Sebelum Dibius Cinta

“Bodoh punya batu, kenapa kau langgar kekasih aku?” marah seorang lelaki kepada seketul batu yang ‘melanggar’ buah hatinya.

“Oh abang, biar pun baju abang masam, masam itulah masam-masam manis jiwaku!” kata seorang girlfriend kepada boyfrriend.

Dialog di atas adalah ayat-ayat cinta yang biasa. Biar pun bunyinya agak luar biasa kepada manusia biasa, ia amat biasa dan perlu bagi dua belangkas yang sedang mabuk cinta. Sama ada cinta di antara dua pasangan yang belum bernikah, atau yang pengantin baru yang sedang menikmati bulan-bulan madu mereka, ia bicara penuh rasa dan mengungkapkannya, bagai sedang terapung di awangan.

BIUS CINTA

Memang cinta itu luar biasa. Cinta bukan sahaja buta, malah boleh membutakan. Menghilangkan penglihatan lagi melumpuhkan mereka yang terkena panahannya.

“Aku dibius cinta!” kata Melly Goeslow.

Kemabukan cinta ini menyulitkan kita untuk merasionalkan perbincangan. Perbahasan-perbahasan tentang do’s and don’ts yang dikemukakan untuk keelokkan jangka panjang cintanya, ditepis sambil pandangan melirik sebelah mata sahaja.

Namun, sementara masih boleh diajak, kerana terserempak dengan tulisan ini, saya ingin mengajak pasangan yang sedang mabuk cinta, belangkas yang sedang bertelinga tuli daripada nasihat-nasihat di sekitar mereka, supaya duduk sejenak dan berusaha untuk menjawab soalan-soalan realiti yang saya senaraikan di bawah nanti, sesuai untuk meneroka kembara mawaddah dalam sebuah rumahtangga yang kekal hingga ke hujung nyawa.

Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ – 30:21

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Rum 30: 21] 

Sesungguhnya mawaddah itu adalah cinta yang tumbuh, terbina dan bertambah dari semasa ke semasa di sepanjang bahtera perkahwinan dilayari. Cinta yang terbit daripada satu demi satu kejayaan suami dan isteri menempuh kesukaran, kesulitan dan cabaran hubungan perkahwinan mereka.

Agar bulan madu itu bulannya menjadi tahun yang berpanjangan sepanjang nyawa, dan madu tidak menjadi racun, saya mengajak setiap pasangan yang masih ’sedar’ sebelum dibius cinta, agar menjawab soalan-soalan berikut dengan jujur dan telus. Jangan tergesa-gesa menjawabnya, fikirkan satu persatu, sehari demi sehari, sebelum menabur janji menyulam kata, sebelum janji dimeterai, sebelum ikatan disahkan agama:

SOALAN PEREMPUAN KEPADA PASANGANNYA:

  1. Syukur Alhamdulillah, aku disahkan mengandung. Tetapi alahanku menyebabkan aku tidak mampu mencium baumu sayang. Mendekatimu sahaja sudah cukup mengundang loya. Entahlah berapa lama, mungkin sebulan dua, mungkin empat bulan atau lima. Ada kemungkinan bukan sahaja untuk kandungan kali pertama, malah yang depan-depan juga. Sabarkah engkau dengan kerenahku? Masihkah aku ini cintamu di kala itu semasa reaksiku kepadamu yang mendekatiku ada loya dan termuntah?
  2. Semasa PMS setiap bulan, aku tidak lalu makan, mulutku asyik mengeluh sakit sini dan sakit sana, atau kadang-kadang rasa hendak makan yang bukan-bukan. Tidur sering tidak lena atau mungkin sentiasa ingin tidur kelesuan, aku yang ceria berubah menjadi pemarah dan sering berduka. Bukan aku sengaja tetapi segala yang kurasa di setiap inci tubuhku, menimbulkan resah dan tidak selesa. Palingku risau, bahasaku menjadi kurang baik, menyakitimu dengan perkataanku, setiap bulan sepanjang perkahwinan, hingga ke suatu masa yang didatangi haid bukan lagi sebahagian hidupku. Sabarkah engkau dengan kelemahanku ini?
  3. Semasa mengandung, upayaku untuk melayan keperluan batinmu tidak seperti biasa. Aku lemah, sering juga hambar tiada penariknya. Sehebat-hebat mujahadahku, diri ini amat terbatas dalam upaya berperanan sebagai isterimu. Setiap kali mengandung, tempohnya bukan seminggu dua sebulan dua purnama. Masihkah aku buah hatimu?
  4. Semasa kita mula berumahtangga, pasti hidup kita indah bagai di Syurga. Tambah pula dengan kurniaan cahaya mata pertama. Namun ketika cahaya mata bertambah bilang, kerjaya kita semakin berkembang. Pendapatan bertambah, tanggungan dan beban juga bertambah. Dalam suasana yang banyak tekanan di rumahtangga kita, kewangan menjadi topik panas yang menimbulkan kemarahan, apakah engkau masih mampu ceria? Sabar dengan kerenah anak-anak dan ibu mereka, terus tersenyum menawarkan bahagia?
  5. Selepas beberapa tahun berumahtangga, aku belum merahimkan cahaya mata impian kita, saudara mara dan teman memperlimu dan menuduh engkau bukan seorang jantan. Sedangkan aku punca sepimu tanpa zuriat. Di kala engkau diasak keluarga dan teman, masihkah aku ada tempat di lubuk cintamu?
  6. Andai selepas beberapa tahun berumahtangga, aku diputuskan pemeriksaan perubatan bahawa diri ini mandul dan tidak mampu merahimkan cahaya mata impian kita, apakah aku masih kekasih hatimu?
  7. Jika aku ditakdirkan Allah diuji dengan barah payu dara, terpaksa mengorbankan salah satu atau keduanya, kimoterapi meluruhkan rambutku yang pernah menjadi pujianmu, tubuh lemahku menumpang kasih dalam pelukanmu, berak kencingku di dalam kain batik yang pernah kauhadiahkan kepadaku, masihkah engkau mencintaiku?

SOALAN LELAKI KEPADA PASANGANNYA:

  1. Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humor, dan hanya bercakap benda-benda besar yang serius. Kelelakianku mula menjadikan aku hilang upaya untuk mengulang bincang sesuatu yang sudah pernah dibincang dan selesai. Sabarkah engkau dengan perubahanku itu nanti? Kuatkah cintamu kepadaku?
  2. Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakannya kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta itu di hatimu?
  3. Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh daripada mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana ‘menanggung’ aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus, biawak hidup. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah engkau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?
  4. Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan dirimu. Apabila aku berbicara dengan rakan-rakanku, engkau melihat aku ketawa riang (kerana antara aku dan mereka tiada tanggungjawab), tetapi apabila kita berdua berinteraksi, sering sahaja kita terjebak ke topik-topik masam dan kelat tetapi penting, tiada lagi sense of humour antara kita. Aku mengharapkan dirimu sebagai insan yang akan membantu menceriakan aku, namun sabarkah engkau dengan diriku dan mampukah cinta kita di hatimu terus membenih bahagia?
  5. Jika kerjayaku berkembang di luar jangkaan kita, engkau terpaksa berkongsi diriku dengan massa, dan aku terpaksa selalu ke sini sana untuk bekerja. Dikerumuni manusia yang memujiku dan asyik dengan kelebihanku, sedang engkau sangat tahu siapa aku sebenarnya di belakang persona itu, sabarkah engkau dengan suasana itu, dan aku masih cinta hatimu?
  6. Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan kita zuriat, rumahtangga kita sunyi tanpa cahaya mata, apakah engkau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumahtangga kita?
  7. Sekiranya rumahtangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau stroke yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini di dalam kain pelekat yang pernah kauhadiahkan kepadaku, apakah ia menggugat cinta kita dan mampukah engkau terus hidup di sisiku yang hanya suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?

Seorang suami dan seorang isteri, akan berusaha dan berdoa agar tidak teruji dengan situasi sedemikan rupa. Memohon kepada Allah agar tidak dibebankan dengan ujian yang di luar upaya diri.

رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ – 2:286

“…Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya” [al-Baqarah 2: 286]

Namun, menyedari bahawa kehidupan berumahtangga itu adalah lanjutan peringkat kehidupan, bukan melangkah ke mimpi yang jauh daripada realiti alam nyata, pastikan langkah kaki tidak bermula, sebelum telah jelas gambaran akhir di minda.

Sesungguhnya saya senaraikan 14 soalan, separuh untuk bakal suami dan separuh untuk bakal isteri, bukanlah soalan yang direka-reka tanpa asas. Mengendalikan sesi perkongsian di antara teman-teman dan peserta program, bertukar-tukar pandangan serta nasihat dari golongan yang lebih berusia, mengumpulkan hal-hal ini untuk direnung oleh kita semua.

Ketika dibius cinta, kita menafikan segalanya. Bahawa cinta dan rumahtangga kita indah semuanya. Tidak akan diuji sedemikian rupa. Sebagaimana semasa melihat kematian, kita sering melihat kematian itu kematian orang lain, tanpa pernah meletakkan diri di ketentuan itu. Biar pun mati itu pasti, kita yakin ia bukan giliran kita. Masih punya masa, masih punya ketika.

Tidak membuat persediaan, itulah kematian sebelum mati.

Membiarkan diri dibius cinta, itulah racun pemusnah cinta, apabila cinta realiti, diterbangkan ke langit impian, hingga kaki tak jejak bumi, tangan gagal menggapai awan.

Sebelum anda dibius cinta… soallah diri sejauh mana anda bersedia?

Dunia semakin mengindahkan ilusi.

Hingga alpa menginsafi realiti.

Hasrizal
www.saifulislam.com

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.