Isä… Minä Rakastan Sinua

“Daddy, I love you”

Semasa membaca coretan seorang guru Finnish bernama Maarit Korhonen di dalam bukunya “School’s Fault?”, saya teringat kepada kejadian yang berlaku semasa saya sekeluarga bersiar-siar di city centre musim panas yang lalu.

Kisah guru tersebut saya terjemahkan ke bahasa Melayu secara bebas untuk kemudahan pembaca:

DI KELAS ITU

Sumber:  Korhonen, Maarit. School’s Fault? (Kindle Locations 2-3). Kindle Edition.

Entah mengapa, kelas ini mempunyai pelbagai kisah di sebaliknya, terutamanya berkaitan dengan bapa. Seorang murid lelaki berulang kali memberitahu saya apa yang ayahnya telah buat. Ayahnya pergi menembak, berbasikal, memancing – hampir segalanya, berkisar apa yang kami bualkan di bilik darjah. Kawan-kawannya di kelas mula rasa terganggu dengan tabiat murid yang seorang ini, tak habis-habis dengan cerita ayahnya. Maka pada suatu hari semasa saya bermesyuarat bersama ibunya, saya timbulkan hal ini untuk perbincangan.

“Kami ada sedikit masalah kecil di kelas. Sakke berulang kali memberitahu kami perkara-perkara yang ayahnya lakukan. Tidak kira apa sahaja yang kami bincangkan di dalam kelas, beliau akan mengangkat tangannya dan memberitahu kami apa pendapat ayahnya tentang hal yang kami bincangkan itu. Kawan-kawan yang lain di dalam kumpulan mula bercakap-cakap tentang hal ini dan tidak sentiasa dengan bahasa yang baik. Bolehkah puan bincangkan hal ini dengan anak puan di rumah?”

Sepi!

Si ibu merenung saya seperti ternampak hantu!

“Anak saya tidak pernah bercakap mengenai ayahnya di rumah. Dia sudah tidak pernah bersua muka dengan ayahnya semenjak dia berusia tiga tahun!”

Giliran saya pula tergamam.

Saya hampir pasti saya boleh melukis gambar ayah Sakke, dek banyaknya cerita beliau tentang si ayah di kelas. Sepanjang semester musim luruh ini Sakke bercakap tentang ayahnya. Dan sebenarnya ayah itu tidak wujud???

“Tidak. Kali terakhir dia berjumpa ayahnya ialah semasa dia berumur 3 tahun, cikgu. Kami ada menyimpan foto ayah beliau, tetapi tidak pernah berbual mengenainya!” kata si ibu.

Good heavens! Bolehkah puan berbual tentang hal ini dengannya di rumah? Dan jika puan mahu, Sakke juga boleh berjumpa dengan penyelia, atau psikologis sekolah”

Selepas pertemuan dengan ibu Sakke itu, beliau tidak pernah lagi menyebut tentang ayahnya. Dan tiada sebarang temu janji dibuat sama ada dengan penyelia mahu pun psikologis sekolah.

KISAH KAMI

Kisah sedih Sakke itu mengingatkan kami semasa kami sekeluarga berjalan-jalan di city centre semasa cuti musim panas yang lalu. Ke mana sahaja kami pergi, kami diekori oleh seorang budak lelaki Finnish berusia sekitar 9 ke 10 tahun. Beliau dengan skateboardnya melompat dan membuat pelbagai aksi berdekatan kami dan setiap kali selepas beraksi dia akan memandang saya sekeluarga.

Oleh kerana kebiasaan masyarakat di Finland ini sangat ‘protective‘ terhadap kanak-kanak, saya tidak berani menyapanya. Saya hanya senyum dan menunjukkan thumbs up kepada budak itu selepas beliau beraksi.

Selepas beberapa minit kami menoleh dan nampak dia masih mengekori kami.

Lama kelamaan dia hilang dari pandangan.

Saya tidak pasti kenapa dia begitu, dan apa kisahnya.

KEBAHAGIAN DI SEBALIK DUKA

Hari ini saya baru sahaja balik daripada Kem Pelarian di Oulu kerana setiap Khamis saya menjadi sukarelawan bersama Finnish Red Cross mengendalikan kelab bermain dengan anak-anak pelarian.

Seorang anak Syria yang baru kali pertama berjumpa saya (beliau baru berusia 7 tahun dan ‘layak’ menyertai kelab kami), dia begitu bersungguh-sungguh berbual dengan saya kerana teruja saya boleh bercakap bahasa Arab.

“Saya sangat suka matematik! Dulu saya tak sekolah. Sekarang ini saya sudah habiskan dua buku matematik!” kata budak kecil Grade 2 itu. Beliau dan abangnya, dua-dua ‘hantu’ matematik hingga cikgu sekolah pun teruja dengan anak pelarian ini. Beliau menunjukkan kepada saya homework yang dilakukannya. Saya puji jawapan-jawapannya yang betul serta tulisannya yang kemas.

Saya kenal abang budak ini, dua tahun lebih tua daripadanya.

Saya juga kenal ayah dan ibunya.

Anakanda sayang, walaupun engkau kehilangan negara, engkau masih bertuah hidup sebagai pelarian di negeri asing ini kerana engkau punya ayah ibu dan keluarga yang mengasihimu.

Sesungguhnya…

Kelemahan struktur keluarga adalah sisi gelap dan dukacita di sebalik kecemerlangan sistem pendidikan di Finland.

HASRIZAL
Oulu, Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share