FITRAH: Dari Blog ke Drama TV

Saya bukan penulis skrip.

Saya memang tidak pandai menulis skrip.

Saya berdakwah, bekerja, mendedahkan diri kepada realiti, mengutip pelbagai cerita dari masyarakat dan saya menulis untuk mengembalikan ibrah segalanya kepada masyarakat.

Tetapi saya bukan penulis skrip. Walaupun saya ada banyak cerita.

“Kalau mahu belajar teknik menulis skrip, lima minit sudah memadai,” kata Ustaz Zabidi kepada saya.

“Tetapi kalau mahu belajar falsafah menulis skrip, rasanya paling kurang lima hari penuh!” sambung beliau.

Saya mengangguk. Apa yang diperkatakan oleh beliau itu amat benar. Menulis di majalah, menulis di akhbar, menulis di jurnal akademik dan menulis skrip drama atau filem, kesemuanya mempunyai disiplin yang tersendiri serta memerlukan kemahiran yang spesifik.

Saya tidak memilikinya.

Maka tidak harus untuk saya menulis skrip.

Saya bersama Ustaz Zabidi Mohamed membincangkan naskhah terbarunya, FITRAH

BIAR PENULIS SKRIP YANG MENULISNYA

“Tetapi kisah-kisah yang anta ada mesti didramakan. Ana sudah nampak banyak potensinya,” kata Ustaz Zabidi kepada saya. Adib di sisi tersenyum menemani pertemuan kami.

Saya berasa sangat bersyukur kerana berpeluang untuk bertemu dengan Ustaz Zabidi Mohamed. Peguam yang memiliki sentuhan istimewa dalam penghasilan skrip drama-drama bermutu ini, ditemukan dengan saya oleh Adib, teman seperjuangan yang mempunyai idea tentang ‘hasil’ yang boleh dijangka andaikata saya dan Ustaz Zabidi ditemukan.

Pengalaman yang saya kutip dari hari-hari yang ditempuh sebagai manusia yang belajar dalam mengajar, mencari dalam menemukan, beringat-ingat ketika memberi peringatan, menghasilkan banyak kisah yang luar biasa. Kisah-kisah itu luar biasa kerana kita memang sedang mendepani realiti yang luar biasa.

Realiti yang mencabar pendakwah.

Realiti yang mencabar dakwah.

Realiti yang mencabar agama dan cabang-cabangnya.

Dicabar oleh krisis usia emas, krisis usia pertengahan, krisis usia matang, krisis remaja, krisis kanak-kanak… dan pelbagai krisis yang bertali arus.

Kesemua ini, digarap oleh Ustaz Zabidi Mohamed dalam menghasilkan sebuah skrip drama bersiri 20 episod yang bakal disiarkan di saluran ASTRO OASIS menjelang Ramadhan akan datang. Drama itu dikenali sebagai FITRAH!

ASTRO memberikan sepenuh kebebasan kepada Ustaz Zabidi untuk membina drama ini daripada A hingga ke hujungnya. Beliau telah memilih pengarah yang hebat, syarikat produksi yang hebat, dan kini sedang memilih serta menentukan pelakon-pelakon yang bakal membintangi drama ini.

Nama-nama besar seperti Nur Fazura, Ashraf Muslim, Jehan Miskin, Ustaz Akil Hayy dan ramai lagi sedang dalam proses rumusan, pinangan dan perbincangan.

Saya belum mempunyai banyak maklumat untuk diwar-warkan kepada pembaca. Tetapi bagi anda yang pernah menonton cerekarama IHSAN dan tersentuh dengannya, drama kali ini mempunyai rencah yang sama hebat. Mudah-mudahan pembabitan saya di samping Ustaz Zabidi Mohamed akan memberi nilai tambah pada karyanya kali ini.

BIAR ADA SEMUA

Saya mahu semua perasaan tentang agama terbabit di dalam drama ini. Semua perasaan.

Taasub kepada agama…

Sinikal dan sinis tentang agama…

Benci kepada agama…

Suka kepada agama…

Jahil tentang agama…

Alim tentang agama…

Bijak berkaitan agama…

Dungu tentang agama…

Marah dengan agama…

Memperjuangkan agama…

Semuanya saya harapkan dapat diadun di dalam drama yang berdasarkan kepada beberapa kisah benar. Harapannya, biar drama ini mencabar pendakwah, mencabar golongan yang mencabar agama, menyentuh manusia yang jauh dari agama, muhasabah untuk yang dekat dengan agama.

Drama ini harus punya unsur yang menjadikan pendakwah termenung, terdiam dan naik semangat. Remaja pula tertoleh, terduduk, terasa isi hatinya disuarakan dan dilorongkan diri kepada jawapan yang dicari selama ini. Drama ini juga menggamit manusia bernama ibu dan bapa, menjadi cermin kepada air tangan mereka selama ini, memutik harapan kepada air mata yang gugur oleh hiruk pikuk anak-anak yang bermasalah, pendek kata, ia drama untuk semua.

Drama ini harus menguji definisi cinta, mengangkat subjek cinta dari sekadar kisah murah antara dua manusia yang keliru antara taqwa dan nafsu, kepada cinta yang mencabar semua manusia yang manusia. Cinta seorang ibu, cinta seorang bapa, cinta seorang ustaz, cinta seorang tuan guru kepada ustaz, cinta yang diganggu, cinta yang ditolak, cinta yang akhirnya membingungkan heroin drama ini hingga beliau terpaksa bertanya, “untuk apa aku beragama jika ini cinta yang ditawarkan-Nya?”

Saya teruja membaca bahan-bahan yang telah disiapkan oleh Ustaz Zabidi. Saya yakin dengan kebolehannya. Tugas saya hanya menyuntik nilai dan ‘ilmu’ di dalam dialog-dialog drama 20 episod ini agar setiap satu scene, meninggalkan bekas kepada setiap fikiran, jiwa dan emosi penonton yang menontonnya.

Shooting dijangka pada bulan Mei dan kajian ASTRO OASIS telah menghasilkan keputusan setakat ini, bahawa drama ini akan disiarkan dua minggu sebelum Ramadhan, disiarkan setiap malam dan kemudian diulang pada sebelah pagi, kemudian digulung dalam siri seminggu di hujung minggu.

Ikuti perkembangannya di sini.

Dari blog kepada buku, kini terjemahannya masuk ke dalam drama, semua bertambah ruang untuk pendakwah bertemu manusia, ameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.