Sistem Pendidikan Mendepani Fitnah Dajjal!

critical-thinking

Apa risaunya kita dengan kegagalan berfikir, jika tanpa kemahiran itu pun seseorang masih boleh dapat A dalam peperiksaan kita, masuk universiti, kerja, dapat duit, beli kereta dan kahwin. Kenapa sibuk berbicara tentang masalah berfikir sebagai kebimbangan terhadap sistem pendidikan semasa?

Setakat manakah strategi menolong anak-anak menjadi manusia yang boleh berfikir dengan baik, sesuatu yang berharga di sisi ibu bapa?

Saya Muslim.

Saya beriman dengan Allah.

Saya juga beriman dengan Utusan Allah.

Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam memberitahu saya beberapa perkara dan saya meyakini malah mula merasainya.

Baginda memberitahu bahawa di akhir zaman, sebelum kemunculan Dajjal, kita akan ditimpa dengan tahun-tahun yang menipu. Pendusta dianggap benar. Yang berkata benar dihukum pendusta. Pengkhianat dianggap amanah, lalu diberi kepercayaan.

Hitam jadi putih, putih jadi hitam, betul jadi salah, salah jadi betul.

Dan dalam kekeliruan yang maha dahsyat ini, golongan yang bersuara membimbing orang ramai adalah sang Ruwaibidhah. Si dungu yang tidak tahu malu dengan kedunguannya, berbicara tentang urusan orang ramai.

FITNAH DAJJAL

Semua ini adalah bibit-bibit kemusnahan untuk menyediakan generasi pro Dajjal. Ia bukan teori konspirasi. Ia adalah perkara yang dipesan oleh seluruh Rasul, hingga ke Rasul terakhir yang tiada lagi selepasnya Rasul. Menuju zaman yang tiada lagi jawapan langsung dari langit untuk apa sahaja petaka di muka bumi.

Fitnah Dajjal bukan bangunan runtuh, jalan berlipat atau gunung bergegar. Fitnah Dajjal adalah fitnah ke atas software manusia. Badan sihat, sasa, lengkap berbaju dan kemas penampilan, semua itu Dajjal tidak ganggu. Apa yang Dajjal serang ialah:

  1. Sistem kepercayaan (aqidah)
  2. Sistem pemerhatian dan sistem fikir
  3. Sistem nilai

Dajjal memutuskan hubungan material dengan Tuhan. Hingga agama pun jadi kebendaan. Hingga ‘aqidah kepercayaan’ pun menjadi materialistik. Manusia kebingungan, dan tidak percaya kecuali selepas nampak, yang sering menatijahkan keadaan ‘sudah terlambat’.  Apabila sistem percaya rosak, reasoning atau qawa’id al-mantiq jadi tunggang langgang. Correlation and causation huru hara.

Dan dalam kekeliruan besar ini, A masih boleh dicapai, dalam sebuah sistem pendidikan,

SISTEM PENDIDIKAN MENDEPANI FITNAH DAJJAL

Apabila saya berjalan dari satu sekolah ke satu sekolah, sekolah harian biasa, sekolah agama hinggalah ke sekolah terkemuka negara, soalan yang saya tanya ialah adakah sistem pendidikan yang ada membantu melahirkan generasi yang kebal Dajjal? Adakah sistem ini melahirkan generasi yang belief system mereka berfungsi baik, cara melihat dan cara berfikir mereka berkompetensi, dan adakah mereka memegang sistem nilai yang betul, untuk membuat PILIHAN?

Choose to be good, bukan slogan kosong. Perkataan CHOOSE itu amat besar dan mendalam, yang memerlukan kami merombak apa yang ada. Choose bukan ditentukan sekadar oleh APA yang dipelajari, tetapi ia sangat banyak dipengaruhi oleh BAGAIMANA ia dipelajari.

Isunya bukan sekadar tiada common sense. Isunya bukan sekadar bolehkah nanti bekerja, apatah lagi kerja gomen. Bukan sekadar semasa belajar tertiari, belajarnya di universiti mana. Semua itu penting, tetapi ia mengecil dan kita mampu bertolak ansur apabila kita memandang dengan pandangan Pencipta kehidupan. Susah pun susahlah, kerana kita hidup di alam yang kesusahan tidak boleh dihapuskan sekadar dengan wang ringgit.

Bahawa sesungguhnya pendidikan itu amat kritikal.

Dan sistem yang ada tidak mengendahkannya.

Sistem yang tidak membina software yang berkompetensi untuk generasi akhir zaman.

Bukan sekadar cabaran Alaf 21. Tetapi cabaran Alaf 15! Hijriyyah!

Alaf fitnah Dajjal, agama berkrisis.

KMSS DAN USAHA KEBAL DAJJAL

Itulah latar belakang kepada mengapa kita menguasahakan Khalifah Model School (Secondary); KMSS. Sekolah yang dibina di atas fondisi Pandangan Alam Islam. Pandangan Alam yang mengkehendaki subjek-subjek yang terpisah antara Sunnatullah dan Syariatullah disulam rapat kembali dengan benang Tauhid. Bukan sekadar Islamisasi tetapi Tauhidisasi di peringkat epistemologi. Pandangan Alam yang menekankan bahawa education is about learning, and nothing else matters.

Dalam Pandangan Alam Islam, guru adalah murabbi yang memimpin learning process. Bukannya menjadi mangsa ISO, laporan demi laporan, memuaskan hati pihak atasan, dan meninggalkan core utama kepada pendidikan iaitu learning. Pandangan Alam Islam yang meletakkan bahawa pendidikan Islam bukan sekadar melahirkan al-Hafiz, melahirkan tokoh kontemporari untuk Mazhab Syafie, bukan sekadar tokoh hadith, tokoh subjek dan tokoh topik. Tetapi melahirkan KHALIFAH.

Namun semua itu tidak boleh dibuat drama. Berkhayal di dalam buih-buih fikiran yang idealistik dan syok sendiri.

Ia mesti dirumus menjadi satu sistem pendidikan yang sistematik.

Kami tekad meninggalkan SPM dan menggantikannya dengan IGCSE bukan kerana kami pro British. Bukan kerana kami gilakan Cambridge. Bukan kerana pendidikan mesti mengutamakan bahasa Inggeris. Bukan sekadar kami mahu pelajar kami mudah sambung belajar dan bekerja. Semua itu tidak memerlukan kami bersusah payah meninggalkan SPM yang sudah tersedia segala prasarananya. Kami memilih IGCSE sebab IGCSE menyebabkan sistem pembelajaran setiap hari di sekolah adalah melatih pelajar dengan tiga kemahiran yang core di dalam pendidikan iaitu:

  1. Analysing
  2. Synthesising
  3. Communicating

Ia adalah apa yang kami tidak mampu buat dalam kerangka SPM.

Di sekolah kami juga ada guru-guru yang menerima latihan formal tertiari di dalam pendidikan perguruan. Mereka memanfaatkan ruang yang terhasil di KMSS untuk melakukan apa yang mereka tidak boleh lakukan di sekolah awam, kerana mereka sudah berpengalaman di institusi pendidikan awam.

Puzzled Confused Lost Signpost Shows Puzzling Problem
Puzzled Confused Lost Signpost Shows Puzzling Problem

MELAWAN KEBIASAAN

Kami lawan budaya marah-marah pelajar. Kami lawan kebiasaan public humiliation. Kami lawan kecenderungan mendisiplinkan pelajar secara corporal punishment. Hatta di dalam sesi tahfiz pun kami tidak menggertak pelajar dengan rotan dan batang penyapu. Kami lawan kebiasaan kurikulum yang fokus kepada kuantiti ilmu. Kami lawan kemudahan ikut sahaja buku teks yang sudah disediakan. Kami tinggalkan kesenangan, kami pilih kesusahan. Kami yakin selepas kesusahan ini ada kesenangan. Kami tidak mahu bersenang lenang dahulu dan bersusah payah kemudian.

Dan untuk lawan semua itu, semua guru kami kerahkan menjadi penyelidik. Selidik untuk mengajar, mengajar untuk selidik.

Kami tahan marah bila pelajar buat perangai. Kami gantikan marah itu dengan kasih sayang yang tegas tanpa memanjakan. Kami betulkan pelajar tanpa mengaibkannya. Kami percaya perkataan sadida lebih berkesan daripada merotan. Kami tekankan bahawa pembelajaran adalah berkaitan dengan knowing how to know, dan bukan knowledge. Di dalam peperiksaan, kami tidak mahu guru mengambil jalan mudah untuk melakukan assessment kepada short-term memory. Kami mahu keputusan penilaian bersifat ORGANIK. Formative assessment yang boleh menjelaskan dengan sebenar potensi pelajar, di mana kelemahan mereka, di mana kekuatan mereka.

Kami sesekali berasa penat, tetapi kepenatan itu bukan kerana membuat laporan atau menghadiri kursus di sana sini. Kami sesekali kepenatan kerana kami tidak dengan mudah menggunakan apa-apa yang bersifat plug and play. Jika mahu pakai teknologi, pedagogi mesti memimpin teknologi, dan bukannya teknologi menjajah pedagogi. Guru-guru kena belajar. Setiap minggu kita buat sesi pembelajaran pembangunan ilmu dan kemahiran guru.

JIHAD PENDIDIKAN

Dan kami lakukan semua itu dengan gaji guru tidak sampai separuh daripada gaji guru di sistem perdana. Guru-guru sekolah kami adalah golongan fakir miskin bandar. Tetapi mereka bertahan sebab mereka yakin ia adalah jihad. Anak-anak murid kami bukan pelajar 5A UPSR. Terlalu luar biasa untuk menolak tawaran MRSM dan SBP lalu memilih untuk masuk sekolah kami yang seperti hari ini. Pelajar sekolah kami, jika mahu ditinjau keputusan UPSR mereka, kebanyakannya 3A malah kurang daripada itu.

Tetapi…

Kami tidak perlukan pelajar cemerlang.

Apa yang kami perlukan adalah sistem pendidikan yang cemerlang.

Sistem pendidikan yang membolehkan pelajar average pun buat apa yang hanya dianggap boleh dibuat oleh pelajar cemerlang. Kerana fokus pendidikan kami adalah hati untuk karakter dan otak untuk fikir. Biar buta tanpa mata, biar pekak tanpa telinga, tetapi selagi kami fokus pendidikan kepada hati tempat jatuh pandangan Allah dan otak tempat akal yang dengannya Allah melantik manusia sebagai Khalifah, pendidikan kami mengalu-alukan pelajar tanpa mempedulikan UPSR mereka.

Itulah KMSS yang kami perjuangkan ini.

Dan demi menepati kiblat Akhirat, dalam ukuran dunia pun, kami tepatkan formulanya.

Kami meninggalkan SPM dan memilih IGCSE bukan untuk melarikan diri. Kami mahu menghasilkan Khalifah yang kembali ke masyarakat bukan sebagai penghasil ringgit dan sen, tetapi sebagai Khalifah yang mempertahankan Tauhid dan Iman daripada fitnah Dajjal. KBAT bukan untuk peperiksaan. Tetapi alat yang hendak dipakai bagi membina generasi yang kebal Dajjal.

Teguhkan hati kami ya Allah.

Pendidikan adalah ghazwah!

Pendidikan adalah jihad!

Hamba Allah yang fakir,
HASRIZAL, kmss.edu.my

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

8 comments

  1. Moga tertegakkannya Islam yang sempurna dalam diri kita seterusnya kepada negara kita.

  2. Ahmad Bakhtiar

    Allahu akbar..pengorbanan ustaz dan para guru KMSS adalah antara yang wajar kami contohi

  3. subhanAllah, betapa jihad dalam menghasilkan generasi yang celik hati dan akal ini sungguh sukar.
    memang zaman anak2 kita mereka akan berdepan dengan fitnah dajal yang hanya 12000 orang sahaja yang tidak mahu menjadi pengikutnya…

    berapa biliion peduduk bumi sekarang?

  4. Subhanallah.. lapang hati saya membaca artikel saudara.. sungguh, generasi hari ini amat memerlukan ulul albab yang dapat menerangkan logiknya pengajaran Islam tradisional melalui bukti-bukti analisis yang bernas.. dan penerangan seperti ini ada pada blog saudara..syabas dan tahniah.. saya doakan semoga saudara tidak berhenti daripada usaha mendedahkan kefahaman moden yang menolak sumber Islamisasi sebagai cara hidup pilihan.

  5. jika menongkah arus perdana yang perlu dilakukan, so be it! demi jihad dan masa depan generasi islam

  6. Kalau pendidikan terbaik menurut islam saat ini harusnya seperti apa? Dan bagaimana mendobrak pendidikan di era modern ini?

  7. saya ialah seorang tenaga pengajar di sebuah pusat asasi uni kerajaan..sesungguhnya artikel ustaz ini sungguh menginsafkan saya. saya sungguh tertekan mengajar pelajar sekarang, suansana mengajar mereka, di samping memenuhi KPI yang pengurusan kolej tetapkan.

    sebagai contoh, kami dikehendaki memberi markah tinggi untuk pelajar, dengan alasan tolong pelajar…sedangkan hakikatnya mereka (pelajar saya) tidak berminat belajar dengan pelbagai salah laku.

    saya tidak pedulikan permintaan pihak pengurusan itu, tetapi saya dipersalahkan pula selepas itu oleh mereka..

  8. Saya yakin, islam adalah jalan rahmatan lil alamin. Beberapa pakar pendidikan juga dari islam, dan bersumber dari islam. Menarik, min!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share