Hubungan Alam Melayu – Turki Merentas Sejarah (Artikel 1996)

Artikel ini ditulis pada tahun 1995-1996 sebagai manifestasi minat peribadi saya mengkaji sejarah Daulah Uthmaniyyah. Ia bermula daripada secara kebetulannya saya terjumpa buku Mehmet, Ozay (1991), Islamic Identity and Development: Studies of the Islamic Periphery, Routledge, ISBN 0415043867 di Perpustakaan Universiti Mu’tah, Jordan, tempat saya belajar. Saya menggunakan nota kaki di dalam buku berkenaan untuk mencari sumber-sumber primer dan sekunder berkaitan topik tersebut. Ia membawa saya ke Perpustakaan IRCICA di Istana Yıldız, Istanbul. Di perpustakaan itu saya menyendiri membaca pelbagai manuskrip, koleksi buku dan keratan akhbar menarik sepanjang hari. Di situ juga saya berkenalan dengan kakitangan perpustakaan yang banyak membantu termasuk seorang profesor yang saya hanya ingat namanya sebagai Profesor Sulaiman. Beliau menceritakan kepada saya mengenai koleksi-koleksi yang terdapat di Perpustakaan IRCICA yang boleh diterokai untuk menyingkap topik hubungan alam Melayu dengan Turki Uthmaniyyah. Artikel ini ditulis di zaman pra internet dan hanya sebuah latihan ilmiah saya sebagai pelajar sarjana muda, 25 tahun yang lalu. Banyak cacat cela dan salah silapnya. Pada hari ini, saya mencadangkan buku Ottoman Connections to the Malay World oleh Saim Kayadibi untuk bacaan ilmiah. Juga The Myth and Reality of Rukiye Hanim in the Context of Turkish Malay Relations (1864-1904) oleh Mehmet Ozay dan Ekrem Saltık

PENDAHULUAN

Menulis kembali sejarah dengan disiplin ilmu yang lebih berjiwa Islam adalah tuntutan semasa yang perlu dipenuhi. Seluruh individu manusia akur bahawa pengolahan sejarah itu sebenarnya memainkan peranan yang penting di dalam usaha menentukan hala tuju sebuah tamadun. Sejarah Malaysia adalah di antara lembaran Tarikh yang berhajatkan kepada usaha seperti ini. Setakat ini kita masih belum mampu mengolah sejarah negara kita sehingga ia berpotensi menjadi wadah kebangkitan ummah.

Membahas persoalan bagaimana hubungan Alam Melayu dan Turki itu terbentuk adalah salah satu daripada marhalah penting ke arah yang telah disebutkan sebentar tadi. Kedua-dua alam ini sebenarnya membentuk satu pertiga dari komuniti umat Islam dan sebarang catatan yang membabitkan isu ini mesti diolah dengan disiplin akademik yang sihat.

Di sana terdapat beberapa tulisan yang telah menyentuh tajuk ini sama ada secara langsung atau pun sebaliknya. Mungkin kita boleh meluangkan sedikit masa meneliti tulisan Snouck Hurgronje, Anthony Reid, Za’ba, Mehmet Ozay dan beberapa tulisan lain yang diusahakan oleh pengkaji sejarah Malaysia dan Indonesia. Namun begitu, setakat yang dilihat tulisan-tulisan berkenaan kurang memberikan penekanan terhadap Islam dan peranan yang dimainkannya di dalam isu berkenaan.

Ia lebih menjurus ke arah mencatat perjalanan politik tempatan (berdasarkan ideologi penulis itu sendiri) dan ada kalanya bercampur aduk dengan fakta-fakta melampau yang diragui kesahihannya.

