Foto Dan Video Dari Gaza: Tak Kongsi Maknanya Tak Simpati?

Benarkah jika kita tidak kongsikan foto dan video ngeri daripada medan peperangan di Gaza, di Palestin, bermakna kita tidak prihatin dan simpati kepada saudara-saudara kita yang menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis di sana?

Persoalan ini tidak masuk akal.

Pertamanya, perbincangan yang saya timbulkan beberapa hari yang lalu tidak langsung mempertikaikan kepentingan untuk foto dan juga video disebarkan. Ia penting dan ia adalah apa yang diperjuangkan oleh antaranya wartawan-wartawan yang berani memposisikan diri mereka di tengah-tengah konflik untuk menyampaikan kepada dunia apa yang sedang berlaku.

Fokus kita hanya kepada foto yang grafik, mengerikan, visual budak-budak terbakar, kepala terputus dan yang seumpama dengannya. Kita memikirkan kesannya kepada sesetengah anggota masyarakat. Kita ada hasrat, dan benarkah berkongsi foto dan video sebegitu menyampaikan kita kepada hasrat yang dihajatkan? Jika ada di kalangan anggota masyarakat yang tidak rasa apa-apa, tidak ada masalah. Tetapi perhatian khusus kita adalah kepada kanak-kanak. Kajian-kajian menunjukkan ada kesan yang kita tidak mahu, telah terjadi. Justeru, kita timbulkan perbincangan tempoh hari untuk menjadi panduan.

Ia perbincangan. Bukan untuk menghasilkan fatwa, hitam atau putih, boleh atau tidak boleh.

Saya mendatangkan satu dua riwayat daripada sirah Nabi ï·º . Pastinya ia adalah dalil-dalil yang tidak bercakap secara langsung dengan topik ini kerana di zaman baginda teknologi kamera untuk foto dan video belum ada. Tetapi ada beberapa kejadian yang boleh menjadi panduan untuk kita renungkan bersama dan itu yang saya bawa kepada perbincangan.

Saya juga berharap agar kita tidak secara simplistik menganggap bahawa malang yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin itu adalah berpunca daripada dunia tidak tahu dan tidak nampak apa yang terjadi. Lantas, kita perlu sebarkan sebanyak mungkin, termasuklah foto dan video yang memaparkan visual yang amat mengerikan.

Ia tidak semudah itu.

Sahabat-sahabat jangan lupa:

Pada tahun 1945, seorang jurukamera, Joe O’Donnell telah merakam sekeping foto yang sangat terkenal selepas daripada kejadian pengeboman Hiroshima-Nagasaki oleh Amerika Syarikat ke atas Jepun.

Foto berkenaan yang dikenali sebagai “The Boy Standing by the Crematory” menunjukkan bagaimana seorang budak lelaki berusia sekitar sepuluh tahun menggendong di belakangnya mayat adiknya yang telah meninggal dunia sambil mengertap bibir menunggu giliran untuk mayat adiknya diuruskan. Gambar tersebut – gambar hitam putih – telah mencetuskan perbincangan, perdebatan tentang impak peperangan ke atas manusia terutamanya kanak-kanak pada satu ketika.

Tetapi kalau kita bandingkan foto itu dengan foto dan video yang ada pada hari ini tentang apa yang terjadi di Palestin, ia macam langit dengan bumi. Mengapakah foto dan video yang begitu banyak pada hari ini tidak mencetuskan apa yang telah dicetuskan oleh sekeping foto yang dirakamkan oleh Joe O’Donnell pada tahun 1945?

Pertama, mungkin kita sudah desensitised, sudah terbiasa sangat melihat pelbagai bentuk keganasan, kemalangan, peperangan dan sebagainya, sehingga dunia dah tak rasa apa apa.

Atau pun ada sesuatu yang lebih kompleks daripada itu. Harga nyawa sesetengah manusia sesetengah kanak-kanak tidak sama dengan sesetengah manusia dan kanak-kanak yang lain.

