Ramadan: Di Mana Bumi Dipijak

“Macam mana ni ustaz. Saya nak puasa ikut mana?” sms seorang pelajar di luar negara kepada saya.

Soalan yang sama datang setiap tahun, dan saya sendiri menempuh soalan yang sama setiap tahun saya berada di UK dan Ireland.

“Ikutlah keputusan masjid. Masjid yang dianggap sebagai reference point di situ. Masjid dan kesatuan… itu keutamaan kita” saya membalas emel tersebut.

Setiap kali saya mengadakan kursus persediaan pelajar bersama KRIM, di dalam modul Introduction to the West dan Fiqh of Travellers, saya akan banyak memberikan penekanan kepada pelajar supaya menghubungkan diri dengan masjid. Solat di masjid, lazimkan diri dengan program-program masjid dan ikut keputusan masjid dalam hal-hal penentuan Ramadan dan Syawwal, serta masalah solat Jamak di musim panas.

“Tapi ustaz, masjid sini kata lain. Masjid sana kata lain” balas pelajar tadi.

Aduh… adakah setiap Ramadan, kita harus mengulangi masalah yang sama. Tahun demi tahun?

Semasa bertugas di United Kingdom dan Ireland, saya dan jawatankuasa masjid sentiasa berdepan dengan masalah ini. Sepatutnya, kami di UK dan Ireland tidak perlu berbalah. Bagi mereka di UK, adalah baik untuk mereka mengikut keputusan yang dibuat oleh Islamic Cultural Centre London atau lebih dikenali sebagai Regent Mosque yang rata-rata menerimanya sebagai tempat Muslim berpakat. Manakala bagi mereka di Ireland, rujuklah kepada keputusan yang dibuat oleh Islamic Cultural Centre Ireland (ICCI) atau lebih dikenali sebagai Clonskeagh Mosque.

Tidaklah perlu kita bangkitkan soalan siapa masjid itu? Kenapa tidak masjid ini? Ia semua soalan yang menyebabkan ayam dan telur berbalah siapa dulu. Tidak berkesudahan.

Alamat asal semua masjid ialah ia ‘Rumah Allah’!

TIADA SENSE OF BELONGING

Antara pencetus yang saya kesan sebagai penyumbang kepada masalah ini, ialah lemahnya perasaan sense of belonging umat Islam di UK dan Ireland kepada tempat di mana mereka berada. Mereka datang ke UK dan Ireland bukan untuk menyuburkan Islam dan menterjemahkannya kepada maslahah di bumi UK dan Ireland, tetapi sebaliknya mahu mencacak bendera masing-masing seperti pendaki gunung yang tiba di puncak.

Maka timbullah masjid Pakistan yang penentuan Ramadannya mahu selaras dengan Karachi. Masjid Arab pula mahu mengikut Mesir jika mereka kurang atau tidak Salafi, manakala yang bermanhaj Salafi pula mahu mengikut Mekah. Türk Cami (Masjid Turki) pula mahu selaras dengan Istanbul. Sedangkan mereka semua berada di daerah asing nan satu iaitu UK atau Ireland.

Selalunya orang Melayu hanya terpinga-pinga dan akhirnya mengikut sahaja salah satu yang ada. Tetapi apabila komuniti mereka membesar, mereka juga berkecenderungan untuk membuat sikap yang sama.

Merujuk Kedutaan Malaysia atau Jabatan Pelajar, yang merujuk Kuala Lumpur. Walaupun Kuala Lumpur itu ribuan batu melangkah enam atau 8 zon masa dunia.

Sikap seperti ini bukan hanya menyulitkan penentuan awal Ramadan dan Syawwal, malah ia membabitkan maslahah umat Islam secara keseluruhannya.

Pendidikan menjadi mangsa paling besar.

Semua orang berebut mahu menampilkan kurikulum dan silibus versi mereka, dari negara dan budaya mereka, dari manhaj dan mazhab mereka untuk anak-anak yang rata-ratanya lahir dan membesar di UK dan Ireland. Walhal mungkin tidak ada satu pun cadangan itu yang sesuai dengan pelajar yang menjadi penggunanya nanti.

Lantaran tidak berpuas hati dengan hal ini, saya mendaftarkan diri di dalam program Sarjana Pendidikan (MEd) di The Open University, UK, khusus dalam bidang kajian kurikulum. Keinginan pada ketika itu ialah pada menggarap sesuatu yang menghargai keberadaan masing-masing di UK dan Ireland, dan bukannya Pakistan, Mesir, Arab Saudi, Turki atau Malaysia.

