiyyah secara keseluruhan. Desentralisasi ini diburukkan lagi oleh konflik dalaman yang berlaku di antara kaum Turki sendiri dalam perebutan gelaran Amir al-Umara’. Dalam suasana inilah kekuatan Bani Buwayh mengambil alih kuasa daripada kaum Turki yang bertelagah.

2.3       Era Ketiga ‘Abbāsiyyah (946-1075M)

Di era ketiga ini, Bani Buwayh telah mengambil alih pengaruh Turki dan menguasai Daulah ‘Abbāsiyyah. Perbezaan utama antara mereka dengan kaum Turki sebelum ini ialah Bani Buwayh tidak bertindak keras membunuh khalifah ‘Abbāsiyyah yang tidak memuaskan hati mereka. Sebaliknya mereka dikekalkan namun terus menerus berperanan hanya sebagai boneka kepada Bani Buwayh yang sebenarnya berkuasa. Khalifah al-Muti’ (946-974M), al-Ta’i’ (974-991M), al-Qadir (991-1031M) dan al-Qa’im (1031-1075M) memerintah, hanya sebagai alat kepada Bani Buwayh yang bermazhab Syiah ini.

Walaupun Bani Buwayh ini patuh kepada kekuasan kerajaan Samanid semasa pemerintahan mereka yang berpusat di Balkh, namun mereka mempunyai agenda sendiri untuk berkuasa, pada mengembalikan kegemilangan Parsi. Walaupun Bani Buwayh bermazhab Syiah, mereka tidak menyokong kerajaan Fatimiyyah yang berpusat di Mesir, biar pun mereka juga menentang kuasa Daulah ‘Abbāsiyyah. Semasa berkuasa, Bani Buwayh yang bermazhab Syiah ini telah menyebarkan perbuatan mencela para sahabat Nabi SAW, memperkenalkan perayaan Ghader Khoum, meratapi kematian Husayn dan sebagainya. Khalifah tidak dapat membendung hal ini kerana ketundukan mereka terhadap kuasa Bani Buwayh.

Sama seperti sebelumnya, Bani Buwayh beransur lemah ekoran daripada perbalahan sesama mereka dalam perebutan takhta. Mereka akhirnya dikalahkan oleh kuasa Saljuk, dan menamatkan era ketiga Daulah ‘Abbāsiyyah yang menyaksikan para khalifah diperalatkan sebagai boneka kepada kerajaan berlatar belakangkan Parsi dan Syiah ini.

2.4       Era Keempat ‘Abbāsiyyah (1075-1258M)

Bani Saljuk memulakan pemerintahannya di India dan Afghanistan sebelum tiba di Baghdad. Sebagai kelompok Muslim Sunni, Saljuk berpendirian memulangkan kekuasaan kepada khalifah ‘Abbāsiyyah.  Pemerintah Saljuk di Baghdad yang pertama adalah Rukn al-Dunya wa al-Din Tughril Beg (1075-1038M). Beliau banyak melancarkan tindakan reaktif terhadap amalan Syiah tinggalan Bani Buwayh. Sebagaimana Syiah Bani Buwayh mencela para sahabat Nabi SAW di dalam khutbah Jumaat, Tughril Beg mencelah Bani Buwayh di dalam khutbah Jumaatnya. Pemerintahan Tughril Beg disusuli pula oleh anaknya Adud al-Dawlah Alp Arslan (1038-1063M). Antara tindakan penting Alp Arslan ialah menghalang kaum Kristian daripada memasuki Jerusalem dan ini merupakan sebab utama yang mencetuskan permulaan kepada Perang Salib.

