Penganjuran Malam Malaysia: Perbalahan Yang Menguji Jati Diri

Malam Malaysia atau Malaysian Night adalah acara yang maklum di kalangan komuniti pelajar Malaysia di luar negara, zaman berzaman. Acara tersebut lazimnya dianjurkan oleh persatuan-persatuan yang dianggotai oleh para pelajar Malaysia berbilang bangsa dan agama di lokaliti masing-masing. Pada masa yang sama, dalam dunia mahasiswa dan mahasiswi di luar negara, ada juga persatuan-persatuan pelajar Muslim, sama ada persatuan itu adalah persatuan yang terikat kepada universiti dan lokaliti masing-masing ataupun persatuan-persatuan yang badan induknya berada di tanah air dalam bentuk NGO kumpulan dakwah, malah juga parti politik.

Dalam banyak keadaan, persatuan pelajar Malaysia yang dianggotai oleh para pelajar berbilang bangsa dan juga agama ini boleh bekerjasama dengan baik dengan persatuan-persatuan pelajar Muslim sepanjang tahun membabitkan acara seperti sukan, sambutan hari raya dan sebagainya. Tapi bila sampai kepada Malaysia Night, Malam Malaysia, di sinilah lazimnya titik perseturuan pertembungan itu akan berlaku.

Baru-baru ini, sebuah persatuan pelajar Malaysia di sebuah lokaliti di United Kingdom berhasrat menganjurkan malam yang lebih kurang sama dan menerima kritikan, bantahan daripada persatuan dan juga kritikan daripada individu pelajar yang prihatin tentang perkara ini.

Tidak mudah untuk kita bercakap tentang hal ini di luar daripada bahasa hukum-hakam agama kerana jika kita bercakap dari sudut hukum-hakam agama, lantas majlis tersebut diklasifikasikan majlis maksiat, maka mereka yang melihat daripada sudut itu ada senarai yang panjang untuk menjelaskan bahawa program sedemikian memang merupakan program maksiat, lagha, dan tidak sepatutnya dianjurkan. Tetapi jika kita mahu membincangkannya daripada sudut yang lebih luas, merujuk kepada realiti masyarakat kita yang datang daripada sebuah negara, yang terbentuk oleh masyarakat berbilang bangsa dan agama, maka mungkin ada dua tiga perkara yang perlu kita renungkan.

Secara peribadi, saya berharap agar pertembungan yang mungkin tidak boleh didamaikan di antara mereka yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan acara ini, sekurang-kurangnya boleh menunjukkan perkembangan positif, penambahbaikan berbanding dengan cara pertembungan tersebut berlaku dua puluh tahun yang lalu, tiga puluh tahun yang lalu.

Sekiranya majlis Malaysia Night itu membabitkan hidangan arak, minuman beralkohol, majlis tari-menari di lantai oleh para peserta dan bukan hanya membabitkan persembahan oleh pelajar yang melakukannya di atas pentas untuk menunjukkan budaya tempatan , maka itu haruslah dielakkan. Walaupun kita tidak berkuasa untuk menghalang individu pelajar daripada hidup bebas sesuka hati mereka semasa berada jauh daripada ibu bapa di tanah air, tetapi janganlah sampai ke peringkat kita menjadi penganjurnya. Kalau ada pelajar yang nak pergi ke pub, nak pergi ke kelab malam, nak berjoget ke, nak buat apa sekalipun, perkara tersebut mungkin bukan berada di dalam keupayaan ramai pihak untuk mengawal dan menguasainya walaupun Kedutaan Malaysia dan juga Education Malaysia mungkin mempunyai polisi, dan mekanisme tertentu untuk memantau perkara ini.

Tetapi sekiranya majlis tersebut membabitkan majlis makan-makan, kemudian diserikan dengan sedikit persembahan tradisional oleh masyarakat pelbagai bangsa tanah air kita, perkara tersebut boleh dilihat daripada sudut pengkayaan kepada usaha untuk kita mewujudkan keharmonian selepas di tanah air, kita tidak boleh melakukannya dengan mudah kerana masyarakat kita sudah pun direka bentuk untuk hidup di dalam bubble masing-masing semenjak daripada kecil lagi. Para pelajar pergi ke sekolah tadika yang berlainan, ke sekolah rendah yang ada macam-macam kategori, tidak bertemu, tidak berjumpa sepanjang pengalaman daripada kecil hinggalah ke peringkat tamat SPM ataupun STPM ataupun matrikulasi, di universitilah baru para pelajar dapat keluar daripada struktur-struktur berkenaan, maka berada di luar negara boleh menjadi peluang untuk mereka yang tidak pernah bergaul dengan bangsa lain, dengan rakan senegara yang berbeza agama, ini adalah masanya.

Saya pernah menulis artikel mengenai Malaysia Night ini mungkin lebih kurang dalam tahun 2007, tapi bila saya baca balik, saya pun tak berapa seronok membacanya kerana bahasa yang saya pakai agak sinis sebagai orang muda yang berdarah panas pada masa tersebut .Dan kandungannya juga banyak yang sudah tidak relevan. Pada ketika saya bertugas sebagai Minister of Religion di Ireland Utara di Belfast, saya cuba menjadi mediator kepada pertembungan yang berlaku di antara persatuan pelajar yang mahu menganjurkan acara sedemikian. dengan persatuan pelajar yang tidak bersetuju. Walaupun saya orang Malaysia, tetapi saya sebagai imam, pemimpin komuniti Muslim tempatan, saya cuba untuk menjadi orang tengah pada mencari jalan yang lebih sihat agar acara tersebut apabila dianjurkan, elakkanlah daripada perkara-perkara yang bercanggah dengan sensitiviti agama, seperti menghidangkan minuman beralkohol. Yang itu siapa-siapa yang nak buat selepas itu terpulanglah masing-masing di luar majlis. Tetapi untuk acara berkenaan, bersederhana dan usahakan agar majlis itu menjadi majlis yang ada ruang untuk pelajar semua sekali, agama apa sekalipun, bangsa apa sekalipun yang datang daripada Malaysia dan kawan-kawannya turut boleh hadir sama dan mendapat manfaat.

Saya cadangkan juga agar pelajar Malaysia pada masa tersebut memberikan usaha untuk menganjurkan program-program yang boleh memperkenalkan Malaysia di luar daripada konteks semata-mata budaya Malaysia tari-menari iaitu program-program yang membabitkan ekonomi, politik, dasar-dasar, sejarah dan pelbagai lagi isu lain. Namun idea berkenaan adalah idea yang ditimbulkan di era pra internet ataupun internet sudah ada tetapi masih berada di peringkat awal pengetahuan masyarakat sekeliling tentang negara-negara di seluruh dunia ini masih tidak seperti yang ada pada hari ini. Maka Malaysia naik dan juga majlis-majlis lain yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan pelajar Malaysia boleh mengisi kelompongan dan memenuhi keperluan ini.

Tapi sekarang ini saya rasa benda itu sudah agak banyak. Harapan saya ialah pertembungan yang berlaku di antara pihak yang mahu menganjurkan acara ini dan mereka yang tidak bersetuju, sebolehnya biarlah pertembungan itu lahir dalam bentuk menunjukkan kebijaksanaan, kematangan, kedua belah pihak pada mencari jalan untuk mengharmonikan sesama rakyat Malaysia yang ada latar belakang yang berbeza dan bukan semata-mata menyambung bahasa pertembungan daripada masyarakat di tanah air yang sudah begitu kronik terpisah hidup dalam dunia masing-masing walaupun kita masih lagi berbangga untuk mendakwa Malaysia sebagai negara berbilang bangsa, pelbagai agama, tetapi ia sukar untuk diserlahkan dalam hal-hal yang seperti ini.

Namun dalam suasana semasa ketika pelbagai perkara yang menyedihkan berlaku terutamanya dengan serangan yang terjadi di Palestin, jika kita hendak bersuka ria, nak berseronok, itu hak masing-masing, terpulanglah dengan agenda masing-masing, Friday night, Saturday night, Sunday night tetapi jika ia membabitkan penganjuran oleh rakyat Malaysia sendiri, sesama pelajar Malaysia, Mungkin masa ini adalah masa yang tidak sesuai, adalah lebih baik untuk perbelanjaan yang ada disumbangkan untuk membantu mangsa kepada peperangan tersebut yang amat memerlukan kepada bantuan.

Berusahalah untuk duduk semeja, berbincang dan mencari jalan yang lebih aman dan harmoni, menjauhkan diri daripada sikap memandang rendah dan memperlekeh antara satu sama lain, apatah lagi menyerang, mengaibkan sesama kita rakyat Malaysia dengan mencari keburukan, kesalahan, hal-hal peribadi individu-individu yang kita tidak setuju kerana itu adalah akhlak rendah yang tidak menggambarkan kualiti pelajar yang dibiayai sama ada oleh kerajaan ataupun oleh keluarga masing-masing dengan jumlah yang begitu besar untuk belajar di luar negara, tetapi berada hanya di tahap demikian untuk mengadu domba atau membawang bak kata orang sekarang.

Take care, jaga diri baik-baik, usahakanlah untuk mencari jalan perdamaian dan persahabatan sesama kita.

​

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Dulu lagi (15 tahun lepas) dah ada isu Malaysian Night tapi biasalah time tu kita kecoh-kecoh kat blog je :

    https://leokid.wordpress.com/2008/11/22/mencari-sinar-dalam-kegelapan/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.