Pemikiran Skeptis Dalam Beragama

bourguiba

Habib Bourguiba

“Kenapa dia berkata begitu? Dia tak faham al-Quran dan Sunnah ke?” seorang hadirin ceramah mengkritik.

“Apa dia tidak baca sirah? Buta sejarah?” tambah seorang lagi.

Semua naik angin.

Marah dengan Habib Bourguiba.

Beliau adalah Presiden Tunisia yang pertama, memerintah dari tahun 1957 hingga 1987. Bourguiba selalu disinonimkan dengan Mustafa Kemal Ataturk kerana keghairahannya kepada pembaratan yang disamakan dengan pemodenan.

Isunya ialah pada tahun 1961. Habib Bourguiba telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia, berpuasa di bulan Ramadhan. Bagi menegaskan arahan itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai.

Alasan Habib Bourguiba senang sahaja, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!

SINIS AGAMA

Pandangan Habib Bourguiba itu, jika mahu dikategorikan, ia termasuk di dalam apa yang dinamakan sebagai Religious Skepticism, walaupun ia bukanlah sebuah Kategori.

Pemikiran skeptis atau sinis terhadap agama ini berperingkat.

Ada sinis yang merujuk kepada beberapa aspek di dalam ajaran agama. Seseorang itu mungkin sinis dengan hukum membasuh jilatan anjing dengan tanah. Atau hukum menutup aurat. Mungkin juga soal harta pusaka yang dibahagikan dua bahagian kepada pewaris yang lelaki dan satu bahagian kepada pewaris yang perempuan.

Ada juga pemikiran skeptis, ditujukan kepada institusi agama. Misalnya, anti ‘orang masjid’, mungkin juga kepada pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS, JAKIM dan lain-lain. Tidak lupa dengan alergi mereka kepada parti politik Islam, atau badan-badan yang menjadikan Islam sebagai identiti organisasi mereka.

Peringkat ketiga pula, ialah pemikiran skeptis terhadap keseluruhan ajaran agama. Mereka tidak semestinya anti Tuhan atau atheist namun mereka sinis terhadap semua agama yang dianggap sebagai doktrin yang penuh kecurigaan.

Walau apa pun bentuk Religious Skepticism yang muncul, kesemuanya adalah tindak balas (response). Apabila diertikan sebagai tindak balas, tentu ada sesuatu yang berlaku sebagai reaksi kepada kejadian tersebut. Ia bukan asal, tetapi ia adalah tindak balas kepada sesuatu yang telah mengambil tempat terlebih dahulu.

YASMIN AHMAD DALAM KENANGAN

yasminahmad
Yasmin Ahmad (1958 – 2009)
kredit foto: The Guardian

Terkini (2010 – semasa artikel ini ditulis), ASTRO mendedikasikan saluran 110 sebagai tribute kepada Allahyarham Yasmin Ahmad dengan menyiarkan koleksi filem terbitan atau arahan beliau seperti Sepet dan Gubra.

Jika kita menonton dengan teliti sebarisan filemnya bermula daripada Rabun, kepada Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan terkiniTalentime, ada sesuatu yang konsisten di dalam semua sentuhan karya Yasmin Ahmad. Selain sentuhan kreatif yang unik, filem-filem Yasmin Ahmad konsisten dengan tema atau elemen Religious Skepticism. Penonjolan babak imam yang mesra dengan jiran-jirannya yang pelacur di dalam filem Gubra, hubungan cinta antara seorang gadis Melayu dengan anak muda Cina, malah anjing yang dibelai mesra oleh bilal masjid, semua itu adalah simbol dalam menterjemahkan apa yang dinamakan sebagai pemikiran skeptis terhadap agama.

Oleh kerana Religious Skepticism semakin berleluasa mendominasi pemikiran masyarakat khususnya di dalam kelompok urban, maka hasil karya Yasmin Ahmad semacam menjadi jurucakap untuk meluahkan pandangan ini yang sejak sekian lama tidak mudah untuk diketengahkan ke perhatian massa. Yasmin Ahmad menerima penghormatan dan pengiktirafan yang sungguh luar biasa.

Jika kita bersetuju bahawa Religious Skepticism itu ialah satu bentuk tindak balas, maka datang soalan kedua; pemikiran Religious Skepticism yang ada pada Yasmin Ahmad datangnya sebagai tindak balas kepada apa? Apakah pengalaman yang telah ditempuh oleh graduan Ijazah Psikologi daripada England ini?

Saya tidak mempunyai sebarang penjelasan kerana saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Namun mungkin beliau menempuh episod hidup yang penuh dengan peristiwa berbentuk penilaian, hukuman, malah mungkin sindiran dan cemuhan yang menggalakkan skepticism itu semakin meruncing.

Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Yasmin Ahmad, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat ditujukan ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

SISTERS IN ISLAM

zainahanwar
Zainah Anwar, teraju utama Sisters in Islam

Satu lagi topik yang berkait rapat dengan Religious Skepticism ialah sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Sisters in Islam (SIS). Pertubuhan ini mempunyai peranan yang signifikan dalam memperjuangan beberapa aspek bersangkutan hal kebajikan kaum wanita Muslim dan ia tidak boleh dinafikan. Kelancaran proses mahkamah yang mesti diperkemaskan agar wanita Muslim tidak menderita digantung tidak bertali, adalah di antara subjek yang banyak disentuh oleh sukarelawan SIS yang amat komited.

Namun, ada sesuatu yang juga konsisten dalam pemikiran dan ucapan tokoh-tokoh utamanya. Elemen yang saya maksudkan itu ialah Religious Skepticism. Keketaraannya lebih terasa dalam aspek sinis mereka kepada institusi agama yang dilihat tidak bertindak wajar dalam hal kesamarataan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan kaum wanita Muslim di negara kita.

Mendesak agar al-Quran ditafsir semula, bukanlah suatu isu baru. Tetapi mendesaknya dengan alasan ahli-ahli Tafsir dahulu semuanya lelaki, lalu hukum yang keluar bersifat male chauvanist, adalah suatu manifestasi kepada Religious Skepticism. Ramai sukarelawan yang terbabit di dalam gerakan-gerakan pembelaan wanita seperti Sisters in Islam, membawa mesej yang boleh digunapakai untuk memperbaiki banyak aspek perlaksanaan Islam, tetapi mencetus banyak kontroversi kerana ia diperjuangkan secara sinis atau skeptis.

Sedikit sebanyak pemikiran yang bersarang dengan prejudis kepada lelaki dan institusi agama ini mungkin berpunca daripada pengalaman diri sukarelawan tersebut berkaitan dengan lelaki.

  • Menyaksikan bapa mendera ibu yang diperhambakan dalam sebuah perkahwinan.
  • Melihat penindasan yang berlaku ke atas janda yang tergantung hidup oleh suami yang enggan mentalakkannya, tetapi terus menerus mendera emosi dan mungkin fizikal isteri.
  • Menjadi mangsa kejahatan lelaki.
  • Atau terus menerus dihentam golongan yang tidak bersetuju, kebetulannya mereka itu adalah ustaz, mufti, ulama, yang semuanya adalah lelaki.

Religious Skepticism adalah reaksi. Ada sesuatu yang berlaku sebelum pemikiran skeptis itu menguasai. Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Sisters in Islam, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat dibebankan ke atas mereka, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

Sesuatu yang perlu difikirkan.

BENJAMIN STEPHEN

badrushisyam
Badrul Hisyam

Anak muda ini adalah bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah. Saya adalah senior beliau, produk sistem pendidikan dan institusi pendidikan yang sama. Biar pun pendidikan kami serupa, pengalaman peribadi masing-masing berbeza.

Bukan sedikit ilmu agamanya.

Tetapi hari ini, anak Perak yang dahulunya dikenali sebagai Badrul Hisyam, telah murtad dan menjadi pendakyah Kristian.

Apabila saya mendengar ceramah-ceramah yang beliau sampaikan di gereja dan di khalayak Kristian, saya mengesan sesuatu yang amat konsisten di dalam ceramah beliau. Ceramahnya tidak ilmiah dan tidak membantu Kristian memahami Bible. Sebaliknya, hampir keseluruhan ceramah beliau berbahasa skeptis dan sentiasa sinis serta menyindir serba serbi yang berkaitan dengan Islam dan Muslim. Malah ibu bapanya sendiri turut disindir dan diejek.

Tatkala bertanyakan kepada pelajar-pelajar sekolah beliau yang mengenalinya, anak muda ini yang berpewatakan lembut di sekolah sering diejek, dikutuk atau dalam bahasa rasminya dibuli, di sepanjang pengalamannya di sekolah. Pengalaman seperti ini sangat berpotensi untuk membentuk satu pola pemikiran memberontak yang luar biasa.

Akhirnya Badrul Hisyam dengan sinis dan skeptis beliau terhadap semua yang dialaminya tentang Islam dan Muslim, beliau murtad. Sesuatu yang mungkin tidak disangka oleh senior yang pernah membulinya!

Semasa mendengar ceramah beliau, saya terfikir, adakah Benjamin Stephen ini mengkritik Islam, atau mengkritik Sekolah Menengah Agamanya?

Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Benjamin Stephen, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism yang luar biasa itu ditujukan segala-galanya ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

KASSIM AHMAD

kassim ahmad mencari-jalan-pulang
Kassim Ahmad – Mencari Jalan Pulang

Tidak dilupakan, tatkala saya membaca buku mutakhir Kassim Ahmad bertajuk MENCARI JALAN PULANG, saya melihat adanya unsur yang sama di sebalik pemikiran beliau. Sama ada ia berkaitan dengan Parti Sosialis pimpinannya, atau pun pemikiran yang dilabel sebagai anti Hadith.

Jika didasarkan kepada karya beliau ini, Kassim Ahmad tidak sama sekali menafikan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tetapi beliau mengkritik sistem ilmu Hadith khususnya berkaitan dengan kredibiliti perawinya.

Di manakah kritikan itu bermula?

Berasal daripada kekecewaan Kassim Ahmad terhadap pemikiran dan sikap orang-orang agama yang ditemui di usia mudanya, ia berkembang kepada mempertikaikan institusi Ulama’ dan seterusnya hingga kepada pada perawi yang kesahihan Hadith banyak bergantung kepada kredibiliti perawi-perawi ini.

Ya.

Religious Skepticism yang ringan-ringan boleh berkembang menjadi satu pola pemikiran yang amat rumit dan membingungkan. Di usia 80 tahun, semasa artikel ini saya semak semula, pemikiran skeptis Kassim Ahmad masih belum reda. Saya kira, trend beragama sekarang yang semakin romantis bersama wacana ilmiah yang semakin rencam dan kepimpinan negara yang mundur nilai intelektualnya, Kassim Ahmad lebih terpanggil untuk bersuara kembali.

Walaupun kritikannya banyak tercicir asas-asas penting pemikiran kritis dalam beragama, termasuk soal memahami pengistilahan-pengistilahan bahasa Arab. Kecacatan yang sudah ditegur datuk nenek zaman berzaman, bahawa kail yang panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Pemikiran skeptis seperti ini tidak lebih daripada sebuah keraguan yang berstruktur (structured doubt) yang berkosmetik jargon tinggi.

Namun dalam konteks muhasabah pendakwah, permasalahan ini memerlukan arah pandu fikir yang sedikit berbeza. Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Kassim Ahmad, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat ditujukan ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

PUNCA PEMIKIRAN SKEPTIS TERHADAP AGAMA

Tidak dinafikan, manusia akan membentuk set of values mereka hasil pengalaman hidup dan pendedahan yang dialami. Kesan daripada pelbagai kejadian yang ditempuh oleh setiap kita dalam kehidupan, banyak mempengaruhi pertimbangan kita dalam menilai apa yang baik dan apa yang buruk.

Oleh kerana itu, Islam datang untuk meluruskan nilai ini agar manusia tidak terhoyong hayang di sepanjang tempat dan zaman dalam menentukan apa yang baik serta apa yang buruk tentang hidup ini semata-mata berbekalkan pengalaman diri. Jalan yang lurus (Sirat Mustaqim), diungkapkan berkali-kali dalam sehari semasa kita bersolat kerana jalan yang lurus itulah penentu kepada kedudukan masing-masing. Sejauh mana kita selari dengannya, atau sudah sejauh manakah kita terpesong dari landasan asal.

Namun, manusia akan mengalami krisis terhadap agama apabila mereka berdepan dengan suasana realiti yang terlalu jauh daripada apa yang dilakarkan oleh idea dan nas. Penghormatan adalah sesuatu yang terhasil daripada kualiti. Tatkala pendukung agama yang mewakili suara agama mengalami kemerosotan kualiti, rasa hormat itu mula terhakis. Tatkala hakisan itu berlaku, agamawan dan institusi agama terus kekal dengan grandiose attitude yang menambahkan rasa meluat serta benci kelompok yang tidak gentar dengan mereka.

Sebagaimana gereja hilang tempat daripada masyarakat akibat grandiose attitude itu, ia juga sedikit demi sedikit menimpa umat Islam. Rasa jelek dan meluat sekelompok masyarakat melihat sesetengah agamawan yang sombong dalam mempertahankan hujah-hujah ‘tidak masuk akal’ mereka, menambahkan kerumitan kepada berleluasanya pemikiran skeptis terhadap agama ini.

Misalnya, temuramah Gala TV di Astro 110 bersama Yasmin Ahmad, mendatangkan contoh yang boleh diberi perhatian.

Ketika filem Gubra dikritik kerana adegan bilal masjid menyentuh anjing, Yasmin Ahmad menegaskan bahawa sesuatu yang amat menghairankan apabila orang-orang agama ini yang kelihatannya berpelajaran tinggi di satu sudut, hakikatnya mereka tidak arif tentang ilmu Biologi (yang sepatutnya dikuasai oleh umat Islam atas galakan agama kita sendiri, kata beliau).

“Anjing itu kalau najis pun, menyentuhnya tidak haram!” kata Yasmin.

“Orang agama tidak faham Biologi. Jika mereka faham Biologi, mereka akan tahu bahawa anjing merembeskan peluhnya melalui lidah dan hidung…” tegas beliau lagi.

Yasmin mungkin terkesan dengan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas dirinya oleh ustaz-ustaz atau tokoh agama yang ‘tidak faham Biologi’. Sifat menghukum, dan kejahilan terhadap ilmu sokongan seperti Biologi, menjadikan manusia semakin skeptis terhadap agama. Suatu kemalangan.

Namun, andaikata Yasmin Ahmad mengkaji lagi, beliau mungkin akan memperbaiki pandangannya tentang hal ini. Soal anjing merembeskan peluh daripada lidah itulah sebenarnya asas hukuman samak jilatan anjing yang terdapat di dalam Mazhab Syafie. Oleh kerana anjing sentiasa merembeskan peluh dari lidah, maka kebarangkalian najis untuk berada di lidahnya amat kecil. Justeru, jika lidah yang ‘bersih’ itu pun bekas jilatannya perlu disamak, maka lebih utamalah untuk sentuhan bahagian-bahagian lain pada seekor anjing disamak. Malah, anjing yang tidak disebut sebagai najis di dalam al-Quran itu pun, persentuhannya perlu disamak, maka babi yang diisytiharkan najis oleh al-Quran itu, lebih utamalah untuk ia disamak.

