Facebook dan Print Screen Itu Lagi

impulsiveness

Media sosial, diketuai oleh Facebook, kemudiannya oleh Whatsapp adalah dua platform yang sangat impulsif.

Laju sahaja hendak menulis, berkongsi, dan terkini print screen.

Semuanya kerana ia kelihatan sebagai sebuah komunikasi mantap, tanpa risiko berdepan untuk bertentang mata dengan sahabat, mahu pun lawan. Manusia paling jahil pun boleh menjadi alim, yang paling pengecut pun menjadi wira, dengan menyembunyikan diri di sebalik komunikasi E.

Setelah begitu lama berkecimpung di dalam penggunaan medium elektronik untuk dakwah dan komunikasi (cukup lama, kerana blog saya pun sudah sebaya dengan pelajar universiti hari ini), sudah tentu ada masa-masanya, kita memilih untuk berundur setapak, agar ada kemajuan yang berterusan.

Saya bukanlah seorang manusia yang boleh membuka sebuah halaman (fanpage) di Facebook, pos satu status dan membiarkan sahaja orang bercakap tidak senonoh, bergaduh, mencarut dan memaki hina, melainkan saya bertanggungjawab terhadapnya. Justeru, halaman terbuka HASRIZAL ABDUL JAMIL (fb.com/ustazhasrizal) telah saya tutup pada tahun lalu. Untuk selamanya, Insha-Allah.

Saya mahu mengurangkan satu tempat masyarakat membuang masa.

Saya mahu mereka kembali kepada alam nyata. Mahu cari ilmu, cari majlis ilmu. Tempuhi hujan, kesesakan trafik, surau tidak selesa, dan ceramah bosan tiada butang pause, lalu menyabarkan diri hingga beliau menutup majlis, solat Isyak berjemaah dan kembali ke rumah. Kembali ke rutin itu. Semua yang demikian tidak termasuk dalam ‘majlis ilmu’ tetapi penting dalam membentuk watak ‘penuntut ilmu’.

APA YANG TINGGAL

Apa yang tinggal adalah halaman Facebook kecil yang saya spesifikkan ia mengikut subjek tertentu. Selain menjadikan ia lebih berteraskan ilmu, saya juga mahu menjadikan ia sebagai cara saya mengawal diri daripada sikap ‘semua benda nak cakap’. Antara halaman kecil-kecilan yang saya kendalikan pada masa ini ialah:

  1. Mu’arrikhūn di fb.com/muarrikhun , khusus untuk topik sejarah dan ketamadunan
  2. ABAH.MY di fb.com/abah.my , khusus untuk topik kebapaan dan pendidikan keluarga daripada perspektif bapa.
  3. Imam Birgivi di fb.com/imambirgivi , khusus untuk petikan-petikan pendapat berkenaan dengan Imam Birgivi (m 1573).

Setelah biasa dengan halaman Facebook yang menerima puluhan ribu pembaca, ratusan komen dan like, juga share, saya membiasakan diri perlahan-lahan untuk selesa dengan hanya lima komen, tujuh share dan lima puluh like. Kembali ke kaedah asal iaitu, “engkau seru, dan Aku sampaikan”. Allah jua yang maha Berkuasa pada menyampaikan hidayah-Nya merentas jarak dan masa.

Ada pun komunikasi peribadi, akaun Facebook saya pernah mempunyai 5000 friends, di zaman saya ‘pasrah’ kepada hakikat diri saya sebagai seorang pendakwah yang sedang sangat aktif, dan sebahagian diri dimiliki oleh masyarakat. Ia membinasakan. Saya menyerap kegawatan masyarakat ke dalam kehidupan peribadi. Entah berapa oranglah sangat yang menjadi baik kerana perkongsian saya, tetapi yang pasti saya yang rosak binasa, sama ada kerana saya buat salah, atau saya rasa saya tidak buat salah, betul belaka.

Saya cekalkan hati dan unfriend lebih 4900 orang!

sahabat-fb

Sahabat yang masih ada di dalam Facebook saya pada masa ini

Tinggal 80 orang kawan.

DI MANAKAH NILAI PERSAUDARAAN ITU?

