Indah Desa Pada Hidup Memberi

“Tambah le lagi makan tu!” kata Wah kepada kami.

Saya tidak dapat menolak. Lemang yang dihidang cantik tak berkerak dan betul lemaknya. Tetapi rendang cicahnya, Subhanallah. Sungguh sedap.

“Tak pernah rasa rendang macam ini, Wah!” saya memberikan komen. 

Beliau hanya tersenyum. Pak Wah pun ketawa kecil. Nampak keseronokan di wajah mereka melihat kami sekeluarga berselera makan di hari raya.

“Bendanya tak susah nak buat. Blender sahaja rempah kurma dengan bawang merah, bawang putih, cili boh sikit, cili kering dan kismis hitam. Halia dengan lengkuas tak payah. Kome tumis dengan minyak, jangan banyak sangat minyak tu. Kuca (kacau) elok-elok, kemudian masukkan kicap dengan gula kabung. Daging tadi kamu rebus asing, gunakan air rebusan tu kalau tumisan ni kering sangat,” Wah tanpa diminta-minta berkongsi resepi dengan kami.

Kami beriya-iya menyalin resepi. Seronok beraya di kampung, bukan sahaja makannya sedap, dapat pula mencungkil resepi-resepi baharu yang jarang ketemu.

“Kome di rumah ada lagi ke tempoyaknya?” tanya Wah di celah khusyuk kami menjamu selera.

Semua orang tersengih-sengih. Susah mahu menolak tempoyak buatan asli oleh tangan Wah sendiri. Kalau beli di kedai, nasib malang terbeli tempoyak bercampur isi pisang… cara biasa orang menipu berniaga.

Tiga plastik besar tempoyak datang dari dapur.

“Hah, rasanya ada lagi pisang abu di belakang tu…”, Wah membekalkan kami dengan pisang pula.

“Kalau lambat dimasak, kamu buat gulai pun boleh”, kata Wah.

“Lemang ini nanti Wah bungkuskan. Bawa balik setengah, bagi Apak kome rasa”, Wah laju sahaja tangannya membungkus ini dan itu.

ADAT MEMBERI

Subhanallah, pantang sahaja disebut sesuatu yang ada di dapur dan kebun, mesti Wah akan bekalkan kami dengannya. Pendek kata, setiap kali berkunjung ke rumah Wah di Bota Kanan, tidak pernah lagi anak cucunya pulang dengan tangan kosong.

Teringat saya kepada Opah Esah yang tinggal di belakang Masjid Ubudiyyah Bukit Chandan. Opah Esah adalah Opah Tiri kami, berumahtangga seketika dengan arwahnya Tok Akib. Dulu-dulu, Opah Esah tukang masak Istana.

Kalau kami menjenguknya, paling kurang pun mesti ada labu sebiji, pisang sesikat, pucuk ubi seikat atau ubi kayu dicabut dari tanah. Apa yang pasti, tiada siapa yang akan pulang tangan kosong.

Apabila dilihat-lihat, rumah mereka tidaklah mewah. Serba sederhana malah bagai tidak punya banyak lebihan. Tetapi ia tidak menghalang makcik-makcik dan pakcik-pakcik di kampung untuk memberi. Biar pun hanya sebiji labu, memberi itu tetap menjadi suatu kemestian.

Balik jangan kosong tangan tidak berisi.

SUNNAH SEBATI

Bukan tidak pernah membaca Sirah…

Catatan sejarah tentang al-itsaar ‘ala al-nafs di kalangan sahabat Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam. Tingginya upaya mereka untuk saling mengutamakan saudara, setanding malah melebihi diri sendiri. Di dalam suasana sebegitu, tidak hairan jika Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam menyuruh jiran tetangga memasak untuk keluarga Jaafar al-Thayyar yang syahid di medan Mu’tah.

Soal menyusah-nyusahkan diri untuk melebihkan saudara dan jiran, mudah sekali menjadi kebiasaan yang sebati.

Lalu terungkaplah segala amalan ini di dalam sabda Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam:

لا يؤمنُ عبدٌ حتى يحبَّ لأخيه ما يحبُّ لنفسِه

“Tidak sempurna berimannya seorang hamba itu sehingga dia suka untuk saudaranya apa yang dia suka untuk dirinya sendiri.”

Itu asasnya.

Iman jadi sempurna dengan sifat berkongsi dan memberi.

Berkongsi dan memberi pula, datang dengan nilai kasih sayang.

