Konsep Khalifah Mengimbangkan Paradigma Pendidikan

Pendidikan yang kita kenal pada masa ini asalnya lahir daripada satu paradigma yang melihat pendidikan secara makro, di peringkat sosial. Ia berkaitan dengan fungsi individu kepada masyarakat. Ia sesuai dengan keperluan revolusi industri pada masa itu yang memerlukan seramai mungkin manusia mempunyai kemahiran yang seragam. Mass production yang mencorakkan kehidupan zaman itu, memerlukan manusia menguasai ilmu dan kemahiran yang telah disukat  dan dimandatkan kepada institusi sekolah untuk melaksanakan.

Di era itu juga manusia perlu hidup harmoni, memiliki solidariti sosial yang menyatukan mereka, mewujudkan kestabilan, dan memudahkan kerajaan mengawal mereka demi kesejahteraan dan keselamatan negara. Justeru di sekolah, ada bacaan ikrar, menaikkan bendera, menyanyikan lagu kebangsaan atau patriotik.

Tetapi zaman berubah.

Pengukuhan nilai demokrasi yang menyerlahkan manusia sebagai individu, yang mempunyai suara, hak, keunikan, keistimewaan, dan tidak wajar diproses cetak secara pukal… mengubah paradigma pendidikan.

Pendidikan mula dilihat secara mikro, bahawa saripatinya adalah pembelajaran. 

Pembelajaran pula, terjadi di dalam individu manusia.

Sumbangan individu kepada masyarakat adalah byproduct hasil terbangunnya individu yang mencapai potensi terbaik dirinya

Maka budaya pendidikan warisan functionalism yang melihat pendidikan secara makro, bertembung dengan budaya pendidikan yang diperjuangkan oleh interactionism yang melihat pendidikan secara mikro.

PANDANGAN ALAM ISLAM

Pada mencari titik harmoni, andai kita kembali kepada pandangan alam Islam, manusia ini adalah khalifah.

Khalifah itu sifatnya sosial, berkaitan peranannya kepada manusia lain, kepada kehidupan dan alam sekelilingnya. Walaupun begitu, ciri utama khalifah itu adalah makhluk yang belajar dan berfikir, sesuatu yang sangat proses, sangat individu, sangat mikro.

Justeru konsep khalifah mengimbangkan antara paradigma functionalism dan interactionism sebagai kerangka pendidikan yang harmoni.

Petikan program SeNegara di London, 20 Januari 2018.

Hasrizal
Oulu Finland.

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.