Seni Berfikir Yang Hilang: Seperti ‘Robot’ Yang Baik Hati

“Esok semasa dalam perjalanan ke rumah ustaz, mesej atau beri miss call, ye. Ustaz kepenatan dan tidur lewat. Takut tak sedar kalian sampai” saya menghantar mesej sms kepada contact person program berkenaan.

Saya menerima jemputan sekumpulan mahasiswa untuk menyampaikan ceramah di dalam program yang mereka anjurkan. Program itu diadakan di sebuah masjid. Tidak jauh daripada rumah saya. Hanya sekitar 5km. Saya meminta bantuan mereka mengambil saya dari rumah kerana saya tidak berkenderaan. Mereka bersetuju.

Keesokan pagi, saya terjaga kerana anak menangis.

Jam di meja menunjukkan pukul 4 pagi.

Saya bangun menuju ke bilik air.

Ternampak telefon ada notifikasi miss call sebanyak tiga atau empat.

“Wah, siapa pula ini? Menelefon subuh-subuh begini!” saya kehairanan.

Apabila saya jenguk ke luar melalui tingkap, saya ternampak sebuah kereta di hadapan pagar rumah. Enjinnya hidup.

Eh, budak-budak ini sudah sampaikah?

Baru jam 4 pagi!

Saya mesej mereka untuk bertanya.

“Kenapa awal sangat datang nak ambil ustaz?” saya menyoal, kehairanan.

“Malam tadi kami bincang. Kami takut tak jumpa rumah ustaz. Jadi, kami cari. Alhamdulillah jumpa, ” jawab pelajar berkenaan.

Saya kebingungan. Merungut di dalam hati, kalau jumpa pun rumah saya, takkanlah gerak saya pukul 4 pagi. Program pukul 7 selepas subuh. Masjid hanya 10 minit sahaja dari rumah.

Kejadian itu hanya satu daripada puluhan malah ratusan kejadian yang membingungkan saya. Pelbagai kejadian.

Saya pernah tidur di rumah stor bersama tilam buruk kerana program beberapa hari, penganjur tidak sediakan penginapan. Malah pernah naik kapal terbang pergi program yang jauh, sebagai penceramah sepatutnya, tetapi bertukar menjadi peserta dan kena bayar yuran penyertaan!

Macam-macam, bro!

Mahasiswa-mahasiswa ketika itu, adalah anak muda yang baik hati dan saya suka bergaul dengan mereka. Tetapi saya kehairanan mengapa kecemerlangan akademik yang menempatkan mereka di universiti, malah menjadi pemimpin pelajar, ‘terganggu’ oleh ketidakmampuan mereka berfikir secara dinamik dalam mengubah suai aplikasi.

Saya bingung mengapa ia terjadi.

Itulah kenangan yang muncul semasa saya membaca buku muqaddimah buku Creating Tomorrow’s Schools Today tulisan Richard Gerver ini.

Richard memulakan bukunya dan berkongsi naratif tentang insiden yang berlaku antara beliau dengan bekas anak muridnya, Billy.

Anak muridnya sendiri yang cemerlang, Billy, tidak dapat mengubah suai permintaan mudah beliau sebagai pelanggan di restoran. Billy hanya mampu mengendalikan menu yang ‘fixed‘. Sesuatu yang berlainan sedikit walaupun sangat jelas ia ada di depan mata, Billy tidak boleh memprosesnya.

Kata Richard Gerver:

Billy was genuinely a nice person, helpful and well trained. He had learned his job and was implementing it perfectly. He knew the rules and stuck to them. He demonstrated commitment to his job and clearly wanted to do well. He was a great product of our ‘system’.

However he couldn’t cope with change, or a diversion from the norm; it threw him.

In many ways, Billy is the perfect example of a young person educated in the current school system. He was technically efficient yet lacked the essential skills he would need to truly flourish in the world he now inhabits and the one he will continue to mature into.

My first thought as I stood there in the queue by the cash register with a sausage on a plate in my right hand and a bread roll on a plate in my left was, ‘Oh Billy, what have I done to you?’

Gerver, Richard. Creating Tomorrow’s Schools Today . Bloomsbury Publishing. Kindle Edition.

Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) bukan hype atau trend. Penyataan masalah mengapa ia perlu bukannya semata-mata desakan keperluan revolusi industri 4.0. Ia adalah segala-galanya di dalam sebuah pendidikan.

Kemahiran berfikir itulah yang menjadikan manusia itu manusia. Kemahiran yang tidak dimiliki oleh makhluk lain di muka bumi. Kemahiran memproses maklumat, dan menggunakannya untuk menyelesaikan masalah.

Krisis yang masyarakat hadapi semakin komplek.

Isu agama semakin rumit.

Cabaran berlipat kali ganda.

Tetapi kita berhadapan dengan ancaman SENI BERFIKIR YANG HILANG.

Ia bukan sekadar tajuk buku saya.

Ia adalah penyataan masalah mengapa saya gundah, dan mengapa saya jadi seperti saya hari ini.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Urban Legend Budak Izzuddin: Tragedi 1991

“Tebalnya sampul surat kali ini” saya membelek-belek surat yang diterima. Selama berada di Sekolah Menengah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.