Memanfaatkan Karya Orientalis ‘Pro-Islam’ Untuk Dakwah Semasa

eastwest

ABSTRAK

Orientalisme sebagai sebuah bidang, difahami secara umumnya oleh umat Islam secara monolitik bahawa ia bertentangan dengan Islam. Pemahaman sebegini berlaku kesan berleluasanya Orientalisme sebagai alat penjajahan dan seterusnya propaganda yang menyebarkan Islamophobia. Persoalannya benarkah Orientalis dan Orientalisme sentiasa berpegang kepada satu motif dan satu pendekatan sedemikian rupa? Apakah tidak ada pengkaji dan kajian di bidang ini yang objektif, serta boleh dimanfaatkan oleh umat Islam khususnya di dalam penyebaran dakwah di era globalisasi ini? Justeru, artikel ini akan mengkaji perkembangan yang berlaku kepada Orientalis dan Orientalisme dalam interaksinya bersama Muslim dan Islam. Kajian ini juga akan menganalisis beberapa orang tokoh Orientalis yang kajian-kajiannya objektif dan boleh dilihat sebagai ‘pro Islam’. Kajian kualitatif ini menggunakan reka bentuk kajian kes menggunakan instrumen berupa karya-karya Orientalis berkenaan dan dokumen sekunder yang memaparkan reaksi pelbagai pihak terhadap karya tersebut. Hasil kajian ini mendapati Orientalis dan Orientalisme mempunyai motif dan pendekatan yang pelbagai dalam kajian mereka, yang mana kajian-kajian yang objektif memberi manfaat yang pelbagai terhadap perkembangan dakwah global semasa. Kajian ini boleh membantu masyarakat membaca pendapat-pendapat Orientalis secara adil, dan seterusnya memanfaatkan ia dalam penyampaian dakwah kepada masyarakat yang majmuk di era moden ini.

PENGENALAN

Orientalisme atau di dalam bahasa Arabnya disebut sebagai al-Istishraq merupakan istilah yang berkait rapat dengan sejarah kemunculannya. Di dalam bahasa Inggeris, Orientalisme berasal daripada perkataan Orient yang bermaksud Timur, iaitu arah terbitnya matahari. Demikian juga istilah al-Istishraq, terbit daripada kata akar Sharq yang memberi maksud Timur, tempat terbitnya matahari (Ahmad 2003). Manakala isme pula, apabila dinisbahkan kepada kata nama, ia merujuk kepada sistem berkaitan sesuatu idea. Maka Orientalisme itu secara bahasa, boleh difahami sebagai idea mengenai Timur.

Apabila ia ditujukan kepada sebuah lokasi yang tetap, maka timbul persoalan, Timur kepada apakah yang dimaksudkan dengan Orientalisme atau al-Istishraq itu tadi? Timur kepada Amerika Syarikat adalah Eropah. Timur kepada Dunia Arab adalah Kepulauan Melayu. Timur kepada Jepun pula adalah Amerika Syarikat. Perubahan-perubahan ini menunjukkan kepada kita, apabila istilah Orientalisme itu berdiri sebagai suatu istilah yang tetap, maka titik berdirinya istilah itu mestilah ditetapkan. Oleh kerana istilah Orientalisme atau al-Istishraq itu tadi merujuk kepada negara-negara di sebelah timur Laut Mediterranean, maka ketimuran Orientalisme itu bererti, istilah itu berpaksikan kepada Eropah, tempat lahirnya bidang ini. Pemikir-pemikir Barat membahagikan alam ini kepada Timur dan Barat, maka lafaz Timur atau Orient itu tadi sering merujuk kepada wilayah Arab, bangsa-bangsa Asia dan Afrika (Ahmad 2003).

orientalism-said

Edward Said menggunakan istilah Orientalisme ini di dalam karyanya Orientalisme (1978) untuk menjelaskan tentang kerangka persembahan yang sistematik oleh Eropah sebagai sebuah kuasa politik terhadap negara-negara di sebelah Timur. Orientalisme, merupakan sebuah istilah yang mendukung konsep Euro Centric, yakni Kepaksian Eropah.

KEPAKSIAN EROPAH DALAM ORIENTALISME

Edward Said telah mengkhususnya perbahasan mengenai perkembangan yang berlaku kepada pentakrifkan Orientalisme. Beliau telah membahagikannya kepada tiga, iaitu akademik, umum dan korporat (Edward 1978). Orientalisme dari perspektif korporat itu merupakan mendefinisikan untuk Eropah, bagaimana mereka menafsirkan Timur, bagaimana ia sepatutnya diinstitusikan dan seterusnya diserapkan melalui pendidikan. Pemahaman sebeginilah yang menjadi asas kepada Orientalisme sebagai gagasan Barat mendominasi, merangka dan seterusnya mengenengahkan otoritinya ke atas Timur. Hal ini ternyata benar melalui sejarah, apabila Orientalisme berperanan menyediakan maklumat yang diperlukan oleh Britain untuk menguasai India dan wilayah-wilayah jajahan takluknya yang lain.

