Perbezaan Tiga Istilah Besar di Dalam Isu Palestin: Israel, Yahudi & Zionis

Jika kita lihat daripada perspektif al Quran, Allah Subhanahu Wa Taala membezakan di antara istilah Bani Israel dan Yahudi. Bani Israel atau pun anak cucu keturunan Israel merujuk kepada Nabi Ya’qub alaihi salam yang juga dinamakan sebagai Israel.

Asas pada memahami istilah Israel sebagai merujuk kepada Nabi Ya’qub alayhi salam boleh dilihat daripada beberapa ayat al Quran misalnya di dalam surah Ali Imran ayat yang ke-93, Allah Subhanahu Wa Taala menyebut:

۞ كُلُّ ٱلطَّعَامِ كَانَ حِلًّۭا لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرَٰٓءِيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِۦ مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّوْرَىٰةُ ۗ قُلْ فَأْتُوا۟ بِٱلتَّوْرَىٰةِ فَٱتْلُوهَآ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ٩٣

yang bermaksud:

semua makanan adalah halal untuk Bani Israel kecuali apa yang diharamkan oleh Israel ke atas dirinya sendiri sebelum daripada turunnya al-Taurah. Katakanlah hadirkan kitab Taurat itu, bacalah ia jika kamu orang orang yang benar.”

Penjelasan mengenai ayat ini terdapat di dalam riwayat yang dibawakan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad daripada Ibnu Abbas radiallahu ‘anhuma yang menceritakan tentang perdebatan yang berlaku di antara Rasulullah, Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam dengan sekumpulan Yahudi yang datang kepadanya bertanya tentang beberapa soalan berkaitan dengan Nabi Ya’qub alaihi salam.

Dan daripada riwayat itulah dijelaskan kisahnya bagaimana Ya’qub alaihi salam jatuh sakit dan kesembuhannya oleh Allah Subhanahu wa Taala daripada penyakit itu membawa kepada Nabi Ya’qub mengharamkan ke atas dirinya, makanan yang paling baginda suka dan minuman yang paling baginda suka iaitu daging unta dan susu unta.

Kisahnya panjang. Tetapi apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah “Bani Israel”, istilah yang digunakan di dalam al Quran merujuk kepada keturunan Nabi Ya’qub alayhi al-salam, Nabi Ya’qub adalah merupakan anak kepada Nabi Ishak yang juga merupakan anak kepada Nabi Ibrahim, alayhim al-solat wa al-salam. Nabi Ya’qub adalah cucu kepada Nabi Ibrahim. Nabi Ya’qub dilahirkan ketika hayat Nabi Ibrahim. Dalam erti kata yang lain, Nabi Ibrahim telah dikurniakan dengan dua nikmat yang besar di hujung hayat Baginda, memperolehi zuriat Ismail, Ishak dan juga cucunya, anak kepada Ishak iaitu Ya’qub alaihi al-salam.

PERBEZAAN KONTEKS

Terdapat konteks yang berbeza dari segi penggunaan istilah Bani Israel dengan Yahudi. Jika dihimpunkan ayat ayat al Quran, kita akan dapati bahawa istilah Bani Israel digunakan untuk merujuk kepada dialog, perbincangan, pertanyaan yang diajukan kepada mereka yang mengimani ajaran warisan daripada syariat yang terdahulu sebelum daripada berlakunya hijrah Nabi sallaLlahu alaihi wasallam ke Madinah.

Mengapakah hijrah menjadi peristiwa yang penting pada membezakan konteks di antara penggunaan istilah Bani Israel dengan Yahudi? Ini adalah kerana selepas daripada berlakunya hijrah baginda, bermulanya era konfrontasi di antara umat Islam dengan orang orang Yahudi yang secara nyata ataupun formal melakukan penentangan kepada baginda sallallahu alaihi wasallam.

Bani Israel itu, ada kelunakan pada istilahnya merujuk kepada ahli kitab dan bertujuan untuk mengajak mereka ini mengingati kembali apa yang Allah perintahkan kepada mereka ajaran ajaran yang telah disampaikan melalui Rasul Rasul yang diutuskan daripada keturunan mereka sendiri kepada mereka. Tetapi bila berlakunya hijrah, apabila telah nyata kepada mereka bahawa nabi akhir zaman itu bukan lagi daripada kelompok mereka, susur galur Nabi Ya’qub dan juga Nabi Ishak, tetapi daripada susur galur Ismail alayhi al-salam, penentangan telah dilakukan secara terbuka.

Walaupun di peringkat awal baginda sallallahu alaihi wasallam mengambil pendekatan damai pada mewujudkan perjanjian untuk saling memikul tanggungjawab untuk menjaga keamanan masyarakat di Madinah ketika itu, namun Bani Israel ini yang berada di Madinah pada masa tersebut telah mengambil sikap untuk menentang, mengkhianati dan mengenakan pelbagai bentuk kemudaratan. Dan selepas itulah lebih ketara di dalam al Quran, istilah istilah yang diguna pakai merujuk kepada “al-Yahud” ataupun Yahudi dan tidak lagi kepada Bani Israel.

KONOTASI

Jika konteks ini diambil kira, ia menggambarkan bahawa Bani Israel dan Yahudi itu mempunyai dua konotasi yang berlainan. Bani Israel menimbulkan hubungan di antara mereka dengan syariat yang terdahulu, dinisbahkan kepada Rasul yang terpuji dan mulia iaitu Nabi Ya’qub alaihi Salam. Tetapi al-Yahud ataupun Yahudi adalah istilah yang diguna pakai untuk merujuk kepada golongan yang sama tetapi golongan yang bertindak untuk melakukan penentangan, permusuhan kepada umat Islam dan juga dunia sejagat.

Itu adalah apa yang kita boleh rumuskan daripada konteks al Quran terhadap penggunaan istilah Yahudi dan Bani Israel. Ia diulas antaranya oleh Almarhum Sheikh Salah Abd al-Fattah al-Khalidi di dalam dua naskhah beliau berkaitan dengan isu Palestin iaitu حقائق قرآنية حول القضية الفلسطينية dan juga الشخصية اليهودية من خلال القرآن.

ISTILAH ZIONIS

Pada hari ini pula, kita berdepan dengan satu lagi istilah yang perlu diberikan perhatian iaitu istilah Sohyuni (صهيوني) di dalam bahasa Arab ataupun di dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai Zionis ataupun Zionism. Apakah wujudnya perbezaan di antara Zionism, Yahudi, Jewish ataupun Jews, Judaism, dan juga Israel?

Jika kita berpatah balik kepada kerangka yang dikemukakan oleh Sheikh Solah di dalam dua buku yang saya nyatakan sebentar tadi, beliau menegaskan bahawa penjajah yang menjajah bumi Palestin itu memperalatkan istilah Israel dengan menamakan kerajaannya sebagai kerajaan Israel, medianya sebagai media Israel, dan kekuatan ketenteraannya sebagai kekuatan ketenteraan Israel, dan Sheikh Solah berpendapat bahawa ini adalah penggunaan istilah yang harus ditentang oleh umat Islam kerana tidak layak untuk mereka yang melakukan kerosakan dan jenayah itu menisbahkan diri mereka kepada Ya’kub alaihi salam. Dari perspektif Sheikh Solah, mereka ini adalah merupakan Yahudi, iaitu kelompok yang mengambil pendirian untuk bermusuh dengan umat Islam hinggalah ke akhir zaman.

Walau bagaimanapun, kita perlu peka tentang bagaimanakah kita mendekati topik ini kerana istilah Sohyuni ataupun Zionis itu tadi, tidak secara ketara diperkatakan di dalam karya karya Sheikh Solah. Yahudi dan Zionis adalah dua istilah yang tidak dibezakan. Mereka itu adalah sama sahaja.

IMPLIKASI BEZA YAHUDI VS ZIONIS

Akan tetapi ada implikasi daripada hal itu dalam konteks semasa. Perbezaan itu hanya boleh dikatakan sebagai perbezaan jika kita mengambil kira kerangka yang berbeza dalam pendekatan isu Palestin; sama ada kerangka agama ataupun kerangka sekular. Kerangka agama dan kerangka sekular ini penting kerana ia membezakan di antara pendekatan yang dipakai oleh Fatah berbanding dengan Hamas, kerana Hamas secara ideologinya melihat perjuangan di bumi Palestin itu daripada perspektif agama. Manakala Fatah pula adalah daripada kerangka yang lebih sesuai untuk kita katakan sebagai kerangka sekular. Ini menimbulkan persengketaan yang panjang di antara Hamas dan juga Fatah.

SEJARAH FATAH DAN HAMAS

Dari segi sejarahnya, Fatah telah wujud jauh lebih awal digerakkan oleh pelarian Palestin, diaspora yang berada di Kuwait selepas daripada Nakbah yang berlaku pada tahun 1948, bermula dengan gerakan yang berbentuk ketenteraan tetapi kemudiannya mengubahsuai pendekatan yang diguna pakai kepada yang lebih berdiplomasi, terutamanya selepas daripada Perjanjian Oslo pada awal 1990an. Manakala Hamas pula telah diasaskan oleh Almarhum Syeikh Ahmad Yassin, bersama dengan Abdul Aziz al-Rantisi. Sheikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz al-Rantisi kedua duanya telah terbunuh dengan perbezaan masa beberapa bulan sahaja pada tahun 2004 oleh Zionis yang melakukan serangan halus ke atas mereka pada ketika itu. Serangan itu bagi saya telah memainkan peranan untuk menambahkan populariti dan sokongan Hamas di kalangan masyarakat, so ia adalah strategi yang tidak berhasil atau tidak berkesan, yang dilakukan oleh Zionis ke atas kebangkitan rakyat Palestin.

PERKEMBANGAN HAMAS

Bagi pelajar Malaysia yang berada di Jordan pada era 1990an, mungkin familiar dengan pemikiran, literature yang dibawa oleh Hamas sama ada daripada Palestin ataupun yang diulas, dikupas oleh ilmuan ilmuan yang berada di Jordan pada masa tersebut. Kita juga perlu memahami bahawa Hamas turut mengalami perkembangan dan perubahan dari segi ideologi dan pendekatan mereka. Perseteruan yang meruncing di antara Hamas dan juga Fatah di musim pilihan raya pada tahun 2006, 2007, di Gaza, terutamanya, membawa kepada akhirnya pada tahun 2017, Hamas telah mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa mereka memutuskan hubungan dengan Ikhwanul Muslimin di Mesir, bersetuju untuk menerima negara Palestin berdaulat berasaskan kepada sempadan yang ditetapkan pada tahun 1967, yang menjadikan mereka lebih kurang bersetuju sama dengan Fatah, tetapi bezanya ialah mereka tidak mengiktiraf negara Israel sebagai negara yang sah. Ini memberi kesan yang besar kepada bentuk diplomasi antara mereka dengan kuasa Zionis yang menjajah.

Berbalik kepada topik asal yang kita bincangkan tadi, jika kita tinjau daripada perspektif di luar kerangka ideologi Islam yang dibawa oleh Hamas, maka barulah ada ruang untuk dengan lebih jelas kita bezakan di antara Bani, Israel, Yahudi dan juga Zionis. Zionis disebut di dalam bahasa Arabnya sebagai Al-Sohyuniyyah (الصهيونية) yang merujuk kepada Sohyun, iaitu nama sebuah bukit yang berada di Palestin, Jabal Sohyun, yang menjadi simbol kepada negeri untuk orang orang Yahudi pulang ke negara yang dijanjikan Tuhan kepada mereka.

ZIONIS ITU PERKAUMAN

Gerakan Zionism ini adalah merupakan gerakan yang lahir di tengah tengah kemunculan ideologi nasionalisme yang tersebar di Eropah pada abad yang ke-19, pada membebaskan bangsa bangsa ini daripada kuasa kuasa Empayar Uthmaniah, dan lain lainnya, mereka ini telah memformulasi ideologi Zionis ini pada menggerakkan, sentimen yang boleh diguna pakai untuk mewujudkan entiti negara yang disebut sebagai Israel di Palestin.

Dan semenjak daripada itu, kita mendengar sipi-sipi tentang adanya orang orang Yahudi yang tidak bersetuju dengan idea menubuhkan negara Israel ini. Namun jika saya sendiri pada tahun 1990an di Jordan dahulu, kekurangan maklumat tidak membolehkan dengan mudah untuk saya mengenal pasti siapakah mereka dan apakah usul usul yang mereka bawa pada mengkritik idea penubuhan negara Israel.

Pada hari ini, kita melihat semakin ramai orang orang yang beragama Yahudi menyuarakan penentangan mereka terhadap agenda Zionis yang menjajah bumi Palestin. Mereka bergerak secara sistematik untuk menjelaskan kepada dunia bahawa apa yang dilakukan oleh rejim Zionis di Palestin itu tidak boleh dikaitkan dengan agama mereka, kepercayaan mereka, sebaliknya ia adalah merupakan gerakan politik yang memperalatkan agama Judaism.

Mungkin persoalan membezakan di antara Zionis dan Yahudi tidak begitu ketara kepentingannya di dalam konteks di Palestin. Namun di luar daripada bumi Palestin, perkara ini perlu diberikan perhatian secara khusus kerana kita perlu berlaku adil untuk tidak mengelompokkan orang orang yang beragama Yahudi sebagai golongan yang by default bersetuju dengan apa yang dilakukan di Israel. Malah mereka juga giat bekerjasama dengan gerakan gerakan anti kepada Zionis, bersolidariti dengan penduduk tempatan di lokasi masing masing memperjuangkan hak penduduk Palestin.

Jika kuasa Zionis memperalatkan istilah anti semitism, sebagai istilah yang diguna pakai untuk mengkritik sesiapa sahaja yang cuba mengkritik mereka dalam bentuk ketenteraan, politik dan polisi polisi lain yang menindas penduduk Palestin, khususnya umat Islam, sedangkan kritikan yang dikemukakan itu adalah merupakan kritikan terhadap Zionism, kepada gerakan Sohyuniyyah dan bukannya kepada Yahudi, agama Yahudi yang tidak menjadi asas kepada apa yang dilakukan oleh pengganas di bumi Palestin tersebut.

Hal ini perlu ditegaskan kerana ia merupakan point utama untuk diberikan sebagai satu amaran kepada Amerika Syarikat kepada negara negara Eropah yang melakukan perkara yang sama pada tidak membezakan di antara Hamas dengan penduduk Palestin sebagai juga merupakan sikap yang sama di bawah kategori anti semitism.

ASAS ILMU

Sebagai kesimpulan, akhirnya, apa yang ingin saya tegaskan, oleh kerana isu Palestin ini adalah merupakan isu global dan membabitkan peperangan maklumat, informasi, propaganda, maka sangat penting untuk kita terus dari semasa ke semasa menghalusi penggunaan istilah cara kita memaparkan berita mengulas nya mengambil kira konteks dan pelbagai lagi dimensi lain yang hanya boleh dilakukan jika ada kesungguhan dan keikhlasan dalam diri kita untuk mengasaskan semangat membela Palestin dengan asas ilmu seperti yang dianjurkan oleh agama kita sendiri.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share