Ramadan Merawat Latah Pendakwah (dan Peminat Siasah)

ceramah

“Saya rasa serban yang dipakai itu hanya mengongkong pemikiran. Jumud!” kata seorang lelaki.

“You’re Muslim, damn you must be the one from Osama Fan Club!”, lagak seorang ‘mat saleh’ penuh angkuh.

“Ooi bodoh! Berapa kali aku nak panggil engkau. Sini la!” jerit seorang pelajar yang senior setahun.

Mustahil telinga tidak berdesing mendengar komen-komen di atas. Rasa terhiris dan mudah sahaja untuk bertindak balas. Kita ada seribu satu sebab untuk mengiyakan tindak balas kita… sama ada dengan maki hamun semula, selinsing lengan atau kurangkan bercakap banyakkan tindakan, bagi sejibik… sebijik!

Tetapi secara khusus di bulan Ramadhan ini, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar sebaliknya.

Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA (riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)

Apabila kamu dimaki hamun, jangan balas dengan maki hamun.

Apabila kamu diajak gaduh, jangan sahut dengan pergaduhan.

Andai kamu digelar bodoh atau dianggap bodoh, jangan tergesa-gesa mahu menunjuk pandai.

Sebaliknya berkatalah… AKU BERPUASA.

Apa ini? Mengapa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar begini? Apakah Islam menyuruh kita untuk play victim? Mampukah yang bertahan, menjadi Muslim yang tidak jantan… dengan hanya berkata AKU BERPUASA?

JANTAN KITA

Ya, inilah persepsi kita. Bahawa yang jantan itu ialah pada yang pantang dicabar. Pada yang harimau tidur jangan diganggu. Itulah ukuran kejantanan kita.

Tapi hebat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bukan begitu. Sirahnya nyata berbeza.

Ketika seorang lelaki datang kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta izin untuk menjadi Muslim yang berzina, apakah anda kira Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak terguris dengan permintaan kurang ajar begitu?

Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tiada sifat marah?

Tidak mampu marah adalah bacul, pasif ala si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan! Biarkan! Pasif!

Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.

Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu gagah… gagah tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah.

Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.

“Biar dia habiskan urusannya!” kata Baginda tenang.

Lantas Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta air dan sendiri membersihkannya.

Itulah jiwa kuat yang tulen.

Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!

Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.

Jangan pesimis, Covey menyebutnya sebagai PROAKTIF.

Inilah latihan puasa. Ramadhan datang dengan pakej latihan untuk mengajar kita cara mengawal diri.

LATIHAN RAMADHAN

Bukan puasa kerana tiada makanan. Tetapi puasa kerana melatih diri untuk terkawal. Tidak makan di depan makanan, kerana Tuhan. Bukan bertahan dari membalas kerana lemah dan berjiwa pondan. Tetapi belajar untuk memilih tindakan.

Marah itu perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan, hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidak setujuan… ia tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah marah, tetapi marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan sahabat mencari yang terbaik pada tindakan. Sebab marah itu emosi. Bila kita emosional, kita tidak rasional. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang sesalan.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq kepadamu membawa satu berita, siasatlah terlebih dahulu. Agar jangan nanti kamu bertindak ke atas suatu kaum dengan kejahilan. Lantas semua itu akan mengheret kamu kepada penyesalan atas apa yang kamu lakukan” (Al-Hujurat : 6)

Bagaimana mahu menyiasat? Bagaimana mahu bertindak dengan tepat? Andai terlalu mudah melenting dan sentiasa membalas berita dengan tindakan tanpa usul periksa.

Inilah yang diajar oleh Ramadhan. Mengajar Muslim untuk kembali mampu mengawal diri. Tidak mudah terangsang. Tidak terburu-buru mengambil tindakan.

Khusus bagi pendakwah yang memperjuangkan Islam. Tugas kita bukan mencegah kemungkaran semata, tetapi harus berusaha mengubah suasana.

“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tanganmu…”

Apa yang dituntut bukan hanya menyatakan ketidak setujuan dan penentangan, tetapi harus berusaha mengubahnya. Sirah mengajar kita bahawa jarang benar perubahan dapat dilakukan jika kita hanya tahu marah dan menunding salah.

TELADAN HUDAIBIYAH

Lihat sahaja kerenah orang Mekah dalam perjanjian Hudaibiyah. Siapa yang tidak marah dengan permintaan mereka? Sewenang-wenangnya kelihatan seperti win-lose situation.

“Kalau orang Mekah lari ke Madinah, ia mesti dipulangkan ke Mekah semula. Jika orang Madinah datang ke Mekah, ia tidak perlu dipulangkan ke Madinah”… orang Mekah dengan sombong meminta. Panas telinga.

“Mana boleh tulis Rasulullah. Kalau tertulis Rasulullah, maknanya kami mengiktiraf kamu dan kenalah kami ikut kamu. Tulis Muhammad bin Abdullah, sudah!” ego orang Mekah di depan baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ada segala sebab untuk bersikap defensif. Gelaran Rasulullah bukan anugerah sultan atau mana-mana raja Arab. Ia kurniaan Allah. Tiada sebab untuk tidak bertegas mempertahankannya.

Letakkan diri kita di kasut sahabat yang hadir ke perjanjian itu… mahunya tidak marah?

Tetapi bijaksana dan gagahnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengawal diri dari marah, tersinggung dan rasa dihina, membolehkan baginda memandang jauh, penuh rasional dan akhirnya mampu memisahkan di antara kepentingan substance dan form. Perjanjian Hudaibiyah berjaya menawarkan apa yang paling penting bagi sebuah dakwah dan perjuangan iaitu gencatan senjata! Bersetuju menjaga keamanan.

Inilah yang diperlukan oleh dakwah. Keamanan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam untuk berdakwah, bukan hanya di sekitar Mekah dan Madinah, malah utusan sampai ke seluruh empayar dan maharaja yang ada. Dakwah jadi efektif hasil keamanan. Keamanan dicapai hasil kebijaksanaan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengutamakan substance dari form.

REMAJA ‘BIADAB’

izinkahzinajika

Pernah sekali, seorang anak muda datang kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanyakan tentang kebarangkalian yang ada untuk dirinya dibenarkan berzina.

Zina itu bukanlah sesuatu yang terlalu sulit untuk difahami akan keburukannya. Segala sebab itu ada untuk pertanyaan itu dibalas dengan kemarahan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Malah riwayat di atas menceritakan bagaimana orang ramai yang ada ketika itu menyerbuanak muda berkenaan, memarahinya dengan ungkapan “mah, mah!”, iaitu suatu sebutan kemarahan yang keras terhadap kelancangan mulut seorang anak muda yang meminta izin berzina dari Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Namun Baginda itu orangnya penuh hikmah. Berhikmah dalam erti memberikan reaksi yang tepat dengan keperluan. Diajarnya anak muda itu dengan apa yang disebut hari ini sebagai The Golden Rules iaitu “treat others as you would like to be treated.”, bersikaplah kepada orang lain sebagaimana apa yang kamu harapkan dari orang lain untuk bersikap demikian terhadap dirimu”.

Pemuda itu dibawa mendekati Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Wahai pemuda,” sapa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Lemah lembut, “Apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusan anda, saya tidak ingin itu terjadi,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi.

“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.

“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun saya tidak ingin.”

“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuanmu?” tanya Baginda lagi.

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”

“Begitu juga dengan orang lain, sama dengan anda, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuan mereka. Apakah kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak,” tandasnya.

“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”

Nabi saw. kemudian meletakkan tangan beliau pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini”

anakmuda

Kalaulah anak muda yang bermulut lancang itu dibalas dengan lempang atas nama dakwah, apakah kebaikan yang terhasil daripadanya?

Mengawal diri, menahan diri dalam kemarahan, dan menterjemahkan tindak balas dalam bentuk dakwah yang lebih empati, khasiatnya sungguh besar dalam mengubah kemungkaran kepada peluang maaruf.

Hal inilah yang perlu kita teladani. Suatu kejayaan besar, terbit dari kejayaan menguruskan perkara yang amat basic, iaitu keupayaan mengawal diri, pro aktif dan tidak cepat melatah.

Pendakwah perlu bersungguh-sungguh menghayati mesej ini. Masyarakat sudah tahu dengan jelas apa yang kita tidak suka. Tetapi mereka belum nampak apa yang kita ada dan sejauh mana kita upaya. Bahasa dakwah kita harus banyak yang bersifat menerang dan berdamping. Memujuk bukan mengutuk. Bahasa rahmah dan bukan amarah.

menapisTidak bersetuju itu harus dan lumrah. Caci mencaci itu keji.

Bahasa ceramah, bahasa akhbar, bahasa majalah, bahasa dakwah… Ramadhan mengajar kita agar menyampaikannya dengan penuh hemah dan terkawal.

عن أبي هريرة رضي الله عنه: ((سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن أكثر ما يدخل الناس الجنة فقال: تقوى الله وحسن الخلق، وسئل عن أكثر ما يدخل الناس النار فقال: الفم والفرج))

Daripada Abu Hurairah r.a.: Rasululllah sallallahu ‘alayhi wa sallam telah ditanya, apakah perkara yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam Syurga? Jawab baginda: TAQWA KEPADA ALLAH serta AKHLAQ YANG BAIK. Baginda ditanya lagi, apakah perkara yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam Neraka? Baginda menjawab: MULUT DAN KEMALUAN [HR Al-Tirmidhi dan Ahmad]

Jantan dan gagah di sisi Islam itu lebih halus dan berkuasa, dari yang disangka! Kawal diri, kamulah si gagah itu!

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

thestar

Sembang Kerjaya: Bidang Syariah Bukan Pilihan Terakhir

Petikan akhbar The Star 2010 “Kenapalah kamu ambil Syariah? Nanti habis belajar nak kerja apa?” …

2 comments

  1. constantly i used to read smaller content that also clear their motive, and that is also happening with this paragraph which I am reading at this time.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *