Tetamu Dataran Syam: Antara Targhib dan Tarhib

sahabat seperjuangan

“Hmm… sunyi betul. Semua orang tidur balik!” pelajar yang baru sampai kehairanan.

Abang-abangnya (mungkin kakak-kakak pun sama), tidur selepas solat Subuh.

Sesuatu yang pantang benar dibuat di tanah air.

Sempit rezeki, hidup tidak berkat, teringat balik emak menghempas-hempas daun tingkap kalau anak-anak tidur menongkat matahari. Muka apa namanya,  nak jadi ‘bapak orang’, ‘mak orang’, kalau ayam di reban ke tanah lebih awal dari kamu!

Pelajar yang baru tiba, menggelengkan kepala. Berazam tidak mahu mencontohi amalan-amalan tidak senonoh senior mereka di bumi Anbiya’ ini. Bumi yang sepatutnya menjadi tempat mereka berjuang menuntut ilmu, mempersiapkan diri, pulang ke tanah air nanti, sebagai Ulama’ Pewaris Nabi!

Manakala sang senior pula, di dalam selimut berbisik-bisik sambil ketawa kecil.

“Tengoklah, berapa lama ‘smurf’ itu bertahan. Awal-awal ini semangatlah mengaji al-Quran selepas Subuh. Nanti, bila doktor-doktor jami’ah (pensyarah universiti) pun rupa-rupanya tidur sama, baru depa tahu. Silap-silap, kita pula yang kena gerak dia bangun pergi kelas!” kata senior kepada senior yang seorang lagi.

Mereka ketawa berdekah-dekah di dalam selimut tebal Made in Korea yang dibeli di Madinah, semasa umrah baru-baru ini.

Demikianlah perihalnya, perjuangan pelajar baru untuk menahan diri daripada terpengaruh dengan budaya-budaya negatif para senior mereka di Bumi Anbiya’.  Apabila masuk musim panas, solat subuh jam 3:15 pagi, akhirnya patah semangat pelajar untuk tidak tidur selepas solat. Seluruh alam sepi. Tiada roti. Tiada falafil, tiada apa di luar sana.

Semua tidur.

Arab dan ‘Ajam.

Jika Yahudi Zionist mahu menyerang negara Arab di kelilingnya, ahh… Yahudi pun tidur.

APA YANG LEBIH UTAMA

Tetapi sekurang-kurangnya, saya dan rakan-rakan tetap bersyukur kerana semasa kami pertama kali menjejakkan kaki ke Jordan pada September 1993, para senior kami yang juga tidur selepas Subuh, mereka memperkenalkan kepada kami  budaya-budaya yang penting sebagai penuntut ilmu.

foto079

Melangkah sahaja ke rumah mereka, kami terkasima dengan deretan kitab yang memenuhi dinding. Kitab itu bukan sekadar hiasan. Ada yang terpampang di atas meja, ada yang berlubang sana sini kerana juzu’-juzu’ tengahnya ada di hujung tilam. Tanda ia dibaca.

Tanyalah mana-mana kitab, para senior akan sudi dan bersungguh memperkenalkannya. Mereka mengajar kami untuk  menyemai cinta kepada buku, dan ilmu.

Sayang buku, suka buku, mabuk buku, beli buku, sembang buku, baca buku, bincang buku, kedai buku, tauke buku, buku, buku, buku dan buku, sebelum yang lain-lainnya.

Tsaqafah al-Da’iyah, karya Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, antara kitab yang antum mesti baca awal-awal ini” pesan Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin, antara senior kami.

“Jom, kita ke Dandees” ajakan Ustaz Erfino, senior yang seorang lagi.

Kedai buku paling utama di masa itu, sebelum ke kedai-kedai buku yang lain sekitar Amman, hatta ke al-Zarqa’.

Apabila wang elaun pengajian kami masuk ke akaun, adakalanya ada di antara kami yang menyewa lori pick up kerana buku yang dibeli di kedai-kedai buku perlu dibawa pulang dengan kenderaan berkenaan. Banyaknya buku dibeli!

Takraw, takraw juga.

Bola, bola juga.

Saya yang kaki bangku ini dalam pada mengaji, sempat menghasilkan berpuluh-puluh nasyid yang dirakam dalam tiga album, untuk menghiburkan ustaz-ustazah yang tidak kenal Ekamatra, Butterfingers dan Siti Norhaliza itu.

Masih manusia biasa. Bergelak ketawa, bergurau senda. Namun mengaji, tidak bolehlah dikompromi. Apa-apa aktiviti yang membatalkan tujuan asal datang ke bumi Anbiya’, mesti dihindari.

25_72

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. [Al-Furqan 25: 72]

Selain membaca buku, hadir ke kelas-kelas pengajian berbentuk talaqqi, diusahakan sedaya yang ada.

Semasa mengaji, yang kami tahu hanya mengaji.

Ada Tok Guru pakar Mazhab Syafie.

Ada Tok Guru pakar Syarah Ibn ‘Aqil dalam Nahu bahasa Arab.

Ada Tok Guru pakar Tafsir dan Hadith.

Ada juga Tok Guru pakar Asha’irah.

Pergi belaka. Tidak selalu, masih sekali sekala.

Kami tidak peka dengan aliran Tok Guru. Mungkin itu kelemahan kami. Tetapi Tok Guru yang setiap kali kami mengaji beliau akan menyembelih alim ulama lain, menimbulkan pandangan tidak sejahtera terhadap para Sahabat Nabi sallallahu alayhi wa sallam, kami tidak tunggu lama. Kami bangun, dan kami tinggalkan dia. Walaupun ilmunya masih banyak yang ingin didamba.

Aliran perkara kedua.

Akhlaq, hanya satu, tiada dua.

Kalau talaqqi meliarkan murid, itu bukan talaqqi.

Tiada masalah untuk mengundurkan diri.

Mencari yang lebih baik dan sejahtera.

Berguru untuk memuliakan ilmu dan kebenaran. Bukan mengagung-agungkan guru.

Menghormatinya adalah adab.

Memujanya adalah silap.

Seperti pesan al-Imam al-Sha’bi (meninggal dunia 105H) tentang petuanya dalam mengaji:

بنفي الاعتماد و السير في البلاد و صبر كصبر الحمار و بكور كبكور الغراب

“(Aku menuntut ilmu) dengan menjauhkan diri dari kebergantungan, dengan bermusafir dari satu tempat ke satu tempat, dengan bersabar seperti sabarnya keldai (menanggung bebanan angkut yang berat) dan dengan bangun awal pagi seawal sang gagak (memulakan hari)”

Apabila ada tamrin, kena buat kertas kerja.

Walaupun tajuknya jemaah dan siasah, asasnya mesti sama. Ilmu, tiada selainnya.

Jika sudah lama tiada tamrin untuk menulis kertas kerja dan membentangkannya, senior ‘mencucuk-cucuk’ junior agar dianjurkan program, yang boleh menyediakan peluang menulis, membentang dan mewacanakan kertas kerja.

Semuanya dibuat secara biasa. Tiada apa yang istimewanya.

Semasa semua ini berlaku, saya tidak rasa ia sesuatu yang pelik. Tidak pula rasa senior cuba menjadikan kami nerd, geek, atau 20 tahun kemudiannya disebut poyo. Ia adalah apa yang sepatutnya. Ia adalah segala-galanya, pada sebab mengapa kami berada jauh di perantauan, di bumi Anbiya’.

Firman Allah yang pertama bukan “berimanlah”. Bukan “sujudlah”. Bukan “solatlah”.

Firman Allah yang pertama ialah “IQRA!”

Bacalah!

iqra

Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang Mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. [Surah Al-‘Alaq 96: 1-5]

Apakah ada sebab lain untuk kami datang ke bumi Anbiya’ selain mencari ilmu dan mempersiapkan diri dengan keperluanya?

Sejadah-sejadah yang adakalanya dibentang di masjid-masjid di tanah air, untuk membantu biaya pelajar yang keputusan bekalan wang di bumi Anbiya’, nyata sekali jemaah masjid dan surau menderma, kerana bayangan minda mereka di bumi Anbiya’ itu pelajar-pelajar ini siang malamnya dengan mengaji, dengan buku, dengan munaqasyah dan wacana.

KESONGSANGAN BUDAYA

Sehinggalah sampai ke satu ketika, buku bukan lagi agenda pelajar di bumi Anbiya’. Senior mula memberitahu junior bahawa markah peperiksaan tidak punya apa-apa makna. Semester satu mumtaz, semester akhir nanti, Insha-Allah maqbul, macam ‘kami’ dan kebanyakan kita.

Ilmu bukan lagi perkara yang menyibukkan mereka.

Pelajar disibukkan oleh benda-benda lain.

Fitnah hidup bebas, fitnah hidup jauh dari ibu bapa, fitnah rusa masuk kampung!

Entah mengapa, pelajar Malaysia yang Melayu-Melayu itu, apabila berkumpul beramai-ramai, tenang berubah jadi goncang, sihat berubah menjadi tenat, budaya ilmu berubah jadi budaya anti ilmu, pelajar disibukkan dengan semua yang membinasakan ilmu dan keilmuan mereka.

BETULKAH MAHU KE BUMI ANBIYA’?

Di musim pasca keluar keputusan peperiksaan SPM, STPM, STAM dan lain-lain, pelajar-pelajar yang hendak menyambung pelajaran ke bumi Anbiya, ke Mesir, ke Jordan, ke Yaman itu, mereka semua perlu digertak. Ditakut-takutkan. Diancam dengan tanggungjawab yang mereka akan pikul di bahu, sebagai anak muda terpilih yang dihantar menadah ilmu di bumi yang menadah wahyu, bekas tapak-tapak kaki Anbiya’ yang beribu.

Biar ramai yang lemah semangat.

Biar ramai yang berfikir semula.