Disebabkan itu, Orientalisme telah memikul konotasi yang negatif terutamanya selepas peluasan kuasa Imperialisme Barat seperti Inggeris dan Perancis ke Afrika dan Asia. Gerakan anti kolonial Barat pasca Perang Dunia ke-2 telah mendedahkan hubungan Orientalis dengan aktiviti penjajahan ini, seperti yang diterangkan oleh Anouar Abdel-Malek di dalam karyanya Orientalism in Crisis (Abdel-Malek 1963).  Beliau menegaskan, hal ini telah dijadikan asas untuk membenarkan kuasa Barat mengakses malah mengambil legasi Timur meliputi buku-buku, manuskrip dan artifak. Bahan-bahan itu dipindahkan dari Timur ke muzium-muzium di Barat. Apatah lagi, Barat melihat Timur sebagai penghalang kepada perkembangan tamadun manusia.

wmb

Hakikatnya, sikap sebegini adalah lanjutan daripada konsep White Man’s Burden yang mendominasi Eropah pada kurun ke-19. Teori Social Darwinism yang dipelopori oleh Herbert Spencer (1820–1903) menanam kepercayaan di kalangan orang Eropah bahawa secara semulajadinya mereka adalah spesis manusia yang lebih baik berbanding dengan kaum bukan Eropah, terutamanya masyarakat Timur. Maka menjadi tanggungjawab bagi Eropah untuk menjajah Timur untuk memperkenalkan kemajuan kepada mereka, bukanlah untuk manfaat Timur itu sendiri, tetapi untuk membuang Timur yang dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan Eropah (Stockwell 1982).

Edward Said menyatakan bahawa Orientalisme yang berfungsi sebagai pendukung kepada penjajahan berlaku apabila Napoleon Bonaparte menduduki Mesir pada 1798 (Edward 1978). Akan tetapi, usaha mengkaji, menafsir dan mempersembahkan Timur oleh Barat sudah pun berlaku jauh lebih awal daripada itu. Yuhanna al-Dimashqi (676-749M) telah mengkaji Islam dan menghasilkan buku-buku yang bertuju untuk memberi panduan interaksi komuniti Kristian dengan kaum Muslimin. Keberadaannya di dalam istanah pemerintah Bani Umayyah, menyebabkan kajian Yuhanna al-Dimashqi tidak dipandang sebagai satu bidang yang berada di luar dunia Islam untuk diertikan sebagai permulaan Orientalisme.

Oleh itu, R.W. Southern daripada Universiti Harvard, telah membahagikan sikap masyarakat Eropah terhadap Islam kepada tiga peringkat iaitu (Southern & Southern 1962):

  1. Era kejahilan (The age of ignorance) : sehingga pertengahan kurun ke-12M
  2. Era rasional dan membina harapan (The century of reason and hope): sehingga ke akhir kurun ke-13M
  3. Detik merealisasikan visi (The moment of vision) : sehingga ke pertengahan kurun ke-15M

Di era kejahilan yang memanjang hingga ke pertengahan kurun ke-12M, masyarakat Eropah tidak mempunyai pengetahuan tentang Islam. Ia menjadi subjek yang paling asing bagi dunia Kristian, ditambah pula dengan sistem fikir dan budaya yang caca merba, sangat menyulitkan masyarakat Eropah untuk memahami Islam.  Kebencian terhadap Islam, menganggapnya sebagai ancaman kepada Kristian, menyebabkan peluang mengakses langsung ke sumber-sumber Islam, tidak dapat mencegah Barat daripada kesalahan membuat kesimpulan tentang Islam (Blanks & Frassetto 1999). Maklumat-maklumat yang dikaji mematuhi tuntutan pensejarahan apabila para Orientalis ini merujuk kepada sumber primer. Mereka juga berjasa besar pada menyalin manuskrip-manuskrip warisan kaum Muslimin kepada versi bercetak untuk dimanfaatkan. Akan tetapi kelebihan ini tidak membantu para Orientalis ini daripada menafsirkan maklumat-maklumat yang diperolehi secara yang benar, kerana dipengaruhi oleh sentimen anti Islam kerana Kristian, atau anti Islam kerana motif penjajahan.

Hubungan bilateral antara Orientalisme dan Imperialisme mengakibatkan Orientalisme sinonim sebagai ancaman intelektual terhadap umat Islam. Penulisan-penulisan berkenaan Orientalisme oleh sarjana-sarjana Islam tertumpu kepada mengenengahkan sisi negatif ini.

