Mahu Menulis Atau Tidak Mahu Menulis?

“Ramai yang mahu membaca, maka kena rancak menulis”

“Ini strateginya. Tulis begini, ia akan laku keras”

“Orang sekarang mahu tulisan dalam bentuk ini, maka pilihlah sama ada mahu menulis mengikut kedegilan diri, atau menulis sesuatu yang berpotensi untuk laku dan dibaca”

“Apa gunanya menulis sesuatu yang tidak dibaca?”

Desakan oleh soalan sebegini menghantui penulis. Bukan sahaja penulis lama, malah lebih utama bagi penulis baru, dan mereka yang bercita-cita mahu menjadi penulis.

Trend penulisan berubah dari semasa ke semasa. Di suatu ketika, kita suka tulisan yang kemas, panjang dan memperincikan sesuatu subjek dengan mendalam. Kemudian datang satu zaman, tulisan panjang dielak, dan bahasa yang skema hilang daya tarikan. Mahu tidak mahu, ia mempengaruhi tabiat masyarakat pada membeli buku dan membacanya.

Jika penulis berdegil mahu mempertahankan satu cara menulis, beliau akan ‘kalah’.

Dilema.

Kesukaran memposisikan pendirian dalam situasi sebegini banyak mempengaruhi keputusan saya untuk menulis buku atau tidak. Di zaman ini,  untuk meluaskan pembacaan sesebuah artikel, selain isi kandungannya, bahasa yang diguna pakai dan tajuk yang diberikan perlu semasa, iaitu berbunyi ‘clickbaitic‘. Tajuknya provokatif dan memancing orang untuk klik dan baca.

“Pendidikan di Finland, Antara Kekuatan dan Kelemahan”

kini perlu berbunyi:

“Cuba Dengar Penerangan Lelaki Ini Tentang Pendidikan di Finland”

Ia adalah sesuatu yang tidak mampu saya lakukan. Hanya dengan karakter clickbait, sesuatu yang ditulis menjadi catchy. Saya tidak mampu menukar cara saya menulis agar bahasanya lebih merancakkan pembacaan mengikut trend masa kini. Gantinama aku, kau, terasa amat kekok untuk diguna pakai dalam interaksi saya sebagai penulis dengan pembaca yang saya bayangkan membaca tulisan berkenaan. Mungkin kerana di alam nyata saya sendiri tidak membahasakan seseorang sedemikian rupa.

Saya juga terkenang betapa ramai ilmuan Islam yang menyesal apabila membaca kembali apa yang pernah mereka tulis pada usia muda. Sedangkan bagi kita yang membaca, tulisan terdahulu dan tulisan terkemudian para ulama’ itu, bagus belaka.

Saya sendiri berasa kekok untuk membaca kembali buku-buku awal yang saya tulis 10 tahun yang lalu. Berulang kali saya sebutkan kepada diri, alangkah baiknya jika saya tidak menulis begitu dan menulis begini. Mengapa saya sebut begitu dan tidak begini? Dalam rasa malu membaca tulisan-tulisan 10 tahun yang lalu, sekurang-kurangnya saya boleh berasa lega kerana beberapa perkara asas dari segi bahasa dan tatasusila dapat saya pertahankan. Jika saya menulis sepenuhnya mengikut darah muda dan trend pada masa tersebut, tentulah penyesalan hari ini jadi lebih berganda-berganda.

Pada masa yang sama, jika kita meletakkan standard tertentu kepada kualiti isi dan bahasa dalam menulis, sekeping hati ini juga perlu dijaga agar tidak angkuh dan sombong, memandang satu laras bahasa lebih mulia berbanding satu laras bahasa yang lain. Semasa merendah diri kita boleh sombong. Semasa meninggi diri kita boleh membodohkan wajah. Jangan sampai tiada satu pun yang bagus dengan standard kita. Sama ada kerana standard kita itu di atas bukit, atau di lembah rendah, kerana hati manusia boleh angkuh dengan kedua-duanya.

Sungguh susah untuk menjaga hati, apabila kita meletakkan diri di tengah ramai.

Buku Setia Dengan Kebenaran mengambil masa lebih 10 tahun untuk ia ditulis. Ia sudah siap dalam bentuk manuskrip kira-kira 3 tahun yang lalu, dengan serba sedikit penambah baikan dari semasa ke semasa. Tetapi saya mengambil masa yang panjang untuk membuat keputusan untuk bersetuju menerbitkannya. Saya tidak hanya berfikir tentang kebolehpasaran buku itu dalam realiti semasa, tetapi saya juga berfikir adakah jika saya di kubur nanti, saya menyesal menulisnya dan ketika itu saya sudah tidak mampu berbuat apa-apa?

Adakalanya apabila saya berfikir kembali, saya sebenarnya lebih berminat menulis, tetapi kurang minat membaca apa yang saya sendiri pernah tulis. Sebabnya, saya dapat merasakan bahawa menulis menolong saya menjadi manusia yang lebih baik, melalui muhasabah diri semasa menulis.

Bagi sahabat yang bersemangat mahu menulis, nasihat saya, seimbangkanlah antara kesemua faktor itu tadi. Jangan hanya berfikir tentang strategi menulis dan strategi memasarkan buku. Sebaliknya pertimbangkanlah dengan jujur dan tulus, tentang apa yang ditulis. Adakah ia benar-benar berbaloi, berfaedah dan patut ditulis, kerana sesungguhnya nyawa buku akan layu dan mati apabila sampai masanya. Tetapi dosa atau pahala, dan harga diri kita kerana menulis sesuatu, akan mengekor kita ke barzakh, mizan dan dan akhirnya ke Syurga atau ke Neraka.

Imam Ibnu Hibban rahimahullah berkata:

الواجب على العاقل أن يلزم الصمت إلى أن يلزمه التكلم، فما أكثر من ندم إذا نطق،وأقل من يندم إذا سكت

“Menjadi kewajiban bagi orang yang berakal untuk lebih banyak melazimkan diri untuk diam berbanding banyak bercakap (menulis). Betapa ramai orang yang kemudiannya menyesal kerana banyak bercakap dan sedikit sekali orang yang menyesal kerana mendiamkan diri.”

Mungkinkah di Sana nanti, lebih ramai penulis yang menyesal, berbanding pembaca?

Hasrizal
Oulu, Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share