Menuju PUISI 2007

PUISI 2006 telah berlangsung dengan baik. Apa yang saya cita-citakan telah tercapai. Keinginan untuk membuktikan bahawa buku-buku Self Help sebagai bahan yang penting kepada Islam dan Muslim, The 7 Habits of Highly Effective Teens telah selesai saya olahkan agar penyampaiannya menepati perspektif Muslim.

Biar pun ada suara sumbang yang memperlekeh The 7 Habits, dengan alasan “al-Quran itu sudah ada semuanya”, tetapi cukuplah saya wakilkan realiti menjawab minda sinikal begitu bahawa,”ya, memang benar al-Quran sudah ada kesemuanya, tetapi Muslim kehilangan segalanya!”.

Untuk menjawab persoalan MENGAPA, The 7 Habits of Highly Effective Muslim /Mukmin telah merantau dari Ireland ke Australia, dan banyak persoalan dapat disentuh mengenainya. Malah diskusi mengenai 7 Habits telah mengisi hampir 10 sesi saya bersama Pertubuhan Kebajikan al-Nidaa’ Malaysia, mengupas dari persoalan krisis personaliti individu Muslim, hinggalah kepada siasah dan ummah secara keseluruhannya.

Program Perhimpunan Remaja Islam dan Tautan Insaniyyah Western Australia (PERISTIWA) 2007

Namun saya terpaksa menolak permintaan ramai pihak yang mahu The 7 Habits of Highly Effective Muslim dikomersilkan sebagai latihan profesional. Ini adalah kerana, saya bukanlah trainer berlesen Franklin Covey. 3 sesi yang membentangkan The 7 Habits, hanya sekadar usaha saya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar isu SIKAP dan AKHLAQ tidak dipandang remeh, dan The 7 Habits adalah salah satu sumber yang boleh dimanfaatkan untuk menanganinya.

Misi The 7 Habits telah dapat disempurnakan dalam tempoh setahun, Alhamdulillah.

PUISI 2007

Hari ini (Sabtu 22 Disember 2007), saya berlepas ke Republic of Ireland dengan satu lagi misi penting. Jika PUISI 2006 menjadi projek saya untuk mengIslamkan buku Barat, maka PUISI 2007 adalah pelengkap kepadanya kerana saya akan berusaha untuk memodenkan buku ‘tradisional’ Islam iaitu “APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM” oleh Fathi Yakan.

Alasannya straight forward.

Selepas berusaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa jangan bermusuh dengan buku-buku Barat secara membuta tuli, saya juga mahu dalam proses kita meneroka literature daripada Barat, khazanah Islam yang sedia ada juga tidak diabaikan bahkan ia terus relevan dan mampu menjana perubahan di dalam masyarakat.

Hanya seperkara sahaja yang mesti dipatuhi sebagai pra syaratnya. Setiap pembaca mesti mengkaji. Bukan membaca dan memuntahkan idea, tetapi memprosesnya secara kritis dan disampaikan sesuai dengan cabaran-cabaran yang datang dan pergi. Buku Barat perlu difahami dan seterusnya ditimbang dari dimensi Islam, manakala buku-buku khazanah Islam pula, mesti disuntik dengan elemen kontemporari dan dimodenkan, agar tidak kaku, sebagaimana kakunya ramai peminat buku ini.

SINDROM TAMAT SILIBUS

“Macam mana ya ustaz. Semua silibus usrah sudah habis kami bentangkan. What’s next?”, tanya seorang pelajar kepada saya.

Penyakit ini sering menimpa usrah muslimat. Sebabnya mudah, usrah muslimat sahaja yang sering konsisten, manakala usrah muslimin sering terganggu oleh peperiksaan, kesihatan, naqib tak bersedia, hari ini kena kemas rumah, cuaca tak mengizinkan, tayar basikal lembik dan senarai alasannya berterusan.

Kepada Allah jua saya pohonkan, untuk menyelamatkan kaum lelaki akhir zaman.

Berbalik kepada persoalan sindrom tamat silibus ini, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ia adalah simptom kepada kecetekan idea yang membelenggu institusi usrah. Kecetekan itu sekali gus menyuntik pemikiran simplistik kepada kita, khususnya pendakwah dan ahli siasah, bahawa persoalan ummah adalah mudah.