Mustafa al-Siba’i di dalam kitabnya Al-Istishraq wa al-Mustashriqun: Ma Lahum wa Ma ‘Alayhim, membahagikan motif Orientalis kepada tiga iaitu motif akademik, motif agama dan politik, serta motif kajian ilmiah. Beliau menyatakan bahawa kelompok yang ketiga ini sahaja yang dianggap masih boleh diterima oleh umat Islam, tetapi masih dibelenggu oleh banyak kesilapan yang berpunca daripada kejahilan mereka terhadap laras bahasa Arab dan Islam itu sendiri. Sisi positif terpencil mengenai Orientalisme yang ditonjolkan oleh penulis, tidak dapat mengimbangi hampir keseluruhan buku yang menekankan kepada agenda negatif golongan Orientalis ini (Al-Siba’i 1999).

mj

Demikian juga Maryam Jameelah di dalam karyanya Islam and Orientalism. Beliau telah melontarkan sebuah persoalan penting:

Is Orientalism then totally evil? The answer is a qualified no. A few outstanding Western scholars have devoted their lives to Islamic studies because of sincere interest in them. Were it not for their industry, much valuable knowledge found in ancient Islamic manuscripts would have been lost or lying forgotten in obscurity. English orientalists like the late Reynold Nicholson and the late Arthur Arberry accomplished notable work in the field of translating classics of Islamic literature and making them available to the general reader for the first time in a European language…” (Jameelah 2007)

Terjemahannya:

“Adakah Orientalisme itu secara keseluruhannya keji? Jawapannya adalah tidak, secara pembuktian. Terdapat sejumlah sarjana Barat telah mendedikasikan kehidupan mereka kepada pengajian Islam kerana minat yang tulis kepadanya. Jika tidak kerana hasil usaha mereka ini, banyak ilmu bernilai tinggi yang ditemui di dalam manuskrip-manuskrip lama Islam akan hilang atau terbiar dilupakan tanpa perhatian. Para orientalis Inggeris seperti Mendiang Reynold Nicholson dan Mendiang Arthur Arberry telah menghasilkan karya-karya yang luar biasa di dalam bidang penterjemahan literatur klasik Islam, dan menjadikan ia tersedia untuk kegunaan pembaca awam buat pertama kalinya di dalam bahasa Eropah”

Walaupun Maryam Jameelah menyatakan dengan jelas di dalam pengenalan buku beliau tentang wujudnya sumbangan yang signifikan oleh orientalis sebegini, terutamanya di dalam bidang penterjemahan karya-karya yang menjadi sumber primer pengajian Islam, Maryam Jameelah tertumpu di dalam buku berkenaan pada mengenengahkan contoh-contoh orientalis yang negatif terhadap Islam.

PERSPEKTIF DAKWAH

Pemahaman sebegini, menyulitkan sumbangan-sumbangan orientalis yang objektif dalam kajian mereka diketengahkan untuk manfaat, terutamanya di lapangan dakwah. Tambahan pula, masyarakat non Muslim di negara Barat, berhadapan dengan kesulitan untuk memahami Islam, berpunca daripada kerangka pemikiran yang berbeza. Alija Izetbegovic, bekas Presiden Bosnia Herzegovina menyatakan bahawa, permusuhan masyarakat Eropah terhadap Islam dan Muslim pada masa kita tidak semestinya didorong oleh sentimen keagamaan. Sebaliknya ia berpunca daripada berbezanya bentuk pemahaman di antara kita dan mereka (Izetbegović 1984).

Sebagai contoh, apabila membicarakan tentang konsep wudu’, umumnya masyarakat Eropah melihat ia sebagai satu proses membersihkan diri secara fizikal. Ia berkait dengan soal kebersihan, iaitu kondisi fizikal seseorang. Sedangkan wudu’ disyariatkan untuk mencapai maksud membersihkan diri secara spiritual. Ia berkaitan dengan kesucian, iaitu kondisi spiritual seorang manusia. Untuk menerangkan tentang konsep suci berbanding bersih, masyarakat di dalam budaya Barat sukar untuk memahaminya. Oleh itu, penjelasan mengenai konsep wudu’ kepada mereka, tidak boleh dilakukan sama seperti wudu’ itu diterangkan kepada seorang Muslim. Dalam hal-hal yang seperti inilah, seseorang yang dapat menjelaskan Islam dengan bentuk penjelasan yang difahami oleh masyarakat Barat, menjadi keutamaan.

Hal ini bukan hanya membabitkan perkara-perkara yang asas seperti wudu’, malah konflik-konflik antarabangsa seperti isu Palestin, memerlukan penjelasan dalam bentuk yang difahami oleh masyarakat yang berbeza-beza. Media di Amerika Syarikat melaporkan isu Palestin, berbeza daripada media Eropah. BBC UK dan BBC USA menggunakan pendekatan yang berbeza dalam memilih istilah-istilah di dalam pemberitaan. Hal ini dihuraikan dengan panjang lebar oleh Edward Said di dalam Covering Islam: How the Media and the Experts Determine How We See the Rest of the World. Golongan yang disebut sebagai the Experts itu merujuk kepada orientalis (Said 1997).

Dalam erti kata yang lain, tanggungjawab menyampaikan dakwah kepada golongan bukan Islam, di negara Barat, memerlukan kepada seorang pendakwah itu mengetahui tentang cara mereka berfikir. Banyak salah faham yang terjadi terhadap Islam, yang membentuk Islamophobia, berpunca daripada pemahaman yang salah oleh masyarakat Barat terhadap Islam, dan ia berpunca daripada kesilapan pendakwah Muslim itu sendiri dalam memberikan penerangan.

dhsksnm

Pengalaman dakwah peribadi yang penulis rekodkan di dalam buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu menceritakan bagaimana penerangan kepada pelawat masjid daripada kalangan komuniti Kristian Irish tentang konsep Imam mengimamkan solat secara berjemaah, telah disimpulkan oleh pelawat itu bahawa penulis merupakan ‘Muslim Protestant’ (Abdul Jamil 2012). Konotasi ini memperlihatkan bahawa masyarakat Barat secara spontan cuba memahami penerangan kita dalam kerangka pemikiran mereka. Kerumitan inilah yang mendasari kecelaruan pemahaman yang berlaku di kalangan masyarakat Barat tentang isu-isu sensitif apabila perkahwinan Rasulullah SAW dengan ‘Aishah RA yang berusia muda, ditafsirkan sebagai satu bentuk Pedofilia kerana fakta yang benar, telah ditafsirkan dengan penafsiran yang menyalahi konteks.

Cabaran-cabaran sebeginilah yang membuka ruang untuk penerangan tentang Islam oleh orientalis pro Islam, dimanfaatkan oleh umat Islam untuk tujuan dakwah.

ORIENTALIS PRO ISLAM

Orientalisme tidak berdiri sebagai satu bidang yang bersifat monolitik, boleh dibuktikan melalui kaji selidik yang dibuat terhadap penulisan-penulisan seawal karya David Urquhart (1805–1877), Wilfrid Scawen Blunt (1840–1922) dan Marmaduke William Pickthall (1875–1936) yang juga kemudiannya memeluk Islam (Nash 2005).

David Urguhart telah dihantar oleh kerajaan Britain ke Daulah Uthmaniah untuk menyelesaikan masalah persempadanan bersama Greece. Beliau ditugaskan untuk membina hubungan yang baik bersama Koca Mustafa Reşid Pasha, penasihat kepada Sultan Mahmud II. Tempoh beradanya beliau di Istanbul telah menyebabkan Urguhart tertarik dengan ketamadunan Daulah Uthmaniah, malah bimbang dengan ancaman Rusia terhadap empayar Islam ini. Karya-karyanya seperti Turkey and its Resources berperanan mempromosikan Daulah Uthmaniah di era Imperialisme Britain mencapai kemuncaknya. Pemikiran Urguhart menjadi asas kepada idea kurun ke-19 yang mengusulkan amalan dan tradisi Muslim mestilah menjadi dasar kepada reformasi masyarakat di sebelah Timur. Idea-idea daripada pemikiran Urguhart ini ketika itu merupakan sesuatu yang diketahui umum oleh sejarawan Eropah, namun popularitinya merosot dan jarang diperkatakan hari ini.

Orientalis seperti Urguhart terus berperanan dari semasa ke semasa. Ia boleh membantu membuka perspektif alternatif kepada dominasi dikotomi Edward Said terhadap Orientalisme. Literatur yang dihasilkan oleh orientalis seperti ini, boleh ditingkatkan peranannya bagi membantu Muslim mendepani cabaran pasca modenisme yang memperlihatkan serangan kepada dasar-dasar pemikiran semakin meruncing. Suara sarjana Barat yang pro Islam boleh dimanfaatkan untuk mencabar chauvinisme golongan yang memencilkan pemahaman Islam yang sebenar untuk melancarkan agenda mereka menguasai Timur (Nash 2005).

IMPLIKASI KEJADIAN 11 SEPTEMBER 2001

20010911

Kejadian pengeboman World Trade Centre di New York pada 11 September 2001 telah memberi impak yang besar kepada hubungan di antara dunia Barat dengan Islam. Amerika Syarikat telah memperkenalkan The Homeland Security Act (HSA) of 2002  sebagai lanjutan kepada pelbagai polisi berkaitan keselamatan dalam  dan luar negaranya. Perkembangan ini menjadikan Muslim sama ada di negara-negara Arab, mahu pun rakyat Amerika Syarikat sendiri yang beragama Islam, sebagai sasaran (Byers 2002). Perkembangan seperti ini menjadikan usaha untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat Barat semakin mencabar. Rasa curiga, prejudis yang sistematik pada menghasilkan The Otherness semakin menebal.

Tambahan pula, dengan perkembangan sains dan teknologi maklumat, masyarakat menjadikan internet sebagai sumber maklumat tambahan kepada propaganda yang sudah sedia dimainkan oleh media massa utama. Ia bukan hanya berlaku di Amerika Syarikat (Dreyfuss 2005), malah menjadi fenomena global. Oleh yang demikian, prejudis yang menebal di kalangan masyarakat Barat memerlukan pendapat orang tengah untuk membina jambatan di antara mereka dan selain mereka (The Otherness). Di sinilah peranan orientalis pro Islam boleh dimanfaatkan khususnya bagi tujuan dakwah.

