Transisi Mendidik Anak Kecil Kepada Anak Remaja

“Susah ke jadi ayah kepada anak remaja?” anak saya bertanya.

Kami baru selesai solat Jumaat, dan saya membawa anak-anak singgah ke kedai menggunting rambut. Isnin nanti sekolah dibuka semula selepas seminggu cuti ski.

“Rasanya macam mana?” saya soal beliau semula.

I don’t know. You seem a bit grumpy lately,” katanya.

Jujur.

Tahun ini adalah tahun ke-18 saya menjadi bapa. Bermula 18 tahun yang lalu, saya melihat kehidupan daripada perspektif yang berlainan daripada zaman tidak ada anak. Kini apabila anak-anak meningkat dewasa, perspektif berubah. Sama ada semakin matang, atau boleh juga menjadi malang!

Kalau tidak kena gaya.

Dalam perjalanan pulang dari masjid tadi, banyak yang saya bualkan dengan anak-anak. Mereka menyoal saya dengan soalan-soalan yang mendesak saya bermuhasabah.

Dahulukala, semasa anak-anak masih kecil, saya sebagai seorang penulis mudah menulis mengenai keibubapaan. Anak-anak di usia kecil adalah amat menginspirasi. Kita teruja dengan lonjakan daripada makhluk kecil yang hanya tahu menangis dan minum susu, mula menjadi makhluk lengkap yang bercakap, berfikir, bertindak tanduk dan berkarakter.

Ketika itu apa yang sains beritahu mengenai anak kita adalah maklumat berharga untuk kita gembira berusaha. Makin seronok apabila kegembiraan melayan telatah anak-anak kecil, disokong dengan maklumat-maklumat saintifik dan agama.

Bermain, memanjat pokok, menyusun bongkah, menguatkan fine motor skills! Apa lagi, teruskan bermain. Menangis pun tidak mengapa. Sebab menangis adalah satu bentuk regulasi emosi yang penting. Anak jatuh lutut berdarah, tangan patah semasa bermain badminton pun, kita panik sekejap tetapi kemudian tenang, kerana tahu risk taking yang terjadi itu merupakan sebahagian kembara menuju alam dewasa mereka.

“Oh patutlah mereka comel sahaja buat begini dan begitu!” kita tersenyum membaca penerangan saintifik mengapa anak begitu. Termasuklah semasa merendam iPhone ayah ke dalam air dan menghempuk laptop dengan penyapu!

Marah… tetapi segera ketawa menggeleng kepala.

Hal ini berbeza apabila anak-anak jadi remaja.

Apa yang sains beritahu kita tentang mereka, kesimpulannya ialah kita kena bersabar. Sains menjelaskan memang kita kena bersedia menerima mereka begitu, walaupun ia mengatasi andaian dan jangkaan kita.

Makin anak remaja, makin banyak cabaran hidup yang mereka hadapi, kerana sayang kita kepada mereka, kita ingin memberi nasihat yang kita yakin bermanfaat untuk mereka. Tetapi nasihat kita ditolak. Adakalanya dengan senyuman. Selalu juga dengan riak muka, dengus hidung dan bunyi-bunyian kecil yang melukakan hati.

Tetapi sains memberitahu kita bahawa ia adalah sebahagian kepayahan yang ibu bapa kena bersabar apabila anak remaja sedang bertarung membina autonomi, dan harganya memang meragut kualiti hubungan ibu bapa dengan anak remaja.

Mereka berkelakuan seperti orang dewasa dan melukakan hati kita dengan sikap dan perkataan. Kita tidak lagi mendengar atau melihat ekspresi itu sebagai sesuatu yang datang daripada kanak-kanak. Sebaliknya ia datang daripada individu dewasa yang sepatutnya tahu beratnya apa yang mereka buat atau cakap.

Justeru, kondisi mendidik anak remaja tidak lagi menginspirasi. Sebab kita sibuk bermonolog dengan diri sendiri, memberitahu diri yang berperang dengan keletihan, kekecewaan, kemarahan atau kebingungan, bahawa kita mesti terus menyayangi anak-anak tanpa syarat, semasa ia manis dan semasa ia pahit.

https://www.instagram.com/p/B8cLiEIH7jX/?utm_source=ig_web_copy_link

BERSEDERHANA, AJAK, BUKAN AJAR

Sebagai ‘bekas’ penulis hal-hal keibubapaan kepada anak-anak kecil, saya ingin beritahu penulis muda masa ini supaya bersederhana dalam kerancakan ‘mengajar’ agar nanti jangan kecewa dan terluka. Saya ingin menjerit sekuat-kuat hati dari paru-paru untuk memberitahu bahawa segala apa yang saya pernah belajar, tahu dan cakap suatu ketika dahulu, hampir tiada yang menyediakan saya untuk apa yang sedang saya tempuhi hari ini.

