Malaikat Pun Lari Meninggalkan Kita

Apakah usaha yang boleh dibuat untuk menghapuskan perasaan benci membenci dan marah antara satu sama lain di tanahair Malaysia, itu persoalan yang selalu saya fikirkan apabila bangun pagi di negeri jauh ini. Jika buka sahaja media sosial, setiap hari ada kemarahan baharu, kebencian, kontroversi, tidak berkesudahan.

Sampai saya tidak tahu dalam doa nak minta solusi dalam bentuk apa daripada Allah.

Teringat kisah ashāb al-Kahf di dalam al-Qur’ān… akhirnya doa mereka ialah “ya Allah kurniakanlah kepada kami daripada sisi-Mu, RAHMAT… (18:10).

Mungkin itulah yang kurang. Atau itulah yang tiada.

RAHMAT

Walaupun ramai orang mengaji agama, masjid banyak, kitab berlambak, semangat beragama tinggi, pejuang agama ramai, yang hilang adalah rahmat-Nya.

Rahmat itu sumber ketenangan.

Rahmat yang menyebabkan Nabi Yusuf duduk dalam perigi tapi berasa tenang. Ibrahim dalam api juga masih tenang, Yunus dalam gelap perut ikan turut tenang. Muhammad di dalam gua Thur yang sempit itu pun tenang lagi menenangkan Abu Bakr. Alayhim al-solat wa al-salam.

Apabila tiada rahmat, kaya agama pun miskin ketenangan, kemarau kebahagiaan.

Macam mana nak panggil rahmat Allah?

Entahlah… ilmu saya cetek.

Saya cakap pada anak-anak tak apalah kita duduk di tempat kurang sumber agama, tapi sungai, unggas dan awan tidak pernah lupa mengingatkan kita kepada Tuhan. Alam semulajadi itu pun Tuhan al-Quran yang Dia cipta sebagai ayat-ayat-Nya.

MALAIKAT PUN TINGGALKAN KITA

Manusia lari.

Malaikat pun lari meninggalkan orang yang memaki hamun.

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mendengarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.

Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w di belakang baginda dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, engkau nampaknya marah dan bangun?

Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.

(Hadis Riwayat Ahmad)

Di hujung perbalahan kumpulan mana lagi betul, pendapat siapa lagi hebat… akhirnya kita cuma nak Allah redha dan masukkan kita ke Syurga.

Sebelum mengharapkan Syurga sebenar di sana, kita perlu membina syurga kecil di sini, iaitu di dalam hati yang Tuhan limpahkan RAHMAT-NYA.

Rahmatilah tanahair kami ya Allah.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Rasa ada lagi yg tertinggal. Dikenakan DAM. Seingat² saya lah. Kalau tiada. Harap maaf.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.