KAREN ARMSTRONG

karenarmstrong

Salah seorang orientalis kontemporari yang banyak mengkaji dan menghasilkan penulisan-penulisan yang pro Islam adalah Karen Armstrong. Beliau dilahirkan 14 November 1944 di Wildmoor, Worcestershire, England. Semasa di usia remaja, beliau telah menyertai Sisters of the Holy Child Jesus sebagai seorang rahib yang mendedikasikan dirinya kepada ajaran Roman Catholic di situ. Karen Armstrong mengalami pelbagai konflik emosi dan spiritual sepanjang keberadaan beliau di dalam orde tersebut, sebagaimana yang diceritakan di dalam karyanya The Spiral Staircase (Armstrong 2005). Beliau akhirnya nekad meninggalkan kehidupan sebagai rahib dan meneruskan perjalanan spiritualnya secara bebas daripada kongkongan penafsiran terbatas satu-satu agama, sebaliknya banyak melakukan perbandingan untuk menemukan titik-titik yang diyakini boleh merangsang persefahaman sesama manusia yang mahukan kebaikan. Beliau telah merakamnya di dalam karya awal beliau yang memperkenalkannya kepada kesarjanaan Teologi iaitu A History of God yang terbit pada 1993.

Kehadiran Karen Armstrong banyak membantu memecahkan rasa prejudis terhadap Islam di kalangan masyarakat Barat. Karya beliau Muhammad: A Biography of the Prophet (1991) dihasilkan dalam suasana Barat didominasi oleh isu fatwa hukuman mati yang dikeluarkan Ayatollah Khomeini ke atas Salman Rushdi. Buku ini bukan sekadar menceritakan tentang biodata diri Rasulullah SAW, tetapi menyentuh secara mendalam tentang hubungan antara dunia Barat dan Islam serta konflik-konflik yang berlaku di antara keduanya. Armstrong mengusulkan bahawa banyak konflik ini tercetus daripada sikap dan pemikiran yang mempengaruhi pemahaman masyarakat Barat yang antitesis terhadap apa yang sebenarnya tentang Islam. Buku ini banyak membantu pembaca Barat mendekati Islam tanpa prejudis malah diterima sebagai sebab yang membawa kepada memeluk Islam oleh sesetengahnya, sebagaimana yang dinukilkan di dalam interaksi imam dan tetamu Irish di sebuah masjid di Belfast, Ireland Utara (Abdul Jamil 2012).

Gene Massey turut memberikan komentar yang memberangsangkan tentang karya Karen Armstrong ini. Katanya:

 “This is one of the best books I have ever read. As a Christian interested in understanding and appreciating other faiths, I am overwhelmed by the beauty and truth found in this book. Ms. Armstrong has a long list of credentials in writing books like this, and her book on Mohammed opened my eyes to the beauty of Islam and how its basic principles of charity to others and real love of God is so similar to other faiths. If more people read this book on Mohammed, they will know more about how Islam was born and why it spread throughout the world. I was especially impressed with Mohammed’s early life and how he became a messenger of God. Anyone reading this book would no longer want to slander Mohammed or believe that muslims in general are anything other than beautiful people.” (Massey 2012)

Peristiwa 9/11 di New York telah berhasil menyuburkan kembali rasa prejudis masyarakat Barat terhadap Islam dan Muslim. Melihat ini sebagai suatu fenomena yang membimbangkan, Karen Armstrong telah menyemak kembali karyanya Muhammad: A Biography of the Prophet dengan sebuah penerbitan baru pada tahun 2006 dengan judul Muhammad: A Prophet of Our Time. Buku ini terbit dalam suasana momokan yang ekstrim oleh tokoh-tokoh Barat tentang Rasulullah SAW. Karen Armstrong memaparkan Muhammad itu sebagai seorang tokoh reformis yang melakukan transformasi menyeluruh terhadap kehidupan manusia, menjauhi keterikatan steoreotaip ketika itu yang sering membayangkan identiti Rasulullah SAW sebagai seorang pengganas, gila, malah pedofilia seperti yang diucapkan oleh  Reverend Jerry Vines, bekas Presiden Southern Baptist Convention (Goodstein 2006).

Secara keseluruhannya, karya Karen Armstrong setakat ini adalah seperti berikut:

  1. Through the Narrow Gate (1982)
  2. The First Christian: Saint Paul’s Impact on Christianity (1983)
  3. Beginning the World (1983)
  4. Tongues of Fire: An Anthology of Religious and Poetic Experience (1985)
  5. The Gospel According to Woman: Christianity’s Creation of the Sex War in the West (1986)
  6. Holy War: The Crusades and their Impact on Today’s World (1988)
  7. Muhammad: A Biography of the Prophet (1991)
  8. The English Mystics of the Fourteenth Century (1991)
  9. The End of Silence: Women and the Priesthood (1993)
  10. A History of God (1993)
  11. Jerusalem: One City, Three Faiths (1996)
  12. In the Beginning: A New Interpretation of Genesis (1996)
  13. Islam: A Short History (2000)
  14. The Battle for God: Fundamentalism in Judaism, Christianity and Islam (2000)
  15. Buddha (2001)
  16. Faith After September 11 (2002)
  17. The Spiral Staircase (2004)
  18. A Short History of Myth (2005)
  19. Muhammad: A Prophet For Our Time (2006)
  20. The Great Transformation: The Beginning of Our Religious Traditions (2006)
  21. The Bible: A Biography (2007)
  22. The Case for God (2009)
  23. Twelve Steps to a Compassionate Life (2010)
  24. A Letter to Pakistan

Ulil Abshar-Abdalla, seorang cendekiawan Muslim dan pengurus DPP Partai Demokrat di Indonesia berpendapat bahawa dakwah yang sedang dilancarkan Armstrong ini menepati waktu, dan menepati sasaran (Abshar-Abdalla 2013).

JOHN L ESPOSITO

johnesposito

Seorang lagi tokoh orientalis kontemporari yang pro islam adalah John l Esposito. Beliau dilahirkan pada 14 Mei 1940 di Brooklyn, New York City, Amerika Syarikat. Kini beliau merupakan Professor of International Affairs and Islamic Studies di Georgetown University. John L Esposito dianggap sebagai salah seorang sarjana yang paling berotoriti dalam memberikan pendapat berkaitan dengan Islam terutamanya di dalam hal-hal polisi dan dasar. Tokoh akademik yang prolifik ini merupakan Pengarah kepada Prince Alwaleed Bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding di Georgetown University.

Dalam karya-karya beliau, John L Esposito banyak menekankan tentang pentingnya bagi masyarakat dunia khusus di Amerika Syarikat dan Eropah untuk tidak membuat tanggapan tentang Islam yang membelakangkan kesarjanaan. Beliau senada dengan Karen Armstrong pada mengemukakan Islam sebagai sebuah gagasan yang membentuk satu populasi besar dunia dengan asas-asas ketamadunannya, sejarah, ilmu pengetahuan yang mesti dinilai secara adil dan saksama.

Salah sebuah karya Esposito yang memberikan impak besar pada masa ini adalah Who Speaks for Islam yang diterbitkan pada tahun 2008. Buku ini merupakan analisis beliau kepada sebuah kaji selidik mega yang dijalankan oleh Gallup Strategic Consulting pada mengumpul pendapat tentang pandangan umat Islam semasa tentang isu hubungan di antara dunia Barat dengan Islam. Beliau menekankan di dalam buku ini, perbuatan membelakangkan pendapat umat Islam dalam isu-isu sejagat adalah sesuatu yang tidak wajar.

Berkaitan dengan penerimaan masyarakat akademik dan awam terhadap mesej-mesej yang dibawa oleh Esposito, Dinesh D’Souza menyebut:

“We live in an era in which a great many wonder what Muslims think — why they hate us? Why some Muslims resort to terrorism? Why democracy has gained little purchase in parts of the Islamic world? There has been no shortage of people willing to offer their answers to these questions, but painfully few have actually taken the time to try to glean answers from Muslims themselves. For this reason, John Esposito and Dalia Mogahed have performed an invaluable service in Who Speaks for Islam? Relying on the unparalleled work of the Gallup organization to ascertain the views of Muslims across the world, Esposito and Mogahed have analyzed public opinion in the Islamic world on all of the most important issues of the day. Their trenchant analysis provides an excellent foundation for bridging the gaps between the West and the Ummah. In so doing, their work shines much-needed light on a topic that has had little but heat for too long.”

Terjemahannya:

“Kita pada hari ini hidup di dalam satu zaman di mana sejumlah besar manusia tertanya-tanya apakah sebenarnya yang difikirkan oleh umat Islam tentang kita (masyarakat Barat) — mengapa mereka membenci kita? Mengapa sebahagian Muslim menjadi pengganas? Mengapa demokrasi kelihatannya seperti mendapat sambutan yang dingin di banyak negara mereka? Terlalu sedikit mereka yang berusaha untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan-persoalan ini, namun terhadap segelintir dalam serba kepayahan mengusahakannya, mendapatkan jawapan daripada umat Islam itu sendiri. Bagi tujuan inilah John Esposito dan Dalia Mogahed telah menyumbang hasil selidik yang tidak ternilai di dalam karya Who Speaks for Islam. Berdasarkan kepada kaji selidik mega yang dianjurkan oleh Gallop, pendapat-pendapat daripada umat Islam di seluruh dunia dikumpulkan berkaitan dengan sejumlah besar persoalan yang penting pada hari ini. Analisis kritis mereka telah berhasil membina jambatan penghubung untuk mengisi ruang kosong yang menjarakkan masyarakat Barat dengan umat Islam. Usaha ini telah memberikan sinar kepada topik yang terabai ini, namun telah menghasilkan bahang sejak sekian lama.”