Di era ini juga Daulah ‘Abbāsiyyah memberi laluan kepada munculnya kerajaan Atabeg yang diasaskan oleh ‘Imād al-Dīn Zangi yang diangkat menjadi Atabeg di Mosul. Keluarga Atabeg ini setia kepada khalifah dan melalui Nūr ad-Dīn Zangi, anak saudaranya Salāh al-Dīn al-Ayyūbī mengasaskan kerajaan Ayyubiyyah dan menumpaskan kuasa Fatimiyyah di Mesir. Biar pun kemunculan tokoh seperti Salāh al-Dīn al-Ayyūbī membantu kepada penyatuan kembali umat Islam, kelebihan itu kembali runtuh apabila konflik kekeluargaan menimpa anak-anak Salāh al-Dīn al-Ayyūbī saling berebut takhta.

Keruntuhan Daulah ‘Abbāsiyyah berlaku secara signifikan apabila Saljuk memilik para Shah (naib gabenor) untuk menjaga wilayah umat Islam. Antara yang paling masyhur adalah Khawarizm Shah (1077-1231M). Mereka sudah sejak sekian lama berurus niaga dengan Mongol. Apabila Shah membunuh beberapa orang pedagang Mongol yang dituduh sebagai pengintip, Hulagu Khan (cucu kepada Genghiz Khan) murka lalu menghantar tiga orang utusan (dua daripadanya Mongol dan seorang lagi Turki) mengadap ‘Ala al-Din Muhammad Khawarizm Shah. Malangnya, Shah telah bertindak angkuh membunuh utusan berbangsa Turki itu tadi, manakala dua orang lagi yang berbangsa Mongol itu telah dipulangkan dalam keadaan janggut dan jambangnya dicukur licin sebagai sebuah tindakan provokasi. Tindakan ini telah mengundang kedatangan bala tentera Hulagu Khan datang menyerang. Khalifah ‘Abbāsiyyah yang memerintah pada masa itu adalah al-Musta’sim (1242-1258M) dan malang sekali, beliau masih terus meletakkan kepercayaan kepada tokoh-tokoh Syiah untuk membantu. Wazirnya ketika itu, Muayyid al-Din al-‘Alqami, seorang Syiah tegar, telah melihat ancaman Mongol itu sebagai peluang untuk kaum Parsi membuang pemimpin-pemimpin Arab dan mengembalikan kegemilangan empayar Parsi. Al-‘Alqami telah mencadangkan kepada Hulagu untuk menyerang Baghdad.

Itulah yang terjadi. Pada tahun 1258, tentera Hulagu telah menghancurkan Baghdad dengan kemusnahan yang meranapkan sama sekali seluruh Daulah ‘Abbāsiyyah dan menamatkan penguasaan mereka sepenuhnya.

Era ini boleh dirumuskan sebagai era kembalinya kekuasan khalifah ‘Abbāsiyyah apabila kerajaan Saljuk menumpaskan Bani Buwayh dan menyerahkan kembali peranan khalifah kepada Bani ‘Abbās. Akan tetapi cita-cita kaum Parsi untuk menumpaskan legasi saingannya yang berbangsa Arab, telah mencetuskan kehuru haraan dan pengkhianatan yang berpanjangan. Perselisihan serta perebutan kuasa antara Parsi, Turki, Buwayhiyyin dan Saljuk telah memusnahkan struktur yang penting bagi kelangsungan sebuah pemerintahan. Kesemuanya menjurus kepada datangnya serangan Hulagu sebagai pukulan maut yang menamatkan dalam tragedi Baghdad 1258.

3.         KARAKTER POLITIK LUARAN DAULAH ‘ABBĀSIYYAH

Walaupun di sana terdapat faktor-faktor dalaman yang menjadi sebab langsung kepada jatuhnya kekuasaan Daulah ‘Abbāsiyyah, kejadian-kejadian itu mengambil tempat seiringan dengan pelbagai insiden yang menyumbang kepada faktor luaran kepada kemerosotan ini. Apa yang paling utama membezakan pemerintahan Bani Umayyah dan ‘Abbāsiyyah adalah cabaran ‘Abbāsiyyah mendepani pembentukan kerajaan-kerajaan bebas yang sebahagiannya melakukan penentangan secara terbuka terhadap Daulah ‘Abbāsiyyah (Hourani 2013).

