S-Fiqh di Kedah: Kertas Kerja Psikologi Dakwah Semasa

promis-01

“Kami mahukan idea-idea segar tentang pemikiran Islam, dakwah, siasah dikongsi bersama warga Utara” jelas person in charge.

Saya amat jarang berpeluang untuk berwacana di sebelah utara Semenanjung. Kali terakhir sebelumnya adalah di UUM, membicarakan tentang Cinta.

Apabila Persatuan Profesional Muda Islam Kedah (PROMIS) menjemput saya berwacana di Kubang Pasu, Kedah, saya menerimanya. Program kali ini dinamakan sebagai Seminar Pemikiran Fiqh Islam Semasa Peringkat Negeri Kedah, atau singkatannya S-Fiqh.

Saya digandingkan bersama-sama pembentang lain yang bakal menyediakan ruang saya belajar daripada mereka.

promis-02

Dr. Maszlee Malik membentangkan tentang Fiqh Siasah. Manakala Ustaz Ramadhan Fitri Elias mengupas berkenaan Fiqh Muamalat Harta. Ustaz Mohd Aizam Mas’od  pula membicarakan tentang Fiqh Aqidah dan disempurnakan juga dengan kupasan Profesor Abdul Aziz Bari tentang Fiqh Perlembagaan. Majlis diserikan dengan tuan guru yang dikasihi, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hanafi yang merasmikan majlis. Saya diamanahkan oleh penganjur untuk membentang kertas kerja berkenaan dengan Fiqh Dakwah dan Tarbiah.

promis-03

Banyak perkara menarik yang saya perolehi sepanjang kurang 24 jam berada di Kedah. Tentu sahaja, perkara yang di luar jangkaan saya adalah kehadiran bekas Pengetua saya di SMAP Labu, iaitu Ustaz Haji Abu Bakar Lebai Mat. Begitu juga dengan kehadiran pakar rujuk sejarah Melayu kita, Profesor Dato’ Dr. Md Salleh Yaapar dan isteri beliau yang turut melontarkan soalan serius tetapi lucu kepada saya dalam sesi soal jawab. Ujarnya, “mengapa ramai ustaz dan penceramah yang apabila berceramah mereka berintonasi tinggi, tegang, marah-marah hingga menyakitkan telinga mereka yang mendengar? Apakah memang perlu begitu?”

Mengimbas kembali pengalaman peribadi, saya berpidato semenjak Tingkatan 1. Itu jika penyertaan di dalam pertandingan bercerita semasa di sekolah rendah tidak diambil kira. Semasa di Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 5, setiap kali bercakap di khalayak, ada rasa gemuruh yang menguasai diri di peringkat awalnya. Semasa gemuruh, badan kita keras, nada kita tinggi dan nafas kita pendek. Apabila nafas pendek, tentu sahaja bekalan oksigen ke kepala mengalami gangguan.

“Agaknya sebab itu ramai yang berceramah dengan nada tinggi dan berapi-api, butir katanya sering bermasalah. Ada kewarasan yang terjejas dek kekurangan oksigen di kepala serta adrenaline yang membuak-buak” saya menjawab soalan dengan maksud antara bergurau dan bersungguh.

Asalnya kerana gemuruh.

Lama-lama gemuruh sudah tiada, tetapi berceramah begitu sudah menjadi tabiat.

Jenuh juga saya berusaha membuangnya hingga dapat bercakap dengan nada yang lebih tenang. Tidak lagi berpidato hingga keras-keras perut dan bahu.

Apa pun, ia termasuk di dalam sebahagian daripada kertas kerja yang saya bentangkan. Salinan pdf kepada kertas kerja saya boleh dimuat turun melalui academia. Saya kongsikan di sini teksnya untuk manfaat sahabat semua.

 

Fiqh Semasa – Gaya & Psikologi Penyampaian Dakwah / Tarbiah

Pembentang:

Hasrizal bin Abdul Jamil
www.saifulislam.com

 

ABSTRAK

Islam yang dipelajari di dalam kerangka disiplin Pengajian Islam adalah ‘Meta Islam’ iaitu Islam versi standard yang sepatutnya diamalkan. Islam yang diamalkan, berkemungkinan selari dengan Meta Islam, tetapi sering berbeza daripada Islam yang digariskan oleh dalil-dalil naqli. Jurang di antara Islam yang diamalkan dengan Islam versi yang ‘sepatutnya’ adalah ruang yang menjadi fokus dakwah. Objektif kertas kerja ini adalah untuk mencerakin pendekatan psikologi dan cabang-cabang ilmu kemanusiaan sebagai alatan dakwah yang boleh meningkatkan keberkesanan penyampaian. Penggarapan ilmu kemanusiaan akan dianalisis sebagai kaedah yang boleh menyuburkan pendekatan positif di dalam dakwah. Kertas kerja ini menggunakan kajian kepustakaan dengan merujuk kepada buku-buku, artikel-artikel, makalah-makalah ilmiah dan halaman-halaman web di internet yang berkaitan. Kajian ini mendapati pemanfaatan ilmu-ilmu kemanusiaan mampu memperbaiki mutu penyampaian dakwah sekali gus meningkatkan penerimaan dakwah di dalam masyarakat. Kertas kerja ini diharap dapat mencetuskan galakan di dalam masyarakat untuk meningkatkan kualiti dakwah dengan menerapkan ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi di dalam analisis dan praktis.

PENGENALAN

Allah SWT memerintahkan umat Islam menggalas tugas dakwah sebagai kesinambungan risalah Kenabian yang berakhir dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabī’ al-Awwal 11H. Dakwah sebagai mekanisme penyebaran Islam berperanan menyampaikan Islam daripada satu generasi kepada satu generasi hingga ke akhir zaman. Allah memuji orang-orang yang berdakwah, sebagai manusia yang berbicara dengan sebaik-baik perbicaraan.

Firman-Nya:

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam!” [Fussilat 41: 33]

Walau bagaimanapun, dakwah perlu dilakukan dengan cara yang menepati kriterianya. Dakwah diperintahkan oleh Allah agar dilaksanakan dengan hikmah dan pengajaran-pengajaran yang baik.

Firman-Nya:

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah serta pengajaran-pengajaran yang baik” [al-Nahl 16: 125]

Hikmah telah diertikan oleh al-Imām al-Rāghib di dalam al-Mufradāt bahawa ha-ka-ma (ح ك م) itu berasal makna sebagai (م ن ع) yakni menghalang untuk kebaikan. Ertinya, apabila sesuatu dilakukan dengan hikmah, ia menghalang kelakuan itu daripada perkara-perkara tidak baik mencemar natijahnya. Hikmah juga diertikan sebagai isābah al-haq bi al-‘ilm wa al-‘aql yakni memperolehi kebenaran dengan jalan ilmu dan aqal. Dr. Salāh ‘Abd al-Fattāh al-Khālidī mengemukan rumusan yang unik berkenaan pengertian hikmah dalam konteks dakwah. Beliau berpendapat bahawa hikmah itu bermaksud:

Perkataan yang sesuai, untuk orang yang sesuai, pada masa yang sesuai, dengan kadar yang sesuai dan menggunakan pendekatan yang sesuai (Al-Khālidī 2007).

Kesesuaian itu, menuntut seorang pendakwah bukan sahaja memahami Islam yang hendak disampaikan, tetapi juga Muslim yang hendak menerima dakwah tersebut. Islam yang disampaikan itu, datangnya daripada Allah dan bersifat Rabbani, manakala Muslim, juga non Muslim, yang hendak mengamalkan Islam itu, adalah manusia ciptaan Allah dan bersifat manusiawi.

Atas alasan ini, Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī di dalam karyanya Tsaqāfah al-Dā’iyah menggariskan bahawa salah satu ilmu yang diperlukan oleh seorang Muslim untuk menyempurnakan peranannya sebagai pendakwah adalah al-tsaqāfah al-insāniyyah atau ilmu-ilmu kemanusian. Beliau menyenaraikan 6 ilmu di bawah kategori ini, iaitu:

  1. ‘Ilm al-nafs (psikologi)
  2. ‘Ilm al-ijtimā’ (sosiologi)
  3. ‘Ilm al-iqtisād (ekonomi)
  4. ‘Ilm al-falsafah (falsafah)
  5. ‘Ilm al-akhlāq (etika)
  6. ‘Ilm al-tārīkh (sejarah)

Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī menegaskan bahawa penguasaan ilmu ini membantu seorang pendakwah memahami manusia (Al-Qaradhāwi 1996). Semasa membicarakan tentang ‘ilm al-nafs (psikologi) dan kepentingannya kepada dakwah dan pendakwah, beliau memperingatkan bahawa psikologi yang dimaksudkan dalam konteks ini, tidaklah perlu tenggelam dalam perbahasan falsafah, sebaliknya lebih tertumpu kepada memanfaatkan kajian-kajian psikologi popular berdasarkan data-data kajian kuantitatif untuk manfaat dakwah.

Ia bersesuaian dengan penerangan yang diberikan oleh Muhammad Abu al-Fath al-Bayānūnī di dalam bukunya al-Madkhal ilā ‘Ilm al-Da’wah. Beliau membahagikan metodologi dakwah kepada tiga iaitu:

  1. al-Manhaj al-‘Ātifī (metodologi emosional)
  2. al-Manhaj al-‘Aqlī (metodologi rasional)
  3. al-Manhaj al-Hissi (metodologi praktikal)

Al-Bayānūnī menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan metodologi emosional itu adalah metodologi dakwah yang memberikan fokus kepada hati, untuk menggerakkan perasaan dan kemahuan (Al-Bayānūnī 1995).

Hamdani Bakrani adz-Dzakiey mengatakan bahawa pesanan-pesanan al-Quran belum terolah menjadi satu disiplin ilmu yang mengembangkan eksistensi diri manusia dalam perspektif Islam (Adz-Dzakiey 2008). Beliau mengusulkan bahawa psikologi Islam harus dibangun di atas beberapa ilmu keislaman sebagai fondisi yang kuat. Agar ia berdiri sebagai psikologi yang boleh diiktiraf sebagai psikologi Islam, fondisi kepadanya mestilah dibina di atas:

  1. al-Quran dan al-Sunnah
  2. ilmu Tauhid dan Aqidah Islam
  3. Ilmu Fiqh Islam
  4. Ilmu Tasawwuf Islam
  5. Ilmu Akhlaq dan Etika Islam

Kebanyakan karya yang mengusulkan pemanfaatan psikologi dalam perlaksanaan dakwah berkesan, menekankan tentang kepentingan cara pengambilan teladan psikologi itu apabila naskhah yang dirujuk adalah karya-karya sarjana Barat. Ini adalah untuk mencegah pendakwah daripada terperangkap di dalam wacana falsafah seperti Steven Blankaart, Sigmund Freude dan Carl Jung yang mendukung pandangan hidup serta epistemologi yang berbeza.

Dalam konteks dakwah, tumpuan mestilah diberi pada aplikasi, atau dalam erti kata yang lain, memanfaatkan kajian-kajian psikologi sedia ada, untuk mencerakin dan menonjolkan intipati sedia ada di dalam warisan pemikiran Islam. Psikologi adalah pemudah cara kepada menghuraikan elemen kemanusiaan di dalam dalil naqli. Sesungguhnya teladan daripada Rasulullah SAW sendiri tentang aspek kemanusiaan dalam menjayakan dakwah, itulah yang hendak kita ketengahkan.

Psikologi itu sendiri bermaksud “kajian mengenai roh” berdasarkan istilah Latin moden, psychologia. Ia mungkin diperkenalkan pada pertengahan kurun ke-16 di Jerman berdasarkan istilah Yunani klasik, psykhe- “nafas, semangat, roh” + logia “kajian mengenai”. Manakala psikologi dengan maksud “kajian terhadap minda” kali pertama direkodkan pada tahun 1748, daripada karya Christian Wolff berjudul “Psychologia empirica” (1732). Seterusnya, kefahaman moden bahawa psikologi itu adalah kajian tingkah laku manusia, bermula pada awal 1890’an (Harper 2014).

APLIKASI PSIKOLOGI DI DALAM DAKWAH

Banyak contoh yang diberikan oleh Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī adalah contoh yang sama dikemukakan oleh Dale Breckenridge Carnegie di dalam adikaryanya How to Win Friends and Influence People.

Misalnya, Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī memberikan saranan kepada pendakwah untuk memanfaatkan kajian Henry C. Link di dalam bukunya The Return to Religion. Melalui kajian kuantitatif psikologi, Henry C. Link membuktikan bahawa “manusia yang beragama, sering berkunjung ke rumah ibadat, menikmati keperibadian yang lebih kuat dan baik berbanding dengan orang yang tidak beragama dan tidak melakukan apa-apa ritual ibadah.” Kenyataan ini merupakan sebuah bukti universal yang berguna bagi pendakwah mengajak mansyarakat kepada kehidupan beragama, tanpa dihukum sebagai bias oleh masyarakat. Sama ada hal ini dipandang dari sudut Islam, mahu pun Sains, ia menatijahkan hasil yang sama, bahawa kehidupan beragama dan melazimkan diri dengan ritual yang diajar oleh agama, manusia menikmati peningkatan kualiti keperibadian yang tinggi.

Aplikasi lain kepada hal ini, turut boleh diteladani melalui contoh-contoh strategi pendidikan yang diolah oleh Sheikh ‘Abd al-Fattāh Abu Ghuddah di dalam bukunya al-Rasūl al-Mu’allim (diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan judul 40 Strategi Pendidikan Rasulullah SAW) . Buku ini mendatangnya banyak contoh berkaitan psikologi pendidikan di dalam pendekatan Rasulullah SAW. Ia membabitkan aspek silibus mengajar, situasi pelajar, kemampuan pelajar, waktu pembelajaran dan elemen gender.

Misalnya, adalah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim tentang kisah Malik bin al-Huwairith radhiyallahu ‘anh:

“Kami (golongan muda yang berumur lebih kurang sebaya) pernah datang kepada Rasulullah SAW dan tinggal bersama Baginda selama 20 malam. Kami mendapati Baginda adalah seorang yang amat penyayang lagi santun. Ketika Baginda merasa kami merindui keluarga kami di rumah, Baginda bertanyakan kami tentang siapa orangnya yang telah kami tinggalkan (di rumah). Maka kami pun menceritakannya kepada Baginda. Kemudian Baginda bersabda, “pulanglah kalian kepada keluarga kalian, tinggallah bersama mereka, ajarilah mereka, anjurkanlah mereka untuk berbuat kebajikan dan melaksanakan solat sebagaimana kalian melihatku mengerjakan solat. Apabila telah tiba waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kalian melaungkan azan dan hendaknya yang paling besar (tua) dari kalian bertindak sebagai imam.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Di dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW memaparkan hubungan yang mesra dengan anak-anak muda tersebut. Baginda mengesan kemerosotan komitmen mereka selepas 20 malam berpisah daripada keluarga. Seterusnya Baginda bertanya secara spesifik, soalan yang menampakkan minat Baginda kepada masalah yang dihadapi oleh ‘anak murid’nya dan meminta mereka menceritakannya. Empati yang ditunjukkan oleh Baginda, membolehkan saranan Baginda agar apa yang telah dipelajari, dipraktikkan di rumah masing-masing dengan tatacara yang diajar. Jauh sekali Baginda memperlekeh rasa rindu anak muda itu kepada keluarga mereka!

Sungguh, di dalam diri Rasulullah SAW terhimpun sifat-sifat terpuji seperti rasa belas kasihan, kasih sayang, berusaha menjauhi kepayahan (kesulitan), menyukai kemudahan, santun kepada orang lain, sentiasa mencari kebaikan, kekuatan iman dan keselamatan serta berusaha mencurahkan ilmu pengetahuan dan kebaikan kepada orang lain dalam setiap kesempatan (Abu Ghuddah 2011).

Al-Bayānūnī menggariskan beberapa situasi untuk pendekatan psikologi di dalam dakwah ini wajar diaplikasi (Al-Bayānūnī 1995). Antara saranan beliau ialah:

  1. Dakwah kepada orang yang jahil. Alasannya, orang yang jahil memerlukan kepada sikap berlemah lembut dan mengambil berat terhadap dirinya, juga mengajarnya secara galakan (targhīb) kepada ilmu pengetahuan, dan menjanjikan untuknya manfaat-manfaat kebaikan yang diperolehi melalui amalannya.
  2. Dakwah kepada orang yang keliru tentang potensi dirinya, sama ada lemah atau kuat keyakinannya. Maka pendakwah berperanan membantu beliau mengenal pasti potensi diri, kelebihan dan kekurangan, untuk pendakwah memilih pendekatan yang terbaik untuknya.
  3. Dakwah kepada golongan yang emosinya rapuh seperti kaum wanita, kanak-kanak, anak yatim, fakir miskin, orang yang ditimpa bencana, orang sakit dan yang seumpama dengan mereka.
  4. Dakwah bapa kepada anak, dakwah anak kepada bapa, dakwah kepada sanak saudara dan rakan karib.
  5. Dakwah dalam kondisi yang lemah, untuk menguatkan semangat mad’u (orang yang menjadi subjek kepada dakwah), dan meredakan emosi penentang, agar dakwah diterima, atau berkurangnya tekanan ke atas dakwah dan pendakwah.

Di dalam situasi sebegini, manusia berada di dalam keadaan emosional yang melebihi rasional. Justeru dakwah yang mengabaikan aspek emosional seperti pemilihan kata yang sesuai, memberikan contoh-contoh yang dekat dengan kefahaman mad’u, akan berisiko tinggi untuk ditolak. Penolakan kepada dakwah itu terjadi, bukan kerana mad’u menolak kebenaran, tetapi kerana dakwah yang menyinggung kondisi emosinya.

Hal ini bersesuaian dengan peringatan Allah SWT di dalam al-Quran:

Maka dengan sebab rahmat daripada Allah itulah engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka. Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. [Āl ‘Imrān 3: 159]

Semasa mengulas ayat ini, Imam Birgivi (meninggal 1573M) menyatakan bahawa pendekatan yang kasar terhadap salah laku yang terjadi menjadikan dosa berganda dosa (Birgivi 2002). Ia menghilangkan kasih sayang dan empati dalam usaha menghilangkan perkara-perkara yang keji daripada manusia.

Daripada Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Abū al-Qāsim (Rasulullah) SAW bersabda:

“Tidak tercabut sifat kasih sayang dan belas (daripada diri seseorang) melainkan daripada orang yang diharamkan daripadanya kebaikan” [HR al-Tirmidhi]

KESAN PENDEKATAN PSIKOLOGI

Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, banyak kisah yang dicatatkan tentang pendekatan Rasulullah SAW pada menangani cabaran dakwah.

Antaranya adalah kisah seorang anak muda yang mahu berzina, seperti yang dinukilkan ini:

Abu Umamah r.a. berkata: “Ada seorang pemuda datang menghadap Nabi SAW seraya berkata, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berzina.” Orang-orang yang ada di sekitarnya menghampiri dan memaki, “Celaka engkau, celaka engkau!” Setelah Rasulullah SAW menyuruhnya untuk mendekatinya, pemuda itu pun menghampiri dan duduk mendekati beliau, lalu beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada ibumu?” Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuanmu?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan ayahmu (ibu saudara)?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau menjawab, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu saudara mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan ibumu (ibu saudara)?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu saudara mereka.” Kemudian Rasulullah saw meletakkan tangannya di dada pemuda itu seraya berdoa, “Ya Allah, ampunilah dosanya, sucikanlah hatinya, dan lindungilah kemaluannya.” Setelah itu, pemuda tersebut tidak menoleh sedikit pun kepada hal- hal yang haram.”

Di dalam kisah ini, banyak iktibar yang kita peroleh pada meneladai dakwah Baginda SAW kepada seorang anak muda yang tergamak meminta kebenaran untuk berzina.

Riwayat ini, menjelaskan ketinggian peribadi dan wawasan Rasulullah SAW berbanding sahabat yang berada di sekeliling Baginda. Bangkangan yang dikemukakan oleh para sahabat itu difahami sebagai sikap yang teguh pada mencegah kemungkaran, apabila melihat anak muda itu berkelakuan melampau meminta kebenaran Rasulullah SAW untuk melakukan zina. Tetapi Rasulullah SAW menampakkan kendali diri yang tinggi, dan membezakan di antara masalah yang kelihatan berbanding dengan masalah yang sebenar. Masalah yang kelihatan, adalah keinginan anak muda itu untuk berzina. Tetapi Baginda SAW menunjukkan bahawa masalah sebenar anak muda itu bukan pada nafsunya, tetapi pada cara berfikir yang salah. Meminta kebenaran untuk berzina itu bukan cetusan nafsu semata, tetapi keinginan yang lahir daripada sikap mementingkan diri sendiri.

Baginda SAW mengatasi masalah itu, tidak secara memberitahu, tetapi melakukan proses soal jawab (coaching) agar akhirnya pemikiran yang salah itu, diakui sendiri oleh anak muda berkenaan.

Pendekatan psikologi ini mencapai kesempurnaannya pada nilai empati tertinggi apabila Rasulullah SAW bukan sahaja menyedarkan anak muda itu akan kesalahannya, tetapi turut menjadikan doa dan pergantungan kepada Allah sebagai sumber kekuatan yang teras.

Di dalam buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu, pengarang berkongsi beberapa catatan peristiwa dakwah yang efektif kesan daripada memanfaatkan pendekatan psikologi. Misalnya di dalam bab Dyslexia: Andai Diriku Lebih Berusaha, pelajar nakal yang menjadi kemarahan ramai pihak di sekolah tempat pengarang mengajar, akhirnya menatijahkan kesedaran bahawa pelajar berkenaan menghadapi masalah pembelajaran yang dikenali sebagai dyslexia (Hasrizal 2012).

Tanda-tandanya hanya dapat dikenal pasti apabila guru berhenti memarahi pelajar yang nakal dan malas membaca, lalu cuba memahami keadaan itu daripada perspektif pelajar berkenaan.

Untuk memahami bagaimana ilmu-ilmu kemanusiaan berfungsi meningkatkan keberkesanan dakwah, perhatikan ilustrasi berikut:

Dakwah bermula daripada pendakwah memahami Islam. Proses memahami Islam itu merujuk kepada teks-teks sumber, bermula daripada al-Quran dan al-Sunnah, diikuti oleh kupasan-kupasan para Ulama’. Islam yang ditemui di dalam teks ini adalah Islam versi yang sepatutnya diamalkan. Islam yang ideal ini disebut sebagai Meta Islam.

Sekiranya orientasi fikiran pendakwah itu hanya pada melihat teks, beliau akan bertemu dengan realiti yang adakalanya sama dengan apa yang dinyatakan oleh teks, tetapi selalu juga berbeza. Islam yang diamalkan, berbeza daripada Islam yang sepatutnya diamalkan. Jurang di antara Islam yang sepatutnya diamalkan dengan Islam yang diamalkan, adalah jurang yang menjadi ruang dakwah.

Seandainya pendakwah beranggapan bahawa kegagalan mengamalkan Islam yang sepatutnya itu berpunca daripada kejahilan, tidak memahami tuntutan sebenar Islam, maka beliau mengharapkan agar penerangannya tentang ‘hukum’ dapat menyelesaikan keadaan. Akan tetapi di dalam banyak keadaan, mad’u gagal mengamalkan Islam, bukan kerana tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan, tetapi mereka dibelenggu oleh faktor-faktor yang tiada keterangan langsung di dalam teks.

Kegagalan mengiktiraf faktor ini, boleh menyebabkan pendakwah berkeras dalam pendekatan dakwahnya. Namun di sana ada banyak faktor yang berkaitan dengan kemanusiaan manusia, menjadi punca kegagalan mad’u mengamalkan Islam.

Misalnya, selepas pendakwah bertindak menjelaskan kaedah sebenar berkenduri selepas berlakunya kematian, mad’u mungkin masih tidak dapat melakukannya. Perintah Rasulullah SAW agar para sahabat memasak makanan untuk keluarga Ja’far bin Abī Thālib yang terbunuh di dalam Perang Mu’tah, bersama nasihat ulama tentang isu meratap si mati, bahaya secara tidak disedari menggunakan harta si mati yang merupakan harta anak yatim, dan pelbagai penjelasan lain, masih belum mampu mengubah kebiasaan masyarakat.

Apabila pendakwah meneliti aspek psikologi dan sosiologi komuniti para sahabat, di sebalik hukum hakam Syariat Islam, adanya elemen al-ītsār ‘alā al-nafs (mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri) yang disemai oleh Baginda SAW (Mohammed 2008). Elemen ini disebut sebagai altruism dan ia hanya dapat dikenali dan diusahakan di dalam kerja dakwah apabila pendakwah memanfaatkan ilmu kemanusiaan seperti psikologi, dan sosiologi. Semestinya, pendakwah terlebih dahulu merujuk kepada ilmu sejarah (Sirah) bagi mendapat petunjuk berkenaan hal ini.

Dalam suasana semasa, literatur ilmiah di bidang psikologi mungkin sulit untuk dirujuk oleh pendakwah. Sekurang-kurangnya pendakwah boleh memanfaatkan karya psikologi populis bagi mendapatkan asas-asasnya.

Antara karya kontemporari yang boleh pendakwah manfaatkan untuk mengasah kemahiran menggunakan pendekatan psikologi di dalam dakwah ialah The 7 Habits of Highly Effective People karya Stephen Covey. Demikian juga Everyone Communicates, Few Connect: What the Most Effective People Do Differently, karya John C Maxwell. Selain daripada itu, buku How to Win Friends and Influence People oleh Dale Carnegie.

Pengarang juga secara khusus menggalakkan pendakwah memanfaatkan buku tempatan nukilan Fazrul Ismail bertajuk Master P.I.E.S: Lonjakan Potensi Diri.

PENUTUP

Di dalam berinteraksi dengan para sahabat yang melakukan kesalahan, Rasulullah SAW menggunakan berbagai-bagai pendekatan psikologi seperti berlembut, bertegas, menimbulkan perasaan benci kepada maksiat, mengelakkan kemudaratan yang lebih besar dan lain-lain, mengikut tahap kecil atau besar sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Di dalam menghadapi masalah kecil, baginda menggunakan pendekatan berlembut dan di dalam menghadapi masalah besar terutama sekali kesalahan jenayah syariah, baginda mengambil sikap yang tegas apabila terbukti kesalahan tersebut berdasarkan bukti-bukti yang kukuh. Pendekatan- pendekatan seumpama ini sangat baik untuk dijadikan teladan kepada ketua negara, pemimpin masyarakat, hakim-hakim, guru-guru dan ibu bapa.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah ia dengan tangannya. Jika dia tidak mampu melakukannya, maka hendaklah dia mengubah ia dengan lisannya. Jika dia tidak mampu melakukannya, maka hendaklah dia mengubah ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman” [HR Ibn Hibban]

Pendakwah yang melihat kemungkaran, diperintah oleh Nabi SAW bukan sekadar bertindak mencegahnya, tetapi bertindak mengubahnya ke arah yang lebih baik. Pendakwah tidak wajar berpegang dengan sikap acuh tidak acuh dan ‘asalkan buat’. Sebaliknya pendakwah mestilah mempunyai keinginan yang tinggi untuk melihat kemungkaran yang terjadi, boleh diubah menjadi kebaikan, melalui pendekatan yang lebih empati, memahami, dan berseni.

Sayyid Qutb ra pernah menyebut bahawa tarbiah adalah seni membentuk manusia.

HASRIZAL BIN ABDUL JAMIL
26 RAJAB 1435H
BANDAR SERI PUTRA

RUJUKAN

  • Al-Quran al-Karim
  • Adz-Dzakiey, H. B.   2008.   Psikologi Kenabian.   Yogyakarta: Al-Manar.
  • Al-Bayānūnī, M. a. a.-F.   1995.   Al-Madkhal Ilā ‘Ilm Al-Da’wah.   Beirut: Muassasah al-Risālah.
  • Al-Khālidī, S. a. a.-F.   2007.   Ma’a Qasas Al-Sābiqīn Fī Al-Qur’ān.   Damascus: Dār al-Qalam.
  • Al-Qaradhāwi, Y.   1996.   Tsaqāfah Al-Dā’iyah.   Kaherah: Maktabah Wahbah.
  • Birgivi, M. B. P. a. a.-B.   2002.   Al-Tharīqah Al-Muhammadiyyah Wa Al-Sīrah Al-Ahmadiyyah.   Aleppo: Dār al-Qalam al-‘Arabī.
  • Ghuddah, A. F. A.   2011.   40 Strategi Pendidikan Rasulullah Saw.   Selangor: Pelima Media Sdn Bhd.
  • Harper, D. 2014. Online Etymology Dictionary.
  • Hasrizal, A. J.   2012.   Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.   Kuala Lumpur: Galeri Ilmu Sdn Bhd.
  • Mohammed, W.   2008.   Islamic Sociology.   Kuala Lumpur: A.S. Noordeen.

 

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Perkongsian terbaikk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share