Home / Saifulislam 1.0 / Dialog Gen-Y: Antara Iman dan Kufur

Dialog Gen-Y: Antara Iman dan Kufur

“Susah betul saya nak datang program ini, ustaz” kata Salina.

“Kenapa tu?” saya bertanya.

“Mama dengan papa bergaduh tentang program ini. Papa suruh saya datang. Tetapi mama tak bagi” ceritanya.

Telus.

“Boleh ustaz tahu, kenapa mama awak tak beri awak ikut program ini?” saya melanjutkan perbualan.

“Mama tak suka anak dia pergi program-program yang ada video mati-mati ni, ada menangis-menangis dalam gelap dan lain-lain. It’s kinda stupid!” jawab Salina tanpa berselindung-selindung.

So, what do you think?” saya meneruskan soalan.

Well, dalam program ini ada ke benda-benda tu, ustaz?” tanya beliau lagi.

“Kalau tak ada, awak nak ke?” saya menyoal dengan nada provokasi sambil tersenyum.

“Kalau ada, boring. Kalau tak ada, saya nak tahulah kenapa tak ada?” beliau menyoal saya.

“Sebab apa boring?” saya menjawab semua soalan dengan soalan.

“Ye lah, too predictable. Dah banyak dah kursus macam tu. Kalau tutup lampu sahaja, mesti nak suruh menangis. Kenapa dalam kem-kem agama kena menangis-menangis, ustaz?” tanyanya lagi.

Wah, saya suka dengan pelajar ini. Beliau berani bertanya dan membuka dirinya untuk difahami. Bagi saya, komitmen untuk berpegang dengan kaedah seek first to understand, then to be understood, bertemu dengan orang yang let themselves to be understood adalah satu bonus. Biar sekeras mana sekali pun pendedahan dirinya.

KEBERKESANAN

“Kami dibayar oleh ibu bapa kamu. Selain daripada bayaran itu untuk harga makan, minum, penginapan dan semua alat yang diguna pakai di sini, ia juga komitmen kami untuk pastikan kursus yang dibuat ni berkesan. Malangnya, ramai pihak yang mencari jalan mudah untuk mengukur kesan. Kalau berjaya mengeluarkan air mata peserta, berkesanlah tu” saya menjelaskan.

“Habis, kalau program ini tiada mengangis-menangis, macam mana ustaz mengukur berkesan atau tidak berkesannya program ini?” tanyanya lagi.

“Apabila persoalan hidup peserta terjawab. Apabila jawapan itu menyebabkan mereka pulang dengan berfikir. Kursus ini adalah rawatan kepada penyakit malas berfikir,” saya memberi penjelasan.

Hampir terlupa yang sebenarnya pelajar di hadapan saya itu bersama dua lagi rakannya adalah pelajar Tingkatan 4. Keberaniannya amat saya hargai. Biar pun bagi sesetengah orang, pertanyaan-pertanyaan sebegitu boleh dianggap biadab, namun saya amat mengalu-alukan dialog sebegini.

“Kalau macam itu, saya ada satu soalan yang saya nak tanya ustaz. Dah lama saya nak tanya benda ni tapi saya takut” katanya.

“Tanyalah. Semalam ustaz dah sebut, kan? Apa sahaja yang tidak boleh ditanya di luar sana, boleh ditanya di sini” saya memberi lampu hijau.

“Ok. Saya rasa selagi soalan ini tidak berjawab, saya pun tak pasti adakah saya ni sebenarnya Islam atau tidak!” tegas beliau.

Aduh, begitu sekali. Mujurlah dia teringat untuk bertanya.

SOALAN MAUT

“Saya rasa, Allah bagi semua benda supaya kita percaya Dia. Bagi Quran, bagi alam semesta dan macam-macam lagi. Tapi satu sahaja yang Allah tak bagi. Dan saya rasa, oleh kerana Allah tak bagi yang ini, saya susah nak bulatkan kepercayaan saya kepada-Nya. Kenapa Allah tak bagi kita tengok Dia?” tanya Salina.

Sepi seketika.

Nampaknya semakin ramai yang menyertai perbualan kami. Bagus sebenarnya dikosongkan waktu antara Maghrib dan Isyak kerana berdasarkan pengalaman saya, inilah waktu santai yang bisa mencungkil pelbagai cerita yang tidak boleh dicungkil di dewan kuliah.

“Awak pelajar kelas sains ke?” saya menyoal.

“Ya” jawabnya.

“Ok, ustaz jawab ikut pelajaran sains awak ya!” saya memulakan jawapan.

Dia mengangguk.

Walaupun sebenarnya, jika saya kena jawab cara ‘sastera’, saya pun tidak tahu macam mana.

“Untuk membolehkan kita melihat sesuatu, benda itu mestilah lemah. Lemah dalam erti kata ia terbatas, terikat dan perlu tunduk kepada undang-undang tertentu, yang diri kita pun terikat dengannya. Awak rasa undang-undang apa?” saya mengujinya secara bertahap.