Dalam kes ini, Religious Skepticism mungkin terhasil daripada kombinasi agamawan yang tidak faham Biologi dan pengarah filem yang tidak habis mengkaji agama.

Pandangan skeptis terhadap agama banyak didorong oleh kegagalan agamawan mempertahankan hujah agama dalam bentuk yang seiring dengan pemikiran massa yang berubah dari satu ketika ke satu ketika. Hujah yang tidak berhasil menimbulkan keyakinan, atau menolak terus proses hujah menghujah dan menggunakan kuasa untuk menundukkan soalan atau kritikan (budaya membunuh soalan), menyuburkan lagi pemikiran skeptis orang ramai terhadap agama. Gereja sudah berpengalaman dalam krisis ini, mudah-mudahan kita Umat Islam mempelajari sesuatu mengenainya.

Apatah lagi, ada agamawan terbabit dalam salah laku yang bertentangan dengan imej yang sepatutnya dipertahankan. Perbuatan mendera isteri oleh ustaz atau oleh bukan ustaz tetapi atas nama agama, memutarbelikan hujah untuk memenangkan diri (misalnya berkata, Allah melaknat isteri yang menolak kehendak suami, tetapi tiada hadith yang menyebut Allah melaknat suami yang menolak kehendak isteri!), pecah amanah, pengotor pada pakaian dan penampilan diri, menerukkan lagi penyebaran gejala Religious Skepticism ini.

Dalam masa yang sama, pendekatan menghukum dan menghukum terus menerus digunakan semasa kredibiliti agamawan atau institusi agamawan berada di dalam krisis.

Sesungguhnya gejala ini boleh diperbaiki jika pendakwah dan agamawan mampu untuk mengusahakan beberapa perubahan. Sikap menyindir, menghukum, menyerang, tanpa kesimbangan dialog, diskusi dan lain-lain bentuk engagement, tidak banyak membantu.

PENDAKWAH MAMPU MENGUSAHAKAN PERUBAHAN

Jika perubahan itu mesti bermula daripada diri, maka usahakanlah perubahan pada diri kita, selaku pendakwah untuk lebih bertenang dan teliti dalam menghalusi dakyah-dakyah pemikiran skeptis terhadap agama ini. Andai mereka tidak mahu berubah, lancang mengkritik tetapi kurang mahu mengkaji dan mendalami secara adil, itu terserah kepada mereka. Religious Skepticism ialah penyakit. Lalu penganutnya harus dilihat sebagai orang sakit.

Bagi pendakwah yang yakin akan kesihatan pemikiran dan kepercayaannya, merekalah yang selayaknya untuk mengusahakan perubahan. Kita ubah cara kita memberikan penyelesaian, cara kita menguruskan cabaran, kerana kita mampu berbuat demikian. Jangan terlalu gelojoh menyerang, menentang, menghukum, ketika kita sendiri bukanlah saingan yang dihormati lawan (jika boleh disebut demikian).

Pendakwah yang hebat mampu mengakui kelemahan dan memperbaikinya. Andai golongan yang skeptis terhadap agama mahu terus ego dalam mempertahankan pandangan mereka, itu urusan mereka. Namun Islam yang dijulang pendakwah, menjadikan kita bersedia untuk mengambil sebahagian tanggungjawab memperbaiki keadaan. Memperbaiki cara kita berdakwah, mempunyai banyak faedah yang boleh meredakan penyakit minda ini.

kesesatan

SISI LAIN PANDANGAN HABIB BOURGUIBA

Berbalik kepada persoalan Habib Bourguiba, harus kita perhatikan sedikit.

Memang al-Quran berkata sebaliknya, Sunnah juga menegaskan sebaliknya. Malah Sejarah juga membuktikan sebaliknya. Namun Habib Bourguiba mungkin tidak memandang itu semua. Apa yang dijadikan asas pandangannya ialah pada apa yang ada di depan mata.

Benarkah umat Islam lebih produktif di bulan Ramadhan?

Tinggalkan Tunisia dan mari lihat keadaan kita di Malaysia.

Pada bulan Ramadhan, kita tidak boleh bermesyuarat dengan baik. Semua orang kebingungan dan lesu tanpa mampu memberikan idea yang bernas. Jika ada projek besar yang mahu dibuat, semua meminta agar ia dibincangkan selepas Raya! Malah jika di bulan-bulan lain kita habis kerja jam 5 petang, di bulan Ramadhan kita tinggalkan pejabat jam 4 petang. Semuanya gara-gara Bazar Ramadhan!

Maka, tidakkah itu semua bukti bahawa kita tidak produktif di bulan Ramadhan?

Silapnya pada Habib Bourghuiba ialah kerana beliau menyalahkan puasa sebagai puncanya, dan bukan manusia.

ANALOGI

Jika anda ternampak sebuah kereta Mercedez ‘mata belalang’ tersadai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan Mercedez?

“Bodoh betullah syarikat Mercedez ini. Bagaimana mereka boleh buat kereta yang langgar tiang lampu!” kritik seorang yang bermazhab Habib Bourguiba.

Mustahil.

Tiada siapa yang akan menyalahkan Mercedez.

Semua orang akan menyalahkan pemandu Mercedez itu.

“Macam manalah dia memandu. Sudah diberi Mercedez pun, masih terbabas melanggar tiang lampu!” kata-kata yang lebih lurus dengan kebenaran.

Silapnya Habib Bourguiba ialah, dia itu menyalahkan puasa dan Ramadhan sebagai punca rakyatnya tidak produktif. Suatu peringkat Religious Skepticism yang kritikal.

Justeru, jika kita tidak bersetuju dengan polisi Habib Bourguiba, maka buktikanlah dengan perbuatan. Buktikan pada bulan Ramadhan , kita produktif, dinamik, aktif bekerja, dan tidak terjejas untuk buat apa sahaja. Jika kita pulang awal kerana mahu menyediakan hidangan berbuka puasa, kerja kita pada waktu pejabat harus jadi lebih kompak dan intensif, bukan lunyai atas nama puasa dan Ramadhan.

Tetapi, jika kita bermati-matian memaki hamun Habib Bourguiba kerana tidak bersetuju dengannya, tetapi kita tidak bermaya, tidak produktif atau gagal untuk kekal normal di bulan Ramadhan, maka segala ayat al-Quran dan al-Hadith yang digunakan, serta fakta Sejarah yang dibentang, menjadi retorik serta menyuburkan lagi Religious Skepticism!

p/s: Baca juga IRSHAD MANJI: KALAULAH BOLEH BELIAU KUABAIKAN

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini. Setelah anak nekad terjun membunuh …

29 comments

  1. Satu pendapat yang cukup menarik!

  2. Assalamualaikum ustaz,

    Mengenai persoalan anjing itu saya kira apa yang ustaz tuliskan itu bukanlah satu keputusan muktamad dalam pandangan Islam mengenai anjing ini bukan?
    Bahkan dalam Islam itu sendiri luasnya pandangan2 mengenai sentuhan manusia terhadap anjing. Juga mengenai jilatan anjing tidak ijma’ pandangan ulama utk perlunya dibasuh bersama air tanah ..dan mazhab syafi’e mengambil pendekatan yang agak tegas dalam perkara ini tetapi tidak semua ulama’ yang bermazhab syafie itu sendiri yang berpendapat sama seperti itu (contoh imam nawawi) dan juga dari mazhab2 lain.

    Apa yang haram tentang anjing ini adalah kita dilarang daripada memakannya. Bukan pada sentuhan dan pemeliharaanya, dibolehkan memeliharanya tetapi dalam hanya sebab2 tertentu sahaja. Ia sangatlah tidak digalakkan dalam memelihara tanpa sebab2 yang munasabah.

    Ustaz, betulkan saya andaikata saya salah dalam pandangan Islam secara menyeluruh tentang anjing yang saya simpulkan di atas ini. Kerana ia memudahkan utk saya berkomunikasi bersama yg bukan muslim jikalau kami berbincang dalam bab ini.

    Terima kasih.

    • Wsalam wbt. Artikel ini terfokus kepada persoalan Religious Skepticism, lalu hanya menyentuh isu anjing sebagai contoh dan dihadkan dalam konteks yang disebut oleh Yasmin Ahmad. Perbahasan lengkap mengenai keseluruhan topik anjing dan kenajisannya boleh dirujuk dalam artikel-artikel khusus yang membicarakannya oleh ilmuwan yang lebih berkeahlian.

  3. Alhamdulillah, suatu analisa yang padat dan kena pada tempat dan masanya. Harap para pendakwah, iaitu kita semua umat Muslimin Muslimat, menilai semula metod penyampaian mesej Islam itu sendiri. Sebagai contoh, berapa ramai antara kita yang beribadat tanpa memahami signifikannya setiap perlakuan ibadat itu sendiri. Jika kita sendiri sebagai pengamal tidak mampu untuk menterjemahkan apatah lagi mem’personify’kannya, mustahil Nur Islam itu akan menyinari setiap gerak geri dan perwatakan kita untuk dijadikan teladan dan ikutan penganut agama lain. Jangan nanti mereka pula menuntut tanggungjawab kita ini di Akhirat nanti, na’uzubillah!

  4. Selamat pagi ustaz.

    Pandangan ustaz merupakan sesuatu yang luar biasa pada saya, sebab ini merupakan pertama kali saya menemui terma “Religious skepticism” atau dalam Bahasa Malaysia-nya – “pandangan sinis terhadap agama”.

    Saya berstuju dengan analogi Mercedes yang digunapakai ustaz, dan juga analogi bulan Ramadhan tu. Saya juga mengakui adakalanya terjebak dalam gejala Religious Skepticism ni. Jadi bagaimana seharusnya kita mengelakkan diri daripada terjebak lagi dalam gejala ni?

    Saya terfikir jawapannya adalah dengan berlapang dada, dan berfikir sebelum berkata. Berusaha mencari sebab, sebelum terus menuding jari menyalahkan punca yang tersilap. Betul ke?

  5. Assalamualaikum wbt ustaz,

    Terima kasih atas artikel yg dikongsi. Jika direnung2, memang Religious Skepticism ini berada dimerata-merata disekeliling saya tanpa saya sedar, just that the actions are not so obvious…hanya nampak bunga2nye saje. Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh mencambahkan kekeliruan dan kekeliruan yg lebih kompleks dlm beragama. Let us reflect ourselves back to our believe system, view system and value system. Suatu muhasabah diri dengan bimbingan yg baik yg berterusan perlu dilakukan..wallahua’lam.

  6. Betul tu ustaz. Kadang-kadang kita terlepas pandang dalam hal ni. Tetapi kenapa ramai pula golongan agama kita yang lebih selesa menghukum masyarakat khusunya dalam perkara yang dibincangkan ini berbanding mengambil pendekatan yang lebih lunak untuk mendekati masyarakat yang “berpenyakit” ini. Adakah agamawan kita juga sedang “sakit”?

  7. isunya jugak sama dgn Benz Ali.seorang anak muda yg keliru tentang hidup beragama dan melaungkn anti islamis.hakikatnya beliau bkn benci trhadap agama tetapi kecewa dgn sesetengah agamawan yg mengaku mereka orang beragama namun perangai sesetengah mereka yg suka menghukum dan menyesatkaln orang serta berbalah atas benda yg tidak penting menyebebakan mucul kekeliruan dalam diri beliau.sy pernah tengok debat beliau di u tube.beliau pernah mempersoalkn “kenapa masih lagi ada orang miskin?”, “di mana insititusi agama?”,”mana agamawan”.disebabkan itu serta korupsi dalam pemerintahan, menyebabkan beliau sangsi terhadap agama.i lalu menyebabkan beliau memperjuangkan ideologi Marxisme yg mungkin di sisinya lebih memperjuangkan keadilan.namun sikap umat islam disekelilingnya yang hanya panda menghukum dan menyesatkan beliau menjauhkan lagi beliau dengan Islam.Moga Allah melindungi beliau dan membawa beliau ke jalan yang benar.ameen

  8. Saya teringat dengan seorang bekas pemimpin negara yang saya kira juga menghadapi dilema yang sama. Religious skepticism ? Ketika bergelar pemimpin, dia seakan2 sinikal dengan golongan agamawan.

  9. Nama ustaz nampaknya tercalon sebagai tokoh yang sesuai untuk berdepan dengan Kassim Ahmad pula. 🙂 http://wargamarhaen.blogspot.com/2014/02/dua-nama-sesuai-debat-dengan-kassim.html

  10. Penuntut Ilmu

    mengenai “fatwa” Habib Bourguiba puasa melemahkan pendapatan atau produktif negara..

    saya pernah terdengar pendapat Ahmad Raisuni(tokoh hebat maqasid zaman sekarang) pernah ditanya mengenai perkara ini..

    katanya seharusnya kita melihat dari sudut puasa itu dalam mendidik penganutnya kepada arah akhlak atau shahsiah yang lebih baik dan mulia..puasa mendidik kita dalam erti kata menjiwai orang yang tidak berkemampuan, tetap pendirian, sabar, bermatlamat, bermujahadah , menepati masa, bersedakah dan macam-macam lagi..semuanya aspek yang baik dalam melahirkan warganegara yang baik dari segi tingkah lakunya..Serta diwajibkan hanya sebulan sekali dalam setahun bagi membersihkan dan memurnikan sikap seharian kita..bagi umat islam ianya bulan pengampunan atas dosa kita selama ini..

    apalah nilainya kemajuan negara tatkala sikap moral penduduknya terabai…??

  11. Umat Islam yang komited dengan Islam perlu buktikan dengan perbuatan/amal untuk menepis golongan Religious Skepticism ini. Mereka perlukan pembuktian dari amal kita sbg hujah.Akhlak+Ilmu+Amal.Insyaallah.Yok!!

  12. Firdaus zabidi

    rindu kat ustaz… T.T

  13. Saifol Anwar Ab Rahman

    Assalamualaikum warahmatullah. Lihat ini dan maju ke depan

    http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/dua-nama-sesuai-debat-dengan-kassim-ahmad-1.252436

  14. Baarokallah fiik ustazna…

    Sangat besar point yg ustaz ketengahkan…

    Jari yang menuding, ade yg ke arah diri kita…

    Moga semua kita bisa memanfaatinya…

  15. Thalhah Khadeeja

    Terima kasih ustaz..artikel ini memberi manfaat yang banyak kepada saya dalam memahami isu dan permasalahan dalam dakwah sekarang.

  16. dari segi penjelasan diatas, ustaz memang memiliki ilmu yang tinggi.

  17. Suhaimi Salleh

    Terima kasih Ustaz. Pada says ustaz telah mengungkap isu ini dari sudut yg jarang diteroka yg saya panggil “sosiologi beragama”. Tahniah. Cuma bahagian berikut mungkin perlu dikemaskini kerana mengganggu ‘flow of the story line’ 🙂

    “Namun, andaikata Yasmin Ahmad mengkaji lagi, beliau mungkin akan memperbaiki pandangannya tentang hal ini. Soal anjing merembeskan peluh daripada lidah itulah sebenarnya asas hukuman samak jilatan anjing yang terdapat di dalam Mazhab Syafie. Oleh kerana anjing sentiasa merembeskan peluh dari lidah, maka kebarangkalian najis untuk berada di lidahnya amat kecil. Justeru, jika lidah yang ‘bersih’ itu pun bekas jilatannya perlu disamak, maka lebih utamalah untuk sentuhan bahagian-bahagian lain pada seekor anjing disamak. Malah, anjing yang tidak disebut sebagai najis di dalam al-Quran itu pun, persentuhannya perlu disamak, maka babi yang diisytiharkan najis oleh al-Quran itu, lebih utamalah untuk ia disamak.”

  18. Subhanallah, jazakallah ustaz.. Tulisan yang sentiasa menyegarkan..

    Satu muhasabah buat semua yang bergelar muslim & berusaha mengamalkan Islam.. Besarnya tanggungjawab Daie sehingga apa yang berlaku pun akan kembali menjadi cerminan untuk mereka merenung kembali diri mereka.. Kita bertanggungjawab terhadap apa yang dipelajari, difahami, diamal, diajar atau disebarkan dari setiap sudut termasuk ilmu, sikap dan amalan

  19. Salam utk semua,

    Allah SWT tdk akan melaknati org2 yg mengkaji, mempertahankan dan mempertinggikan kitab Al-Quran, malah mereka ini adalah manusia pilihan yg akan masuk syurga tanpa dihisab (35:32). Tetapi Allah SWT akan melaknati dan membawa azab yg pedih lagi menghina kepada sesiapa yg memperlekehkan AL-Quran dan mengadakan kitab2 baru utk bertanding dgn Al-Quran (34:38), kononnya Al-Quran itu tdk lengkap dan memerlukan kpd kitab2 lain.

    Cuba tanya pada diri sendiri di manakah keimanan kita yg sebenarnya? Mahu percaya kpd Allah SWT atau percaya para alim ulama (tdk ramai ulama yg benar2 mengkaji Al-Quran, mereka hanya baca tafsir2 yg terdahulu maka sbb itu mereka sendiri tdk nampak kehebatan dan kekuatan Al-Quran)? Para ulama tdk nampak kehebatan Al-Quran sbb mereka baca Al-Quran seperti burung kakak tua, mereka tdk menggunakan akal fikiran mereka! Mereka tdk mengkajinya dgn mendalam dan bersungguh2.

    Allah SWT mengatakan Al-Quran adalah kitab yg lengkap, sempurna, dan menjelaskan segala perkara. Al-Quran adalah lebih baik dari segala-gala kitab, Al-Quran mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Malah Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW berdakwah dgn Al-Quran bukannya Al-Hadith (percakapannya sendiri) (50:45) sbb Al-Quran adalah bukti yang paling jelas akan kewujudan, keesaan, dan keperkasaan Allah SWT.

    Fikirkanlah siapa yg sesat dan siapa yg beriman? Adakah orang yang anti-hadith atau org yang anti-Quran? cubalah baca blog2 yg mgkaji Al-Quran seperti harunyahya.com atau http://kajian-quran.blogspot.com/ dan sbgnya. Adakah org2 yg memperjuangkan Al-Quran itu sesat atau para ulama yg tdk faham kehebatan dan kemukjizatan Al-Quran?

    • Waalaikum al-salaam WBT.

      Para ulama itu juga manusia biasa seperti kita. Mereka juga mengkaji al-Quran di zaman hidup mereka, sebagaimana kita juga mengkaji al-Quran di zaman hidup kita. Jika kita mengecam mereka sebagai burung kakak tua, tidak menggunakan akal semasa mengkaji al-Quran, bersedia sahaja 200 tahun akan datang kita juga akan dikecam mungkin sebagai haiwan yang lebih hodoh oleh ‘pengkaji al-Quran’ pada masa hadapan itu. Kita tanpa sedar mengquduskan ulama, kemudian kita bermasalah dengan kekudusan mereka yang kita sendiri cipta.

      Hakikatnya, kita semua adalah hamba Allah yang berusaha. Hanya yang angkuh kecam mengecam tanpa usul periksa.

      Ada pun tentang percakapan Nabi sallallahu alayhi wa sallam tentang al-Quran, ia lebih kita yakini secara empirikal, berbanding percakapan anda atau percakapan saya tentang al-Quran dengan serba serbi jahilnya kita. ِAl-Quran sendiri menjelaskan kualiti pengucapan Muhammad (Q53: 3-4). Jauh sekali percakapan Rashad Khalifa tentang al-Quran yang sesuka hati mendakwa surah Yasin ayat 3 bermaksud dirinya, 2 ayat terakhir at-Taubah itu karut, ditambah oleh para sahabat hingga mengganggu ritma kod-19 beliau dan lain-lain pertuduhan yang tidak rasional.

      Memanfaatkan hadith, kemudian pandangan-pandangan ulama, untuk memahami maksud al-Quran, adalah suatu proses yang sangat natural. Dalam kajian sejarah juga, teks manusia biasa, difahami melalui huraian-huraian ‘anak murid’ dalam dissemination studies. Kecualilah semua manusia sepanjang sejarah semenjak turunnya al-Quran itu adalah bodoh belaka, kecuali kita.

  20. assalamualaikum

    terima kasih ustaz kerana meluang masa menulis artikel yang cukup menyentuh hati dan emosi saya. Bila ustaz membicarakan pemikiran sketikal mereka, saya sedar (dah lama sedar) saya juga menghidap penyakit yang sama. Saya terjebak dengan perbahasan khilafiyah sejak zaman sekolah (sekolah agama), tapi perlahan-lahan menjadi moderat dan bosan serta mual bila ada orang menyentuh permasalahan terbabit. Sudah mual dengan sikap agamawan di negara ini yang cepat menghukum serta benci dengan sikap racist di negara ini membuatkan saya lebih terpikat dengan aliran pluralisme. Malah saya ada berhubung dengan tokoh2 pluralisme ternama (muslim) luar negara dan membaca tulisan2 mereka. Sekarang saya mula berjinak dengan muslim-christian forum yang jika agamawan dari JAKIM (skeptism) melihat isu2 dan bahan diskusi sudah tentu melabelnya sbg liberal. Apalagi isu Syiah yang saya yakini boleh diterima dalam masyarakat plural berbanding hujah-hujah ustaz sunni yang penuh emosi dan melampau hingga lupa penganut Syiah juga manusia walau mereka sesat.

    Saya melihat diri saya lebih meyakini pemikiran pluralisme sebagai solusi kepada konflik diri. Apa jalan keluar dari religious skeptism ? atau memang ia proses biasa dalam mencari kebenaran? mencari TUHAN yang hilang?

    Harap dapat bagi pencerahan

    • Betul..kdg2 sesetgh golongan agamawan ni mereka nk org ikut n terima fatwa n hadis yg mereka kemukakan..sy perhatikn golongn sebegini mcm tak blh terima hujah org lain..mereka terlalu radikal n ‘taksub’ dgn ideologi n ‘ilmu’ yg mereka pelajari di maktab2 hinggakan mereka tidak boleh terima lgsung pendapat org lain n nak kita terima pendapat mereka je 100%…bg sy utk mengelakkn diri kita tersesat, better kita kembali kpd perkara asas; dlm buku agama Islam skl menengah pn ada tulis; ahli sunnah wal jamaah tidak akan menyesatkan org lain atau m’gelarkn org lain sbg sesat wlupn bercggah ideologi mcm syiah tu..memg kita tahu syiah tu byk yg xbetul tp kita pn xleh gelarkn mereka sesat..wallhu’alam..itu yg sy bljr msa kt sek men dlu…one more thing, kita skrg berada di akhir zaman, so fitnah agama semakin berleluasa..berdoala moga Allah tetapkan iman kita agar sentiasa teguh dlm agamaNya..as I said early on; tak perlu pening2 kn kepala..kita back to basic..teguhkn rukun Islam n rukun Iman kita…

  21. Sungguh. Membaca dua keping tulisan Dr Kassim Ahmad di media, terus saya teringat pada Irshad Manji. Pandangan beliau pada ‘religious figures’ lebih kurang sama.

  22. Kebanyakan ilmuan Islam hari ini lahir daripada sistem pendidikan dalam negara yang tidak mengamalkan Islam yang Syumul. Realiti ini sengaja adalah kesan penjajahan barat dalam segenap aspek kehidupan..

    Kesannya lahir ilmuan agama yang terpisah daripa ilmu2 sains dan saintis atau sastrawan yang tidak ada asas dalam memahami agama.

    Musuh Islam yang adaagenda memperalatkan situasi ini untuk terus mewujudkan pandangan sinis terhadap agama..

  23. Saya lupe nk tambah, kdg2 masyarakt kita ni terlalu mudah membuat penilaian luaran. Kalu tgk glongan agamawan buat silap, mulalah label begini; ‘ishh,pakai tudung labuh tapi…’ ‘nama je ustaz/ustazah tp perangai mcm ni mcm tu..’ pemikirn masyarakat kita pn perlu diperbetulkn.. golongan agamawan ni pn manusia biasa tak sempurna, jgn la kita memandg mereka dgn pndangan yg mereka ni perfect..bile mereka buat silap bkn kita pndang kekurangn mereka sbg manusia tp kita pndang pula kekurangan agama Islam..Islam tu agama yg sempurna n tiada cacat cela tp peliknya kekurangn n kelemahan manusia itu sendiri menjadi fitnah kpd agama Islam itu..

Leave a Reply to Firdaus zabidi Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share