Soal Jawab Sambutan Maulid al-Rasul di Dublin

Di dalam ceramah Maulidurrasul di Malaysia Hall, Dublin semalam, ada hadirin yang bertanya kepada saya mengapakah ada sesetengah umat Islam yang mengecam usaha menyambut Maulid al-Rasul dan melabelnya sebagai bid’ah, sedangkan kita dituntut untuk mencintai Nabi kita Nabi Muhammad ﷺ .

Saya faham soalan ini berisiko.

Salah jawab, saya akan dilabel sebagai Wahabi oleh pihak sebelah sini, dan dilabel sufi sesat oleh pihak sebelah sana, dan macam-macam label moden dan tradisional seperti ‘ustaz sampul’, ‘influencer cari pengaruh’ dan macam-macam lagi. Saya tidaklah ‘takut ‘dengan gelaran-gelaran tersebut. Cuma, saya khuatir apabila kita mula melabel, kita tidak lagi melapangkan dada untuk mendengar penjelasan dan memikirkannya. Sedangkan Allah swt memberi ingatan:

“… mereka yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya, mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” (al-Zumar 39: 18).

Saya jelaskan setakat pengetahuan terbatas saya, bahawa kedua-dua belah pihak harus mengutamakan usaha menyatukan umat lillahi ta’ala, dan mencegah daripada saling mengecam antara satu sama lain.

Bagi yang mengecam golongan yang menyambut Maulud Nabi (istilah dahulu), ada beberapa sebab yang boleh kita kumpulkan. Antaranya:

1. Nabi ﷺ tidak menyuruh kita menyambutnya dan para sahabat juga tidak menyambutnya. Sebab itu ia dianggap bid’ah oleh sebahagian umat Islam.

2. Saya jelaskan semalam bahawa peristiwa kelahiran seseorang bukanlah sesuatu yang signifikan untuk direkodkan perincian mengenainya dan disambut di dalam budaya orang Arab di masa berkenaan. Tarikh yang lazim diberi lebih perhatian adalah tarikh kematian seseorang. Bahkan kaedah pentarikhan juga ada sejarahnya.

3. Syair-syair yang dibaca semasa menyambut Maulud Nabi seperti bacaan ‘Marhaban’ dan ‘Berzanji’ biasanya dibaca daripada naskhah Majmu’ah Mauludu Sharif al-Anam itu adalah syair yang mengandungi Sirah kehidupan Nabi Muhammad ﷺ. Antara kandungan utama Majmu’ah ini adalah kitab ‘Iqd al-Jawahir yang ditulis oleh Syekh Jaafar al-Barzanji (hidup antara tahun 1126-1177 H) yang kemudiannya lebih dikenali sebagai Kitab Berzanji atau “Al-Barzanji” bersempena nama tempat asal penulis iaitu daerah Barzanji di kawasan Arkad (Kurdistan). Sejarahnya panjang, dan penting, terutamanya peranan yang dimainkan oleh beliau dan kitab berkenaan pada membangkitkan semangat penduduk Kurdi Muslim menentang penjajah di era kejatuhan Daulah Uthmaniyyah.

4. Cumanya, kandungan syair itu yang merupakan Sirah, ada antaranya berupa fakta yang ditolak oleh disiplin sejarah kerana menyalahi apa kita tahu daripada sumber yang sahih, seperti siapa yang menamakan baginda dengan nama Muhammad, ﷺ dan sebagainya.

5. Ada juga kandungan syair itu yang dianggap pujian ke atas Baginda ﷺ yang melampaui apa yang dibenarkan oleh syara’ dan dikhuatiri membawa kepada syirik.

6. Saya juga jelaskan, untuk naskhah ‘tradisional’ yang saya kenal semenjak kecil semasa masih berada di tanahair dahulu, di bahagian muqaddimah naskhah tersebut (yang rupanya mirip kitab Muqaddam kita belajar mengaji), terdapat komponen yang bermasalah. Saya terjemahkan secara santai kandungan perenggan yang dikatakan bermasalah itu seperti di dalam foto yang sertakan pada hantaran ini. Maaf jika ada terjemahan saya yang silap, dan saya sedia ditegur untuk pembetulan. Di perenggan berkenaan, dinyatakan bahawa semasa membaca Maulid, kita berdiri kerana roh Nabi Muhammad ﷺ hadir ke majlis berkenaan.

Ini antara perkara berat yang mencabar asas akidah kita sebagai umat Islam.

Ini antara sebab mengapa sebahagian umat Islam mengecam mereka yang menyambut Maulid al-Rasul ﷺ terutamanya jika sambutan itu disertai dengan bacaan syair daripada kitab al-Barzanji yang yang seumpama dengannya.

NAMUN…

Pada masa yang sama, mempelajari sirah baginda ﷺ di dalam bentuk syair, sajak dan nasyid, bukanlah sesuatu yang menyalahi agama Islam. Seandainya, hal-hal yang membimbangkan di atas boleh diperbaiki, melantunkan syair untuk menimbulkan kesan emosi (al-wujdan) kepada diri, adalah sesuatu yang baik dan bermanfaat.

Hal inilah yang diulas oleh al-Marhum Said Hawwa misalnya, di dalam buku beliau (كي لا نمضي بعيدا عن احتياجات العصر) di bawah risalah kesembilan yang bertajuk (السيرة بلغة الحب و الشعر) yang bermaksud “Sirah Dengan Menggunakan Bahasa Kasih Sayang dan Syair”.

Sheikh Said Hawwa mengatakan bahawa, apabila datang musim orang menyambut Maulid al-Rasul, ramai umat Islam yang tertanya-tanya tidak adakah majlis tertentu. Bagi beliau, ini satu peluang yang rugi jika disia-siakan kerana tanpa perlu bersusah payah, masyarakat sudah pun semacam bersedia untuk diprogramkan. Maka manfaatkanlah kesediaan itu dengan mengadakan majlis yang bermanfaat dan baik dari segi syara’.

Mereka yang mengecam dan melabel bid’ah, pertimbangkanlah sisi yang Sheikh Said Hawwa sertakan ini, dan fahami sejarah perjalanan umat Islam yang sungguh panjang (1400 tahun, hampir tiga kali ganda lebih panjang berbanding jarak antara era Nabi Isa a.s dengan Nabi Muhammad ﷺ ) untuk memahami mengapa sentimen dan hubungan sebahagian umat Islam dengan hal ini begitu kuat dan akrab.

Manakala yang menyambut Maulid al-Rasul, telitilah beberapa perkara yang disertakan di atas untuk penambah baikan dan pembetulan, dan janganlah pula mereka yang tidak menyambut Maulid al-Rasul dikecam sebagai tidak cintakan Nabi ﷺ atau hati hitam, dalil sahih tapi hati tidak sahih, wahabi dan sebagainya.

TANGGUNGJAWAB DI HADAPAN ALLAH SWT

Setiap Muslim perlu membawa amalan masing-masing di hadapan Allah swt nanti dan takutilah kemuflisan kita dalam semangat beragama dek perbuatan sakit menyakiti sesama umat baginda.

Saya tinggal jauh dari tanahair dan tidak mampu mengawal apa persepsi orang terhadap penerangan ini baik di Malaysia atau di mana jua. Jika hendak label saya wahabi pun, ia bukan perkara baru. Jika hendak label saya sebagai salafi sufi sesat sekali pun, saya tidak kuasa menghalangnya.

Apabila pihak penganjur berhasrat menyertakan sambutan kali ini dengan bacaan selawat , ﷺ Tafrijiyyah, bacaan Nasab Nabi ﷺ dan sebagainya, saya alu-alukan dan menyambutnya dengan baik untuk bersama, sebagai penceramah jemputan.

Sebagai Muslim, Melayu Malaysia diaspora di Ireland, oleh kerana kami tinggal di dalam komuniti yang sudah sedia kecil dan saling memerlukan, pesanan saya ialah elakkanlah persengketaan dan laga melagakan.

Semoga ada serba sedikit manfaat daripada catatan ini, untuk kita memperbaiki diri menjadi hamba Allah swt yang lebih baik, serta umat Nabi Muhammad ﷺ yang Allah utuskan untuk mengajak manusia mentauhidkan Allah dan menyempurnakan kemuliaan sebuah akhlak.

Wallahu a’lam.

Hamba Allah yang berusaha,
Hasrizal Abdul Jamil

Check Also

The Banshees of Inisherin

Saya sudah selesai menonton filem hebat THE BANSHEES OF INISHERIN ini. Filem ini mengisahkan Colm …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.