Blog Kepada Buku

Sesi tandatangan buku Aku Terima Nikahnya di Ibaraki, Jepun… Ogos 2008
“Benda nie kalo korang nak tahu, ulamak kiter dah bahas panjang giler kat dlm bk jar wa ta’dil. Korang tak kesian ke tgk ulamak susah2 buat kajian, pehtu korang main ckp ikut suka jer bab2 muawiyah dgn ali ni. Cb korang baca btl2 dlm bk al-awasim minal qawasim yg ibn al-arabi tulih 2. kire sume benda ader dah disebut kat c2…”

Minggu lalu, saya telah mengemukan keratan petikan di atas sebagai suatu contoh pembaziran yang berlaku ke atas banyak blog. Pembaziran terjadi kerana bahasa yang tidak dijaga, menyebabkan isi kandungan yang berkualiti hilang kelayakan untuk dikembangkan menjadi sebuah buku. 

Mengapa buku?

Saya pernah berdoa kepada Allah SWT supaya membantu saya untuk tidak mati tanpa meninggalkan sebarang buku! Buku adalah ‘tinggalan’ paling penting untuk memastikan kita tidak mati selepas mati. Bahan bekalan untuk membantu manusia hidup, biar pun setelah kita mati. Justeru hiduplah kita jika demikian halnya, biar pun selepas tubuh hancur dimamah bumi.

Setiap yang menulis di blog, harus menanam cita-cita ini. Asas utamanya ialah terus mengasah isi, namun disampaikan dengan bahasa yang baik. Sebuah tulisan yang dijaga bahasanya, akan kekal segar di sepanjang zaman. Tulisan yang ditulis sesuka hati, akan menjadi bahan ketawa penulisnya sendiri, sebelum pembacanya suatu hari nanti.

“Gambar kenangan semasa saya melawat pejabat baru Galeri Ilmu Sdn Bhd di Kota Damansara baru-baru ini. Bergambar bersama Encik Wan Azmin Wan Dolah dan Ustaz Zakaria Sungib yang menjadi tenaga penting di sebalik majalah ANIS dan buku AKU TERIMA NIKAHNYA”

Setinggi-tinggi penghargaan saya tujukan kepada Ustaz Zakaria Sungib dan pasukan Galeri Ilmu yang telah membantu saya menghasilkan buku AKU TERIMA NIKAHNYA. Berikut adalah perkongsian dari perspektif beliau tentang cerita di balik tabir penghasilan buku AKU TERIMA NIKAHNYA. Saya petik ia untuk siaran di saifulislam.com, agar menjadi manfaat buat kita semua:

Kira-kira dua tahun lalu saya diperkenalkan oleh sahabat dan guru penulisan saya, Pahrol Mohd Juoi, kepada laman blog saifulislam.com. Saya mula mengikuti blog Ustaz Hasrizal Abdul Jamil itu dan tertarik dengan gaya penulisan serta nilai isi (content value) tulisan-tulisan beliau.

Saya kemudian mencadangkan kepada editor Anis supaya menawarkan Ustaz Hasrizal menjadi kolumnis. Kolum beliau, Bekal Jalanan, bermula di dalam majalah Anis pada Mac 2007. Pada penghujung tahun lalu sewaktu Galeri Ilmu hendak membuat kemunculan sulung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang dijadualkan pada April 2008, saya dan beberapa orang rakan diamanahkan membina judul-judul buku yang akan diterbitkan. Waktu itu saya masih di bahagian majalah. Jabatan Buku pun belum ditubuhkan.

Saya segera teringat kepada blog Ustaz Hasrizal.

Saya cuba merisik Ustaz Hasrizal tentang kemungkinan artikel-artikelnya di dalam blog itu dibukukan. Waktu itu, awal Oktober 2007, saya belum mengenali beliau. Jadi, saya hanya merisik melalui emel. Saya beritahu beliau bahawa sudah tiba masanya tulisan-tulisan beliau di dalam blog itu dibukukan kerana sudah ratusan jumlahnya.

“Pengunjung-pengunjung saifulislam.com yang lewat berkunjung seperti saya, tidak sempat baca semua tulisan terdahulu,” beritahu saya.

Ustaz Hasrizal memberikan jawapan positif. Rupanya beliau juga ada hasrat membukukan tulisan-tulisannya. Katanya, pernah ada penerbit yang berminat membukukan tulisan-tulisan beliau tapi selepas itu tidak ada langkah susulan. Jadi, ia tenggelam begitu saja hinggalah saya mempelawa beliau menerbitkan bukunya bersama Galeri Ilmu.

