Terima Kasih Untuk Sebuah Ketidaksempurnaan Kita

Petikan buku How Full Is Your Cup: 64 stories that can transform the way you look at life oleh Sampath J.M

Setiap hari, peladang itu mengangkut air dari sungai ke kebunnya dengan dua baldi yang tergantung di hujung kandar.

Di hujung sana, baldi yang sempurna.

Di hujung sini, baldi yang ada luka-luka pada tubuhnya. Terbocor sedikit di atas, berlubang sedikit di bawah.

Tetapi peladang itu terus menerus melakukan kerjanya seperti biasa.

Baldi yang sempurna itu sombong, bangga dengan kesempurnaannya. Sedangkan baldi kedua berasa rendah diri menyedari akan dirinya, tidaklah sesempurna baldi pertama.

Pada suatu hari, baldi cacat itu bertanya kepada tuannya “tuan, mengapakah tuan terus menggunakan saya, sedangkan saya hanya membawa air separuh jumlah berbanding baldi pertama?”

Menyedari akan dilema baldi cacatnya itu, peladang tersebut menjawab “wahai baldi yang ‘tidak sempurna’, lihatlah di belakang kita!”

Apabila baldi cacat itu menoleh ke belakang, nampaklah dia, bagaimana di sebelah baldi ‘sempurna’, lorong itu kering kontang tak punya apa. Tetapi di sebelah dirinya si baldi yang cacat itu, pokok-pokok bunga dan pelbagai tumbuhan, tumbuh subur mengeluarkan kebaikan, hasil menikmati air yang tiris daripada kecacatan baldi itu! Biar pun jumlah air yang sampai ke hujung hanya separuh, separuh lagi telah menyuburkan sebuah perjalanan.

Tiada air yang hilang.

Walaupun baldi itu luka, cacat dan tidak sempurna.

Dalam ketidaksempurnaannya, dunia yang lebih luas mendapat kebaikan yang banyak daripadanya.

DI SEBALIK KETIDAKSEMPURNAAN KITA

Sahabat,

Negara kita bukan negara hanya untuk orang baik dan sempurna. Negara kita untuk semua. Untuk orang baik, untuk orang mahu jadi baik, untuk orang yang pernah tidak baik, kemudian mahu jadi baik.

Kita tidak sempurna.

Pakaian kita tidak sesempurna kesempurnaan yang dibangga di sana. Rupa paras kita tidak sehebat kehebatan yang dibangga di sana. Kita ini penuh kekurangan. Malah kesahihan agama kita pun katanya cacat tidak sempurna. Isi hati kita pun didedahkan sebagai serba tidak kena. Kurang sini, kurang sana.

Tetapi…

Jika kita toleh sedikit ke belakang…

Kekurangan-kekurangan kita ini menyebabkan jalan yang kita tempuh menyuburkan pelbagai kebaikan.

Bangsa yang pelbagai bekerjasama.

Agama yang berbeza hidup bersama.

Budaya yang berlainan tidak bersengketa.

Sebab semua yang berbeza dan tidak sama itu, Tuhan yang menyengajakannya.

Agar kita kenal mengenal hidup bersama.

Bukan untuk benci membenci, marah memarahi, syak mengesyaki, tanpa henti.

Jangan khuatir dengan ketidaksempurnaan kita. Ia cacat di mata pemuja kesempurnaan. Ia rahmat di tadahan ramai yang mendamba kebaikan.

Jika Islam itu rahmat buat sekalian alam, mungkin yang menjadikan Islam itu rahmat adalah pada ketidaksempurnaan kita, bukan pada sebuah kesombongan terhadap sebuah ‘kesempurnaan’  yang hanya mementingkan mereka-mereka sahaja.

Terima kasih atas ketidaksempurnaan itu, kerana yang sempurna, hanyalah Tuhan.

Malah…

Negara kita bukan negara hanya untuk orang baik dan sempurna. Negara kita untuk semua. Untuk orang baik, untuk orang mahu jadi baik, untuk orang yang pernah tidak baik, kemudian mahu jadi baik. Malah negara kita juga perlu adil kepada orang jahat, orang khianat, orang jenayah.

Bahawa berlaku adil kepada mereka adalah dengan membawa mereka ke muka pengadilan, agar berhenti kejahatan, pengkhianatan, dan jenayah mereka.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu mengatakan, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: “Tolonglah saudaramu baik ia berbuat zalim atau dizalimi.”

Seorang lelaki bertanya, “ya Rasulullah, saya maklum jika ia dizalimi, namun bagaimana saya menolong saudara yang  melakukan kezaliman?”

Nabi menjawab, “engkau mencegahnya atau halang dia daripada kezaliman, itulah cara engkau menolongnya.” (hadith riwayat al-Bukhari No: 6438)

Mari bantu warganegara kita yang zalim-zalim itu, dengan berhenti menyokong mereka. Berhenti menjadi talian hayat mereka. Berhenti menjadi faktor kemenangan mereka. Bersama menghalang mereka daripada terus berlaku zalim. Dengan tidak lagi memilih mereka.

Ia juga bukan strategi paling sempurna.

Tetapi dari situ, kita boleh kembali bermula!

Dirgahayu tanahairku!

HASRIZAL
Oulu, Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share