CATATAN PERIBADI
Dalam beberapa bulan mutakhir ini, sangat banyak terjadi kejadian yang menyerang fikiran kita sebagai manusia, lebih-lebih lagi sebagai Muslim. Terkini adalah serang menyerang yang berlaku di Eropah, susulan kejadian maut di ibu pejabat Charlie Hebdo, Paris.
Di media sosial, saya sudah pun menghadkan ruang saya bercakap kepada Mu’arrikhun untuk genre sejarah, ABAH.MY untuk kebapaan, kekeluargaan dan pendidikan serta satu dua halaman kecil yang lain dengan genre yang khusus. Tujuannya, saya mahu mengekang diri saya daripada mahu bercakap tentang semua benda. Di Facebook peribadi, pula, semua rakan diskusi telah diundurkan dan ia bukan lagi ruang untuk saya berbincang dengan rakan-rakan seperti sebelumnya. Tiada perbincangan di situ. Hanya digunakan untuk mengurus Page yang disebutkan tadi.
Saya juga telah asingkan penulisan blog kepada tiga blog agar lebih terfokus iaitu blog ini, SAIFULISLAM.COM, diikuti dengan ABAH.MY untuk topik-topik kekeluargaan, dan kebapaan, manakala MY KHALIFAH JOURNEY adalah untuk artikel-artikel pendidikan dan kebanyakannya adalah di dalam bahasa Inggeris.
Apa yang tinggal adalah blog saifulislam.com tempat untuk saya meluahkan apa yang terbuku di hati. Tetapi bentuk interaksi blog yang sepi, jarang mendapat maklum balas dan memakan masa yang panjang untuk menghasilkan sebuah artikel yang baik, menyebabkan hajat di hati yang terbuku itu, sukar diluahkan.
Ia sebenarnya baik untuk saya.
Walaupun pertempuran dalaman menjadi sangat hebat.
Bertempur dengan dalaman diri yang masih mahu rancak berbincang, tetapi tiada regu perbincangan. Pertempuran yang memaksa diri untuk percaya bahawa keadaan semasa ini lebih baik. Pada usia 40 tahun ini, janganlah lagi diulang apa yang sudah menjadi kebiasaan sebelum ini. Jangan lagi mahu menulis tentang semua benda, mudah terheret dalam jawab menjawab, atau terlebih meletakkan keperluan ‘akuran sosial’ untuk terus berkarya.
SUNNAHKAH MENEMBAK MATI PENJENAYAH ITU?
Apa-apa pun, saya telah mengambil keputusan untuk memberhentikan langganan saya kepada halaman Facebook sebuah komuniti database Hadith atas talian dari Indonesia. Sejak sekian lama saya menjadikan perkongsian mereka sebagai sumber yang berguna untuk rujukan hadith-hadith Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam. Tetapi apabila secara tiba-tiba mereka memberikan sokongan kepada pemuda-pemuda yang menyerang mati ibu pejabat Charlie Hebdo, saya tidak dapat menerimanya. Apatah lagi didatangkan pula hadith-hadith Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam untuk menjustifikasi sokongan tersebut, sehingga seperti dengan sengaja tidak dibezakan antara ‘dikenakan hukuman mati’ ke atas penghina Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam, dengan ‘penghina itu dibunuh oleh orang awam atas keputusan dan tindakan sendiri’ yang bersifat anarki!
Atas nama Sunnah!
Siapa yang tidak benci dan marah dengan penghina-penghina itu. CV kartunis Charlie Hebdo tidak menunjukkan mereka itu berkarya hasil kedunguan intelek. Mereka memang keji sejak sekian lama.
Tetapi membalas kehinaan itu dengan anarki atas nama agama, saya tidak pernah beragama dengan agama yang sebegitu. Dan malang sekali kerana begitu ramai yang menyokongnya.
Membalas kejahatan dengan kejahatan bukanlah catatan yang mesra dalam tadabbur saya kepada kitab Allah, begitu juga Sunnah baginda.
Sudah lupakah kita kepada impak serangan 9/11, lakaran kartunis Denmark yang menghina Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam 10 tahun yang lalu, dan fitnah filem Fitna oleh Geert Wilders? Apakah pelajaran yang telah kita ambil? Tindakan bagaimana yang mengubah bencana menjadi kebaikan? Tindakan bagaimana yang mengubah benca menjadi malapetaka?
Sudah cukup banyak literatur yang dihasilkan oleh akademia seperti Bernard Lewis untuk membuktikan secara saintifik bahawa Muslim itu marahnya kerana mereka memang suka marah. Bahan-bahan ‘kajian’ yang sudah diolah menjadi polisi untuk dengan sengaja mengheret Muslim dengan kemarahan mereka ke kancah Clash of Civilizations oleh Samuel P. Huntington.
Kita marah.
Namun menyerlahkan rasa marah itu dengan serangan, ia tidak mengubah apa-apa. Apabila kita melihat kemungkaran, tuntutan Sunnah bukan mencegahnya seperti yang makruf dalam terjemahan bahasa Melayu kita. Sebaliknya perintah Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam adalah MENGUBAHnya. Menukar serangan dan ancaman kepada peluang. Bagi Muslim yang berjuang di bumi asing, pasti arif dengan nilai sebuah PELUANG.
Bukanlah yang gagah itu pada hebatnya kita menunjuk kuat. Tetapi kegagahan sebenar yang diperlukan untuk memadam jahiliah dan menggantikannya dengan cahaya Islam, adalah pada keupayaan mengawal diri ketika marah.
DEJAVU 9/11
Saya berbicara sebagai seorang bekas Imam di Ireland Utara yang pernah cuba menyabarkan komuniti kami pasca 9/11, ketika masjid kami dibaling batu dan muslimah kami diludah di jalanan.
Saya, atau mana-mana pemimpin komuniti, tidak menyuruh umat Islam membaling batu ke gereja atau meludah kembali Irish dan Nasrani di kaki lima. Apa yang dipesan adalah sabar, mengawal diri, meyakini kegilaan mereka hanya sementara, dan Alhamdulillah selepas beberapa bulan, daripada dunia yang tidak kenal siapa Muhammad dan apa itu Islam, masjid kecil kami itu didatangi sendiri oleh manusia yang mahu tahu siapa Muhammad dan apa itu Islam. Sekurang-kurangnya seorang sebulan kita menerima saudara baru yang bersyahadah.
Serangan itu membantu Islam, Muhammad, Quran dan Muslim merentas padang hijau dan lembah asing bumi St Patrick untuk menyampaikan kalimah Tauhid kepada kaum Irish yang sememangnya ketika itu amat asing pengetahuan mereka tentang kita.
RACUN ‘SARCASM’
Tidakkah kita yang gemar berbahasa menyindir itu?
Menyindir sesama kita dengan bahasa yang dilarang Allah di dalam al-Quran (surah al-Hujurāt ayat 11).
Tragedi Charlie Hebdo juga sepatutnya menjadi pengajaran besar kepada kita bahawa bahasa sarcasm, satira melampau, menyindir, sukhriyyah, semua itu adalah bahasa jahiliah. Apabila kita menggunakan bahasa ini sesama kita, bahasa itu sangat beracun dan digemari Syaitan, lantas berpotensi untuk membangkitkan fitnah dan kehancuran. Kita mengumpan kesyaitanan manusia untuk bangkit menjadi kaum yang membuat kerosakan, bahkan menumpahkan darah.
Sudah-sudahlah dengan kecelaan lisan sesama kita selama ini.
Apabila mereka itu tidak Islam, ertinya kita harus lebih baik dari cara mereka mengendalikan diri.
Mereka membalas kejahatan dengan kejahatan.
Kita membalas kejahatan dengan kebaikan.
Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat 41: 34-35]
Apakah kita tidak mampu mempercayai janji Allah yang ini?
HASRIZAL
43000 BPS
Apa yang saya dapat lihat, umat Islam lebih ‘beriman’ kepada simbol. Huruf alif lam lam ha dipertahankan sedangkan suruhan-Nya diabaikan. Nama Muhammad dianggap mulia melebihi ajaran-ajaran Baginda SAW. Keadaan ini menjadikan umat Islam begitu reaktif pada permukaan, dan dungu pada dalaman.
Beragama ‘tanpa Tuhan’
mungkin saja bukan muslim yang menyerang. Membuat serangan atas nama muslim. kemudian menuduh musli, mungkin?
Hal yang berkenaan, kita serahkan kepada siasatan. Tetapi masyarakat yang menyokongnya, adalah kepastian yang memerlukan peringatan.
Assalamualaikum, ustaz.
Saya dah lama mengikuti blog ustaz. Ini pertama kali saya “memunculkan diri”.
Tertarik dengan isu ini, dan amat setuju 100% dengan tulisan kali ini. Ia menepati apa yang saya rasa dan fikir,yang saya sendiri sukar untuk terjemahkan dalam bentuk penulisan yang berhemah.
Perkara yang sama berlaku pada saya, dibesarkan dalam kaum sendiri yang memandang serong kaum bukan seagama, dari kecil ditanam, tapi bila dewasa saya menyedari “tanaman” yang tidak bermanfaat ini. Mengeji bukan cara Islam. Mendidik bukannya mengeji, menerangkan bukan menutup.
Teruskan penulisan ustaz, saya percaya lebih ramai silent reader yang mengambil ikhtibar dari tulisan ustaz.
Wassalam.
Saya dah banyak kali juga mengikuti blog ustaz. Ini pertama kali saya “memunculkan diri”. Mungkin banyak kali itu saya setuju dengan pandanagan ustaz. Tapi bagi pandangan saya, kalau tindakan ustaz yang tidak lagi merujuk sumber-sumber hadith seperti dinyatakan dibawah:-
“Sejak sekian lama saya menjadikan perkongsian mereka sebagai sumber yang berguna untuk rujukan hadith-hadith Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam. Tetapi apabila secara tiba-tiba mereka memberikan sokongan kepada pemuda-pemuda yang menyerang mati ibu pejabat Charlie Hebdo, saya tidak dapat menerimanya. Apatah lagi didatangkan pula hadith-hadith Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam untuk menjustifikasi sokongan tersebut, sehingga seperti dengan sengaja tidak dibezakan antara ‘dikenakan hukuman mati’ ke atas penghina Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam, dengan ‘penghina itu dibunuh oleh orang awam atas keputusan dan tindakan sendiri’ yang bersifat anarki!”
Atas nama Sunnah!
Anggota-anggota ibu pejabat Charlie Hebdo telah berjaya memporak-perandakan kita.
Saya ada mendengar satu syarahan di Internet, bagaimana peristiwa Saiyidatinah Aisyah difitnah, dan Saidina Abu Bakar telah menahan pemberian sebangai bantuan kepada yang membuat fitnah tersebut. Perkara ini telah menyebabkan turunnya ayat yang melarang perbuatan beliau dan supaya meneruskan pemberiannya membantu yang memerlukan. Saya bukan jadi tidak berapa pandai nak menerangkan kepada ustaz tapi saya sampaikan rasa tak puas hati saya terhadap ustaz sebab , katalah anggota-anggota Charlie Hebdo ini tahu tindakan ustaz, mereka senyum puas hati. Pandangan saya saja. Terima kasih dan mohon maaf kalau saya silap dan berharap pandangan ustaz. Terima kasih sekali lagi.
Terima kasih
Terima Kasih di atas pendapat dan ulasan ustaz…membaca ulasan al-hafidz di FB juga banyak membantu saya dalam memahamkan peristiwa dan respon mengenai peristiwa ini…bagi saya yang bukanlah pakar dalam bidang hadis dan tafsir al-quran saya berpegang dan yakin dengan prinsip bahawa Islam ini sebuah agama yang mendatangkan keamanan, kesejahteraan dan ketenteraman kepada jiwa manusia…sebuah agama yang adil dan memenuhi fitrah setiap insan…..Orang islam wajib untuk merasa marah atau “offended” bila Rasul Muhammad s.aw dihina dan dipersendakan atas dasar kebebasan bersuara atau apa sekalipun perkara ini wajib ditentang…dalam Islam sendiri kita tidak dibenarkan menghina atau mempersendakan agama lain. Namun bertindak hingga membunuh itu sesuatu yang salah dan mengakibat jiwa-jiwa manusia tidak tenteram atau aman. Apatah lagi yang terbunuh juga ada dikalangan manusia yang tidak bersalah orang-orang awam. Bagi saya individu islam yang menyatakan pembunuhan yang berlaku di charlie hebdo itu salah bukanlah memberi kredit kepada pihak “musuh” tetapi menjelaskan bagaimana islam itu sesuatu yang aman dan sejahtera. Sebaiknya video atau karikutor ini wajar tidak dipedulikan “ignore” tidak perlu disebarkan “share” forward” sebab saya yakin niat kepada penghasilannya adalah tertumpu dan ditujukan kepada orang islam agar kami rasa terhina dan marah tidak ada niat untuk mendidik masyarakat lain pun. Bila dilayan orang gila ini kita pun boleh jadi gila.