Tetapi hasrat itu tidak jadi sebab benda sebegini hanya relevan apabila ia dipelajari secara hands on di masanya nanti. Siapa saya untuk memberitahu sesiapa.

Saya sendiri membaca semula buku Aku Terima Nikahnya tahun 2008 dahulu, lebih sebagai diari kehidupan saya sendiri. Saya memujuk diri bahawa buku berkenaan mencatatkan usaha saya ketika itu untuk melakukan apa yang terbaik dalam kemampuan saya pada masa tersebut. Untuk umur 18 tahun yang lalu, dengan pengalaman kurang 18 tahun berbanding sekarang, itulah usaha terbaik yang saya cuba buat.

Justeru, berusahalah untuk buat baik di setiap zaman dan bersedia dengan perubahan zaman berkenaan sesuai dengan peningkatan umur anak-anak.

Caranya hanya dua:

Terus menambah ilmu, dan terus menyayangi mereka tanpa syarat.

Kepayahan mendidik anak-anak remaja mungkin terasa lebih mendalam dan menebal dek kehidupan kami di negeri asing. Anak-anak kami bersekolah di sekolah Finnish. Mereka dididik dengan pandangan alam, nilai dan budaya yang amat berlainan dengan diri saya sebagai bapa. Selepas lebih tiga tahun saya berada di Finland, saya masih Melayu, masih Muslim. Tetapi anak-anak kami tidak sesolid itu. Alhamdulillah mereka Muslim, menjaga solat, aurat, dan perkara-perkara asas sebagai hamba Allah. Namun, cara mereka berfikir tentang diri dan kehidupan ada kelainannya.

DIALOG GANAS YANG NYAMAN

Oleh kerana kami sekeluarga memang bersikap terbuka dalam meluahkan pendapat dan pertanyaan (sesuatu yang amat saya syukuri kerana melakukannya sejak mereka kecil), maka perbualan antara kami adakalanya menjadi sangat mencabar.

“Katakanlah, secara teorinya, kalaulah ada di antara kami yang murtad, jadi gay atau lesbian, bagaimana reaksi ayah? tanya anak-anak kepada saya pada suatu petang.

Pertanyaan itu amat mendalam.

Saya diam seketika.

“Kalian tahu, saya adalah ayah yang paling terbuka, dan tertutup, paling liberal, dan paling konservatif… kamu tahu sebab apa?” saya bertanya.

Mereka menunggu jawapan.

“Jika seseorang mahu murtad dan membuat keputusan untuk murtad, siapa yang boleh menghalangnya? Jika sudah tidak percaya kepada Allah, kepada Muhammad, apa yang sesiapa boleh buat? Kita tidak boleh memaksa seseorang percayakan sesuatu. Sebab itu, jika nauzubillah kejadian seperti itu berlaku, isunya bukan ayah setuju atau tidak. Sebaliknya, kenapa ia terjadi, dan kemudian bagaimana sikap ayah seterusnya” saya menjawab, dengan penuh berhati-hati.

Di dalam bahasa Inggeris.

“Sebagai ayah, sesuatu yang tidak akan berubah ialah kasih sayang sebagai seorang ayah. Kamu pergilah sejauh mana pun, kasih sayang ayah adalah tempat untuk kamu berpatah pulang. Kasih sayang itu menjadikan kamu sentiasa ada jalan pulang. Jika sudah jauh tersesat, pulanglah. Pulang kepada abi dan ummi, yang tetap akan menyayangi kamu tanpa syarat, walau sepahit mana pun ia.

Namun… oleh kerana kami menyayangi kamu tanpa syarat, maka ayah juga akan terus menerus menyampaikan kepada kamu kepercayaan ayah, nilai ayah, pandangan ayah, saranan ayah, selagi ayah masih hidup, selagi kamu hidup. Kamu tidak akan berhenti daripada mendengar nasihat demi nasihat. I will keep telling you what is right what is wrong. You know what, in that sense, ayah sebenarnya memberi pendidikan agama kepada kamu sampai ke tahap, jika suatu hari nanti kamu memilih untuk ke Neraka, nauzubillah, kamu akan pergi ke Neraka bersendirian dan tidak akan sekali-kali dapat mengheret ayah because I had done my part!” itu jawapan saya kepada mereka.

Mudah-mudahan kita sama-sama ke Syurga.

Anak-anak berasa lega dengan penerangan saya. Ia adalah assurance bahawa apa jua masalah yang mereka hadapi, mereka sentiasa boleh berbincang dengan saya dan isteri, kerana itulah peranan kami, sebagai dua makhluk yang membawa mereka ke kehidupan di dunia ini, sebagai amanah Tuhan.

Perbualan kami memang begitu. Boleh jadi ia mengerikan kalau didengar keluarga dan sahabat di kampung halaman.

ANDAI KAMI MASIH DI MALAYSIA

Jika SAYA di Malaysia, pilihannya anak-anak mungkin duduk asrama. Saya ada banyak alasan mengapa menghantar anak ke asrama itu bagus. Tetapi jauh di sudut hati ialah, sebenarnya kelegaan yang hakiki ialah lega daripada melayan kerenah remaja yang menjengkelkan itu.

Sakit otak mengadap kerenah anak remaja.

Hantarkan sahaja ke asrama.

Jika kalian menempuh usia akil baligh dan remaja di asrama, dan bukan di bawah hidung saya, legalah saya daripada mengendalikan kerenah kamu semua. Terutamanya sebagai bapa, pantang besarnya ialah anak tidak berbudi bahasa dan matang. Berkelakuan biadab memang mudah mengundang gunung berapi meletus, dan biadab itulah yang sering sinonim dengan keterbabasan kelakuan anak remaja.

Namun ketentuan Allah, kehidupan kami di Finland ini, jadi berbeza. Syukur juga apabila semua perkembangan anak-anak empat orang ini berlaku di depan mata. Mereka perlukan kami, mengenai sesuatu yang cikgu, ustaz, ustazah, warden atau senior tidak boleh beri. Mereka perlu kepada empati dan maklum balas orang dewasa yang mereka percaya, dalam mendepani masalah seharian mereka yang semakin hari semakin komplek.

AYAH KEPADA ANAK, BUKAN KANAK-KANAK

Di media sosial sekarang ini termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat ada ramai bapa yang berbangga dengan anak mereka seumpama trofi. Banyak kumpulan sokongan atas talian di Facebook yang menghimpunkan nasihat oleh para bapa tentang penjagaan dan pendidikan anak-anak.

Malah menjadi seperti satu ekspresi fesyen bapa menampilkan diri dengan imej ‘ganas’, bertatu atau ranggi berfesyen sebagai seorang hipster, tetapi mempunyai anak dan menyayanginya.

Ia perkembangan yang bagus.

Malah di Finland juga, pembabitan bapa di dalam proses penjagaan anak-anak meningkat. Bapa bukan lagi lelaki dewasa yang hanya fikirkan kerja, kemudian balik ke rumah makan di meja bersama isteri dan anak-anak sambil mengulang soalan semalam, “semua ok?”
.
Namun apabila ditinjau, kebanyakan ekspresi hubungan bapa-anak itu adalah bersama anak-anak di usia bayi, pra sekolah dan pra akil baligh.

Apabila anak-anak meningkat remaja, pemandangan itu pudar.

Segala kisah comel dan gembira mula bertukar menjadi masam, pahit dan pedas. Di era inilah andai tidak berpedoman, bapa mula mengundurkan diri daripada terbabit di dalam proses anak-anak membesar.

Itulah yang saya cuba elakkan. Bukan sebab apa. Ilmu memberitahu bahawa anak-anak remaja itu masih memerlukan kita termasuklah semasa mereka menolak kita dan mengabaikan pendapat kita sendiri.

Membesarkan anak-anak remaja di depan mata adalah rezeki. Peluang yang pahit namun penuh khasiat.

Apabila berlaku krisis tertentu, saya mengurut dada dan berkata, syukur ya Allah aku ada untuk masih campur tangan dalam hal ini.

Bersabarlah dalam mendidik anak-anak, bukan hanya semasa mereka kanak-kanak, tetapi selagi hayat dikandung badan, ke hujung nafas, nafas kita, nafas mereka.

Kuatkan kami ya Allah.

Hasrizal
Oulu Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.