Hatta yang sepengajian di sekolah, di Jordan, pernah sebantal atau makan berkongsi talam, semuanya saya unfriend. Saya lakukan itu kerana  saya tidak mahu diri saya dan sahabat saya terjebak dalam dosa buruk sangka, sindir menyindir, sedangkan di alam nyata, kami sudah pernah hidup bersama bertahun-tahun. Tidak cukupkah ukhuwwah itu untuk berbaik sangka, untuk sekurang-kurangnya berkata, “ala, anta bukan tak kenal Pok Sheikh Hasrizal tu. Dia kan memang macam tu!”

Tetapi tidak di Facebook.

Kita masing-masing sangat teruja dengan territory akaun peribadi kita, hingga sangkaan kita menjadi lebih besar daripada pengalaman yang hakikatnya lebih benar lagi nyata. Kita percaya kepada sangkaan. Kita buang nilai persaudaraan, sekurang-kurangnya untuk berbaik sangka.

80 orang yang masih friend di Facebook itu majoritinya adalah bukan Melayu dan berada di luar negara. Tanpa Facebook, tiada cara lain untuk kami berkomunikasi dengan mudah. Bukan semua negara menggunakan Whatsapp. Bukan semua negara berkomunikasi di Twitter. Facebook dihadkan penggunaannya.

Saya tiada pejabat.

Saya tiada ramai kawan.

Tanpa Facebook, saya tidak ada banyak medium berbual dengan sahabat yang sesungguhnya sahabat.

Lalu saya beranikan diri menambah kembali beberapa orang kenalan yang sangat akrab, dan perbualan kami amat personal.

PERBUALAN DENGAN SAHABAT

Apabila saya sangat bengang dengan mahasiswa dan mahasiswi yang biadab dalam komunikasi menjemput saya ke program, saya balas dengan penuh rasa sabar dan tenang, emel pelajar berkenaan, namun sekali sekali rasa geram yang meluap-luap itu, saya kongsikan dengan rakan di Facebook peribadi saya, yang dibaca oleh hanya 5 ke 10 orang sahabat.

Apabila kita berbual dengan sahabat yang sangat rapat, faham-faham sahajalah bahasanya.

“Kadang-kadang tu, ana rasa macam nak hempuk dengan tong gas je mamat ni” antara ayat saya di dalam Facebook dengan rakan-rakan.

‘Mamat’ kurang ajar yang tidak reti berbahasa itu, saya rahsiakan namanya walaupun daripada pengetahuan sekadar 5 ke 10 rakan di Facebook. Hanya ceritanya yang saya kongsi.

Dan sahabat-sahabat saya pula membalas, “kalau dah scholars Petronas, hempuklah dengan tong gas Petronas!”

“Tong hijau tu, nanti timbul prasangka pulak!” tambah seorang lagi.

Ia bahasa sahabat dengan sahabat.

Sekali sekala.

Kerana kami ada kehidupan dan kesibukan di luar Facebook, seperti kebanyakan manusia lain.

MALANGNYA…

Di kalangan sahabat saya, masih ada yang tidak faham-faham betapa bahayanya print screen, apatah lagi apabila ia dipos pula ke Whatsapp!

Tulislah amaran yang macam mana sekali pun, jangan siksa pengguna Whatsapp dengan melarang mereka forward, atau suruh mereka simpan rahsia. Iman kita bukan kuat mana pun!

“Ini untuk kita-kita sahaja, jangan forward ke group lain” penghantar print screen memberi amaran.

Lima orang menyebut “ok, ok, ini amanah”, dan orang keenam, sudah pun pos ke group lain yang beliau percaya, dengan pesanan, “ini untuk kita-kita sahaja”.

Bayangkan, jika perbualan saya dengan sahabat tadi di’print screen‘ dan disebarkan, sudah tentulah ia menjadi “ugutan bunuh Ustaz Hasrizal terhadap pelajar Petronas!!!”

Tidakkah ia suatu kebodohan? Malangnya yang bodoh itulah perkara enak untuk dikongsi-kongsi, disebar-sebar, sering juga atas nama agama!

SALAH SAYA ATAU SAHABAT

Akhirnya saya bertanya kepada diri, adakah sahabat-sahabat saya tidak faham-faham, atau saya yang tidak serik-serik.

