Drama Nur 2: Cinta Remaja Di Mata Orang Dewasa

Cinta monyet atau ‘puppy love’ di kalangan remaja, boleh jadi memualkan bagi yang memandangnya dari sudut yang memualkan. Tetapi ia adalah realiti kehidupan remaja, yang kita sama ada sebagai pendidik, mahu pun sebagai ibu bapa, perlu berempati dalam mengendalikannya. Anak kita di setiap umur ada cabarannya. Dan cabaran di usia remaja, antaranya adalah soal cinta.

Kita boleh remehkan hal cinta remaja ini. Ia remeh untuk kita orang dewasa. Tetapi ia ‘real’ kepada mereka, dan besar kepada kehidupan mereka.

Jika kita mengambil sikap memperlekeh masalah remaja, ia hak kita. Tetapi dengan sikap sedemikian, kita tidak dapat mengambil tanggungjawab mendidik mereka. Mendidik remaja bukan macam menimang anak comel, atau pintar ala-ala darjah 3 darjah 5. Mengendalikan anak remaja boleh merobek perasaan kita atau melaharkan gunung berapi di dada dengan sikap mereka yang adakalanya (atau selalu juga) menyakitkan hati kita sebagai ibu bapa. Tetapi kemajuan sains hari ini membolehkan kita faham bahawa anak remaja kita walaupun bergaya seperti orang dewasa, otak mereka belum siap.

Bahagian paling penting di dalam otak manusia – tempat di mana perbuatan-perbuatan menerima pertimbangan, situasi diadili, dan keputusan dibuat – terletak betul-betul di sebalik dahi, di ‘frontal lobes’. Bahagian ini pula adalah bahagian otak yang paling akhir berkembang. Sebab itulah kita ibu bapa, guru dan orang dewasa yang ada kesedaran mendidik, perlu menjadi ‘frontal lobes’ buat mereka, sehinggalah otak mereka selesai berhubung dan bersedia untuk belayar sendiri.

Frontal lobels adalah tempatnya untuk kemampuan kita berfungsi menghasilkan ‘insight’, pertimbangan, konsep-konsep yang komplek dan membuat perancangan. Ia adalah sumber ‘self-awareness’ dan kemampuan kita menyelidik ancaman dan risiko. Sebab itu kita menggunakan bahagian otak ini untuk memilih tindakan secara bijaksana. Dan remaja, belum mampu melakukannya sendiri kerana frontal lobes itu belum lengkap, sehinggalah mencecah usia sekitar 25 tahun.

The Lobes of the Brain: A. The brain matures from the back to the front. B. The cortex of the brain can be divided into several main areas based on function.
Jensen, Frances E.. The Teenage Brain (p. 36). Harper. Kindle Edition.

Saya berterus terang dengan anak-anak mengenai hal ini.

Sebagai pelajar di dalam bidang sains pembelajaran, saya jadikan benda-benda ini sebagai ‘ilmu penunduk’ agar anak-anak remaja kami faham mengapa pandangan saya masih dan terus relevan dalam hidup mereka.

PERTANYAAN ANAK SENDIRI

Is it true that our family rule says that having a boyfriend or girlfriend is not allowed?” tanya anak kami.

It is not about the family rule. At one point in your life, family rule is no longer relevant. You need to understand why it is not a wise thing to get into all those troubles at this age” saya memulakan perbualan sementara menunggu waktu tidur.

Lalu penulis buku #AkuTerimaNikahnya, akur bahawa sampai masanya isi kandungan buku 10 tahun sudah itu, dikupas untuk kefahaman anak-anak, yang hidup di negeri asing ini.

Saya mahu anak-anak tahu bahawa tegahan kami adalah bersebab. Dan sebab-sebab itu ada sebab duniawi, dan ada sebab agama. Dari segi agama, jelas. Jangan kamu dekati zina, bukan cliche. Ia panduan yang Pencipta kita sendiri letakkan. Dia buat kita. Dia tahu kita bagaimana.

Dari segi alasan duniawi, alangkan pasangan yang berkahwin pun, akan menempuh masa-masa saling jemu. Keghairahan setahun dua pertama berkahwin mungkin mula pudar. Tiada lagi surprise. Suami tengok muka isteri. Isteri tengok muka suami. Tak tahu nak sembang apa.

Di ketika seperti itu, cinta mungkin kurang berfungsi. Tetapi di dalam perkahwinan bukan hanya ada cinta. Perkahwinan adalah cinta dan tanggungjawab. Semasa cinta kurang berfungsi, tanggungjawab mengambil peranan sebagai pelindung rumahtangga daripada musnah, dan menjadi motif duduk mencari damai dan persefahaman tahap kedua, yang mematangkan rumahtangga dan Insya-Allah mengembalikan cinta, dengan cinta yang lebih berkualiti berbanding cinta pusingan awal dahulu.

Tetapi…

Jika bercinta semasa seluar dalam pun mak ayah belikan (meminjam dialog Ustaz Adam di dalam Nur 2), tiada tanggungjawab, dengan segera cinta kecundang, putus hubungan, diri pula belum cukup matang untuk mengendali emosi. Menyusahkan hidup sahaja (dan menyusahkan mak ayah). Apabila hendak berkawan istimewa, jika tiada kebarangkalian berkahwin dalam jangka masa terdekat yang munasabah, baik tak payah.

Tambahan pula di zaman tekanan mental dan emosi remaja semakin membimbangkan. Media sosial pula menormalisasikan ‘bunuh diri’ dan ‘suicidal thought’ yang berbahaya kepada remaja.

Itulah sebabnya, saya tabahkan hati mengikuti teks dan subteks kisah cinta Amirul al-Hafiz dan Suraya di dalam #Nur2.

Semasa kita orang dewasa bergelumang dengan pelbagai masalah besar-besar bertaraf dunia, jangan terlepas pandang kepada apa yang sedang berlaku di dalam dunia anak remaja kita. 

Mereka masih memerlukan kita.

Jadilah frontal lobes mereka.

Hasrizal
Oulu FI

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share