Sunnatullah!” katanya. Mungkin memetik kuliah saya sebelumnya.

“Kita ketepikan istilah Sunnatullah. Kita guna istilah yang awak lebih familiar. Benda yang kita nak tengok, ia kena lemah dalam erti kata, ia kena tunduk dan tertakluk kepada hukum sains. Ia perlu berimej. Cahaya dan rupanya mestilah boleh dilantun ke mata, dicerap oleh mata, dihantar ke otak dan ditafsir sebagai apa dan apa. Kita tidak nampak Allah sebab Allah berada ‘di atas’ undang-undang tersebut. Beyond the limit. So, apa sahaja yang mampu dilihat oleh mata, adalah lemah, dan ia adalah makhluk, bukan Tuhan. Sebab ia tertakluk kepada hukum alam iaitu Sains” saya mencuba perlahan-lahan.

“Maksud ustaz, bukan Allah tak bagi kita tengok Dia, tapi kita yang tak mampu tengok Dia?” tanya beliau.

EXACTLY!!! Benar. Betul sekali. Keinginan kita untuk melihat Allah itu memerlukan kita mempunyai tool yang tiada di dalam kehidupan sekarang ini. Kita dan kemampuan kita kecil. Tidak cukup untuk melihat yang Maha Besar” saya jelaskan.

Terpana dengan kesimpulan yang dibuat oleh pelajar itu tadi.

“Itulah makna kita menyebut Allahu Akbar!” saya menambah.

Beliau mengangguk.

“Awak rasa macam mana?” saya menyoal.

“Logik. Ok, thanks ustaz. Tu ramai lagi nak tanya soalan kepada ustaz. Saya minta diri dulu” katanya kepada saya. Beliau bangun meminta diri.

So, betullah esok tak ada menangis-nangis?” tanya Salina sambil membetulkan telekung.

“Kalau ada menangis-menangis pun, bukan sebab saya. Tapi sebab awak menangis sendiri” saya menyudahkan perbualan.

KEPEDULIAN

Petikan dialog di atas adalah salah satu kisah yang berlaku semasa saya mengendalikan sebuah kem remaja. Ia menjadi punca mengapa saya tidak mahu membuat program dengan jumlah peserta mencecah seratus atau lebih. Pengalaman berinteraksi dengan anak-anak remaja hari ini, menunjukkan betapa perlunya mereka dicungkil. Terlalu banyak rahsia yang bersarang di benak fikiran mereka.

Sebelum rahsia itu boleh dicungkil,  kita harus membantu peserta agar mereka percaya untuk bertanya kepada kita. Untuk hal ini boleh dibuat, kita perlu yakinkan mereka bahawa kita faham tentang mereka, dunia mereka, masalah mereka, dan kita tidak bertindak untuk membasuh atau mendoktrinkan mereka.

Jangan dijatuhkan harga diri mereka.

Jangan diremehkan keupayaan berfikir mereka.

Lebih banyak peserta seperti ini hadir ke program ‘Islamik’ yang ‘menghina upaya berfikir’ mereka, lebih teruklah agama dibidas persepsi dan pandangan sinikal Generasi-Y.

Remaja oh remaja, banyak yang kupelajari daripada kalian.

Agama adalah soal jawab. Agama adalah belajar dan faham.

Bukan indoktrinasi.

HASRIZAL
Oulu, Finland.

Maklum Balas

Maklum Balas

About saifulislam

A school teacher and a lifelong learner. Oulu, Finland

Check Also

13 Reasons Why: Memahami Tragedi Perubahan Diri Remaja

Ia bukan siri yang mudah untuk ditonton. Beberapa adegan censored memerlukan kita berbuat sesuatu untuk …

2 comments

  1. Ustaz sy knal ustaz dr forum.cari lagi..

    Sy suka penjelasan logika ustaz tentang bgaimana dzat Allah tidak boleh dilihat…

    Terus terang sy ingin kongsi dgn seseorang…

    Tetapi st teringat saranan jgn sibuk dgn dzat Allah…

    Maka, adakah sahih dalil itu?

    Bgaimana sy berinteraksi dgn dalil itu…

    Seindah mna pun ilmu ustaz ni, tp sy tetap akan mendahulukan dalil jika ia sahih…sy perlu pause
    Dulu sebelum sy share apa yg ustaz tulis, mohon pencerahan…

    • Di dalam dialog ini, itulah yang saya cuba lakukan, iaitu jangan berfikir tentang zat Allah, tetapi berfikir tentang makhluk-Nya. Perbualan di atas adalah mengenai sifat kita sebagai makhluk yang terbatas, dan batasan itu menjadikan kita tidak mampu melihat Allah, apatah lagi mahu berbahas tentang zat-Nya.

      Riwayat berkenaan dinisbahkan kepada Ibnu Abbas r.a. dengan pelbagai perbahasan tentang periwayatannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *