Membantu Palestin: Selut Desa Dan Asap Kota Sebelum Debu Gaza

viva-palestina

Kehangatan semangat membantu umat Islam di Palestin tidak begitu dirasa di kawasan luar bandar.

Itu yang saya rasa, apabila bercuti sempena Aidilfitri.

Mungkin ia hanya persepsi dan saya mungkin tersalah pada memerhatikan persekitaran. Namun, jika salah sekali pun, saya yakin ia tidak salah sepenuhnya. Ada sesuatu yang boleh dibincangkan, untuk meningkatkan lagi kualiti usaha kita. Kualiti penting kerana Palestin tidak akan merdeka dengan kuantiti harta dan manusia. Ia mementingkan kualiti. Dan kerana kualiti itulah, kita perit memperbaiki diri, tanpa bergantung kepada sejauh mana Zionis disokong atau ditentang. Syarat kemenangan itu berada pada yang berjuang dan yang memerangi. Bukan Zionis yang diperangi.

Mungkin semangat itu kurang dirasa di kawasan luar bandar kerana kempen kita agak berwarna urban.

Berapa sangatlah orang kampung yang makan McD?

Jauh sekalilah Starbucks atau alat solek L’Oréal.

Apatah lagi dengan ulasan-ulasan antarabangsa, berfalsafah, kena pula di dalam bahasa Inggeris.

Kempen Palestin buat masa ini adalah kempen urban, stylo, gaya orang bandar. Berpendidikan tinggi. Sangat menjiwai debu dan pasir Gaza, tetapi tidak dengan selut kampung dan semak ladang getah tempatan. Mungkin terlepas pandang. Ia bukan sarcasm dan saya tidak sama sekali bermaksud begitu. Ia adalah pandangan telus demi memperjuangkan ‘hak’ orang kampung untuk mereka juga dapat menjiwai semangat menyokong saudara di Palestin, yang buat masa ini begitu urban.

Dan bersama dalam perjuangan ini.

Kita perlukan beberapa penambah baikan.

Kita perlu meneliti beberapa perkara asas, tentang mengapa ada orang peduli, ada orang tidak peduli.

KENAPA ADA MANUSIA TIDAK PEDULI?

Sama ada orang kampung, atau orang kota, orang berpendidikan tinggi, atau orang berpendidikan rendah dan sederhana, kita punya mata, telinga, mulut, akal fikiran dan potensi yang sama.

Namun, ada golongan yang bertelinga, telinganya tidak mendengar. Ada mata, matanya tidak nampak. Ada akal, akalnya tidak berfikir. Golongan ini mungkin ada di bandar, boleh juga ada di kampung.

Persamaan mereka adalah apabila mereka tergolong dalam perumpamaan yang Allah berikan di dalam al-Quran:

7_179

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [al-A’rāf 7: 179]

Manusia yang pancainderanya lumpuh dan lalai, diumpamakan oleh Allah seperti binatang ternak. Binatang ternak bukan harimau, kerana harimau sekurang-kurangnya ada kemegahan sebagai raja rimba. Binatang ternak bukan buaya, kerana buaya ada kemegahan sebagai raja sungai. Tetapi binatang ternak adalah serendah-rendah perumpamaan.

Lembu, kambing, pernahkah lembu dan kambing bangun pagi dengan azam untuk menjadi lembu dan kambing yang lebih baik dari hari sebelumnya?

Tiada!

Apa yang lembu dan kambing fikirkan setiap pagi adalah apa makannya, apa minumnya, siapa bininya!

Dan, berapa ramaikah manusia bertali leher bergaya profesional, juga manusia ke bendang dan ke kilang, dengan falsafah hidup yang sama?

Lihat sahaja kambing korban yang tertambat di pohon kelapa surau. Semasa kita mengasah pisau hendak menyembelihnya, apakah kambing itu melihat pisau, atau ia melihat rumput?

Kambing lihat rumput!

Hijaunya, enaknya, sedapnya!

Hingga dia tidak sedar, tidak faham, tidak nampak, bahawa seseorang sedang mengasah pisau untuk menyembelihnya.

Seorang manusia yang hidupnya makan, minum, tidur, rehat, kahwin (seks), tidak usahlah kita bercerita tentang Palestin, tentang Syria, tentang Arakan, hatta tentang GST atau isu pendidikan dan kesihatan negara. Apa yang dia peduli? Dia diumpamakan seperti haiwan ternak yang menternak dirinya sendiri untuk akhirnya menjadi makanan ulat dan cacing di dalam lahad.

Yang penting semua rukun hidup itu tadi tertunai.

ternakan

Justeru, kempen untuk mendapatkan sokongan masyarakat kepada tragedi di Palestin, khususnya Gaza, memerlukan masyarakat dikeluarkan daripada alam haiwan ternak. Sebagai manusia, bukan lagi sekadar seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat. Setelah diberi akal, masih hidup seperti haiwan ternak.

Maka usaha menyedarkan itu mesti ada yang bernada kota, mesti ada yang bernada desa.

Orang kota banyak menikmati limpahan maklumat mengenai apa yang berlaku di Gaza.

Tetapi orang desa tidak begitu.

Orang kota balik ke desa pun, susah hendak menjelaskan dalam bahasa desa, mengapa mereka perlu peduli kepada isu Palestin. Ia mungkin lanjutan kepada masalah diri kita sendiri yang tidak bersemangat terhadap masalah-masalah yang dihadapi di desa sebagaimana bersemangatnya kita terhadap masalah-masalah di Gaza.

PERANAN PALING ASAS

Maymunah radhiyallāhu ‘anha pada suatu ketika bertanya kepada Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam:

minyak-al-aqsa“Aku berkata, wahai utusan Allah, nyatakan kepada kami perihal Bayt al-Qudus (al-Quds). Jawab baginda: pergilah kepadanya dan solatlah kamu di dalamnya. Katanya lagi, “bagaimana jika ia ketika itu dikuasai oleh Rom? Jawab baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam: andai kamu tidak berkemampuan untuk menunaikannya, maka hantarkanlah minyak agar boleh dinyalahkan pelita di dalamnya!”

[ الراوي : ميمونة مولاة النبي صلى الله عليه وسلم المحدث: السخاوي – المصدر: البلدانيات – الصفحة أو الرقم: 64
خلاصة حكم المحدث: حس]

Pakcik makcik di kampung perlu diberikan keyakinan tentang signifikannya sumbangan mereka.

Mereka perlu menjiwai petua yang diberikan oleh Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam kepada Maymunah untuk mereka menjadi sebahagian daripada al-Quds dan kemuliaannya. Agar mereka tidak terpinggir tanpa rasa terpinggir, tidak tersisih tanya menyedari yang mereka tersisih, jauh dari Palestin, dek penyerunya yang tidak dapat menjiwai potensi kesedaran di desa tempatan yang perlu sama bangkit memainkan peranan.

Peranan menghantar minyak pelita ke bumi Palestin, biar pun kualiti periwayatannya agak sederhana, ia jauh lebih baik daripada kekarutan kisah burung menitis air dalam cubaan memadam api pembakar Ibrahim ‘alayhi al-salam yang tiada asal usulnya.

Jika di Palestin, pertempurannya adalah bom dan peluru.

Namun di tanah air, pertempurannya bermula dalam koreksi diri.

Dalam konteks kita menyedari semua potensi yang ada di depan mata, dan digiatkan sepenuhnya. Melepaskan diri daripada kebinatangan diri, kepada kemanusiaan yang tulus dalam menzahirkan sebuah kepedulian.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

thestar

Sembang Kerjaya: Bidang Syariah Bukan Pilihan Terakhir

Petikan akhbar The Star 2010 “Kenapalah kamu ambil Syariah? Nanti habis belajar nak kerja apa?” …

7 comments

  1. Memang mudah untuk agamawan kobarkan keprihatinan mengenai Palestin menerusi kuliah di masjid, YouTube Dan penulisan blog Dan media social. Semua ini adalah comfort zone.

    Kita nak merdekakan Palestine daripada cengkaman zionis tetapi tiada satupun Negara ‘Islam’ yang merdeka sehingga mereka memurnikan ketaatan sepenuhnya kepada Allah . Semasa memberi kemerdekaan , kuasa imperial telah meletakkan proksi sebagai pemerintah .

    Ulama sebagai pewaris Nabi belum bersedia berdepan dengan kemungkinan dicerca,difitnah,dipukul Dan dipenjarakan.. Jadi yang mampu mereka buat adalah ”sampaikan dariku walau sepotong ayat” Dan isu Palestine barangkali menjadi modal kuliah Sahaja .

  2. Betul, seperti di kampung saya, yang jelas tidak begitu merasai angin perjuangan untuk membantu Palestin.

    PS: Ustaz, bakpe ade orang komen2 english pelik2 di atas.

  3. orang bandar pulang ke kampung semnggu selepas raya ramai-ramai serbu food court termasuk mcdonald..apa la yang kemaruk sangat.x malu langsung mereka dengan orang kampung…hurmmmm

  4. Salam ustaz, saya langsung tidak tahu kisah burung kecil dan Nabi Ibrahim as tiada asasnya. Kisah ini memenuhi hampir semua blog – blog islamik dan sangat popular diperkatakan di ceramah-ceramah agama. Terima kasih atas maklumat.

  5. Salam ustaz. Benar, saya setuju,bila balik cuti beraya di kampung isu Palestin sangat kurang dibicarakan. Sebut pun sesekali apabila kebetulan mendengar berita di TV dan radio.

    Seminggu di kampung, tanpa langganan internet, hati terasa lebih tenteram. Bertukar senyuman dengan orang sekampung/setaman yang sudah lupa namanya, bertukar cerita dan khabar dengan keluarga dekat dan jauh, tolong mak ayah adik kakak yang sekarang dapat berkumpul lengkap satu keluarga cuma waktu hari
    raya.

    Pulang ke bandar, saya teringat pada kemesraan suasana kampung dan penghuninya yang mengingatkan kembali saya tentang persaudaraan. Dan membantu saya untuk lebih cakna tentang saudara-saudara di Palestin.

  6. Seronok baca artikel-artikel kat blog ni Ustaz. Banyak benda yang saya tak tahu boleh tahu di sini. Terima kasih Ustaz.

  7. jihad dalam diri diutamakan, kemudian barulah tgk pada dunia luar…:-)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *