Catatan Persahabatan Calon P011: Wan Saiful Wan Jan

[CALON KEADILAN PARLIMEN PENDANG P011 – WAN SAIFUL WAN JAN]

Apakah jasa Wan Saiful Wan Jan dalam hidup saya?

Saya mengenal beliau semasa tinggal di United Kingdom dan Ireland sekitar tahun 1998-2004. Semasa saya tiba di UK, saya kagum dengan profesionalisme kerja anak-anak muda di sana dalam gerak kerja PAS, yang kurang dapat saya kecapi semasa belajar di Jordan.

Mungkin jasa pertama Wan Saiful kepada saya yang kekal sehingga ke hari ini, ialah Wan Saiful mengajar saya untuk menyusun fail doc di dalam komputer dengan menamakan fail menggunakan sistem tarikh yyyymmdd-filename. Secara otomatik, fail akan disusun secara berkronologi.

Biar pun benda itu kelihatan remeh, dan boleh dilakukan kemudiannya dengan mudah di dalam sistem perkomputeran yang semakin canggih hari ini, semasa itu Wan Saiful memperkenalkan kepada saya cara kerja dalam organisasi secara yang lebih profesional. Ini zaman laptop Windows 95. Fail-fail saya telah tersusun dan mudah disemak melalui sistem penamaan fail yang beliau sebenarnya tidak ajar kepada saya, tetapi saya nampak dan saya tiru. Apa yang Wan Saiful betul-betul ajar ustaz ini ialah bagaimana menulis minit mesyuarat yang baik. Belajar jadi ‘profesional’, kerja sistematik.

Kami sebaya.

Beliau dari Sekolah Berasrama Penuh. Beliau menyambung pelajaran ke United Kingdom

Saya dari Sekolah Agama Kerajaan Negeri. Saya menyambung pelajaran ke Jordan.

Kami ditemukan di UK oleh kecintaan kami ketika itu kepada perjuangan Islam.

Bersama PAS

BERGERAK DI DALAM PAS

Pertemuan pertama saya dengan beliau adalah semasa di dalam sebuah program, saya membeli belah kaset ceramah ulama PAS yang beliau jual. Wan Saiful adalah usahawan kecil-kecilan ketika itu.

Tetapi kemudiannya bersama peredaran masa, di dalam pergerakan PAS, beliau menjadi Presiden dan disusuli saya pula menjadi Timbalan Presiden beliau. Kami berdua juga sama-sama menganggotai Majlis Syura pergerakan pada masa tersebut.

Pengalaman kami bersama mengendalikan gerak kerja PAS pada masa itu adalah di saat-saat yang kritikal dalam era perubahan PAS kerana zaman itu adalah zaman Reformasi. Ia adalah era pilihanraya pertama dalam sejarah negara Malaysia bagaimana maklumat bukan lagi tersebar dengan kertas cetak, televisyen dan radio, tetapi permulaan kepada era teknologi maklumat. Ia menjadikan suara perubahan untuk Malaysia dari UK bukan lagi suara jauh, tetapi mempengaruhi politik negara. Sama ada pihak BN mahu pun pembangkang, UK adalah daerah penting untuk dipastikan berpihak kepada keperluan masing-masing. Komuniti Malaysia, terutamanya orang Melayu di UK perlu dimobilisasi.

Justeru rentak PAS perlu berubah. Kemunculan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Malaysian People’s Movement for Justice, GERAK) di dalam gelombang Reformasi, menjadi permulaan kepada penyatuan pembangkang, terutamanya kelompok Islamists yang terbahagi kepada kumpulan-kumpulan yang banyak, hendak dimobilisasikan menjadi satu barisan yang bersepakat. Daripada banyak kelompok yang bersifat non partisan, berubah menjadi cakna dan terjun ke medan, menyokong Reformasi.

PERUBAHAN CARA FIKIR DAN CARA KERJA

Usaha itu memerlukan perubahan kepada cara fikir dan cara kerja. Ia adalah usaha berpasukan, tetapi saya rasa adil untuk saya katakan ia banyak berhasil dengan bakat kepimpinan dan kepintaran Wan Saiful Wan Jan pada usia yang masih muda, tetapi sudah boleh memainkan peranan dengan berkesan.

Beliau banyak mengubah cara pergerakan PAS berpolitik. Tumpuan saya pula banyak kepada merombak modul tarbiah dan perkaderan.

Ketika itu, saya secara peribadi sentiasa berharap, jika ada orang agama seperti saya aktif dalam pergerakan PAS di UK dan Ireland, biarlah kedudukan tertinggi di dalam kepimpinan adalah peringkat Timbalan Presiden seperti kedudukan saya pada masa itu. Manakala jawatan Presiden, ia mesti kekal dipegang oleh golongan pemimpin muda yang mendapat pendidikan di UK. Bukan ustaz Jordan atau ustaz Mesir. Kita percaya, kepimpinan agamawan yang dilahirkan di negara-negara Arab, perlu diteruskan di negara Arab manakala di negara seperti UK, ia menjadi medan untuk menggilap kepimpinan ‘profesional’. Jangan Jordankan UK, jangan Mesirkan UK. Apabila masing-masing pulang ke tanah air, keluaran negara Arab dan negara bukan Arab, berpotensi menjadikan kepimpinan PAS mantap kerana mendapat yang terbaik daripada kedua-dua daerah, bidang agama, dan ‘profesional’.

STANDARD YANG TINGGI

Kepimpinan Wan Saiful Wan Jan berterusan selama beberapa penggal sehingga saya menggelar Wan Saiful ketika itu sebagai Mahathir, tak turun-turun! Namun apabila tiba masanya Wan Saiful mengundurkan diri daripada jawatan Presiden, beliau telah meninggalkan kekosongan yang sukar untuk diisi oleh pemimpin yang berkaliber kerana beliau telah meletakkan standard yang tinggi dalam kualiti kepimpinan, walaupun sekadar organisasi pelajar.

Beliau bukan hanya dikenali di kalangan masyarakat Malaysia di UK dan Ireland, malah sering ditemuramah oleh media tempatan seperti BBC, untuk mendapatkan pandangan anak muda dan Malaysians in Diaspora berkenaan perkembangan politik di Malaysia yang hangat di era reformasi itu.

KEBERANIAN MENEGUR

Terlalu banyak kenangan semasa kami bersama-sama di UK, hingga sukar untuk saya catatkan yang mana satu. Selain melatih saya bekerja secara profesional bersama pasukan beliau, Wan Saiful sentiasa saya kenang sebagai Presiden pergerakan PAS di UK dan Ireland yang berani dan tegas menegur pemimpin-pemimpin PAS seandainya ada yang dirasakan tidak kena. Di zaman para pelajar sangat lurus dan hormat kepada para ulama di dalam kepimpinan PAS, Wan Saiful tidak pernah teragak-agak untuk mengkritik. Pernah sekali beliau mempertikai satu pendapat yang dikemukakan oleh almarhum Tuan Guru Dr Haron Din di dalam sebuah majlis, hingga menimbulkan kemarahan para hadirin. Tetapi Wan Saiful seingat saya tidak mengendahkannya, kerana apa yang perlu disuarakan, hendaklah disuarakan. Itu Wan Saiful.

Hatta kepada Menteri Besar Terengganu dan Presiden PAS sekali pun, soalan yang perlu ditanya akan ditanya, dan mesti dijawab. Semua pemimpin PAS hari ini kenal beliau sejak sekian lama, dan tahu sikap serta prinsip beliau bagaimana.

Mungkin juga kerana itu, ramai yang tidak senang dengannya.

Tetapi saya senang sekali.

Bukan sebab kami saja-saja hendak bersikap tidak wala’ (menurut istilah biasa rakan-rakan kami). Kami bukan biadab. Tetapi kritis. Jemaah yang mendidik kami, mendidik kami untuk kritis, hatta kepada sesama sendiri. Mengkritik bukan biadab. Mengkritik adalah amanah. Jika pimpinan PAS mahu datang ke UK, kami akan persoal kenapa datang ramai-ramai? Yang berceramah seorang tetapi yang datang segerombolan. Duit datang dari mana? Kalau duit sendiri sekali pun, mengapa dibazirkan dengan ‘melancong ke UK’ ketika jemaah tidak berduit? Jawab dahulu soalan-soalan ini, sebelum kami atur kediaman, pengangkutan dan gerak kerja.

POLITIK TEMPATAN

Selepas Wan Saiful Wan Jan mengundurkan diri dan beralih kepada politik tempatan dengan bertanding kerusi Limbury Council di utara London atas tiket Parti Konservatif Britain, keberanian beliau menceburkan diri dalam politik United Kingdom menjadi langkah yang terlalu besar untuk dihadam oleh rakan-rakan Islamists di dalam pergerakan PAS yang pernah dipimpinnya. Tindakannya mengundang label-label keras yang mempersoalkan di manakah letaknya wala’ dan bara’ beliau, serta pelbagai lagi perbahasan yang menggambarkan Islamisme berisiko meletakkan kita di dalam satu dunia asing, walaupun hidup di tengah kota metropolitan London! Sudah berada di UK pun, masih terperangkap dalam sebuah ‘buble’ Melayu, Islam, Islamik, Islamist!

Permusuhan yang dituju kepada Wan Saiful ketika itu seperti mahu menidakkan sumbangan dan peranan beliau selama bertahun-tahun memimpin pergerakan PAS dengan cemerlang, terutamanya di era GERAK dan Reformasi sebelumnya. Di dalam satu program di UK yang saya hadir sebagai penceramah jemputan selepas sudah pulang ke Malaysia, saya mengingatkan ahli jemaah bahawa kita di dalam PAS ini sangat berbakat mencipta musuh dari kalangan kita sendiri. Asalkan ada sahaja yang berbeza pendapat, kita akan tekan sampai orang itu menjadi musuh kita nombor 1. Saya sebut, sikap ahli PAS di Jordan telah berjaya melahirkan Dr MAZA sebagai ‘musuh’ PAS (era beliau tegar mengkritik PAS semasa menjadi Mufti Perlis kali pertama), adakah PAS di UK pula sedang mahu menjadikan Wan Saiful Wan Jan sebagai musuh PAS nombor 1 juga? Bukanlah musuh pun sebenarnya, tetapi di dalam budaya PAS, entah kenapa perbezaan pendapat dan pandangan-pandangan kritis sering digasak, daripada sedikit-sedikit kurang berpuas hati, ditekan selagi boleh sampai akhirnya betul-betul tidak puas hati.

Tidak puas hati berkaitan prinsip.

Bukan soal perasaan atau hal remeh temeh peribadi.

Mesej itu saya sampaikan pada akhir tahun 2006 untuk meredakan politik dalaman sesama ahli jemaah yang mendukacitakan.

DI MALAYSIA

Di Malaysia, walaupun masing-masing sibuk, saya dan Wan Saiful masih berhubung dari satu masa ke satu masa. Antara jasa Wan Saiful untuk terus berusaha menggilap saya (walaupun tidaklah begitu menjadi kerana liatnya ‘keustazan’ diri saya) ialah jemputan beliau untuk saya bersama dengannya di dalam kumpulan Think Tank pertama yang beliau gerakkan, yang ketika itu dikenali sebagai Malaysia Think Tank London (MTTL). Peranan kecil saya ketika itu adalah untuk meneliti sumber-sumber rujukan klasik Islam di dalam idea-idea progresif yang cuba dibina oleh MTTL di London dan MTT di Malaysia.

Ia adalah satu pengalaman yang memaksa saya keluar dari zon selesa. Keluar dari zon ustaz-ustaz, kepada zon menelaah idea-idea ‘barat’, falsafah, disiplin sains sosial dan berinteraksi di dalam persekitaran yang lebih besar daripada sekadar di masjid, surau, dan program-program sesama orang Islam. Antara program utamanya yang saya masih ingat, adalah seperti di dalam video yang saya kongsikan ini. Ia adalah Ibn Khaldun Seminar 2, yang berlangsung di Institut Integriti Malaysia pada 18 Disember 2007. Pada menjawab persoalan “Adakah Islam Itu Satu Rahmat Kepada Rakyat Malaysia?” saya diminta berkongsi pengalaman saya semasa bertugas sebagai the Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Northern Ireland UK, beberapa tahun sebelumnya.

Wan Saiful terus bergerak maju dalam dunia polisi, dasar dan wacana-wacana ‘aras tinggi’ beliau, manakala saya pula masih terus bergiat secara aktif di dalam perkaderan PAS sebagai gerak kerja khusus, dan sebagai penceramah bebas di khalayak masyarakat.

MENINGGALKAN PAS

Apabila saya meninggalkan PAS pada tahun 2015, Wan Saiful dengan analisis dan kritikannya masih cubit mencubit PAS yang semakin rumit ketika itu. Sejujurnya saya pun tidak tahu sama ada beliau ketika itu sudah berundur daripada keahliannya sebagai ahli PAS atau tidak kerana kami masing-masing adalah berlatar belakangkan keahlian PAS seumur hidup.

Di ambang PRU ke-14 ini, Wan Saiful nekad meninggalkan kedudukan selesa beliau di dalam pelbagai organisasi besar yang diterajuinya dengan menyertai PPBM dan seterusnya menjadi calon P011 Pendang. Saya pula akur dengan keterbatasan diri, minat yang rendah terhadap kerjaya politik, ingin meneruskan proses islah melalui jalan pendidikan. Ajakan Wan Saiful saya balas dengan doa dan semangat buat guru yang memprofesionalkan serba sedikit diri saya ini.

PRU KE-14 DAN PENDANG

Kepada pengundi di Pendang,

Wan Saiful Wan Jan bukanlah muda sangat. Wajahnya sahaja yang kalis usia, baby face. Haha. Tetapi mindanya besar, integritinya tinggi, beliau licik dalam membaca keadaan masyarakat, masyarakat Pendang bukan sahaja Insya-Allah mendapat manfaat daripada rekod cemerlang Wan Saiful untuk Pendang, tetapi turut berjasa menghantar ‘budak garang’ ini ke Parlimen Malaysia, untuk membina Malaysia yang baharu, adil, sejahtera untuk kita semua. Insya-Allah.

Pepatah Arab menyebut, لا نزكّي على الله أحدا yakni, kita tidak mendakwa suci mengenai seseorang mengatasi ilmu Allah kerana Allah jua yang Maha Tahu siapa sebenarnya yang lebih bertaqwa di sisi-Nya (al-Najm ayat 32). Saya hanya berkongsi apa yang ingat dan kenal tentang Wan Saiful Wan Jan, dan menjadikan coretan ini sebagai doa agar Wan Saiful terus beriltizam dengan akhlak dan integriti yang telah ditunjukkan selama ini. Sebagaimana beliau tanpa teragak-agak mengkritik pimpinan jemaah dahulukala, izinkanlah saya juga untuk tanpa teragak-agak mengkritik beliau demi kebaikan penduduk Pendang dan rakyat Malaysia seluruhnya, sebagai seorang sahabat.

Kritikan pertama saya ialah, walaupun hang naik motor di celah bendang kat kampung, kena pakai topi keledar tau!

Sīrū ‘alā barakatillāh!

Salam perjuangan dari Kutub Utara.

Akhukum fillah,

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share