Kita jangan terkejut dengan laporan berita yang begitu jelas terhadap apa yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas Gaza pada hari ini. Di peringkat atasan, penggubal-penggubal dasar, golongan expert, masih lagi berbelah bagi untuk menamakan apa yang dilakukan oleh rejim Zionis ini ke atas Gaza itu sebagai genocide, sebagai ethnic cleansing, dengan alasan-alasan yang berkaitan dengan implikasi perundangan dan sebagainya. Bahawa, untuk membuktikan berlakunya genocide, maka perlu ada bukti-bukti yang boleh menunjukkan thought process pada niat pemimpin-pemimpin tertentu untuk melakukan apa yang dikatakan sebagai genocide. Sesuatu yang terlalu terang dan nyata kepada kita, tetapi berbelit-belit di kalangan orang atasan sana. Bermakna ia sangat kompleks.

Dan kita juga harus ingat bahawa yang sedang menjajah bumi Palestin itu walaupun yang melakukannya adalah Zionis, tetapi mereka tidak bersendirian, mereka tak boleh melakukannya bersendirian. Tetapi di belakangnya ada kuasa-kuasa besar dunia, terutamanya Amerika Syarikat. Cuba kita tanya, sebuah negara yang perkhidmatan kesihatannya yang sangat mahal, sistem pendidikan yang ada banyak masalah, jurang di antara orang kaya dan orang miskin sangat besar, golongan yang tidak ada rumah, homeless, begitu ramai di sebuah negara yang tak sepatutnya ada masalah seperti itu.

Tetapi negara itulah merupakan sebuah negara yang membelanjakan berbilion dolar setahun diberikan kepada sebuah negara lain iaitu Israel. Kenapa orang Amerika merestuinya? Kenapa mereka tidak endah kepada hal ini? Ada pelbagai faktor. Bagaimana kita nak ubah sikap orang Amerika supaya mereka lebih peka dan melakukan sesuatu terhadap kerajaannya yang sangat binari, baik Demokrat mahu pun Republican, kedua-duanya akhirnya sama juga akan pro kepada Zionis di Palestin. Macam mana kita nak buat?

Maka perbincangan tentang video dan juga foto ngeri yang ditimbulkan tempoh hari hanya sekadar panduan untuk kita fikirkan satu dimensi kecil daripada perjuangan yang sangat besar ini, iaitu untuk memastikan pendedahan itu tidak keterlaluan terutamanya terhadap kanak-kanak. Jika kita mahu menimbulkan keinsafan di kalangan anak anak kita, kita mahu mereka bersolidariti dengan Palestin, saya telah sediakan satu video yang panjang lebar menjelaskan strategi-strategi pendidikan tentang bagaimana hal ini boleh dilaksanakan oleh guru di sekolah dan juga ibu bapa di rumah.

Kerana kita kena ingat anak-anak kita macam mana mereka memproses maklumat maklumat ini, anak-anak sekolah rendah, anak-anak sekolah menengah dan kita ada kebimbangan yang besar kerana di usia remaja, kanak-kanak ini, otaknya sedang melakukan beberapa perkara yang berisiko tinggi. Dan jika mereka tidak dibimbing dengan baik, sama ada mendatangkan rasa putus asa, kemurungan, stress ataupun boleh terjebak di dalam kegiatan-kegiatan keganasan, ekstremisme yang kita tidak mahu mereka memilih jalan yang sedemikian rupa.

Jadi perjuangan masih panjang, kerja masih banyak. Apa yang penting ialah bila timbul perbincangan-perbincangan tertentu, bersabarlah dan bertenang. Diamkan seketika, apa yang kita rasa kita dah tahu dan pegang selama ini dan cuba untuk faham apakah yang sedang disampaikan? Mungkinkah perkara yang sama seperti kita dah tahu ataupun ada dimensi lain?

Dan kalau sekiranya akhirnya kita tidak bersetuju sekalipun, kita tidak perlu memaksa untuk apa jua perbincangan, mesti berakhir dengan hanya satu sahaja pendapat dan satu pendapat itulah sahaja yang patut dipegang, selain daripada satu pendapat itu tak cukup islamik, tak cukup berjuang; kita ada masalah akhlak dan berfikir.

Walaupun tidak menimbulkan luka dan darah seperti di Palestin, tetapi masalah itu amat besar. Sukar untuk kita berfungsi sebagai manusia dan khalifah Allah, dan Muslim yang baik jika kita lemah dari segi akhlak dan juga kemampuan untuk berfikir.

Hasrizal Abdul Jamil
palestin.saifulislam.com

​

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.