Pemerintahan pertama yang tegak secara bebas daripada kerajaan ‘Abbāsiyyah adalah Bani Umayyah di Andalus. Semasa al-Safah menaiki takhta dan mengasaskan pemerintahan ‘Abbāsiyyah, putera-putera Bani Umayyah telah dibunuh. Hanya seorang yang berjaya melepaskan diri ialah ‘Abd al-Rahman. Beliau telah melarikan diri ke Andalus, memperolehi sokongan dan keadaan yang kondusif lalu mengasaskan pemerintahan Bani Umayyah dan kekal memerintah selama tiga ratus tahun. Biar pun Daulah ‘Abbāsiyyah beberapa kali cuba menyerang, ia telah berjaya ditumpaskan.

Selain daripada itu, pemerintahan yang secara terbuka melakukan penentangan terhadap Daulah ‘Abbāsiyyah adalah kerajaan Fatimiyyah di Mesir yang melebar di hampir keseluruhan wilayah Afrika Utara serta Syria. Walaupun majoriti penduduknya adalah Sunni, bersama minoriti Kristian, Yahudi dan Qibti,  hanya golongan Syiah yang menjadi pemerintah dan memegang tampuk kuasa. Sama ada ketika Baghdad dikuasai oleh Sunni, mahu pun Bani Buwayh yang juga Syiah, Fatimiyyah kekal sebagai kerajaan yang berdiri sendiri dan tidak menyokong Baghdad. Pemerintahan Fatimiyyah hanya berakhir apabila ditumpaskan oleh kerajaan Ayyubiyyah di bawah kepimpinan Salāh al-Dīn al-Ayyūbī yang asalnya direkrut di dalam tentera Fatimiyyah sendiri. Salāh al-Dīn al-Ayyūbī berketurunan Kurdi-Turki dan Sunni bertindak menentang Fatimiyyah dan seterusnya memerdekakan Palestin dan Syria daripada cengkaman Tentera Salib.

Selain daripada itu, terdapat juga kerajaan-kerajaan kecil yang muncul seperti kerajaan al-Adārisah di Afrika Barat, al-Tuluniyyah di Mesir dan al-Hamdani di Mosul. Selain Adārisah, kedua-dua kerajaan ini tidak stabil dan gagal bertahan lama. Kerajaan-kerajaan kecil ini juga saling menguasai antara satu sama lain, sebagaimana al-Tahariyyah yang dikuasai oleh al-Safariyyah, namun kemudiannya dikalahkan pula oleh al-Samaniyyah. Pemerintahan al-Samaniyyah juga telah dikalahkan oleh al-Ghaznawiyyah yang akhirnya ditumpaskan oleh al-Ghurayyah.

Perpecahan secara berperingkat terhadap kerajaan-kerajaan Islam ini merupakan ciri yang jelas berlaku ke atas Daulah ‘Abbāsiyyah. Gerakan-gerakan pemisah juga tidak terhenti setakat perselisihan di antara kuasa pemerintah yang memecah empayar kepada kerajaan-kerajaan yang kecil, malah Daulah ‘Abbāsiyyah juga  menyaksikan siri pemberontakan yang bermotifkan politik dan agama.

Antara revolusi terawal yang terpaksa dihadapi oleh Daulah ‘Abbāsiyyah adalah penentangan Syiah ‘Alawi di bawah kepimpinan Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah dan saudaranya Ibrahim yang menentang pemerintahan khalifah Abu Ja’far al-Mansur (754-775M). Golongan Syiah ‘Alawi ini melihat diri mereka sebagai keturunan ‘Ali RA dan berhak untuk menjadi khalifah. Pemerintahan khalifah al-Hādī (785-786M) juga menyaksikan sekali lagi golongan ‘Alawi memberontak namun berjaya ditumpaskan di peringkat awal pergerakannya. Pemberontakan oleh golongan ‘Alawi ini berlarutan hingga ke zaman khalifah al-Mu’tazz (866-869M) yang merebak ke Mekah dan Madinah. Gangguan demi gangguan tercetus, kebencian mereka terhadap pemerintah Arab begitu mendalam dan berterusan hingga runtuhnya Daulah ‘Abbāsiyyah ke tangan Mongol pada tahun 1258.

Khalifah al-Mu’tazz juga berdepan dengan kebangkitan sebuah kumpulan pemberontakan luar di Basrah iaitu kelompok hamba abdi daripada benua Afrika yang dikenali sebagai al-Zinj. Pemberontakan ini berlarutan, mereka menyerang dan membunuh umat Islam, hingga akhirnya berjaya ditamatkan di zaman pemerintahan khalifah al-Mu’tamid apabila adindanya al-Muwaffaq membunuh pemimpin mereka, Raja Bahbooz.

Ancaman kumpulan ajaran sesat juga memainkan peranan yang signifikan menggugat kestabilan Daulah ‘Abbāsiyyah. Ia terjadi semenjak di awal pemerintahannya lagi. Misalnya di zaman khalifah al-Mansur, beliau berhadapan dengan ancaman kumpulan Khurammi yang menganggap Abu Muslim al-Khurasānī sebagai jelmaan kelahiran Tuhan. Al-Mansur bertindak tegas melancarkan tentera menumpaskan golongan ini. Demikian juga anaknya, khalifah al-Mahdi yang terpaksa menghadapi golongan ‘Alewi melampau yang mempercayai dua tuhan (tuhan gelap dan tuhan cahaya). Mereka ini juga mengamalkan seks bebas sesama mereka, dan al-Mahdi mengambil tindakan menyerang mereka hingga ke akar umbi. Al-Mahdi turut diuji dengan kemunculan seorang lelaki yang dikenali namanya sebagai al-Muqāna’ah (Yang Bertopeng). Lelaki ini mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Apabila mereka diserang oleh tentera khalifah al-Mahdi, al-Muqāna’ah dan pengikutnya telah terjun ke dalam api untuk melepaskan diri daripada tindakan al-Mahdi.

Namun, antara ancaman ajaran sesat yang paling besar adalah golongan al-Qarāmitah yang juga dikenali sebagai al-Baqliyyah. Mereka merompak, menculik dan membunuh kanak-kanak Muslim dan menggalakkan zina. Golongan ini juga pernah menyerang Kaabah, mencuri al-Hajar al-Aswad dan membunuh pada musim Haji (930M). Pemerintah ‘Abbāsiyyah mengambil tindakan yang tegas untuk menumpaskan pergerakan ini walaupun saki bakinya terus wujud di sana sini di Semenanjung Tanah Arab selepas menerima tekanan daripada Baghdad.

Secara keseluruhannya, Daulah ‘Abbāsiyyah terus menerus berhadapan dengan pemberontakan di sepanjang pemerintahannya. Pemberontakan sama ada oleh kerajaan asing yang bersaing, atau pun kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang agresif mencetuskan anarki telah menjejaskan perkembangan Daulah ‘Abbāsiyyah namun mereka bertahan selama lebih 500 tahun.

baghdad_fall

Serangan Baghdad [kredit foto: http://www.roo7iraq.com/]

4.         ANALISIS KETAMADUNAN

Di sana terdapat ramai sarjana yang mengemukakan pendapat yang berbeza-beza tentang sebab dalaman dan luaran yang menyumbang kepada kemerosotan umat Islam, seperti yang kita saksikan di dalam legasi Daulah ‘Abbāsiyyah sebelum ini. Antaranya adalah Hitti, 1958; Arslan, 1962; Issawi, 1966 dan 1970; Lambton, 1970; Saunders (ed.), 1966; Inalcik, 1970; Inalcik dan Quataert, 1994; Musallam, 1981; Zakariyyah Bashir, 1977; Najjar, 1989; al-Samarra’i, 1993; Kuran, 1997 dan 2004; Abu Sulayman, 1991 dan 2005 dan Lewis, 1962 yang memberikan komentar tentang pendapat-pendapat Lutfi Paşa, Kochu bey, Hacı Halife, Huseyn Hazarfenn dan Sārī Mehmed Paşa tentang faktor-faktor kemunduran Daulah Uthmaniah.

Pendapat ini boleh dirumuskan sebagai berikut:

  1. Kemerosotan moral
  2. Kehilangan dinamisme di dalam Islam apabila berlakunya taqlid dan kejumudan
  3. Kemerosotan intelektual dan aktiviti sains
  4. Pemberontakan dan perpecahan dalaman
  5. Ancaman dan serangan kuasa luar
  6. Kemerosotan ekonomi
  7. Ketidak seimbangan fiskal
  8. Kehidupan yang tiada jaminan keselamatan pada nyawa dan harta
  9. Merosotnya pelaburan dan pembangunan
  10. Kemerosotan dalam pertanian, pertukangan dan perniagaan
  11. Kemerosotan sumber galian yang berharga
  12. Bencana alam termasuk wabak dan kebuluran, yang mengakibatkan kehilangan nyawa yang besar serta melemahkan ekonomi secara keseluruhannya.

5.         FAKTOR MANUSIA

Pada merumuskan kejadian-kejadian ini, al-Quran memberikan penekanan bahawa faktor yang membawa kepada kejatuhan sesebuah tamadun itu adalah manusia itu sendiri (ʻala Maudoodi 1976).

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Al-Quran, al-Ra’d 13,11)

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Al-Quran, al-Rum 30, 41)

Kenyataan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa  manusia itu membentuk takdir yang menimpa ke atas dirinya. Ia berbalik kepada pilihan yang dibuat oleh manusia dalam tindak tanduk mereka. Peranan manusia bukan hanya pada mengakibatkan kemunduran dan kejatuhan, malah faktor yang sama juga menyumbang kepada peningkatan dan kemajuan mereka. Sesuai dengan kenyataan Arnold Toynbee yang memaparkan idea yang sama bahawa tamadun-tamadun itu mati kerana membunuh diri, bukan mati dibunuh (Toynbee 1947)!

6.         KESAMA RATAAN DAN KEADILAN

Manusia juga tidak beroperasi di dalam vakum. Di sana terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi motivasi mereka, bukan hanya dalam soal keperluan diri sendiri malah untuk memberikan mereka momentum memajukan kehidupan persekitaran. Oleh yang demikian, antara syarat awal terpenting yang menyumbang kepada perkembangan tamadun adalah kesama rataan (equality) yang dinikmati oleh seluruh anggota sebuah masyarakat tanpa mengira warna kulit, jantina, kedudukan sosial, kekayaan mahu pun agama. Kesamarataan ini pula berkait rapat dengan wujudnya keadilan (justice) sebagai dasar bagi sebuah masyarakat.

Walaupun al-Quran memberikan penekanan bahawa manusia memainkan peranan yang penting dalam menentukan bangun atau jatuhnya tamadun mereka, al-Quran pada masa yang sama memberikan penekanan yang sama kepada pentingnya keadilan:

            “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan” (Al-Quran, al-Hadid 57, 25)

            “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (al-Quran, al-Nisa’ 4, 58)

Tanpa keadilan, kerjasama tidak akan berlaku dan ini membantutkan kemajuan. Penindasan dan kezaliman adalah racun yang paling membinasakan perkembangan sebuah tamdun. Jika ada sebuah negara yang mampu mencapai pembangunan dengan membelakangkan faktor keadilan, pembangunan yang dicapai itu juga tidak akan bertahan lama.

Pada masa yang sama, keadilan juga menuntut kepada satu kesepakatan sosial ke atas nilai dan institusi yang didukung, serta kesusilaan tingkah laku yang diterima bersama (Myrdal 1968). Tidak mungkin sesebuah tamadun boleh bertahan jika kualiti moral anggota masyarakat itu rendah dan solidariti sosial sesama mereka lemah (Sarton 1931).