Beri dengan sayang, barang yang kita sayang, untuk orang yang kita sayang.

DI RUMAH ATEH

“Kome jangan tak makan di rumah Ateh,” itu pula pesanan kedua.

Setelah bertamu di rumah Wah, kami bergerak ke rumah Ateh. Indah sungguh pemandangan di kiri kanan jalan, menyusuri Padang Tenggala, Kampung Pendiat dan akhirnya ke Kampung Senin.

“Ini aje le rezeki yang ada. Hari raya, waktu-waktu begini, orang mencari nasi. Kalau awal tahunya, boleh dicari ikan di pekan Parit. Lambat-lambat petang sebegini, ini aje le ghejekinya!” kata Ateh.

Aduh, berselera benar kami sekeluarga makan tengah hari. Hidangnya sikit-sikit tetapi banyak jenis kerana segala saki baki bahan mentah yang ada, dimasak untuk menjamu anak cucu.

“Lampung ini senang aje masaknya. Kamu perap dengan sos tiram aje dalam setengah jam, lepas tu goreng”. kata Ateh berkongsi resepi.

Datanglah bila-bila, rezeki sentiasa ada, itu luar biasanya bertandang pulang ke desa.

INDAHNYA DI MANA

Sepanjang hari semenjak pagi, saya membuka mata dan hati untuk memerhati. Mencari di mana indahnya kampung.

Apakah pada Sungai Peraknya?

Apakah pada hijau pohon kelapa dan ayam serama yang berkejaran?

Jujurnya keindahan pulang ke kampung ialah kerana kemurahan rezeki hasil kemurahan hati warganya. Itulah yang paling manis untuk saya teladani pada desa di Aidilfitri. Bahawa hidup berkongsi dan hidup memberi adalah kunci bahagia.

Indah berumahtangga, indah berkeluarga, indah berjiran tetangga.

ATURAN EMAS

Memberi dan memberi yang terbaik, adalah nilai ajaran Islam yang besar. Ajaran yang menjadikan Islam sebagai pengelok kehidupan serta asas sosial perkembangan tamadun insan.

Malah sia-sialah Islam kita jika tidak diamalkan perkara baik ini. Ia sudah diangkat menjadi inti ajaran lain serta terungkap di dalam peraturan sosial yang disebut sebagai ‘The Golden Rule’, iaitu:

Treat others the way you want to be treated

Tatkala saya membelek-belek kehidupan di kampung, saya bertemu dengan banyak amalan yang menghiasi akhlak budi orang kita. Dari hadith Anas itu tadi, ia sampai ke Bota dan Bukit Chandan dengan ungkapan indah pepatah bangsa:

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah

Berkongsi apa sahaja yang ada, sudah menjadi darah daging ibu bapa kita. Bertandanglah pada bila-bila masa, ada sahaja yang terhidang, ada sahaja buah tangan dibawa pulang. Di situlah berkatnya hidup, lebih banyak kita memberi, ada sahaja yang kita terima. Belum lagi kurniaan di Sana, hatta di dunia lagi sudah bertambah-tambah anugerahnya.

Terkenang saya kepada sebuah lagu yang pernah mengiringi saya membesar lama dulu…

HIDUP BUKAN UNTUK DIRI SENDIRI

Kulihat burung berterbangan
Berkicauan riang dan berkawan
Mungkin bermain di waktu pagi
Atau ingin mencari rezeki

Kulihat semut berderetan
Berarak ke satu tujuan
Berterusan menjalankan tugas
Membantu bersama

Aku kini mengerti
Hidup bukan untuk diri sendiri
Berat sama dipikul ringan sama dijinjing
Bersatu teguh bercerai roboh

Kulihat di tengah permatang
Petani membanting tulang
Bergotong royong setiap masa
Membantu bersama

Komposer: Syed Haron
Nyanyian: Anuar & Ellina

Bekerja kampung, rezekinya ala kadar. Tetapi tidak pernah kurang memberi.

Kerana memberi, mereka banyak menerima.

Memberi itu usaha, menerima itu kurnia.

Jelaslah bahawa, yang malang bukan tidak dikasihi, tetapi gagal mengasihi. Yang miskin bukan kurang menerima, tetapi lokek memberi.

Ertikan hidup pada memberi, teladan besar di Aidilfitri.

www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Sabar dan Hikmah Dalam Berdakwah

Wajah yang menyimpan seribu cerita di bumi Dagistan ARTIKEL INI DITULIS PADA 21 APRIL 2007, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share