PUISI 2007 Melabuhkan Tirainya

Segala puji bagi Allah, PUISI 2007 telah melabuhkan tirainya. “Begin with the End in Mind” pada mendefinisikan “Apa Erti Saya Menganut Islam” adalah tema yang dipilih kali ini, demi memberikan penghargaan kepada buku karangan Fathi Yakan dalam mencorakkan persoalan erti menjadi Muslim yang sebenar.

Syukur dengan segala kekurangan, terutamanya kekurangan pandangan saya yang kabur akibat Conjunctivitis, pengisian dapat disampaikan dengan sebaiknya.

01. SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SEGI AQIDAH

Kenal diri, kenallah Ilahi. Peserta diajak menyelongkar keimanan agar kenyataan “saya bertuhankan Allah SWT” terlafaz dengan sari pati yang bermakna. Tadabbur zikir pada ayat-ayat maqroo’ah di dalam wahyu, dan tafakkur fikir pada ayat-ayat mandhoorah di dalam bahasa alam, dikemukakan sebagai wasilah membaca mesej Allah kepada kita.

Kamu belum beriman, sehinggalah kamu mengimani imanmu itu atas pilihan, bukan lagi sebuah warisan.

02. SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SEGI IBADAH

Hidup ini, apa tujuannya? Kegagalan menjawabnya mengundang hidup yang gelisah menuju binasa. Jangan ditanya kepada manusia hidupnya untuk apa, kerana manusia lahir dengan seribu tanda tanya. Tanyalah Allah, dan Dia memberitahu bahawa “Tidaklah Aku ciptakan Jin dan manusia, melainkan agar mereka itu beribadah memperhambakan diri kepadaku”.

Ibadah adalah wasilah untuk menyemai jiwa hamba. Jiwa hamba yang menjadikan manusia itu mendukung erti hidup pada memberi. Memahami ibadah juga harus pada upaya melihat matlamat ibadah yang dikehendaki syara’ serta the big picture pada struktur hukum agar terserlah rasional dan sistematik ibadah di dalam Islam.

Jangan taassub mengikut, jangan taassub menolak… itulah kata kunci kesejahteraan menjadi mafhum dalam ibadah.

03. SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SEGI AKHLAQ

Akhlaq yang terpuji adalah hasil yang dikehendaki dari ritual amalan. Akhlaq bukan etika yang terbit dari kepatuhan kepada peraturan. Akhlaq juga bukan hasil kebiasaan kepada sebuah persekitaran. Tetapi akhlaq adalah kelakuan yang terbit dari kepercayaan. Buat apa yang anda percaya, melaziminya hingga bahasa moden menyebut kelakuan itu sebagai TABIAT (Habit).

Jika mahu menyampaikan Islam ke dunia asing di perantauan ini, Islamkanlah akhlaq agar apa yang ingin disampaikan, telah sedia terserlah sebelum terungkap.

04. SAYA MESTILAH MUSLIM PADA KELUARGA

Manusia makhluk sinergi. Kejadian dirinya secara fitrah bergantung kepada orang lain dan menjadi tempat bergantung orang lain kepada dirinya. Sebelum terjun ke medan utama di gelanggang masyarakat, negara dan dunia, medan pertama menanti untuk kita berperanan sebaiknya, iaitulah keluarga.

Berumah tangga itu adalah sinergi. Namun sinergi itu pula adalah merisikokan kembara dari sesuatu yang jelas kepada kemungkinan-kemungkinan yang tidak diketahui. Akan tetapi, misteri itulah suatu keseronokan dan nikmat kehidupan. Asalkan begin with the end in mind dalam percintaan dan kekeluargaan, digarap dengan penuh kesempurnaan.

Kata kuncinya, jangan merancang hanya ke pelamin, tetapi merancanglah hingga ke lampin!

05. SAYA MESTILAH MAMPU MENGAWAL DIRI

Manusia mudah menjadi hamba kepada dirinya sendiri. Sebelum dia dijajah oleh penjajah dan tentera zalim, dirinya telah terlebih dahulu dijajah oleh sesuatu yang lebih sulit… dijajah nafsu serakah, dijajah hati yang rosak, dijajah minda yang tempang, dijajah DIRI berupa akal, hati dan nafsu. Maka demi sebuah kemerdekaan, dan pada cita-cita hidup untuk Islam, kenalilah akal, hati dan nafsu, serta kaedah membangunkan ketiga-tiga unsur manusiawi yang membentuk sejarah itu… dengan sebaiknya.

Muliakan akal kerana ia titik pisah antara dirimu dan haiwan ternak. Peliharalah hati, kerana ia titik titah pada perbuatan dan kemahuan. Didiklah nafsu yang ammarah kepada mutmainnah, agar tenang beriman dalam keindahan hidup bersama Tuhan.

06. SAYA MESTILAH MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH UNTUK ISLAM

Sungguh sedap lidah menyebut, sungguh manis telinga mendengar. Slogan besar bahawa masa depan hanya mampu dipimpin oleh Islam. Ia kosong, jika menyebutnya tanpa faham dan tanpa usaha. Kuncinya harus pada menyempurnakan tuntutan Syariatullah dan Sunnatullah… seperti Muhammad al-Fatih dan kejayaannya menundukkan Constantinople di akhir era pertengahan. Dukunglah Sunnatullah, dan junjunglah Syariatullah… untuk misi umat akhir zaman memimpin manusia dan kehidupan.

Kata kuncinya, percaya selepas melihat sesuatu, hanyalah ikutan. Tetapi percaya sebelum melihat sesuatu dan bekerja keras untuk melihat apa yang kita percaya, itulah nilai iman dan keyakinan. Yakinlah bahawa masa depan adalah milik Islam, lantas bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya!

07. MUSLIM PEDULI KEPADA ISLAM

Apa ertinya menjadi Muslim yang tidak peduli kepada Islam?

Menjawab persoalan apa erti saya menganut Islam, sebahagian daripada jawapannya adalah pada meletakkan diri di landasan kepedulian terhadap persoalan ummah. Setelah menikmati keseronokan menerima, bangkitlah untuk menghayati kemanisan memberi. Berdakwahlah… secara inside-out, iaitu pada mengisi makna kehidupan.

Ayuh berusrah, ayuh berhalaqah. Namun tarbiyah itu adalah coaching, bukannya preaching. Manusiawikan dakwah, kerana dakwah itu adalah untuk mencorakkan manusia dengan acuan Allah.

MISSION ACCOMPLISHED

Alhamdulillah, 7 slot telah selesai saya bentangkan. Semoga kesemuanya dapat digarap oleh peserta agar mereka terus bangga hidup sebagai Muslim, dan mahu berkongsi keislaman dengan setiap insan yang ditemui dalam kehidupan.

Sebahagian daripada rombongan Republic Czech yang datang ke PUISI 2007

Saya berasa terharu kerana begitu ramai peserta yang datang dari Republik Czech, malah ada juga peserta dari Australia dan Kanada. Semoga penyertaan mereka dalam program sebegini akan memberikan inspirasi kepada mereka untuk menyuburkan Islam di negara masing-masing.

Saya sentiasa berada di sini untuk menyokong, memotivasi dan memberi suntikan semangat dan keyakinan… agar APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM, dijawab pada tindakan, bukan sekadar perkataan dan kalam kosong penghias angan-angan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Dublin, Republic of Ireland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.