Walau bagaimanapun, penulis tidak dapat menjanjikan sesuatu yang baru dan luar biasa menerusi artikel ini kerana beberapa masalah. Antaranya seperti yang biasa dihadapi oleh mereka yang cuba mengkaji sejarah Daulah Othmaniah, kita terpaksa berhadapan dengan sumber-sumber asli berbentu manuskrip, akhbar-akhbar dan karangan yang belum disaring antara yang sahih dan sebaliknya. Keduanya, artikel ini ditulis jauh dari pusat di mana sumber-sumber asli itu boleh dperolehi. Kebanyakan masdar yang berkaitan terdapat di beberapa buah perpustakaan di London, Perpustakaan Kongres di Washington dan pusat terdekat yang sempat dilawati hanyalah Perpustakaan IRCICA di Istana Yildiz, Istanbul. Banyak cacatan adalah berpandukan kepada buku Islamic Identity And Development: Studies of the Islamic Periphery oleh Mehmet Ozay (1992, ISBN 0-415-04386-7). Akan tetapi, dengan berpandukan rujukan oleh beliau, penulis cuba mendapatkan sendiri bahan-bahan berkenaan bagi memperkembangkan lagi tajuk untuk memberikan penekanan kepada aspek-aspek yang kurang disentuh oleh Mehmet Ozay. Oleh yang demikian, penulis berharap agar artikel ini dipandang sebagai pengenalan dan kemudiannya menggalakkan pembaca mengkaji sendiri secara lebih ilmi dan berakademik.

TURKI – MENGENAL PASTI IDENTITINYA

Menentukan siapakah yang dimaksudkan dengan bangsa Turki itu bukanlah satu perkara yang mudah. Namun begitu secara ringkasnya bolehlah kita catatkan seperti berikut:

Bangsa Turki merujuk kepada sekumpulan kaum Nomad yang menghuni Gunung Altai di Utara Mongolia dan dataran Asia Tengah. Mereka bertutur di dalam Bahasa Turki yang berasal dari rumpun Bahasa Ural-Altaic yang menjangkau bilangan lebih daripada 200 juta orang penutur pada hari ini. Bangsa Turki kini boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu Turki Timur dan Turki Barat (1). Turki Timur meliputi kaum Turki dan pecahan-pecahannya di China, Asia Tengah, Iran dan bangsa Caucas Rusia. Manakala Turki Barat pula terdiri daripada penduduk Republik Turki hari ini, di Balkan dan sekumpulan kecil penduduk Cyprus.

MENYUSUN AGENDA PERBINCANGAN

Hubungan antara kedua-dua alam ini telah pun bermula semenjak kurun ke 13M. Ia terus berlangsung sehinggalah ke era Perang Dunia Pertama dan seterusnya memainkan peranan yang tersendiri di dalam design politik Malaysia yang akan dibincangkan kemudian (2). Oleh yang demikian, kita akan membahagikan peringkat kelangsungan hubungan ini kepada tiga marhalah utama iaitu hubungan klasik awal, era Perang Dunia Pertama dan seterusnya zaman berakhirnya Khilafah Othmaniah dan pembentukan Republik Turki oleh Ataturk.

PERINGKAT PERTAMA – HUBUNGAN KLASIK AWAL

Ramai pengkaji sejarah cuba mengemukakan beberapa teori ke arah membuktikan bagaimana Islam itu sampai ke Kepulauan Melayu. Di antara teori yang masyhur adalah Teori Pedagang Arab yang dikemukakan oleh Snouck Hurgronje. Beliau menceritakan bagaimana askar Belanda telah memasuki wilayah Pasai dan menjumpai batu nesan bertulis Arab yang terdiri daripada ayat-ayat Al-Quran dan nama tokoh cendiakawan dari Sumatera Pasai. Antaranya ialah (3):

  1. Nesan Pangeran Abbasiah Abdullah bin Muhammad bin Abd al-Kadir bin Abdul Aziz bin al-Mansur Abu Ja’far al-Abbasi al-Muntasir Billah – Amir al-Mu’minin Khalifah Rabbal ‘Alamin – mangkat Disember 1407.
  2. Mangkat 1408, Ibn as-Sultan Zain al-Abidin bin as-Sultan Ahmad bin as- Sultan Muhammad bin Salih. Beliau merujuk kepada asal usul kewujudan beberapa perkampungan Arab di Indonesia yang membuktikan perkara yang sama.

Namun demikian, teori tersebut tidak mampu memberikan keyakinan yang penuh kepada kita apabila persoalan bagaimana Islam itu tiba, siapakah pendakwah itu, dan seterusnya bagaimana Islam itu mampu kekal, tersebar dan menjadi darah daging masyarakat Kepulauan Melayu khususnya penduduk kawasan persisiran pantai – dibangkitkan. Selepas penguasaan Portugis di Melaka pada tahun 1511, Kristian menemui kegagalan untuk bersaing dengan Islam sedangkan jika kita berpegang kepada teori Snouck Hurgronje tadi, sepatutnya Kristian mampu mengambil tempat Islam bahkan usaha mereka lebih tersusun dan bertanzim. Apatah lagi, kita meyakini bahawa kedatangan Portugis dan Belanda ke Kepulauan Melayu bukanlah semata- mata didorong oleh keinginan mereka menguasai pasaran rempah bahkan lebih daripada itu melangsungkan misi Kristianisasi dan membawa panji Perang Salib ke rantau tersebut (4).

Kajian semasa yang dibuat oleh pengkaji barat menyimpulkan bahawa gerakan Kristianisasi menemui kegagalan kerana mubaligh mereka menggunakan kekerasan dan paksaan sedangkan pendakwah Islam terus beriltizam dengan uslub yang berhemah melalui dakwah dan hubungan sosial yang sihat (5).

Gerakan Dakwah Islamiah di Asia Tenggara mencapai kemuncaknya pada kurun ke- 13M. Pengaruh Islam terus menuju ke Kepulauan Melayu dari Benua Kecil India yang pada masa itu berada di bawah pemerintahan Kerajaan Mogul-Turki. Para Masyaikh dan ahli sufi menjadi tenaga penggerak utama membentuk tarikat, bergaul dengan masyarakat tempatan dan berkahwin campur semata-mata untuk menyebarkan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam. Ajaran mereka ini berjaya tampil sebagai suatu misi yang menyokong kemajuan, bertoleransi dan seterusnya ‘mempunyai masa depan yang cerah dan boleh diharapkan’ di kalangan rakyat tempatan. Islam juga berjaya membebaskan masyarakat tempatan daripada perhambaan dan pengeksploitasian tenaga manusia yang mana menjadi igauan buruk penduduk Kepulauan Melayu pada masa itu.

Berbalik kepada persoalan utama kita tadi, siapakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Masyaikh dan ahli sufi itu tadi? Di sana terdapat beberapa bukti yang memahamkan kepada kita tentang penglibatan orang Turki dan seterusnya menjawab persoalan itu tadi. Seorang pengkaji sejarah Perancis pada kurun ke-18 telah menyebut:

Thus this religion (i.e. Islam) which has nothing very disgustful in it, establishing itself by degrees in sundry places, and because yet more powerful when some Moors or Arabians, who were raised to the first employments in the court of Cambaya and Guzerat, drew thither a great number of the Asian Turks, called Rumis, some of whom made themselves masters of some ports, as Melique Az, who made a considerable settlement at Din, where he was long time troublesome to the Portuguese. From the continent they passed to the Molucca Island, where they converted their kinds of Tidor and Ternate to their religion (6).

Orang Rumi yang disebutkan di dalam petikan di atas adalah orang Turki Othmani. Begitu juga, secara tradisinya, Sultan Othmani dikenali di kalangan penduduk Kepulauan Melayu sebagai Raja Rum7. Manakala pada tahun 1511, Melaka telah jatuh ke tangan Portugis. Sepanjang kurun ke-16 dan 17, pemerintah Daulah Othmaniah telah beberapa kali cuba menghantar bantuan ketenteraan tetapi gagal.

Kedudukan Acheh sebagai Serambi Mekah dan tumpuan laluan Selat Melaka menggantikan Melaka telah membawanya kepada penglibatan yang lebih besar dengan kuasa pemerintah di Asia Barat. Sultan Ala’ ad-Din Riwayat Shah al-Kahar (1537-71) telah memulakan langkah secara rasmi memohon bantuan ketenteraan daripada Daulah Othmaniah yang pada masa itu berada di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman al-Kanuni. Hal seumpama ini dapat dibuktikan berdasarkan kepada lambang merah Kerajaan Othmaniah yang digunakan oleh Sultan. Begitu juga dengan meriam Lada Setjupak yang berfungsi sebagai pertahanan kepada kubu dalaman kerajaan Acheh yang diberikan oleh pemerintah Othmaniah melalui Dutanya. Acheh juga menawarkan penghormatan tahunan berupa ufti yang biasa diamalkan di dalam politik serantau Kepulauan Melayu tetapi ditolak oleh pemerintah Othmaniah memandakan kedudukan geografi Acheh yang begitu jauh (8).

Hubungan akrab di antara Acheh dan Daulah Othmaniah telah berperanan mempertahankan kemerdekaannya selama lebih 300 tahun. Setiap kali Eropah cuba mengancam Acheh, maka hubungan antara kedua belah pihak itu tadi kembali hangat dan diperbaharui ‘roh dan semangatnya’. Pada tahun 1850, perlindungan Othmani kepada Acheh ini telah disahkan semula di dalam dua Ferman yang dikeluarkan oleh Sultan Abdul Majid. Akan tetapi ia tidak didedahkan kepada umum sebagaimana yang biasa dibuat mengikut disiplin diplomatik kuasa-kuasa Eropah. Perlindungan Othmani kepada Acheh ketika berhadapan dengan serangan Belanda terakam di dalam 65 catatan di Acheh yang kemudiannya sampai kepada catatan wakil Belanda di Istanbul pada tahun 1869. Berita ini mendesak pemerintah Belanda supaya memberikan tumpuan yang lebih serius terhadap segala permasalahan yang timbul khususnya yang membabitkan hubungan Acheh – Othmani (9).

...Pada tahun 1850, perlindungan Othmani kepada Acheh ini telah disahkan semula di dalam dua Ferman yang dikeluarkan oleh Sultan Abdul Majid. Akan tetapi ia tidak didedahkan kepada umum sebagaimana yang biasa dibuat mengikut disiplin diplomatik kuasa- kuasa Eropah…

Ekoran daripada itu, pemerintah Acheh telah menghantar wakilnya Abdul Rahman az-Zahir ke Istanbul bagi mendapatkan bantuan Khalifah. Peribadi Abdul Rahman tercatat di dalam media massa Istanbul pada masa itu yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang dianugerahkan dengan kecerdikan yang luar biasa dan penampilan minda yang mengagumkan (10). Beliau telah belayar dari Pulau Pinang ke Istanbul bersama Nyak Abas, seorang pengusaha tanaman lada hitam. Bersama mereka adalah surat Sultan Mahmud sebagai bukti terhadap keakraban hubungan Acheh – Istanbul dan mereka tiba di ibu kota Daulah Othmaniah itu pada 27 April 1873.

Sepanjang tahun 1869 – 1873, masalah Acheh menjadi isu utama di dalam polisi luar Daulah Othmaniah. Midhat Paşa telah menjadikan isu Acheh sebagai modal beliau ke arah memperbaiki imejnya yang terjejas ekoran kegagalan beliau melaksanakan tugas sebagai Menteri Utama di dalam kabinet Istanbul. Pada tahun 1568, Acheh telah melancarkan serangan besar-besaran ke Melaka bersama 20 ribu askar yang mana 400 daripadanya adalah orang Turki tetapi terpaksa akur kepada kekuatan pertahanan Portugis lantas sekali lagi menemui kegagalan (11).

Dalam pada itu, media massa di Istanbul terus memainkan peranan menarik perhatian masyarakat tempatan kepada isu Acheh. Basiret, akhbar harian utama di Istanbul pada ketika itu menyeru supaya armada Othmani dihantar ke Sumatera12. Walaupun pada masa tersebut pelbagai ikhtiar secara diplomatik diusahakan oleh pemerintah Othmani, kerajaannya sendiri sudah terlalu lemah untuk menyelamatkan Acheh sebagaimana yang dilakukan pada masa-masa sebelumnya.

Akan tetapi, umat Islam di Indonesia dan di Malaysia terus menaruh harapan agar pemerintah Othmani berusaha membebaskan mereka daripada cengkaman pemerintah Belanda dan Inggeris. Sultan Pahang juga pernah cuba membuat hubungan dengan kerajaan Othmaniah dan tidak setakat itu, terdapat juga beberapa usaha menegakkan pemerintahan Islam di Kelantan dan Patani supaya dapat kemudiannya bernaung di bawah pemerintahan Daulah Othmaniah. Mungkin kita boleh menilai catatan yang dibuat oleh ahli kapal Ertuğul yang diutus oleh kerajaan Othmaniah ke Jepun pada sekitar tahun 1888-89. Melalui Suez mereka telah singgah di beberapa buah pelabuhan seperti Aden, Bombay, Ceylon, Singapura, Saigon dan Hong Kong. Ahli kapal tersebut telah naik ke darat untuk bersolat Jumaat dan apa yang mengejutkan ialah apabila mereka mendapati nama Sultan Abdul Hamid II disebut di dalam doa Khutbah Jumaat13. Raja Selangor pada masa itu juga telah menulis surat untuk diserahkan kepada rombongan berkenaan sebagai usaha baginda mendapatkan bantuan daripada Khalifah Othmani tetapi tidak berjaya apabila rombingan tersebut berlepas lebih awal daripada yang dijadualkan.

PERINGKAT KEDUA – DI AMBANG PERANG DUNIA PERTAMA: PAN-ISLAM DI ALAM MELAYU

Pan-Islam adalah rencana Sultan Abdul Hamid II yang membingungkan kuasa barat. Snouck Hurgronje menyifatkan kegiatan Pan-Islam ini sebagai tindakan yang berbahaya tetapi sia-sia (14). Walau bagaimanapun, impian Sultan Abdul Hamid II menyatukan umat Islam di bawah panji-panji Khilafah Othmaniah ini perlu diulas secara terpeinci kerana ia telah membuka lembaran baru kepada hubungan alam Melayu-Turki bagi marhalah kedua.

Pan-Islam terus menjadi sebab yang mendorong kepada kebimbangan kuasa kolonial Inggeris dan Belanda di Kepulauan Melayu. Sebagaimana yang telah disebutkan tadi, Sultan Othmani dihormati secara tradisi di kalangan umat Islam di Kepulauan Melayu. Sultan Abdul Hamid II yang menjadi harapan terakhir umat Islam dianggap sebagai ‘God’s Shadow On Earth’. Baginda memandang bahawa umat Islam tidak akan mampu berhadapan dengan Barat kecuali mereka bersatu di bawah bendera Khilafah. Lantas baginda telah menghantar ribuan duat ke seluruh dunia di mana adanya umat Islam bagi menyampaikan mesej risalah Pan-Islamnya.

Walau bagaimanapun, gerakan Pan-Islam di Timur Tengah sudah banyak ditulis. Akan tetapi kesan dan pengaruh rencana besar ini terhadap umat Islam di Kepulauan Melayu masih kurang mendapat tempat di gelanggang penulisan sejarah masyarakat kita, atau kurang didedahkan kepada pembacaan umum. Di sana terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku di Malaysia dan Indonesia hasil seruan Sultan Abdul Hamid II tetapi kebanyakannya tersimpan tanpa perhatian… atau disembunyikan atas sebab-sebab yang maklum.

Sebagaimana yang tercatat, Konsul Othmani di Jawa, Sadik Bey cuba mempertahankan hak umat Islam yang dizalimi oleh pemerintah Belanda (15). Begitu juga Duta pemerintah Othmani di Batavia, Muhammad Kamil Bey (1897-99). Beliau telah banyak melancarkan gerakan Pan-Islam Sultan Abdul Hamid II di Kepulauan Melayu dan sebagai natijah yang sesuai dengan gerakan tersebut, beliau telah diusir oleh Belanda kerana mencetuskan kebangkitan umat Islam di rantau berkenaan (16). Akan tetapi, kegiatannya itu telah berjaya menarik perhatian umum di Istanbul supaya menyedari tentang ketidak adilan penjajahan kuasa Kolonial di Asia Tenggara. Manakala dari sudut yang lain pula, kegiatannya telah menimbulkan sensitiviti orang Melayu terhadap aliran baru pembaharuan dan nasionalisma yang wujud di Timur Tengah. Semenjak tahun 1897, akhbar-akhbar Istanbul seperti Idkam dan Al-Malumat, Thamarat al-Funun di Beirut dan beberapa akhbar di Mesir mengadakan hubungan kewartawanan dengan Batavia dan Singapura. Pelbagai berita disiarkan di akhbar- akhbar berkenaan menceritakan tentang kekejaman Inggeris dan Belanda di rantau tersebut (17).

Senario ini telah menimbulkan kesan yang nyata kepada pemikiran orang Melayu dan kemudiannya mencetuskan marhalah baru di dalam perkembangan ideologi orang Melayu dengan terbentuknya dua haluan yang dikenali sebagai Kaum Tua dan Kaum Muda (18). Sebuah lagi catatan penting ekoran daripada gerakan Pan-Islam Sultan Abdul Hamid II adalah tercetusnya Dahagi Singapura pada tahun 1915. Sehingga pada hari ini, sebab sebenar yang mencetuskan Dahagi tersebut masih belum didedahkan kepada umum kecuali dengan beberapa andaian yang berhasil semenjak beberapa tahun yang lalu. Ini berikutan daripada polisi Britain sendiri yang merahsiakan perkara tersebut. Dahagi ini sebenarnya bermula ekoran daripada bantahan askar India dan Melayu Muslim daripada dihantar ke Timur Tengah bagi menyertai tentera Arab menentang pemerintahan Khilafah Othmaniah semasa Revolusi Arab 1916.

Cubalah kita renungkan bagaimana kedudukan kita di mata Inggeris. Di manakah munasabahnya untuk kita ini dihantar menyertai Revolusi Arab yang sudah mabuk Asabiah itu (walaupun kita akur dengan kecacatan yang tidak sedikit di dalam pemerintahan Khilafah Othmaniah pada akhir zaman penguasaannya) (19)? Kassim Ali Mansoor adalah individu penting yang memainkan peranan di sebalik Dahagi tersebut.

Beliau mengetuai gerakan menentang tindakan cabul Inggeris itu dan kemudiannya dihukum gantung atas tuduhan memiliki satu salinan surat yang telah dihantar kepada anaknya sebagai utusan peribadi kepada Konsul Kehormat Othmani di Rangoon. Inggeris sememangnya bimbang terhadap potensi natijah yang bakal dicetuskan oleh Dahagi ini sehingga mereka tidak pernah menjelaskan sebab sebenar kepada insiden tersebut (20).

PERINGKAT KETIGA – KEJATUHAN KHILAFAH DAN KEMALISMA

Daulah Othmaniah adalah benteng terakhir umat Islam. Sultan Abdul Hamid II pada era pemerintahannya bersendirian di dalam kabinet berhadapn dengan menteri- menteri yang telah kekenyangan dengan teori-teori Barat. Usaha Pan-Islamnya seakan-akan dipersendakan oleh kaca mata Eropah dan menganggapnya sebagai tindak balas The Sick Man of Europe.

Daya tarikan yang mendorong kepada timbulnya perhatian alam Melayu kepada Turki adalah soal Khilafah. Sultan Othmani umumnya diertikan sebagai simbol kepada penyatuan ummah. Pada bacaan politik ketika itu, kuasa dan pengaruh Kerajaan Othmaniah terus bertambah. Walaupun keadaan Daulah Othmaniah pada ketika itu tidak memungkinkannya untuk berhadapan dengan kuasa penjajahan yang mencengkam masyarakat Muslim di Kepulauan Melayu.

Selepas lebih 600 tahun memakmurkan tiga benua dengan Islam, Daulah Othmaniah akhirnya runtuh oleh pertemuan 1001 sebab yang membawa kepada kemusnahannya. Mustafa Kemal Pasha (yang kemudiannya dikenali sebagai Ataturk – Bapa Turki) telah membubarkan Khilafah secara rasmi di Ankara pada bulan April 1924. Pada masa itu, seluruh dunia melahirkan tindak balas yang berbeza antara satu sama lain. Di Kepulauan Melayu sendiri, kesan Revolusi Ataturk lahir di dalam pelbagai bentuk mengikut bacaan masing-masing.

Secara umumnya umat Islam di Malaysia melahirkan rasa simpati mereka terhadap pembubaran Daulah Othmaniah. Bahkan setiap peristiwa yang berturutan ketika itu mendapat perhatian dan simpati umum masyarakat seperti Perang Turki – Rusia pada tahun 1877, Turki – Greece pada tahun 1897, Perang Balkan, Kempen Itali di Libya, Perang Dunia Pertama dan sebagainya. Akhbar-akhbar tempatan, buku-buku dan makalah tentang Perang Kemerdekaan Turki telah diterbitkan dan dibaca secara meluas (21). Di antara koleksi manuskrip perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), terdapat manuskrip sebanyak 7 keping bertajuk “Hikayat Cerita Sultan Istanbul Tatkala Berperang Dengan Radja Moskou”.

…Di Kepulauan Melayu sendiri, kesan Revolusi Ataturk lahir di dalam pelbagai bentuk mengikut bacaan masing- masing…

Kaum Tua di Tanah Melayu menganggap Ataturk sebagai pengkhianat agama. Tetapi dari sudut yang lain, pemikiran dan ideologinya telah dimanfaatkan oleh segolongan yang lain di Alam Melayu. Ramai pemimpin Malaya dan Indonesia seperti Sukarno telah mengkaji gerakan Kemalisma dan dasar reformasi sekularnya lantas mencorakkan kegiatan politik mereka berdasarkan corak Mustafa Kemal Ataturk (22). Sepanjang tahun 1920an dan 30an, beberapa buah buku di Malaya telah diterbitkan khusus membicarakan tentang Revolusi Ataturk. ‘Turki dan Mustafa Kemal Ataturk’ menceritakan tentang sejarah gerakan reformasi ini. ‘Turki dan Tamaddunnya’ pula mengkaji gerakan ini secara terpeinci. Terdapat juga buku yang menceritakan dalam bentuk biografi khusus tentang Ataturk seperti ‘Kitab Mustafa Kemal’. Begitu juga dengan akhbar-akhbar dan majalah berkala seperti ‘Idaran Zaman’ dan ‘Saudara’ yang memberikan laporan secara meluas tentang Revolusi Kemalisma tersebut (23).

Walau bagaimanapun kita membaca kesan ini dengan kaca mata yang berbeza. Agak menyedihkan apabila fahaman sekular menutup pertimbangan kebanyakan umat Islam ketika itu. Gerakan menentang penjajahan kuasa luar tidak digerakkan secara sihat dan apa yang berlaku hanyalah kemusnahan roh Islam di kalangan umat Islam yang lupa kepada agamanya.

Sebagaimana yang telah disebutkan sebentar tadi, Revolusi Ataturk telah membungakan semangat nasionalisma di kalangan orang Melayu – Turki. Turutan daripada itu, pada tahun 1946, pengaruh ini telah mendorong kepada pembentukan sebuah ‘parti sekular dan progresif’ yang bersifat ala-Turki iaitu UMNO di bawah kepimpinan Dato’ Onn yang juga berketurunan Turki (24).

Peranan yang dimainkan oleh kepimpinan Dato’ Onn di dalam gerakan nasionalisma Malaya telah membuka satu lagi lembaran baru kepada hubungan Melayu – Turki. Seperti yang kita sedia maklum, Sultan-sultan di Tanah Melayu mempunyai hubungan yang tersendiri dengan Daulah Othmaniah. Akan tetapi, pertalian yang ditunjukkan oleh House of Johore lebih menonjol dan meninggalkan kesan hingga ke hari ini.

Pada pertengahan 1860an, Sultan Abu Bakar dalam rangka lawatannya ke Eropah telah berkesempatan melawat Khalifah di Istanbul. Sebagai tanda ke atas hubungan baik kedua belah pihak, baginda telah dikurniakan dengan seorang Lady in Waiting bernama Rugayyah Hanum, berketurunan Circassian. Sebaik sahaja tiba di Johor, Rugayyah Hanum telah berkahwin dengan Ungku Abdul Majid dan mendapat tiga orang cahaya mata. Salah seorang daripadanya adalah Ungku Abdul Hamid, ayah kepada Ungku Abdul Aziz, bekas Naib Canselor Universiti Malaya.

Selepas kematian Ungku Abdul Majid, Rugayyah Hanum telah berkahwin dengan Dato’ Jaafar, seorang orang kebanyakan dan mendapat anak seramai tujuh orang. Salah seorang daripadanya ialah Dato’ Onn yang mengasaskan UMNO dan anaknya Tun Hussein merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga. Selepas daripada itu, Rugayyah Hanum berkahwin pula dengan seorang ahli perniagaan berketurunan Arab Yaman bernama Abdullah al-Attas dan mendapat seorang cahaya mata bernama Ali al-Attas. Beliau pula mempunyai tiga orang anak lelaki dan salah seorang daripada mereka ialah seorang ahli sosiologi yang terkenal bernama Huseein al-Attas dan adiknya Naquib al-Attas pula adalah juga seorang tokoh yang terkenal di negara kita (25).

KESIMPULAN

Hubungan Alam Melayu – Turki adalah hubungan klasik yang penuh dengan catatan penting jika kita membalikkan bacaan kepada kedudukan Malaysia di dalam persoalan Khilafah dan pengalaman hidup di dalam pemerintahan Islam. Persepsi bahawa seruan ke arah mengembalikan pemerintahan Islam di Alam Melayu sebagai sesuatu yang janggal dan asing, mesti diperbetulkan. Kita telah mempunyai siri pengalaman yang panjang dan pembinaan masa hadapan tidak boleh mengenepikan aspek penting sejarah ini.

Di sana masih terdapat banyak riwayat yang penting lagi menarik tetapi tidak dicatatkan di sini memandangkan kesahihannya masih belum dapat ditentukan. Sebahagiannya berkisar kepada kebangkitan Islam di penjuru-penjuru Tanah Melayu semasa pemerintahan Inggeris dan sebahagian yang lain pula menyentuh tindak balas masyarakat Timur Tengah khususnya di ibu kota Ummah, Istanbul. Penulis mencadangkan agar pembaca dapat bersama mencari sebanyak mungkin cacatan berharga tersebut. Semoga pendedahan ini memberikan manfaat kepada kita semua.

“I am sure that the historians will vindicate me, and even if the Turkish historians do not do so, I am certain that some foreign historians will do me justice” – Sultan Abdul Hamid II at Salonika.

Hasrizal Abdul Jamil
Universiti Mu’tah, Jordan 1996.

(Artikel ini telah diterbitkan oleh Majalah Suara Kampus Edisi Johor [SUKEJ], Kaherah, Jun 1996)

NOTA KAKI

  1. Czaplika, M.A. (1918), The Turks of Central Asia, Oxford: Clarendon Press.
  2. Ozay, Mehmet (1992), Islamic Identity And Development, London: Rutledge, m.s. 23.
  3. Hurgronje, Snouck (1994), Kumpulan Karangan Snouck Hurgronje jilid IX, Jakarta: INIS.
  4. Fatimi, S.Q. (1963), Islam Comes to Malaysia, Singapore: Malaysian Sociological Research Institute, m.s. 80-90. 
  5. Ozay, Mehmet (1992), m.s. 24
  6. Fatimi, S.Q., m.s 81
  7. Hurgronje, Snouck (1906), The Achenese (2 Jilid), Leyden: Brill.
  8. Reid, Anthony (1969), The Contest of North Sumatra, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, m.s. 3
  9. Ibid, m.s 65 – 66
  10. Ibid, m.s. 119
  11. Wahid, Zainal Abidin (1980), Glimpse of Malaysian History, Kuala Lumpur: DBP, m.s. 38. 
  12. Reid, Anthony (1969), ‘Indonesian Diplomacy: a documentary study of Atjehnese foreign policy in the reign of Sultan Mahmud 1870-1874’, Journal of the Malay Branch of the Royal Asiatic Society (JAMBRAS), jilid 42, bahagian 2, m.s. 121
  13. Landau, Jacob M (1994), ‘The Politics of Pan-Islam: Ideology and Organization, Oxford: Clarendon Press, m.s. 43
  14. Hurgronje, Snouck (1994), Kumpulan Karangan Snouck Hurgronje jilid IX, Jakarta: INIS, m.s 102.
  15. Lihat E. Kuran, Pan Islamizm’In Dogusu… m.s. 399 (dicatat oleh Mehmet Ozay)
  16. Landau, Jacob M (1994), m.s. 43 
  17. Ozay, Mehmet (1992) m.s. 26-27
  18. Roff, William R. (1967), The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, fasal ke-3. 
  19. Harper, R.W.E. dan Miller, Harry (1984) Singapore Mutiny, Singapore: Oxford University Press.
  20. Ozay, Mehmet (1992) m.s 27
  21. Za’ba (1939) ‘A History of Malay Literature XIV: modern developments’, Journal of the Malay Branch of The Royal Asiatic Society, December.
  22. Milner, A.C (1986), ‘ The Impact of the Turkish Revolution on Malaya, Archipel 31, Paris
  23. Ozay, Mehmet (1992) m.s 28
  24. Ibid m.s. 28. Lihat juga Milner, A.C. (1986) m.s 124 – 127
  25. Ibid.

BACAAN ILMIAH CADANGAN:

  1. The Myth and Reality of Rukiye Hanim in the Context of Turkish Malay Relations (1864-1904) oleh Mehmet Ozay dan Ekrem Saltık. [muat turun di sini]
  2. Ottoman Connections to the Malay World oleh Saim Kayadibi:

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Subhanallah.. Amazing and I think, it is a very important matter that needs to be dug in further.
    Lebih penting, hasil penyelidikan perlu disebar luaskan kepada masyarakat hari ini, yang semakin hari semakin kehilangan identiti diri.

    Apa kata ustaz teruskan perjuangan penyelidikan ini? 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.