Perbahasan tentang faktor kejatuhan sesebuah tamadun perlu dirumuskan dengan melihatnya di dalam kerangka teori-teori yang dikemukakan oleh para sarjana.  Ibn Khaldun mengemukakan model sosio-ekonomi dan dinamika politik di dalam al-Muqaddimah karyanya. Beliau merumuskan di dalam teorinya lapan faktor yang mempengaruhi kedudukan bangun dan jatuhnya sesebuah tamadun, yang beliau sebutkan sebagai al-kalimāt al-hikamiyyah:

  1. Kekuatan bagi sebuah kekuasaan (al-mulk) tidak akan lahir kecuali dengan melaksanakan Sharī’ah
  2. Sharī’ah tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan kekuasaan (al-mulk)
  3. Kekuasaan tidak akan mendapat keutuhannya kecuali dengan manusia (al-rijāl)
  4. Manusia tidak boleh bertahan kecuali dengan harta (al-māl)
  5. Harta tidak boleh terhasil kecuali dengan pembangunan (al-imārah)
  6. Pembangunan tidak boleh terjadi kecuali dengan keadilan (al-‘adl)
  7. Keadilan adalah apa yang menjadi asas penilaian Allah ke atas manusia, dan
  8. Kekuasaan dipertanggungjawabkan dengan usaha menegakkan keadilan (al-‘adl) (Khaldun et al. 1978).

7.         KESIMPULAN

Berdasarkan kepada formula yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun, beliau merumuskan bahawa kejatuhan Daulah ‘Abbāsiyyah sudah dapat dikesan semenjak awal abad ke-9. Pada masa itu, para pemimpin yang mempunyai kekuatan militan di wilayah-wilayah yang pelbagai telah menjadikan mereka bebas merdeka dan membentuk pemerintahan sendiri. Ketika itu, kekuatan ketenteraan Daulah ‘Abbāsiyyah itu sendiri merosot. Bagi menampung kekurangan itu, pemerintah ‘Abbāsiyyah telah mendapatkan bantuan ketenteraan Turki dan ini membawa kepada masalah besar pada masa-masa mendatang. Tambahan pula sentimen anti Arab sudah wujud semenjak di awal pemerintahan Daulah ‘Abbāsiyyah lagi.

Gerakan inilah yang banyak memberikan inspirasi kepada gerakan-gerakan lain yang melancarkan penentangan, sama ada yang bersifat politik mahu pun agama. Ia seperti memperlihkan para khalifah tidak sedar akan bahaya politik daripada fanatisme perkauman dan keagamaan itu tadi. Dan jika mereka sedar sekali pun akan wujudkan fanatisme itu di dalam kesusasteraan dan karya-karya ilmiah, pemerintah ‘Abbāsiyyah tidak bersungguh-sungguh menghapuskannya, malah ada yang terjebak sama. Disentralisasi yang merobohkan kesatuan  mula berlaku setelah pemerintahan era pertama mencapai zaman keemasannya. Ia disusuli dengan pemerintahan dinasti yang merosot terutamanya di bidang politik. Salah satu sebabnya adalah kecenderungan pemerintah untuk hidup mewah serta kelemahan daya kepemimpinan di kalangan khalifah itu sendiri.

Faktor-faktor kemunduran yang berhimpun secara akumulatif itu, benih-benihnya sudah terlihat semenjak era pertama, namun terselamat daripada bercambah menjadi masalah kerana kekuatan yang ada pada khalifah yang memerintah di era ini. Semuanya itu membawa kepada persaingan antara kaum, sesama kaum, dalam perebuatan takhta, yang membawa kepada kemerosotan ekonomi. Ia disusuli pula oleh kemunculan kerajaan-kerajaan asing yang menyaingi kekuasaan ‘Abbāsiyyah dan diburukkan dengan Perang Salib. Kemerosotan, kelemahan dan kemunduran yang terjadi, menerima pukulan maut apabila Baghdad diserang oleh Mongol di bawah kepimpinan Hulagu pada tahun 1258 (Akbarabadi 1947).

Semoga pembentangan ini boleh mencetuskan iktibar kepada proses membangunkan masyarakat semasa pada hari ini, agar pengukuhan sumber manusia, penekanan aspek kesamarataan, keadilan dan seterusnya kerjasama dapat disemai dan disuburkan ke arah sebuah negara yang makmur dan sejahtera.

8.         RUJUKAN     

  • Ahsan, A. S.   1966.   Fall of the Abbasid Caliphate.  A History of Muslim Philosophy
  • Akbarabadi, S.   1947.    Islamic History: The Rise and Fall of Muslims. Adam Publishers.
  • Bosworth, C. E.   1987.    The History of Al-Tabari: The Reunification of The’abbasid Caliphate: The Caliphate of Al-Ma’mun, Ad 813-833/Ah 198-218. SUNY Press.
  • Chapra, M. U.   2007.    Muslim Civilisation: The Causes of Decline and Need for Reform. Islamic Foundation.
  • Elsohemy, D.   2004.   The Characteristics of the Abbasid Empire.
  • Hodgson, M. G. 1974. The Venture of Islam, 3 Vols, Chicago: University of Chicago Press.
  • Hourani, A.   2013.    A History of the Arab Peoples: Updated Edition. Faber & Faber.
  • ʻala Maudoodi, S. A.   1976.    Nations Rise and Fall–Why?   : Islamic Publications.
  • Khaldun, I., Rosenthal, F. & Dawood, N.   1978.    The Muqaddimah. Cambridge Univ Press.
  • Myrdal, G.   1968.   Corruption: Its Causes and Effects.  Asian drama: An enquiry into the poverty of nations  2(937-951.
  • Sarton, G.   1931.   Introduction to the History of Science. Vol. Ii, P. I: From Rabbi Ben Ezra to Roger Bacon.
  • Spuler, B.   1988.   History of the Mongols Based on Eastern and Western Accounts of the Thirteenth and Fourteenth Centuries, Trs.  H. and S. Drummond (London, 1972)
  • Toynbee, A. J.   1947.    A Study of History. Oxford University Press.

 

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

itep-lecturers

Menghormati Ilmu Pendidikan Sebagai Batu Asas Sekolah

Program Islamic Teacher Education Program (ITEP) anjuran Razi Group, biar pun hanya peringkat sijil, ia …

3 comments

  1. “Al-Ma’mun yang telah memindahkan pusat pemerintahan daripada Baghdad ke Khurasan, dipengaruhi oleh penasihatnya Ali al-Rida, seorang Alawi. Al-Rida telah berjaya meyakinkan al-Ma’mun tentang kucar kacir yang dicetuskan oleh Fadhl ibn Sahl di Baghdad hingga membawa kepada tindakan al-Ma’mun membunuhnya. Suasana yang tidak tenteram ini menyaksikan kematian Al-Rida dan ia telah mengalihkan pengaruh Parsi kepada Turki dengan naiknya takhta adik kepada al-Ma’mun iaitu Abu Ishaq Muhammad al-Mu’tasim (833-842M). ”

    Mohon pencerahan ustaz tentang ayat diatas. Adakah Al-makmun membunuh Fadhl ibn Sahl? dan bagaimana ia boleh menyebabkan kematian Al-Rida?

    Atau maksud ustaz selepas al-makmun membunuh Fadhl ibn Sahl, keadaan menjadi kucar-kacir. Dan kebetulan berlaku kematian al-Rida yang menyebabkan keadaan kucar-kacir itu menjadi semakin buruk sehingga berlaku perubahan hegemoni?

  2. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Info yang menarik…..Sejarah membentuk masa depan yang lebih baik jika teladan dari sejarah tersebut dipelajari.

  3. Khusus bagi golongan muda adalah sangat2 penting untuk meneliti rentetan sejarah seperti ini guna untuk mengembalikan kefahaman dan semangat untuk kembali memperjuangan kebenaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *