Nota Sembang Abah: Boikot Nuh

“Kau tahu, dia tu walaupun berdakwah sana sini, anak sendiri pun bertatu!”

“Isy, kalau sudah anak sendiri pun tak boleh nak dakwah, ada hati nak ubah dunia!”

“Tapi sebenarnya, bukan setakat anak dia. Bini dia pun sama jugak. Pakai seksi. Mati pula masa banjir hari itu. Tuhan dah tunjuk kuasa pun masih degil. Entahlah. Agaknya dia bawak balik rezeki tiada logo halal kot. Sebab itu anak bini degil belaka. Keras hati!” mereka meneruskan perbualan.

Minum petang sambil makan biskut kurma, diiringi dendangan nasyid Iman Adalah Permata nyanyian kumpulan nasyid Hairan..”Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa. Ia tak dapat dijual beli. Ia tiada di tepian pantai!” Nazir, solo kumpulan Hairan menyanyi dengan volume nombor 8.

Jiran rumah sebelah pun menoleh.

“Hurmm… dia seorang sahaja ada radio agaknya. Aku nak tidurkan anak pun susah” rungutnya geram.

Jiran sebelah, sepasang suami isteri, Abang Haji dan Kak Hajjah di anjung rumah sebelah suka pasang radio kuat-kuat.

Radio IKLIMfm.

Abang Haji dan Kak Hajjah tidak dapat menerima kredibiliti pendakwah yang gagal mengislamikkan keluarga sendiri.

Mereka syukur dan senyum dengan foto baiti jannati mereka. Suami islamik, isteri solehah, anak taat, semua huffaz.

Bersyukur kerana terpilih.

Mendapat petunjuk Allah.

Untuk mengukuhkan lagi standard islamik mereka, teringat pula penyanyi terkenal berayahkan ustaz, ulama hebat anaknya pelakon… Allah, inilah akhir zaman.

APABILA MUSHAF DIBUKA

Lewat petang itu mereka tergerak hati membuka mushaf.

Terjumpa kisah Nuh ‘alayhi al-salam yang tidak berhenti berusaha walaupun gulungan ombak banjir sudah hampir menelan isteri dan anaknya yang ingkar. Bukan setakat isteri tidak bertudung atau anak bertatu, malah sampai menolak tauhid dan mati kafir.

Muhammad sallallāh ‘alayhi wa sallam juga, berusaha hingga ke detik akhir nafas Abu Talib, ayah saudara yang dikasihi.

Gagalkah mereka?

Abang Haji dan Kak Hajjah terdiam.

Mereka juga terkejut sebab hadith bercerita tentang ‘gelagat’ isteri-isteri Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam. Selama ini apabila baca kekurangan, ia mesti keburukan lagi memburuk-burukkan. Terlupa penceritaan itu adalah untuk tujuan iktibar.

Abah Haji dan Kak Hajjah tidak jadi boikot sesiapa.

Dunia ini penuh tanggungjawab, usaha dan harapan.

Tugas banyak.

Usaha tidak berhenti.

Harapan tidak pernah putus.

Hakikatnya hasil dakwah bukan kuasa manusia.

Di sebalik ‘kegagalan’ pendakwah yang hendak diboikot itulah, tertakzimnya kuasa Allah.

Hidayah.

Didik, bukan kritik. Doa, bukan cerca. Optimis, bukan pesimis.

https://www.facebook.com/hasrizalabduljamil/videos/546329116252041/


DI SEBALIK TABIR SEMBANG ABAH

Sebelum sesi live hari ini, semalam kami berbual anak beranak.

Saya sekali lagi nasihatkan anak supaya beliau tidak memakai rantai leher semasa sesi live esok. Saya tidak mahu dia dikritik dan dimaki netizens.

Kami sudah banyak kali berdiskusi mengenai hal ini. Semalam timbul sekali lagi.

Saya jelaskan sekali lagi hukum lelaki memakai rantai adalah haram. Fatwa pun banyak.

Bukan sahaja haram, malah saya juga tidak suka. Saya benci kepadanya. Dan saya berterus terang. Si adik pun bertanya, adakah si abang masih mahu berterusan menyakiti hati ayah.

Anak saya tegaskan, memakai rantai emas haram. Memakai rantai bukan emas, tiada di dalam nas. Hanya ulama yang kata rantai adalah aksesori wanita dan haram menyerupai wanita. Bagi dia, di dalam masyarakat di sini (di Finland), rantai tidak pernah dipandang sebagai perhiasan wanita. There’s nothing feminin in wearing necklace, tegas beliau.

Beliau mempersoalkan kenapa adat dan pandangan masyarakat hendak mempengaruhi syariat?

Saya jelaskan peranan adat di dalam usul fiqh, bagaimana pandangan Muslim terhadap sesuatu itu ada nilainya. Jika bersumpah tidak makan daging, adakah ia termasuk ayam? Penentunya adalah adat dan konteks setempat. Adakah adat di situ memaksudkan lafaz daging itu termasuk ayam atau tidak.

Kenapa saya tidak suka lelaki memakai rantai, itu pertanyaan beliau.

Saya kata, satunya saya berpegang dengan fatwa haram lelaki memakai rantai. Keduanya, hadith Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam yang baginda menyatakan bahawa “barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kaum tersebut.”

Panjang kami berbahas bagaimana Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam melarang lelaki mencukur licin janggut, menyuruh solat pakai kasut, melewatkan sahur mengawalkan berbuka puasa, pemakaian isbal apabila melabuhkan pakaian melebihi buku lali, larangan qaza’ yakni memotong sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian lain… serta macam-macam lagi hukum hakam yang sifatnya adalah pada memelihara identiti Muslim, berbeza daripada ahli Kitab, atau kelompok yang baginda tidak suka.

Anak saya bertegas bahawa hujah saya tidak meyakinkan beliau dan beliau akan baca lagi.

Saya tegaskan lagi bahawa kalau ditolak ketepi semua hujah agama pun, saya sebagai bapa tidak suka. Saya tidak pernah menerimanya. Saya sudah beri amaran jika pakai rantai atau warnakan rambut bukan-bukan, saya tidak akan pandang muka sesiapa yang melakukannya di rumah saya.

Beliau minta maaf kerana melukakan hati saya.

Tetapi bagi beliau rantai itu adalah statement beliau tentang cara beliau berfikir dan beliau benci dengan perangai hipokrit orang Malaysia yang kalau ada 1000 kebaikan pun, satu kekurangan itu yang akan mereka suarakan. Terutamanya golongan ‘baik-baik’ yang banyak mengerumuni media sosial ayahnya.

Saya sukar menolak hal tersebut.

Pesanan terakhir saya kepada beliau ialah, teruskan membaca dan mengkaji. Sentiasa kena jujur dan berintegriti. Jika sampai satu peringkat beliau dapati hukumnya A, tetapi memilih B sebab ego, ingatlah Allah haramkan Syurga mereka yang hatinya ada sifat ego.

Al-Kibr itu ialah memandang rendah manusia dan memperlekeh kebenaran.

Beliau akur nasihat saya dan akan terus membaca. Beliau akur banyak yang beliau belum tahu. Tetapi beliau tidak akan menanggalkan rantai itu hanya untuk keselesaan mata dan mulut netizen.

Dia adalah dirinya.

Bukan ‘saifulislam.com’ atau ‘anak ustaz Hasrizal’, itu pendiriannya.

Saya kata oleh kerana itu pendirian beliau, saya berhak menulis mengenai hal ini sebagai tanggungjawab saya. Beliau bersetuju.

Saya bersyukur.

Jika saya diberi pilihan sekali pun, saya tidak mahu anak selain anak-anak saya sekarang kerana mereka adalah syurga saya, untuk saya. Dan saya adalah bapa mereka.

Tiada sedikit pun bahagian keluarga kami milik masyarakat.

Ia adalah kepalsuan hidup ‘public figure’ yang kami tidak langgan.

Semoga ada iktibar dalam hal ini berkaitan peranan kita sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Sabar, dan khusyuk.

Fokus kepada redha Allah.

Bukan kehendak media sosial dan massa.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.