Agar yang akhirnya nekad untuk tidak gentar dengan gertakan, membulatkan azam untuk terus berkelana, adalah anak muda yang tidak akan menghampakan kita. Yang akan pulang berbakti membantu kita dan anak cucu kita. Kembali sebagai pejuang agama. Yang beriltizam dengan keilmuannya. Bukan merepek dalam ceramah, penuh dengan Qīla ‘ala wazn Gila!

300 pelajar di bumi Anbiya’ yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu, lebih utama daripada 3000 yang bergelak ketawa, yang sibuk dengan koleksi kasut dan jaket berjenama hasil ‘menyelam’ mereka di lautan barangan bundle, yang berangan-angan mengaji di negeri orang Putih tatkala pipi disapa salji di celah pohon rhu, malah yang membuat khurafat di kuburan, memuja masyaikh lebih daripada meneladani dan mengaji seperti masyaikh mereka, lebih-lebih lagi yang keluar kelas Hadith, berdua-duaan dengan kekasih sebelum masuk ke kelas Usul al-Fiqh.

dewanmutah

Ahh… kita ditipu oleh bilangan mereka.

Sangka kita ramainya mereka, bererti makin terbela agama.

Rupa-rupanya ramainya mereka, adalah bencana kepada keberagamaan kita.

Justeru lepasan SPM, STPM, STAM dan lain-lain, andai benar kamu mahu melangkah ke bumi Anbiya’, bolehkah kalian berjanji kepada kami?

Bahawa Mu’addal Tarakumi (CGPA) kalian, mesti diusahakan setinggi yang boleh?

Bahawa kamu ke sana dengan semangat IQRA’?

Menyambung tugas para Anbiya’?

Meneruskan legasi para Ulama’?

Bukan Firaun dan konco-konconya, yang turut mencemar bumi yang sama!

Jika kalian ada idea lain, ada agenda lain, beritahulah kami, agar kami masyarakat di tanah air membatalkan harapan, dan meneruskan perjalanan.

Kami tiada upaya menunggu kamu.

fazdipoksheikh

Foto ihsan al-Fadhil Ustaz Fazdi Harun

TETAMU DATARAN SYAM

Tetamu di Dataran Syam ini,
Harus gagah seperti Abu Ubaidah,
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan

Di celah pohon yang zaitun yang rendang,
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam,
Menanti dan terus menanti,
Hadirnya barisan waris perjuangan.

Medan ini medan yang susah dan payah,
Sesusah medan Mu’tah di puncak sana,
Dan penghuninya juga harus gagah,
Segagah Kota Karak perakam sejarah,

Di sini lah kau akan membina jiwamu,
Jiwa pembela maruah agama,
Berbekalkan ilmu,berpandukan iman,
Islam pasti akan kau merdekakan.

Ketibaanmu adik-adikku,
Ku sambut dengan seribu pengharapan,
Agar kau menjadi insan berilmu,
Dan pembela nasib agamamu.

Hatimu perlu cekal dan tabah,
Sesabar tiga sahabat Rasulullah,
Jiwamu perlu subur dengan iman,
Sesubur Dataran Syam bertuah.

Kita diajar cintakan kematian,
Bagai musuh kita cinta kehidupan,
Maka di Bumi Isra’ ini tempatnya,
Kau mengenal jihad dan perjuangan.

Tetamu DataranSyam, engkaulah harapan,
Untuk ummah melihat masa depan,
Sebagai ulama’ sebagai pejuang,
Islam pasti akan kau merdekakan,

Selamat datang Tetamu Dataran Syam!

Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus
Album: Gemilang 1995

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

5 comments

  1. Pisangpatah di kaki rijal

    🙂 …fenoma “rusa masuk kampung” mudah2han akan disembelih di kampung ini….

    • Pisangpatah di kaki rijal

      Sy tambah lg ustaz bahawa ini adalah “tahridh” semoga ada yang ingin bercita2 syahid…sebelum tu kena belajar ilmu kelelakian barulah yang tergambar pada pribadi yang nak ke sana adalah singa….saya harap kalau yang dtg ini rusa mudah2han diterkam singa di sana..kalau dapat berkawan alhamdulillah…

  2. teguran dan nasihat yang baik ustaz..jazakumullah khairan

  3. Masa mula-mula sampai Mesir dulu, pelajar sering diperingatkan tentang pentingnya ilmu itu, cuma ada juga budaya pelajar agama ni yang kurang sihat, penyakit suka melabel orang lain.

    Saya dapat rasakan betapa pentingnya akhlak itu, barulah manusia disekeliling kita mampu thiqah apa pendekatan yang kita bawa.

    Saya pesan awal-awal dah kat anak murid, siapa-siapa ada niat datang Mesir, tapi masih lagi amal sikap ‘malas’ menuntut ilmu, baik tak payah datang..

    Kualiti manusia sebelum kuantiti.

  4. alhamdulillah,satu teguran yang sangat bernas..tidak dinafikan nafsu memang susah untuk dikawal sekali pun dalam kelompok yang betul..agamawan lagila kuat ujiannya..insyaallah allah permudahkan semua urusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share