Sahabat saya adalah sahabat yang terpuji, beliau berani berdepan dengan saya membuat pengakuan maaf atas keterlanjurannya print screen perbualan saya. Malah sanggup jika saya putuskan persahabatan dengannya kerana dia tahu kesan print screen beliau itu terhadap hidup saya dan keluarga. Tetapi, saya memang sudah tidak punya ramai sahabat ini, masakan saya hendak ‘membuang’ sahabat yang ada.

Sesungguhnya saya maafkan dia, dia, dia dan dia kerana setiap seorang mereka melakukan print screen, bukan dengan maksud menganiaya saya, tetapi akhirnya menjadi penganiayaan paling kejam, yang lebih teruk daripada apa yang ‘musuh’ lakukan terhadap diri.

Sesungguhnya kecuaian sahabat, lebih besar balanya berbanding ketelitian musuh!

Tersebarnya print screen dengan nama saya, ia bukan fitnah. Memang memang perkataan saya. Perkataan peribadi saya dengan dua tiga orang sahabat saya, di dalam akaun peribadi saya, dan bukan kenyataan umum. Apa yang disebarkan itu adalah aurat, tajassus dan daging saudaramu yang tidak halal dijamah, apatah lagi oleh amilin gerakan Islam.

Jika tentera al-Fatih, tidak tergamak memetik anggur orang ramai untuk diberikan kepada Sultan, semasa menuju penawanan Constantinople, tandanya perjuangan mahu menegakkan negara Islam itu masih jauh daripada kejayaan, jika saban hari kerja kita adalah mengumpat, mengeji dan mencaci sebutir anggur kecut bernama Hasrizal ini.

Walhal, saya hanya sebutir anggur kecut.

Tiada jawatan parti.

Tiada berpihak kepada mana-mana puak dan jemaah dalam jemaah.

Tetapi selepas hampir 30 tahun berada di dalam PAS, saya faham, jemaah kita sering pandai mencipta musuh. Jika ada seseorang itu berbeza pendapat, beliau akan dibentuk dengan kebejatan muamalah kita hingga akhirnya beliau menjadi musuh yang sempurna, ciptaan kita sendiri. Kita tidak sanggup menerima sahabat yang berbeza pendapat. Kita sepertinya mahu mengubah dia hingga akhirnya dia menjadi musuh kita.

MENUNAIKAN PERMINTAAN

Tulisan ini hanya sebagai memenuhi permintaan beberapa pihak, yang khuatir dengan penyebaran print screen saya, dan mahu saya membantu adik-adik saya, kalau pun tidak anak-anak saya, berhenti membuat dosa, berbekalkan sebuah penjelasan.

Saya bukanlah budak-budak. Jika saya kritik anggota Majis Syura Ulama dalam perbualan saya dengan sahabat saya, ia adalah kritikan rakan-rakan sepengajian. Kami satu batch. Cuma, saya ini agak comot.

Lalu mungkin ada anak muda yang membaca print screen saya jadi tersalah sangka, “sapa mamat bangang ni dok maki ulama kita!”

Maka inilah pendirian saya.

Saya yang tiada apa-apa, tiada jawatan atau apa-apa kepentingan. Hanya sebuah nama yang pernah singgah dalam sebuah usaha bersama. Saya cuma cemburu dengan anak muda. 90% apabila berfikir tentang anak muda, akan fikir apa produk yang mereka hendak jual kepada anak muda. Hanya 10% yang memikirkan diri anak muda itu, dan berapa peratus sangatlah daripada 10% itu yang merealisasikan keprihatinan mereka kepada tindakan.

Apabila anak-anak muda dibuli minda mereka dengan falasi-falasi fikrah di dalam tamrin dan usrah, ia saya anggap sebagai perbuatan merosakkan anak muda. Jika mahu berebut jawatan, berebutlah. Tetapi jangan justifikasikan perebutan itu dengan mengkucar-kacirkan minda.

Misalnya:

“Jika ulama memimpin jemaah kita, mereka memimpin dengan al-Quran dan al-Sunnah. Dan Allah bersama dalam perjuangan mereka. Jika bukan ulama yang memimpin, mereka hanya bergantung kepada akal. Maka kita mahu jemaah kita dibantu oleh Allah, hendaklah kita membuat pilihan kepimpinan yang betul”

Ini adalah kenyataan yang beracun. Tiada jawapan yang betul boleh diberikan kepada soalan yang salah. Soalan yang salah ini tersebar di sana sini, dah saya melihatnya sebagai sebuah formula self destructive bagi mana-mana perkumpulan yang menjamahnya!

Justeru…

Pendirian saya:

  1. Tiada lagi akaun Facebook peribadi
  2. Whatsapp sudah dibatalkan
  3. Twitter sudah dimansuhkan
  4. Menolak wacana beracun di dalam usrah dan tamrin kalangan anak muda, pada menjustifikasi kepimpinan ulama, atau kepimpinan profesional
  5. Merumuskan wacana harapan, di blog ini secara khusus, dan kebetulannya di Majalah I keluaran akan datang hasil dua jam temuramah (sebelum kejadian print screen terkini).
  6. Bertawakkal kepada Allah agar meneguhkan sabar dan istiqamah, hingga mati dalam husn al-khatimah.

“Great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people”

Akhukum fillah,

HASRIZAL
43000 BSP

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

7 comments

  1. Assalamualaikum ustaz,

    Alat komunikasi yg saya gunakan kini, hanyalah telefon “landline” dan e-mel.
    Once in a blue moon, snail mail (pos).
    Juga, spt skrg, sekali sekala komen di blog.

    Alhamdulillah, dgn cara ini, saya dianugerahi lebih masa utk banyak merenung dengan hati dan akal yang tenang.. ke langit, ke alam ciptaan tuhan dan paling utama..berkomunikasi sambil merenung ke dalam mata anak-anak saya yang masih hijau. 🙂

  2. Kembali ke alam nyata. Alam maya hanya alat berkomunikasi, buksn alternatif kpd alam nyata. Jika alat sudah tidak berfungsi seperti sepatutnya, tindakan bijak adalah mencari alat lain, atau kembali kpd cara asal yg lebih berkesan.
    Semoga Allah SWT memperteguhkn hati enta, dan mempermudahkn segala urusan.

    • Terima kasih Abang Amin.

      Nampaknya circle yang dahulu saling membantu kita menjaga iman, kini berubah menjadi lingkaran membakar kebaikan. Moga berundur ke belakang, mengurangkan kayu memanjang api.

  3. Saya pun baru2 ini terpaksa mengambil keputusan drastik – delete whatsapp dan telegram. Group whatsapp keluarga yang tujuan asalnya utk merapatkan hubungan sesama ahli keluarga, hanya menjadi medan sindir menyindir dan medium baru utk surat berantai daripada tahun 60-an dan berita-berita palsu yang sudah berkali-kali kepalsuannya didedahkan. Saya mula menggunakan whatsapp pun agak terlewat, baru dalam setahun setelah diajak untuk menyertai grup sekolah. Whatsapp memang bala yang lebih besar daripada facebook.

    • Whatsapp itu adalah ujian kepada free will. Dapat sebuah telefon, bagaimana mengendalikannya, sebelum dapat kuasa. Apabila privasi pun disebar luas, tandanya tiada rasa hormat kepada individualiti rakyat. Sesiapa sahaja akan ditelanjangkan, demi membuktikan asap itu berapi.

      Individu rosak, keluarga rosak, negara pun rosak, kerana kelemahan diri menguruskan ‘kuasa’

  4. Tahniah atas kemampuan ustaz berbuat demikian. Cuma kalau ada kesempatan, harapnya dapatlah sesekali kita berjumpa, melebarkan ukhuwwah seadanya.

  5. Apapun,

    yang di rumah ini janganlah dihentikan. Ada ramai lagi pembaca yang sangat setia.

    Jumpa-jumpa terserempak itu mungkin lebih baik buat ustaz dari bersosial di mana-mana laman yang boleh dinampak orang dari luar dalam, malah boleh diambil gambar dan ditunjuk-tunjuk, eh itu Ustaz Hasrizal!

    Moga sukses Ustaz! 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share