Ustaz Hasrizal telah meminta pandangan para pengunjung saifulislam.com mengenai idea pembukuan blog tersebut. Ramai yang memberi komen yang baik. Atas saranan Ustaz Hasrizal, saya meneliti kesemua komen itu sepintas lalu. Antara komen-komen itu adalah tentang perlunya pengasingan buku mengikut genre, pemilihan entri berdasarkan artikel-artikel terpilih, menentukan pembaca sasaran, mengenal pasti konsep buku, konsep cover dan… tidak terkecuali, memastikan ia ditangani oleh ‘reputable publisher’. Saya fikir, semua pandangan itu wajar dipertimbangkan.

Bulan Syawal 1428, saya mula mengumpul artikel-artikel Ustaz Hasrizal dalam beberapa kategori.

Saya bermula dengan menyenaraikan kira-kira 200 tajul artikel dari blog beliau. Saya memikirkan hendak mengelompokkan artikel-artikel itu kepada bahagian-bahagian. Bermakna, dalam sebuah buku ada beberapa bahagian dan setiap bahagian mengandungi sejumlah artikel. Saya dapat pecahkan kepada sembilan bahagian. Ada bahagian Diari Kembara, ada bahagian Kekeluargaan dan sebagainya.

Setelah memikirkan soal halatuju buku-buku Galeri Ilmu yang bakal diterbitkan, saya fikir, elok jikalau saya memfokuskan pada dua buku dulu iaitu buku berbentuk kekeluargaan dan buku travelog/diari kembara. Melihat pada bilangan artikel yang ada untuk kedua-dua kategori itu, masing-masing sudah mencukupi untuk dijadikan sebuah buku. Oleh itu, kami boleh terbitkan sebuah buku untuk setiap kategori tersebut.

Ustaz Hasrizal bersetuju dengan idea itu. Beliau memberi cadangan awal kemungkinan moto blog beliau, Erti Hidup Pada Memberi, dapat dijadikan judul buku atau tagline buku beliau. Saya tertarik dengan cadangan itu tetapi saya sedar keputusan akhir masih tertakluk kepada perbincangan dengan rakan-rakan di Galeri Ilmu. Judul buku adalah antara perkara paling akhir perlu diputuskan.

Setelah membuat beberapa pertimbangan dan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan, akhirnya satu keputusan dibuat untuk memberi tumpuan kepada sebuah buku saja. Buku berkenaan adalah buku berbentuk kekeluargaan dan pendidikan anak-anak. Halatuju ini selari dengan halatuju majalah ANIS dan boleh disasarkan kepada khalayak pembaca yang sama.

Pada awalnya saya menyarankan kepada Ustaz Hasrizal agar beliau sendiri memilih dan membuat kompilasi artikel-artikelnya. Saya fikir, cara itu akan lebih mudah. Tetapi tidak semudah itu rupanya. Beliau perlu dibantu dalam aspek-aspek teknikal ini. Lagipun, beliau tidak mempunyai simpanan khusus artikel-artikel yang telah beliau ‘posting’ ke blog. Ada tetapi tercerai-cerai dan banyak juga yang hilang. Lalu, saya pun memberitahu beliau bahawa saya sendiri yang akan memilih dan menyusun artikel-artikel beliau mengikut urutan yang saya fikir sesuai. Beliau ternyata gembira dan benar-benar berasa terbantu dengan cadangan itu.

Saya mencuri-curi masa di celah kesibukan kerja penerbitan majalah untuk menyalin-turun (secara ‘copy & paste’) artikel-artikel dalam kategori kekeluargaan dari blog saifulislam.com. Mula-mula saya salin hampir kesemuanya. Selepas itu, saya saring satu persatu dengan mengambil artikel-artikel yang sesuai dibukukan saja. Akhirnya yang tinggal adalah kira-kira 40 artikel.

Proses seterusnya adalah menyusun artikel-artikel itu mengikut urutan. Proses ini paling renyah kerana saya perlu melakukan ‘fast reading’ setiap artikel untuk menyusunnya mengikut urutan yang sesuai. Mana satu hendak dijadikan bab pertama, bab kedua dan seterusnya. Saya menyusunnya berpandukan judul-judul artikel yang saya telah baca secara sepintas lalu isi-isinya.

Proses menyusun ini melibatkan beberapa kali rombakan untuk mendapatkan susunan yang paling sesuai. Saya cuba menimbulkan kesan kepada pembaca bahawa dari bab ke bab, buku ini mempunyai kesinambungan. Biar pembaca dapat merasakan kesinambungan itu walaupun sebenarnya tulisan-tulisan itu ditulis tanpa mengikut urutan.