Mungkin kerana itu, institusi usrah hanya tinggal sebagai wacana alam pelajar. Apabila tamat pengajian, sebahagian besar tenggelam dalam alasan karier, keluarga dan kewangan, manakala sebahagian kecil yang terus istiqamah, banyak tertumpu kepada kerja dan kerja.

Tentu sahaja kerja itu adalah hasil yang dikehendaki. Apa gunanya berdakwah dan berjuang jika ruang lingkupnya hanya teori tanpa kerja. Tetapi kerja yang memusuhi kefahaman, fikrah dan teori sebagai tapak asas, maka kerja itu biar mengundang penat yang maha sekali pun, tidak mustahil ia adalah pembaziran tenaga kepada dakwah kerana bekerja tanpa muhasabah. Jika usrah masih berjalan sekali pun, ia banyak bercakap tentang kerja, dan kita sering sinis jika soal fikrah dan idea cuba diketengahkan.

Terlalu ideal.

Cakap boleh laa…

Pandai komen sahaja. Kerjanya tiada!

Ini adalah reaksi biasa yang kita dengar. Puncanya, kita merasakan kerja kita begitu mudah, selepas dua tahun usrah berjalan, segala yang kita perlu tahu kita sudah tahu.

Sedangkan dalam buku sekecil APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM yang sering menjadi rujukan usrah itu pun, banyak yang boleh dan perlu diperkatakan.

Inilah yang ingin saya usahakan, Insya Allah. Selain cuba membuktikan buku tradisional Islam ini masih berharga dan perlu dimanfaatkan, saya juga mahu mengajak peserta PUISI 2007 menilai secara kritis, “APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM”.

Soalan itu sangat mudah. Apa sulitnya mahu menjelaskan makna diri menjadi Muslim. Tetapi apabila kita menyoal soalan mudah kerana kritis terhadap inti di sebalik kulit, maka soalan itu adalah soalan falsafah. Bukan falsafah dalam erti membahaskan tentang fizik dan metafiziknya, tetapi berusaha untuk faham dan memahamkan, bukan sekadar tahu dan memberitahu.

  1. Saya mesti Muslim dari segi Aqidah
  2. Saya mesti Muslim dari segi Ibadah
  3. Saya mesti Muslim dari segi Akhlaq
  4. Saya mesti berkeluarga dengan Keluarga Muslim
  5. Saya mesti berkeupayaan mengawal diri
  6. Saya mesti meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam

Inilah persoalannya.

Ia harus dijawab dalam konteks individu, menjangkau kepada apa sebenarnya yang kita faham tentang Islam dan Muslim di dalam skop yang lebih luas.

Apakah Islam itu rahmat bagi rakyat Malaysia? Persoalan Seminar Ibn Khaldun II baru-baru ini, mungkin hanya boleh dijawab jika inti pati PUISI 2007, berjaya dihayati bersama.

BUAT KELUARGAKU

Saya memohon belas ehsan dan kasih sayang Allah SWT untuk memelihara kesihatan dan keselamatan Ummu Saif, Saiful Islam, Naurah Sabihah dan Imaduddin sepemergian saya. Sememangnya keberangkatan kali ini adalah lebih mencabar.

Tanpa pembantu rumah, dan keseluruhan ahli keluarga saya dijangkiti Conjunctivitis, mungkin Ummu Saif terpaksa bercuti di kebanyakan hari semasa ketiadaan saya, memandangkan anak-anak sendiri tidak boleh dihantar ke sekolah. Jiwa saya juga sedikit kacau dengan berita mengejut kematian sahabat saya baru-baru ini, yang sungguh tragik buat kami rakan-rakannya, terutamanya kepada isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Kepada isteri dan anak-anakku, maafkan keadaan diriku yang agak tertekan dan ‘angin’ dalam seminggu ini, rindu-rindulah kita di dalam mimpi dan doa bersama.

Bertemu tidak jemu, berpisah tak gelisah…!

Hingga pulang di akhir tahun ini…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Check Also

Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat

Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.