Buku Sulung Saifulislam.Com – Aku Terima Nikahnya

“Segala puji bagi Allah!”, saya mengurut dada.

Setelah lebih sedekad menulis dan menulis, akhirnya impian untuk melihat sebuah buku terhasil tercapai jua. Terima kasih kepada Galeri Ilmu dan Majalah ANIS yang telah mengusahakan penerbitan buku pertama saya “AKU TERIMA NIKAHNYA”. Buku ini sebahagian besarnya adalah kompilasi tulisan saya di dalam kategori kekeluargaan suami – isteri, ibu bapa – anak-anak, dan psikologi perkahwinan. Kebanyakan artikel juga, pernah tersiar di dalam Majalah ANIS. 

Buku pertama saya, adalah sebuah buku tentang rumahtangga, kerana perjuangan dan cita-cita besar saya terhadap ummah, bermula dengan perjuangan serta cita-cita saya di dalam rumahtangga.

Terimalah buku ini sebagai buah tangan saya buat para pembaca budiman di saifulislam.com yang tidak serik-serik memberikan komen untuk saya terus mencari awan dengan kaki yang kekal berpijak di bumi kenyataan. Sebagaimana buku ini merakamkan pengalaman saya mencari bahagia dan damai di dalam rumahtangga, mudah-mudahan dapat juga menyuntik kebahagiaan yang sama kepada pembaca.

Insya Allah buku AKU TERIMA NIKAHNYA ini akan mula dijual di booth Galeri Ilmu (Gerai nombor 5) di Pesta Buku Antarabangsa PWTC esok (5hb April 2008). Buku dijual dengan harga RM20.90. Diskaun 15% istimewa untuk pembeli di sepanjang Pesta Buku kali ini.

Bagi pembaca di dalam atau luar negara yang berhajat untuk mendapatkan buku ini secara pos, saya dengan rasa rendah dirinya mencadangkan supaya anda mendapatkan bantuan melalui sahabat masing-masing kerana saya tidak berkapasiti untuk melakukannya sendiri.

Sesi bersama penulis pula akan diadakan pada jam 2:30 petang 12hbApril 2008. Temui saya di sana pada tarikh itu, Insya Allah.

KEMASKINI 5 APRIL

Petang tadi saya telah berkesempatan untuk berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Turut sama, adalah Ummu Saif dan anak-anak kami, Muhammad Saiful Islam, Naurah Sabihah dan Muhammad Imaduddin. Tanpa banyak melengahkan masa, kami terus berkunjung ke gerai Galeri Ilmu di Booth No. 5, kerana saya sendiri masih belum berpeluang menatap buku AKU TERIMA NIKAHNYA itu.

Sedikit malang, buku saya masih belum sempat tiba ke Pesta Buku seperti jadual asal. Tentu sahaja! Galeri Ilmu bekerja keras untuk menghasilkan penerbitan puluhan tajuk buku baru menjelang ‘Grammy Award’ untuk industri buku ini semenjak tahun lepas lagi. Mungkin lewat petang tadi buku itu tiba, atau mungkin harus menunggu dalam sehari dua lagi, Insya Allah.

Namun, saya tetap gembira kerana bertemu dengan warga kerja Galeri Ilmu yang sentiasa bersemangat, manis dan mesra melayan semua pengunjung.

Seperti biasa, Pesta Buku juga merupakan tempat paling lazim saya terserempak dengan kawan-kawan lama, termasuklah al-Fadhil Ustaz Zahazan Mohamed, rakan sepengajian di Jordan dulu, yang sering saya temui beliau di kaca TV dan corong radio, namun ini kali pertama kami bersua muka selepas kali terakhir bertemu di Jordan lebih sedekad yang lalu.

Pesta Buku ini juga merupakan peluang saya ‘terserempak’ dengan saudara mara… dan ramai lagi. Pandangan mata kasar saya menyimpulkan bahawa pengunjung utama pesta buku terbesar Asia Tenggara ini, adalah kaum muslimin, sebagai signal yang baik kepada perkembangan budaya membaca umat Islam kita.

Namun dalam ramai-ramai insan istimewa yang saya temui dalam kunjungan singkat petang tadi, saya hanya berkesempatan untuk bergambar dengan adik-adik dari kumpulan In-Team yang turut berada di Booth Galeri Ilmu. Semoga akhi Syahril, Hazamin dan Rahim terus maju jaya dan prolifik dengan nasyid, ceramah motivasi dan juga buku mereka yang turut sama diterbitkan oleh Galeri Ilmu.

KEMASKINI 7 APRIL

Saya dimaklumkan oleh teman yang berkunjung ke gerai Galeri Ilmu pagi ini (Isnin 7 April) bahawa buku AKU TERIMA NIKAHNYA telah kehabisan stok! Harapnya, janganlah penulis buku sendiri pun sekadar dapat menatap kulit buku dalam format jpeg ya…

Salam ukhuwwah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Sabar dan Hikmah Dalam Berdakwah

Wajah yang menyimpan seribu cerita di bumi Dagistan ARTIKEL INI DITULIS PADA 21 APRIL 2007, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share