Rantaian Kefasikan ‘Print Screen’ yang Membinasakan

printscreen-meme

Ramadan adalah bulan mengejar kebaikan. Kita pula berperasaan tidak tentu hala tuju kerana pelbagai tragedi menguji semua. Di lautan, di udara, di daratan, sangat banyak darah yang tumpah, air mata yang membasah dan peluh yang dikerah. Isunya besar-besar. Tragedi di Gaza, pesawat MH17 yang terhempas, hingga ke keresahan politik negeri Selangor.

Terasa aib untuk menulis sesuatu yang kecil.

Namun tidak kecil, andai ia berselerakan memusnahkan tata susila kita, kalau pun tidak dari kaca mata agama, sekurang-kurangnya Rukun Negara kelima; Kesopanan dan Kesusilaan. Ia adalah rukun interaksi sosial, pada membentuk keharmonian hidup, sebagai sasaran besar yang dimahukan oleh setiap anak bangsa.

Kisahnya adalah tentang Print Screen.

Sudah banyak kali saya terkena bahana Print Screen.

Dan saya yakin, saya tidak bersendirian.

Ramai lagi yang menjadi mangsa.

Ia bukan terjadi di Halaman Facebook yang umum. Saya sudah menutupnya semenjak Disember atas sebab yang pelbagai. Antaranya ialah untuk menghentikan petikan “Ustaz Hasrizal kata…” kerana ia tidak menandakan budaya ilmu yang baik; sesuatu yang sering menjadi alasan kepada yang menghurung Facebook itu.

Sebaliknya ia terjadi di akaun Facebook peribadi. Saya sudah mengurangkan jumlah ‘rakan’ di Facebook daripada 5 ribu kepada 90 orang! Saya mengambil masa tiga minggu ke sebulan untuk melakukannya. 90 orang itu pula, kira-kira 60 ke 70 orang bukan orang Melayu, bukan orang Malaysia. Mereka adalah rakan saya di pelbagai negara dan Facebook menjadi satu-satunya medium untuk kami kekal berhubung. Saya mengambil masa hampir dua tahun untuk menambah sedikit demi sedikit dan kini ia berjumlah hanya 200 orang. Setiap seorangnya saya kenal secara peribadi. Sebahagiannya pula adalah ahli keluarga terdekat. Apabila saya menulis sesuatu, biasanya saya akan berbincang dengan beberapa orang yang sama, atas dasar percaya mempercayai, dan tinggi upaya berbaik sangka andai ada salah faham terjadi. Sangat mudah untuk diperbaiki dan komunikasi berlangsung dengan sejahtera.

Akan tetapi Facebook mengubah setting privasinya dari semasa ke semasa. Terutamanya apabila kita menggunakan set ‘custom’ siapa yang boleh melihat apa. Setting ini sering saya gunakan agar perbualan di dalam bahasa Melayu, tidak terpapar di Newsfeed rakan bukan Melayu. Demikian juga, topik-topik yang agak sensitif, saya akan pastikan ia tidak muncul di akaun anak-anak saudara saya.

Apa yang ada pada masa ini ialah perbualan antara dua pihak hatta ‘like’ juga, selalu juga boleh dibaca oleh pihak ketiga. Misalnya A berbual dengan B, manakala C adalah kawan B, maka C boleh membaca apa yang A tulis. Ini menjadikan privasi di Facebook menghampiri kosong.

Kita tidak boleh mengawal apa yang Facebook lakukan kepada peranti tersebut.

Tetapi kita boleh memilih, untuk menundukkan pandangan daripada apa yang tidak berkenaan dengan kita.

Kata Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam:

tarkuhu-ma-la-yaknihi“Sebahagian daripada eloknya keislaman seseorang itu ialah pada dia meninggalkan hal ehwal yang tidak berkaitan dengan dirinya”

Banyak catatan A yang dibaca oleh B, adalah aurat kepada C.

mengintai

A sudah tentukan setting ia bahawa tulisannya hanya boleh dikomunikasikan di antara A dan B. Akan tetapi setting Facebook menyebabkan tulisan A boleh dibaca oleh C kerana C berkawan dengan B. Di sinilah keislaman C diuji, sama ada dia mahu ‘menyibuk’ atau tidak mengendahkannya. Sama ada memberitahu diri bahawa hal itu tidak berkenaan dengan dirinya, atau pun jika timbul kemusykilan, C bertanya kepada kawannya B tentang apa yang beliau terbaca daripada tulisan A.

Langkah buruknya ialah PRINT SCREEN.

Bertanya tidak, apa pun tidak, apa yang dilihat, terlupa ia aurat. Setelah Print Screen, ia disebarkan. Tidak cukup sebarannya di Facebook, musibah besar yang terjadi ialah ia disebarkan di Whatsapp, iaitu aplikasi yang paling tidak menjaga asal usul sesebuah info. Dari satu orang ke satu orang. Dari satu orang ke satu kumpulan. Dari satu kumpulan kepada 20 kumpulan, berganda-gandalah akibat sebaran itu.

Jika baik, berganda pahalanya.

Jika fitnah, jahat, berganda-gandalah fasadnya.

whatsapp-tips

POLEMIK POLITIK MENGGANTIKAN MB SELANGOR

Suatu ketika dahulu, saya direbus dengan isu kritikan terhadap Kepimpinan Ulama.