Pengajian saya di OU itu telah membolehkan saya menjadi salah seorang ahli kepada Islamic Educators’ Communication Network (IECN) yang berpusat di Virginia, Amerika Syarikat sehingga kini. Walaupun saya tidak pernah menjejakkan kaki ke USA, tetapi diskusi yang berlangsung saban hari, membabitkan tokoh-tokoh seperti Dr. Jamal Badawi dan lain-lain, amat membantu saya dalam meninjau pencapaian umat Islam di USA berbanding dengan hasil kerja Muslim di Eropah.

Jika di UK dan Ireland, kita masih terkial-kial dalam merangka silibus dan asas bagi sekolah hujung minggu, Muslim di USA sudah sampai kepada peringkat berbincang tentang bagaimana polisi Islamic School dalam menerima kemasukan pelajar non-Muslim ke sekolah mereka? Bagaimanakah caranya kita mahu memenuhi keperluan mereka (American non Muslim) sebagai kaum minoriti di beberapa sekolah Islam di USA?!

Saya yakin, umat Islam di USA tidaklah telah 100% bebas daripada masalah yang saya sebutkan di atas, namun mereka sudah jelas jauh maju ke hadapan dari segi membangunkan keperluan masing-masing di sana.

PENGALAMAN AMERIKA SYARIKAT

Salah satu daripada sebab yang membantu umat Islam di USA untuk maju ke hadapan adalah kerana sense of belonging mereka yang kuat kepada Amerika Syarikat. Mereka bangga menjadi American Muslim dan menganggap Amerika Syarikat sebagai tanah air mereka yang wajib mereka bangunkan. Perasaan ini saya kesan daripada peserta-peserta program IYEP Jun lalu, diskusi di dalam IECN serta perbincangan kami bersama pensyarah di dalam subjek Islam and The West yang juga merupakan seorang yang lahir di Bangladesh yang ketika itu Pakistan Timur, dan kini merupakan warganegara USA.

Begitu juga dengan pelbagai dokumentari yang dipaparkan di televisyen dan internet, membantu saya untuk sampai kepada kesimpulan ini, bahawa umat Islam di Amerika Syarikat menerima negara itu sebagai tanah air dan home sweet home mereka lantas semua orang berfikir secara Amerika untuk menterjemahkan Islam dalam bentuk sistem, polisi dan aktiviti.

Inilah yang perlu diteladani oleh umat Islam di Eropah, malah mungkin juga di negara seperti Australia yang mempunyai komuniti Melayu yang besar. Apabila kita berada di negara lain, maka tidak salah untuk kita terus mempunyai rasa ikatan dengan diri dengan kampung halaman. Namun janganlah perasaan itu menjadikan kita lupa kepada tanggungjawab untuk menterjemahkan Islam kita kepada tempat di mana kita berada.

BADWI TIDAK MEMBANGUNKAN TAMADUN

Jika kita tinjau kupasan Ibn Khaldun di dalam kitabnya al-Muqaddimah, beliau mengemukakan satu premis yang mudah untuk kita memahami bagaimana tamadun terbentuk dan berkembang.

Lawan kepada madani adalah badwi.

Sifat badwi ialah ia hanya mengambil. Di mana sahaja ia berada orientasinya adalah mengambil manfaat daripada tanah dan persekitaran dia berada. Apabila tiada lagi apa yang boleh diambil, dia meninggalkan lokasi itu dan beralih ke lokasi baharu. Di mana sahaja badwi singgah, tiada tamadun yang membangun kerana mereka hanya mengambil.

Hanya apabila orientasi itu bertukar daripada mengambil kepada memberi, barulah tamadun membangun. Di mana kita berada, sebagai insan madani, kita menyumbang kepada lokasi kita berada. Kita bina, kita tanam, kita semai, kita pupuk, kita berpakat, kita bergotong royong, dan dengan orientasi sebegitu sesebuah tempat boleh bertukar daripada tiada apa-apa kepada ada macam-macam benda.

Umat Islam perlu menjadi komuniti yang bermanfaat kepada lokasi di mana mereka berada. Mereka bukan singgah untuk mengambil manfaat. Mereka bermastautin untuk sama-sama membangunkannya.

Kita madani.

Bukan badwi.

“Ikutlah masjid, hormati masjid, sayangi masjid, hidupkan masjid dan jadikan diri sebagai sebahagian daripada masjid dan masyarakatnya” itu sahaja pesan saya kepada pelajar-pelajar yang bertanyakan hal ini.

Di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung.

Hasrizal

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share