Di tempat-tempat tertentu dalam artikel ada digunakan perkataan ‘semalam’, ‘awal bulan ini’, ‘esok’ dan sebagainya. Ada juga ayat yang menyatakan bahawa sesebuah artikel itu adalah maklum balas kepada tulisan sebelumnya di blog. Ayat yang mengandungi perkataan atau konotasi seperti ini harus diubah suai atau ditiadakan supaya sesuai dengan format buku. Kita tidak mahu pembaca merasakan dia membaca kompilasi tulisan-tulisan dari blog, bukannya membaca buku. Saya juga ada memotong perkataan dan ayat di satu dua tempat atas pertimbangan tertentu.

Kini sebahagian besar artikel telah saya susun mengikut urutan. Hanya ada beberapa artikel lagi yang perlu disusun tetapi saya rasa kedudukannya mengikut urutan adalah terkemudian daripada artikel-artikel yang telah sedia disusun. Tugas berikutnya sudah nampak agak mudah. Lalu saya menyerahkan manuskrip itu kepada rakan editor, Puan Suraiya, untuk menyambutnya. Beliau melengkapkan dan memperkemaskan lagi susunan artikel-artikel di dalamnya.

“Boleh ustaz luangkan masa untuk datang ke Galeri Ilmu?” tanya saya kepada Ustaz Hasrizal apabila manuskrip buku yang sudah lengkap itu telah dikeluarkan dalam bentuk cetakan lazer.

Minggu berikutnya Ustaz Hasrizal datang. Itulah pertama kali beliau datang ke Galeri Ilmu iaitu di bangunan pejabat lama di Taman Tun Dr. Ismail, sebelum kami berpindah ke Kota Damansara. Itulah juga pertama kali saya bertemu dan berjabat tangan dengan beliau. Turut hadir dalam pertemuan itu adalah En. Roslan Kassim yang menerajui penerbitan majalah dan buku ketika itu (sebelum Jabatan Buku ditubuhkan).

Ustaz Hasrizal pulang membawa manuskrip buku sulungnya. Beliau menyemak semula tulisan-tulisan beliau itu dan mengeluarkan beberapa artikel yang kurang relevan. Beliau juga menulis mukadimah untuk buku yang mengandungi 36 bab itu.

Beberapa hari sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada April 2008, Ustaz Hasrizal telah mewar-warkan kemunculan bukunya di saifulislam.com. Ramai pengunjung blog beliau yang ternanti-nanti. Mereka tidak sabar-sabar untuk memiliki buku itu.

Akhirnya, buku Aku Terima Nikahnya – judul yang tidak pernah terlintas di fikiran saya dan rakan editor hinggalah di saat akhir buku hendak dicetak – menemui pembaca pada minggu kedua pesta buku berlangsung. Judul itu memang cadangan daripada saya, tetapi saya dan beberapa rakan editor juga mencadangkan beberapa judul lain. Akhirnya, judul itu yang dipilih, dengan saya tambahkan ‘blurb’. Pengarah Rekabentuk Hj. Badrulhisham sendiri menghasilkan rekabentuk kulitnya yang nampak santai dan lembut.

Ustaz Hasrizal telah saya maklumkan tentang judul muktamad itu.

“Walaupun ‘Erti Hidup Pada Memberi’ tidak dijadikan judul buku, ‘blurb’ pada kulit buku sudah membawa pengertian itu,” beritahu saya.

Beliau menerimanya dengan lapang dada. Memang mudah berurusan dengan beliau.

Pengunjung gerai Galeri Ilmu di pesta buku membeli buku Aku Terima Nikahnya seperti membeli goreng pisang panas. Memang buku itu masih ‘panas’. Siap saja dicetak, ia terus dibawa ke gerai pesta buku. Saya lihat ramai yang membeli empat lima naskhah sekaligus. Dua ribu naskhah habis dijual dalam tempoh seminggu lebih. (Hingga saat saya menulis ini, buku itu telah diulang cetak sebanyak empat kali.) Ini di luar jangkaan kami dan di luar jangkaan Ustaz Hasrizal sendiri.

Alhamdulillah, jalinan komunikasi serta koordinasi yang baik antara editor dan penulis mampu memberi hasil yang baik dan mudah-mudahan diredhai.

ZAKARIA-SUNGIB.BLOGSPOT.COM

Kerja-kerja ubah suai dan kemas kini buku kedua saya sedang dalam proses akhir. Semoga dipermudahkan Allah, agar hidup ini terus bermakna dengan ERTI HIDUP PADA MEMBERI, ameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Check Also

Bagaimana Untuk Saya Pulang ke Rumah?

Sesi bersama remaja, banyak suka dan duka “Saya takut nak balik, ustaz!” kata Azmin kepada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share