Terkini, isu pertukaran MB Selangor.

Saya sama seperti rakyat Selangor yang lain, tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku di negeri mastautin saya ini. Ramadan disambut dengan keazaman membaca al-Quran, dan menjauhkan diri daripada banyak membaca laporan-laporan berita yang melukakan iman di akhbar bercetak, mahu pun di atas talian. Akibatnya, saya kebingungan.

Saya menulis sebuah status di Facebook peribadi, yang saya hilang harapan dengan survival politik Pakatan Rakyat di Selangor. Saya yakin saya tidak bersendirian. Lalu ada di kalangan sahabat saya yang cuba menerangkan kepada saya maklumat-maklumat yang beliau tahu tentang polemik tiga segi antara Menteri Besar semasa, PKR, DAP dan PAS. Penjelasannya yang panjang, saya rumuskan di dalam ruangan komen. Tertulis beberapa nama seperti Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Zaharuddin Muhammad berdasarkan rumusan itu tadi.

Ia bukanlah pendirian saya. Ia adalah rumusan.

Dan seterusnya, saya kongsikan penjelasan berbentuk penafian oleh Ustaz Zaharuddin Muhammad terhadap ‘tuduhan yang dikenakan ke atas beliau’.

Seperti biasa, apabila saya tidak sedap hati, saya padam status berkenaan dan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.

print-screen-selangor

Tanpa diduga, komen saya pada merumuskan info-info panas yang sampai kepada saya itu, telah di’printscreen’ dan tersebar ke dalam banyak kumpulan Whatsapp. Saya cuba berfikir sebagai orang ketiga, apabila membaca print screen tersebut, sungguh jahat Hasrizal Abdul Jamil itu! Sedangkan panjang lagi diskusi di bahagian bawahnya dan natijah akhirnya bukan seperti yang tertulis pada printscreen yang tersebar itu. Apa yang tersebar itu hanya separuh daripada perbincangan sebenarnya.

2_156

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.[al-Baqarah 2: 156]

Memahami akan keupayaan Facebook dan Whatsapp membuat salinan kepada apa sahaja yang masuk ke gelanggangnya, saya tahu ia bukan lagi berada di bawah kawalan saya. Justeru, saya berpandangan, eloklah saya catatkan di sini sebagai penjernih keadaan dan memberitahu bahawa, si fasiq pembawa naba’ yang Allah sebut di dalam surah al-Hujūrāt itu, boleh terjadi, bukan hanya menyebarkan gossip artis atau wanita muda menyerang pakcik tua yang terlanggar kereta barunya. Yang tersebar itu juga adalah bahan-bahan yang dikatakan ia untuk menegakkan negara Islam.

Bertaqwalah kepada Allah duhai saya, dan sahabat semua.

Pengadu domba tidak selamat dunia akhirat.

Berniat baik sekali pun, printscreen bukan caranya. Mudaratnya lebih banyak daripada manfaat.

Sahabat,

Dalam rantaian kefasiqan print screen, matikanlah perjalanan bahan-bahan pemecah belah ukhuwwah itu di tangan anda.

Jangan bicara tentang Hudud, kalau tangan sendiri liar tidak bertaqwa kepada Allah. Untuk mengubah ketulan batu besar, kuis-kuis dahulu kerikil kecil yang terhempap di bawahnya.

Demi Allah!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

7 comments

  1. Saya menghormati keputusan ustaz yg dulu, mengurangkan interaksi alam maya. Walaupun akan terlepas mengambil ambilan atau buah fikiran ustaz. Saya tahu, memang letih melayan manusia.

    Moga Allah menjaga ustaz dari fitnah manusia.

  2. Saya ingat selepas Ustaz on balik FB, Ustaz ada special setting untuk si C tak dapat baca apa-apa status. Tapi ia tak berlaku, dan sekali lagi Ustaz menjadi mangsa printscreen. Saya kadang-kadang berfikir untuk komen diruang status Ustaz kerana takut perkara ini terjadi. Semoga Ustaz tabah mengharungi kerenah insan bernama manusia.

    Salam Aidilfitri…Maaf Zahir Batin 🙂

  3. Salam,sesak menghadapi ragam politik di malaysia yang pada saya di titik kelabu,sukar sekali mahu meletakkan kepercayaan pada mana2 pihak kerna sebaran mklumt yang seperti ust smpaikn.hilang rakan kerna ftnah2 ini,hilang kepercayaan kerna ftnah2 ini juga,moga ust juga diberikn kekuatan dan kita semua untuk menghadapi sumua ini.

  4. “A sudah tentukan setting ia bahawa tulisannya hanya boleh dikomunikasikan di antara A dan B. Akan tetapi setting Facebook menyebabkan tulisan A boleh dibaca oleh C kerana C berkawan dengan B”. – Saya percaya setting privacy Facebook boleh diubah supaya C tidak boleh lihat/baca tulisan A. Jadi saya hairan di mana masalahnya.

    Tentang isu Printscreen, innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’oon, ustaz 🙁

  5. Tajamnya mata pena berbanding mata pedang…

    Kesannya tetap menguris hati…

  6. Tutup mulut *jahat dan menyayat hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share