Sehingga kini, antara karya John Esposito yang boleh memberikan banyak manfaat kepada usaha dakwah dan integrasi antara dunia Barat dan Islam adalah seperti berikut:

  1. The Oxford Encyclopedia of the Islamic World, sebagai editor (2009, 5 volume set) ISBN 978-0-19-530513-5
  2. Who Speaks for Islam? What a Billion Muslims Really Think, coauthored with Dalia Mogahed (2008) ISBN 978-1-59562-017-0
  3. The Oxford History of Islam, sebagai editor (2004) ISBN 0-19-510799-3
  4. The Islamic World: Past and Present, sebagai editor (2004, 3 volume set) ISBN 0-19-516520-9
  5. The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, sebagai editor (1995, 4 volume set) ISBN 0-19-506613-8
  6. The Oxford Dictionary of Islam, sebagai editor (1994) ISBN 0-19-512559-2
  7. What Everyone Needs to Know About Islam (1st edition: 2002. 2nd edition: 2011) ISBN 978-0-19-979413-3
  8. The Future of Islam (2010) ISBN 0-19-516521-7
  9. Islam: The Straight Path (1st edition: 1988, 3rd edition: 2004) ISBN 0-19-518266-9
  10. Unholy War: Terror in the Name of Islam (2002) ISBN 0-19-515435-5
  11. Women in Muslim Family Law, coauthored with Natana J. Delong-Bas (2nd edition: 2002) ISBN 0-8156-2908-7
  12. Makers of Contemporary Islam, coauthored John Voll (2001) ISBN 0-19-514128-8
  13. The Islamic Threat: Myth or Reality? (3rd edition: 1999) ISBN 0-19-513076-6
  14. Islamophobia: The Challenge of Pluralism in the 21st Century as coeditor with Ibrahim Kalin (2011) ISBN 978-0-19-975364-2
  15. Islam in Asia: Religion, Politics, & Society, as editor (2006) ISBN 0-19-504082-1
  16. Turkish Islam and the Secular State: The Gulen Movement, as coeditor with M. Hakan Yavuz (2003) ISBN 0-8156-3040-9
  17. Modernizing Islam: Religion in the Public Sphere in the Middle East and Europe, as coeditor with Francois Burgat (2003) ISBN 0-8135-3198-5
  18. Iran at the Crossroads, as coeditor with R.K. Ramazani (2000) ISBN 0-312-23816-9
  19. Islam, Gender and Social Change, as coeditor with Yvonne Yazbeck Haddad (1997) ISBN 0-19-511357-8
  20. Islam and Politics, as editor (1st edition: 1984, 4th edition: 1998) ISBN 0-8156-2774-2
  21. Islam and Democracy, as coeditor with John Voll (1996) ISBN 0-19-510816-7

KESIMPULAN

Para Orientalis pro Islam ini telah membentangkan satu bentuk penerangan tentang Islam dalam format yang sekular. Istilah sekular yang dimaksudkan di sini, ialah pada memisahkan di antara kepercayaan dan ideologi peribadi mereka, dengan subjek yang dikaji. Ini membolehkan sebuah pembentangan yang neutral dihasilkan untuk rujukan dan dan manfaat sesiapa sahaja, tanpa mengira agama dan motif.

biruni-stamp

Hal ini merupakan lanjutan daripada apa yang pernah dilakukan oleh umat Islam sendiri pada suatu ketika dahulu. Misalnya Al-Rayhan Al-Bayruni Al-Khawarizmi yang meninggal dunia pada 1048. Semasa beliau bermusafir dan bermukim di India, kajiannya tentang kepercayaan, budaya dan adat resam orang Hindu di India disampaikan secara neutral tanpa banyak terkesan oleh pegangannya sebagai seorang Islam. Ini menjadikan karya beliau tersebar luas dan diterima sebagai rujukan kepada pensejarahan India oleh pelbagai pihak.

Sesungguhnya hasil karya para orientalis seperti ini wajar dimanfaatkan oleh pendakwah semasa, khususnya mereka yang mendepani komuniti urban. Ia boleh berfungsi dengan baik pada menangani permasalahan Islamophobia dan skeptis terhadap agama yang menular dalam masyarakat pasca modernisme hari ini. Apa yang perlu, adalah bagi pendakwah untuk memahami teknik-teknik para orientalis ini mengkaji dan membentangkan hasil kajian mereka. Pendakwah sendiri perlu mempunyai keupayaan untuk menyaring dan mengenal pasti perbezaan malah kesilapan yang wujud, sama ada berpunca daripada pandangan alam yang berbeza oleh mereka berbanding dengan Muslim, mahu pun disebabkan oleh keterbatasan akses kepada sumber primer yang masih boleh berlaku dalam kesarjanaan semasa hari ini.

RUJUKAN

  • Abdel-Malek, A.   1963.   Orientalism in Crisis.  Diogenes  11(44): 103-140.
  • Abdul Jamil, H.   2012.    Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu.   Kuala Lumpur: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
  • Abshar-Abdalla, U.   2013.   Karen Armstrong Dan Tantangan Agama-Agama.   http://satuharapan.com/content/read/karen-armstrong-dan-tantangan-agama-agama/ [18/06/2013].
  • Ahmad, M. B. a.-D. H.   2003.    Haqiqah Al-Istishraq Wa Mawqifuhu Min Al-Islam Munzu Dhuhurihi Ila Nihayah Al-Alfiyyah Al-Tsaniyyah.   Kuala Lumpur: International Islamic University Malaysia (IIUM).
  • Al-Siba’i, M.   1999.    Al-Istishraq Wa Al-Mustashriqun: Ma Lahum Wa Ma ‘Alayhim. Dar al-Warraq li al-Nashr wa al-Tawzi’.
  • Armstrong, K.   2005.    The Spiral Staircase. HarperPerennial.
  • Blanks, D. R. & Frassetto, M.   1999.    Western Views of Islam in Medieval and Early Modern Europe. St. Martin&s Press.
  • Byers, M.   2002.   Terrorism, the Use of Force and International Law after 11 September.  International Relations  16(2): 155-170.
  • Dreyfuss, R.   2005.    Devil’s Game: How the United States Helped Unleash Fundamentalist Islam. Metropolitan Books.
  • Edward, S.   1978.   Orientalism.  New York: Pantheon
  • Goodstein, L.   2006.   Book Review: Muhammad: A Prophet for Our Time – Culture – International Herald Tribune.   http://www.nytimes.com/2006/12/21/arts/21iht-bookfri.3975049.html?_r=2& [18/06/2013].
  • Izetbegović, A.   1984.    Islam between East and West. The Other Press.
  • Jameelah, M.   2007.    Islam and Orientalism. Adam Publishers.
  • Massey, G.   2012.   More Than a Biography – Helps in Understanding Islam.   http://www.amazon.com/Muhammad-Biography-Prophet-Karen-Armstrong/product-reviews/1842126083/ref=cm_cr_dp_synop?ie=UTF8&showViewpoints=0&sortBy=bySubmissionDateDescending – R2L80RBGZM2B5J
  • Nash, G. P.   2005.   Revisiting Pro-Muslim British Orientalists.  ISIM Review  16(47.
  • Said, E. W.   1997.    Covering Islam: How the Media and the Experts Determine How We See the Rest of the World. Random House.
  • Southern, R. W. & Southern, R. W.   1962.    Western Views of Islam in the Middle Ages. Harvard University Press Cambridge, MA.
  • Stockwell, A.   1982.   The White Man’s Burden and Brown Humanity: Colonialism and Ethnicity in British Malaya.  Southeast Asian Journal of Social Science  10(1): 44-68.

 HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

itep-lecturers

Menghormati Ilmu Pendidikan Sebagai Batu Asas Sekolah

Program Islamic Teacher Education Program (ITEP) anjuran Razi Group, biar pun hanya peringkat sijil, ia …

7 comments

  1. Khairatun Najwa

    Salam,

    JZKK ustaz, menarik kupasan tentang orientalisme dari sudut pandang yang positif. Saya sering memandang orientalisme dari sudut negatif sahaja selama ini mungkin keran kurang pembacaan.

    Sebagai seorang pelajar postgrad kejuruteraan yang selalu membaca jurnal dalam bentuk teknikal, sesekali membaca tulisan jurnal sosial memberi rasa berbeza ‘seronok’. Terus nak rasa nak ubah ‘feeling’ membaca jurnal bidang saya.

    Terima kasih ustaz. Sangat bermanfaat!

    • Wsalam WBT. Ahlan wa sahlan. Terima kasih kerana berkunjung. Dalam dunia ni, banyak benda yang kita boleh belajar daripada banyak perkara. Asalkan kita komited dengan surah al-Zumar ayat 18, kemahiran mendengar. Dengar dulu, buka ruang untuk memahami, kemudian ikut apa yang terbaik. Inshaallah kita banyak mendapat hikmah yang tercicir itu

  2. Apabila saya baca komen Dinesh D’Souza terhadap hasil kajian John Esposito dan Dalia Mogahed, tertarik dengan idea menjambatankan sistem Islam dan sistem ‘Barat’.

    Saya rasa, kenyataan-kenyataan skeptikal (termasuk juga daripada kelompok muslim) terhadap sistem syariah dan sebagainya yang bersangkut paut pada Islam adalah kerana mereka memandang pada bentuk satu-satu hukum syariah secara terasing, lalu menjadikan mereka membayangkannya sebagai sistem yang zalim berbanding sistem yang diamalkan di negara barat, sebagai contoh hukuman potong tangan terhadap pencuri berbanding hukuman penjara. Jika dilihat pada aspek hukuman sahaja memang rasa hukuman syariah sangat kejam dan seolah-olah mengenepikan nilai-nilai kemanusiaan. Akhirnya mereka skeptik terhadap keupayaan sistem Islam sebagai sesuatu yang adil bagi masyarakat, pada pandangan mereka ianya seperti antara A atau B sahaja (syariah: potong tangan-kejam dan ‘barat’:masuk penjara-pemulihan).

    • Polarised Thinking adalah satu bentuk mental distortion. Ia kuat mendominasi mereka yang gemar beretorik

    • Keupayaan menerangkan nilai-nilai kemanusiaan yang dipegang oleh kita semua dalam kerangka pemikiran ala-barat adalah jambatan yang akan jelaskan antara A dan B itu bukanlah antara A dan B. A itu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada satu sistem tersendiri, seperti mana B juga adalah sebahagian daripada sistem tersendiri. Dan disebalik kedua-dua sistem itu, nilai kemanusiaan menjadi tunjangnya.

  3. teruskan menulis saudaraku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *