“Kalian semua beruntung kerana berpeluang belajar di sebuah negara seperti Indonesia. Negara yang punya banyak peluang, banyak kekuatan, banyak harapan dan banyak juga masalahnya! Peluang untuk kalian matang dan belajar tentang kehidupan!”, pesan Ustaz Fadly Riza kepada peserta PERMAI 2008.
Saya ketika itu mengambil peluang untuk berehat di belakang. Ustaz Fadly Riza mengisi slot petang Sabtu program Perhimpunan Mahasiswa Islam Se-Indonesia kali ini.
Jika bisa saya angguk hingga ke lutut nescaya saya akan mengangguk sesungguhnya begitu. Kata-kata Ustaz Fadly itu amat benar pada maksudnya.
Biar pun PERMAI’08 tidak banyak bezanya dari PUISI 2006 dan PERISTIWA 2007, keberadaan saya di Indonesia merupakan suatu pendedahan baru yang amat bermakna bagi diri saya. Indonesia itu sama seperti Turki, iaitu dua negara umat Islam yang luar biasa, tiada upaya memahaminya hingga kita hadir dan menyaksikan segalanya sendiri.
PERMAI’08 dirasmikan oleh Dr. Edy Mulyono Sp.Rad (K) iaitu Ketua Jabatan Radiologi, Fakultas Kedokteran, Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta. Seluruh program sungguh berbesar hati menerima kunjungan beliau yang lebih dari seorang doktor pakar, seorang tokoh di bidangnya, malah seorang pensyarah yang berjiwa bapa dan begitu prihatin terhadap soal penghayatan Islam di kalangan anak muridnya.
Dr. Edy Mulyono juga sangat banyak berkongsi pengalaman dengan saya, biar pun dalam jangka masa yang singkat. Namun kecintaannya kepada Rasulullah SAW sungguh mendalam kerana setiap kali diungkapkan nama Baginda, matanya berkaca yang mengalirkan air mata.
Program PERMAI’08 ini disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang menuntut di pelbagai universiti di Indonesia, meliputi Jakarta, Surabaya, Bandung, Malang, malah sejauh Makassar di Sulawesi, di samping tuan rumah, penuntut Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta.
Terasa umpama beban di atas bahu saya memikirkan kesungguhan peserta merentas perjalanan yang begitu jauh. Ada yang terbang di udara, tidak kurang juga yang bergelimpangan di katil perjalanan malam keretapi merentas Pulau Jawa. Itulah hakikat yang menyembunyikan keletihan saya, kerana mahu memberikan yang terbaik buat mereka.
Saya juga telah membuat sedikit rombakan kepada modul yang disampaikan itu dengan menambahkan penegasan terhadap soal KEYAKINAN DIRI yang sering menjadi cabaran di kalangan pelajar Malaysia. Namun maksud akhir saya mungkin pada seruan bersinergi pada tabiat keenam yang menjadi kemuncak hablun min al-naas.
Terima kasih atas partisipasi seluruh peserta yang amat responsif. Terima kasih juga kepada warga Malaysia di Yogyakarta yang baik hati menumpangkan saya selama berada di kota ‘endless Asia’ itu. Terima kasih yang sesungguhnya buat akhi Isa Azzaki Zainal yang telah mencetuskan ide ini serta melamar saya seawal Januari.
Semoga Allah mengekalkan ukhuwwah yang terbina, dan semoga kalian berjaya meningkatkan daya efektif masing-masing agar kita semua tidak datang dan pergi berkelana di dunia ini sebagai buih penganut wahan di akhir zaman.