Kunjungan Calon Pakatan Harapan ke Rumah Bonda

Semalam saya sangat gembira kerana Prof Abdul Aziz Bari dan Saudara Howard Lee 李存孝 berkunjung ke rumah kami di kampung, melawat bonda dan keluarga saya. Kunjungan ini sangat bermakna buat diri saya yang berada jauh di perantauan. Keluarga saya ingat peranan penting Prof Aziz Bari dalam menafsirkan perlembagaan semasa krisis perlembagaan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak tahun 2013 yang lalu.

Cuma saya agak dukacita apabila abang saya memberitahu bagaimana artikel saya disebar merata kampung hingga menimbulkan gangguan terhadap keluarga. Saya boleh bayangkan ketidak tenteraman yang keluarga saya alami.

PENDIRIAN SEMENJAK 2013

Ia adalah sebab penting mengapa saya tidak berkempen terbuka untuk Howard Lee pada tahun 2013 kerana saya belum ada pengalaman untuk berdepan dengan implikasi dihebahkan sebagai pro DAP, walaupun ketika itu Pakatan Rakyat termasuk PAS masih bersama dengan DAP.

Namun, secara prinsipnya sudah pun jelas pada masa tersebut kerana saya telah menulis beberapa artikel di blog berkaitan kerjasama DAP dan PAS dalam PR, serta membentangkan kertas kerja persoalan mengundi non Muslim di dalam program Konvensyen Fiqh Islam Semasa: Mengulas Isu Politik dan Pilihanraya Berdasarkan Manhaj Wasatiy. Program anjuran KFIQH itu berlangsung pada 15 September 2012, dengan pembentangan bersama Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, Sahib al-Samahah Tuan Mufti Wilayah Persekutuan, Tuan Mufti Negeri Perlis, Dr. Maszlee Malik dan ramai lagi.

TEKAD TAHUN 2018

Tetapi pada tahun 2018 ini, saya lebih bersedia, walaupun ditakdirkan secara fizikalnya tidak berada di tanahair. Bersedia pun bukanlah bersedia apa-apa. Lebih kepada bersedia untuk bersuara menyatakan pendapat, kemudian bersabar dengan kesan-kesan sampingan yang hadir.

Saya minta maaf daripada abang kerana menyusahkan keluarga walaupun jauh di hujung dunia, tetapi abang saya kata no worry at all, just cheap talk, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Asalkan jangan memutuskan silaturahim. Penjelasan itu banyak melegakan saya yang terasa sukar membantu kerana duduk berjauhan.

Saya harap selepas pilihanraya keadaan menjadi aman damai semula. Tidak mengapalah kalau saya menjadi anak kampung yang tidak disukai masyarakat. Asalkan emak redha, dan adik beradik pun ok, saya sudah rasa saya orang paling kaya dan aman di dunia yang sementara ini.

Anak-anak kami teruja melihat foto Prof Aziz Bari bersama opah dan pakcik mereka. Anak-anak kami bertanya maklumat lanjut, siapa Prof Abdul Aziz Bari ini?

Dan mengapa DAP pilihan Prof?

Saya berhati-hati untuk tidak menjawab bagi pihak Prof. Abdul Aziz Bari.

Sebagai cikgu sekolah, dan mempelajari sains pembelajaran di negeri jauh-jauh di Finland ini, saya bukakan sesi problem based learning sedikit…

Jika PAS hendak melaksanakan hukum hudud, DAP berpendapat perlaksanaan itu bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Maka, tidak boleh buat sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan, kecuali perlembagaan itu perlu diubah terlebih dahulu. Maka, dalam kes ini, adakah DAP menentang hudud dan menentang Islam, atau pun DAP menentang perbuatan yang melanggar perlembagaan negara?

Itu senario pertama. Maaflah kalau ia kedengaran ‘shallow’ kerana saya memberikan kes ini kepada anak kami, yang tua berusia 16 tahun.

Keduanya…

Adakah sama perbuatan mempromosi amalan LGBT, dengan pendirian yang mahukan semua rakyat Malaysia dijamin dilindungi oleh undang-undang, termasuk penjenayah, perompak malah LGBT? Bahawa mereka tidak boleh dizalimi. Mereka hanya boleh dihukum berdasarkan sabitan undang-undang.

Misalnya, ummi adalah doktor pakar dan bekerja di wad kecemasan. Suatu hari, ummi didatangi oleh seorang pesakit yang merupakan seorang perogol. Dia digari oleh polis. Adakah kerana dia perogol, maka ummi boleh suntik racun, atau menolak untuk merawat perogol itu? Jawapannya ialah TIDAK. Hak perogol itu mendapatkan rawatan mesti ditunaikan. Ada pun kesalahan rogolnya, ia diuruskan oleh undang-undang dan penguatkuasaan.

Jadi, tidak boleh semata-mata kerana seorang itu lesbian, gay, biseksual atau transeksual, maka hartanya dirampas, dia diseksa dll. Jika nak hukum mereka, hukum mereka berdasarkan peruntukan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan atas sebuah kesalahan.

(Saya teringat dalam kajian sejarah dahulu, Sultan Suleyman al-Qanuni pemerintah Daulah Uthmaniyyah, menggunakan peruntukan tidak bersolat Jumaat untuk mengambil tindakan ke atas kelompok Syiah Kızılbaş, sebab tidak boleh menghukum seseorang hanya kerana aqidahnya adalah aqidah syiah.)

Tapi, naratif ini tidak popular. Yang popular ialah DAP anti hudud, anti Islam, pro LGBT. Dan kini abi mereka dilabel sebagai pro LGBT, menyokong musuh Islam dan lain-lain.

Kata anak kami, “Prof Aziz pakar Perlembagaan. Dia pilih DAP sebab DAP komited ‘defend’ perlembagaan Malaysia!”

Itu kesimpulan anak kami.

Beliau percaya bahawa beliau telah menyaksikan banyak sesi brainstorming yang membawa kepada lahirnya GHB dan AMANAH sebab beliau ikut saya hadir dalam beberapa sesi diskusi awal sekitar 2015. Antara benda yang paling anak kami tidak boleh terima ialah dakwaan bahawa AMANAH ditunggang oleh DAP kerana tiada langsung DAP terbabit dalam proses kemunculan AMANAH ketika itu.

Lepas mesyuarat, saya selalu singgah kedai mamak minum teh dengan beliau dan kami bincang balik. Saya tanya anak kami apa yang dia faham dalam mesyuarat tersebut. Ia menyebabkan terjadinya meaning making, dan berdasarkan The Atkinson–Shiffrin model berkaitan fungsi memori, meaning making itu menyebabkan ingatan berpindah masuk ke long term memory. Kejadian masa itu kuat di minda anak kami walaupun masa itu beliau baru berumur 12 ke 13 tahun, usia saya mula menyertai usrah dan tarbiah 30 tahun yang lalu.

Adakah saya brainwash anak kami?

Anak sulung kami ini sangat susah hendak di’brainwash’ sebab saya pun dia selalu lawan.

KETERBABASAN FIKIRAN

Selepas perbincangan dan makan malam, kami menonton beberapa video sekitar tahun 2013, dan kemudian kami terjumpa video ini bertarikh 2016 (https://youtu.be/ufDd4oZFPLw)

Anak sulung kami faham dengan jelas maksud Prof. Aziz Bari bahawa Perlembagaan DAP adalah undang-undang pertubuhan, yang hanya terpakai ke atas ahli pertubuhan itu. Ia bukan Perlembagaan negara, yang digazet sebagai undang-undang negara. Sebab itu Prof beri contoh dengan mengatakan bahawa Perlembagaan DAP sama sahaja macam Perlembagaan Persatuan Penduduk. Tetapi macam mana boleh anak muda di dalam video ini seperti teruja seronok untuk menghentam Prof kerana membuat pengakuan bahawa DAP setaraf Persatuan Penduduk?

Ada falasi di situ. Anak-anak kami panas hati melihat anak muda itu terus menerus keliru dan ‘tak get the point’.

Kami berhenti di situ kerana kami kelaparan. Anak saya membuat kesimpulan yang agak pahit dengan katanya, “nasib baik tak sekolah di Malaysia!”

Saya sebagai guru, mengambil serius keluhannya itu.

[Kami tidak ambil tahu siapa anak muda yang bertanya di dalam video itu kerana sekadar mengambil iktibar kejadian]

HARAPAN

Saya juga berharap antara PAS dan Pakatan Harapan terutamanya AMANAH, persengketaan dan permusuhan dapat diredakan. PAS akan berperanan sebagai Kingmaker menurut Tuan Guru Presiden. Seandainya PH dan AMANAH berterusan dilabel sebagai anti Islam, malah meninggalkan PAS itu seperti meninggalkan Islam, amat sukar untuk dibayangkan semasa PAS menjadi Kingmaker nanti, PAS memilih untuk bersama PH kerana Islamnya PAS dan rumitnya PH serta AMANAH.Suasana hari ini lebih menggambarkan PAS tidak mungkin memilih untuk meningkatkan majoriti PH yang dikeji dan dicaci ini, justeru kita faham mengapa ramai yang beranggapan memberi undi kepada PAS akhirnya adalah memberi undi kepada BN (walaupun masih ada banyak diskusi di situ).

Sebab itu kecaman-kecaman yang semakin menjurus kepada keluar PAS itu seperti meninggalkan Islam, lebih membimbangkan saya, jauh daripada kebimbangan saya terhadap apa sahaja keputusan PRU14 akan datang.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share