Memanjangkan Penutupan Sekolah Tanpa Strategi Pendidikan Alternatif

Selama berpuluh tahun kita ‘berjaya’ melaksanakan pendidikan sebagaimana yang kita kenal sebab kita mewah dengan peluang mengawal murid dengan dinding kelas dan memaksa mereka menelan fakta melalui rote learning. Adakah pembelajaran itu sebenarnya sejahtera untuk diproses oleh murid-murid, serta bermanfaatkah ia untuk menyediakan mereka mendepani kehidupan, kita tidak bersungguh memikirkan soalan ini.

Murid dikawal secara ekstrinsik.

Dinding.

Disiplin.

Ganjaran.

Undang-undang.

Walaupun semakin ramai murid pergi ke sekolah seperti zombie.

COVID-19 memusnahkan alat-alat kawalan ekstrinsik tersebut sebab murid bukan lagi berada di dalam kotak empat segi bernama bilik darjah. Murid berada di rumah, di belakang skrin empat segi, itu pun jika mereka mempunyai akses kepada internet, dan ada kemudahan peranti.

Namun, kita masih memaksa untuk model pendidikan yang telah expired berkenaan diteruskan dan dijayakan.

Akibatnya, murid-murid paling cemerlang pun, turut menyertai gerabak kehilangan motivasi dan kebuntuan arah untuk meneruskan perjalanan. Sesuatu yang sudah sedia menjadi masalah sebelum kemunculan COVID-19. Lebih malang, pelajar-pelajar ini menyalahkan diri mereka atas apa yang berlaku.

Dahulu, mantan Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik telah menubuhkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara walaupun tiada sebarang kejadian ‘acute’ sebagai pencetus usaha berkenaan. Usaha berkenaan memerlukan sebuah jawatankuasa interdisiplin dan bebas kerana sistem pendidikan adalah sesuatu yang amat sistemik.

Biar pun rekomendasi JKDPN telah diserahkan, ia kini sudah terbuang entah di mana selepas kuasa legislatif berubah mandat politiknya.

Kini dengan bebanan COVID-19, keperluan mewujudkan sebuah jawatankuasa menyemak kondisi pendidikan semasa menjadi lebih kritikal.

Mengubah pembelajaran dari kelas ke atas talian bukan sekadar mengubah alat. Ia mengubah pedagogi dan kaedah belajar secara fundamental. Jika pihak kerajaan tiada usaha yang sistemik untuk merombak cara pendidikan sekolah serta tertiari beroperasi, sukar untuk dibayangkan apakah yang bakal terjadi.

Saya sukar ‘memekatkan’ intonasi keseriusan isu ini sebab saya sedar ia bukan masalah yang eksklusif hanya kepada Malaysia. Ia isu global. Tetapi ‘global’ itu hanya realiti kita orang dewasa yang faham. Bagi murid, global tidak begitu relevan. Apa yang relevan bagi 5 juta murid sekolah di Malaysia ialah apa yang kerajaan di Malaysia itu sendiri lakukan.

PASCA JKDPN

Oleh kerana mengharap kerajaan membuat perubahan adalah harapan yang berisiko mengundang kekecewaan, saya tidak mahu terus menulis dengan usul makro. Saya bertindak meneruskan wacana di medium saya hanya dengan idea-idea yang boleh ibu bapa, guru dan murid manfaatkan, tanpa menyerahkan nasib ditentukan oleh pihak yang kita tidak mampu ubah.

Apa yang diperlukan pada masa ini adalah sebuah anjakan paradigma pemegang taruh utama pendidikan iaitu murid dan ibu bapanya sendiri.

Berlapang dada. Tak dapat masuk sekolah asrama tidak mengapa. Tidak dapat masuk universiti tak mengapa.

Ia bukan kiamat.

Selama ini perjalanan yang kita lakarkan terlalu linear, hingga bergerak seperti robot. Dari tadika ke sekolah rendah. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Dari sekolah menengah ke kolej atau universiti. Selesai universiti, bekerja, berkahwin, berkeluarga, pencen dan mati.

COVID-19 menjadi sebab semua yang kita biasa itu hilang. Bukanlah ia sesuatu yang bagus, tetapi kita perlu berhenti daripada hidup seperti robot. Kita manusia. Kita ada kuasa berfikir, memilih, merancang, mengubah. Di dalam sosiologi, kita harus sedar dengan upaya kita meneliti proses internalisation, externalisation dan introjection.

Kita masih punya macam-macam. Peperiksaan, sekolah mana, sijil apa, universiti mana, hanya beberapa tahi lalat di pipi kita yang lebih luas, lebih cerah dan cantik. Jangan cungkil pipi hanya kerana sebutir tahi lalat. Ia ada, wajah manis. Ia tiada, kita masih manis.

Anak sulung kami tersangkut pembelajaran beliau di dalam Diploma IB kerana pertukaran negara. Kami perlu berpindah, juga ekoran COVID-19. Proses untuk meneruskan pengajiannya di negara baharu kami amat rumit kerana sistem pendidikan Finland itu pelik di mata asing. Sekolah di Finland hanya 9 tahun. Mereka yang melengkapkan persekolahan komprehensif (peruskoulu) di Finland di mata asing dianggap ‘tak cukup sekolah’. Ini risiko yang perlu anak kami hadapi.

Namun, kami semua berlapang dada dan yakin bahawa tanpa sekolah, pembelajaran boleh terus terjadi. Terutamanya dalam perkara-perkara yang sukar dipelajari semasa sibuk dengan persekolahan yang formal.

Gap year, adalah paradigma yang munasabah. Lewat setahun, awal setahun, bukanlah hal yang patut dirunsingkan.

Hakikatnya…

Pengalaman persekolahan di atas talian anak-anak pra sekolah tidak sama dengan sekolah rendah, jauh sekali sekolah menengah dan tahun peperiksaan, serta universiti.

Semenjak Mac lagi di halaman ini, saya telah mula kongsikan beberapa maklumat berkaitan persekolahan di atas talian di rumah, bagaimana ia amat berbeza dengan belajar di sekolah.

Negara-negara Eropah bukanlah contoh yang baik dalam bab pengurusan COVID-19 ini. Namun apabila kerajaan Ireland mengambil keputusan meneruskan persekolahan walaupun lockdown level 5 (paling ketat) seperti di Ireland ini, maka anak-anak lebih bertenang. Hanya fokus kepada kesungguhan menjaga SOP di sekolah.

Sedangkan bila mana kerajaan Malaysia mengambil pendekatan menghadkan pergerakan bersyarat dan menutup sekolah terlalu lama, ia mesti disertai dengan strategi lain berkaitan persekolahan anak-anak.

Ia bukan homeschooling.

Ia bukan tuisyen.

Ia bukan Mass Online Open Courses (MOOC).

Jika guru-guru tidak menguasai sains pembelajaran dengan baik, tidak memahami perbezaan pengalaman belajar murid di atas talian berbanding di kelas, atau masih dibebankan dengan pemantauan pelbagai jabatan bentuk penaziran serta hanya mengukur kerja atau tidak kerja dengan mengajar online atau tidak… ia secara akumulatif seperti menanam periuk api di rumah murid-murid, dan guru-guru juga.

Semoga ada jalan keluar daripada keresahan ini.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

2 comments

  1. Muhaini Mahusin

    Sedangkan bila mana kerajaan Malaysia mengambil pendekatan menghadkan pergerakan bersyarat dan menutup sekolah terlalu lama, ia mesti disertai dengan strategi lain berkaitan persekolahan anak-anak.

    Ia bukan homeschooling.

    Ia bukan tuisyen.

    Ia bukan Mass Online Open Courses (MOOC).

    Jika guru-guru tidak menguasai sains pembelajaran dengan baik, tidak memahami perbezaan pengalaman belajar murid di atas talian berbanding di kelas, atau masih dibebankan dengan pemantauan pelbagai jabatan bentuk penaziran serta hanya mengukur kerja atau tidak kerja dengan mengajar online atau tidak… ia secara akumulatif seperti menanam periuk api di rumah murid-murid, dan guru-guru juga.

    Ustaz boleh ustaz jelaskan mengenai sains pembelajaran dengan baik

  2. Kita kurang fleksibel dalam memberi respon pada perubahan. Sebagai seorang guru, norma baharu ini memerlukan saya untuk menukar strategi p&p hampir 360 darjah. Masih lagi mencuba, masih lagi bersabar. Bila sabar dah habis nanti, tak tahulah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share