Panduan Boikot Menurut Pengasas Gerakan Boikot Sendiri (Omar Barghouti – BDS)

“Saya sangat gembira berada di Ireland kerana di negara ini, warga Palestin akan berasa seperti di tanahair sendiri!” kata Omar Barghouti memulakan bicaranya.

Hadirin memberikan tepukan gemuruh.

Baru-baru ini saya berpeluang menghadirkan diri ke sebuah ceramah yang disampaikan oleh Omar Barghouti, salah seorang daripada pengasas gerakan BDS, (Boycott, Divestment and Sanctions) di Trinity College Dublin. BDS yang menjalankan kempen boycott, divestment and sanctions (boikot, penarikan keluar pelaburan, dan sekatan) ke atas kepentingan rejim Zionis di Israel telah bermula semenjak daripada tahun 2005. Ertinya, usaha-usaha ini yang telah berlangsung hampir dua puluh tahun pasti mempunyai pengalaman yang boleh dipelajari dengan perkembangan yang berubah daripada semasa ke semasa. 

Saya mengambil masa yang panjang sedikit untuk berkongsi apa yang saya pelajari daripada sesi tersebut kerana saya tidak mahu gerakan BDS dan Omar Barghouti sendiri dikecam sekiranya pendirian dan penerangan yang disampaikan oleh Omar Barghouti itu tidak selari dengan sentimen boikot yang ada dalam diri kita masing-masing. Sehingga kita terlupa bahawa usaha ini telah mereka lakukan selama dua puluh tahun dan seharusnya ada rasa hormat serta keinginan untuk belajar daripada pengalaman mereka. Saya harap pembaca dan penonton perkongsian saya mengambil maklum akan integriti ini.

Situasi yang saya bimbangkan itu Alhamdulillah tidak kelihatan di kalangan mereka yang hadir di dalam program malam berkenaan. Masing-masing memberikan tumpuan yang sebaik mungkin dan berkongsi maklum balas di dalam banyak perkara. Ini termasuk juga ketika Omar Barghouti menyampaikan beberapa pendapat yang mungkin bertentangan dengan apa yang secara umumnya difahami dan dipegang oleh mereka yang bersolidariti dengan Palestin. 

Misalnya, salah seorang daripada hadirin bertanya apakah pandangan beliau tentang usaha di Ireland untuk menyingkir Duta Zionis daripada pejabatnya di Dublin dan memutuskan hubungan dengan negara berkenaan. Omar Barghouti berpendapat bahawa ada banyak lagi perkara yang boleh dan perlu dilakukan oleh Ireland terlebih dahulu, sebelum sampai ke peringkat berkenaan. Asasnya ialah Omar Barghouti berpendapat strategi BDS ini, perlu personalised, berbeza di antara satu negara dengan satu negara yang lain. Strategi yang diguna pakai di Afrika Selatan tidak semestinya strategi yang sama boleh ataupun perlu dilakukan di sebuah negara seperti Ireland.

Ireland mempunyai keunikan yang tidak dimiliki oleh negara-negara Kesatuan Eropah lain dan ia menjadikan Ireland boleh melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh negara lain.

Sumber: https://www.un.org/en/genocideprevention/genocide-convention.shtml

Misalnya, Omar Barghouti telah mengenengahkan satu perkara yang mungkin ramai terlepas pandang iaitu berkaitan dengan Konvensyen Genocide. Negara-negara yang menandatangani Konvensyen Genocide ini bukan hanya secara undang-undangnya bertanggungjawab untuk mengheret pihak yang melakukan jenayah berkenaan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk mencegah daripada perkara itu berlaku. 

Lapangan Terbang Shannon di Ireland yang menjadi pusat transit kepada pesawat-pesawat ketenteraan Amerika menuju ke Israel harus dilihat daripada sudut sovereignty, kedaulatan negara Ireland ini dan sekiranya perkara tersebut berada di dalam pengetahuan pemimpin negara Ireland pada masa sekarang dan mereka mendiamkan diri, maka mereka boleh disabitkan dengan kesalahan sebagai enabler kepada genocide tersebut. Hal-hal yang seperti ini harus diterokai oleh Ireland terlebih dahulu sebelum pergi kepada peringkat yang lebih tinggi namun sensasi iaitu menutup Kedutaan Zionis di Dublin dan menghalau keluar duta rejim berkenaan daripada negara ini.

Itu satu contoh daripada perbezaan pendapat yang unik dan pandangan beliau itu dibincangkan, tidak menimbulkan kontroversi. 

Dan pada masa yang sama juga lanjutan daripada soal jawab yang panjang dalam sesi malam itu, Omar Barghouti menyampaikan empat panduan untuk kita melaksanakan kempen boikot. Tapi saya rasa saya hanya ingat tiga saja, tak apa lah kita kongsi juga.

PANDUAN 1: COMPLICITY (TAHAP KETERLIBATAN)

Yang pertamanya ialah tahap keterlibatan satu satu institusi, jenama ataupun produk, perkhidmatan dengan rejim Zionis di Israel. Tahap keterlibatan ini perlu dihalusi agar kita memberikan keutamaan yang lebih tinggi kepada institusi yang mempunyai tahap keterlibatan yang lebih tinggi. Ataupun ia bukan menjadikan asalkan satu perkara itu ada kaitan walaupun kecil dengan Israel, dengan rejim Zionis, maka kita nak boikot. Pada pandangan beliau, itu adalah pendekatan emosional yang melelahkan dan boleh menghilangkan momentum untuk perjuangan jangka panjang. 

PANDUAN 2: KEKUATAN DI MEDIA

Keduanya adalah tahap kekuatan imej satu satu entiti itu di media. Selepas tahap complicit, keterlibatannya dengan Zionis diselesaikan, yang lebih menyerlah di media lebih utama untuk dikenakan tindakan boikot ke atasnya.

PANDUAN 3: PRAKTIKAL UNTUK BOIKOT

Manakala yang ketiga pula ialah, seandainya boikot itu praktikal munasabah untuk dilakukan. Ini point yang agak menarik. Malah Barghouti juga mengatakan bahawa point ini adalah di antara kriteria yang kurang diberikan perhatian oleh mereka yang mengambil tindakan boikot. Beliau memberikan contoh secara spesifik iaitu Intel. Walaupun Intel itu merupakan syarikat gergasi yang mempunyai sumbangan yang besar ke atas kekuatan ekonomi bagi negara rejim Zionis berkenaan, tetapi untuk memboikot Intel, ia merupakan satu perkara yang rumit kerana produk Intel itu ada di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Maka meletakkan usaha, masa, tenaga untuk menjayakan boikot ke atas Intel, ia bukan satu perkara yang praktikal dan efektif untuk menjayakan kempen BDS, menurut pandangan beliau. 

Yang keempat, saya tak ingat. Tapi perkara-perkara yang disebutkan oleh Omar Barghouti tadi menunjukkan kepada kita bahawa boikot ini harus dilakukan hasil daripada penelitian, mempertimbangkan kesan yang boleh dihasilkan dan bukan semata-mata untuk memuaskan emosi marah kita terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan kezaliman ke atas penduduk Palestin. Ini sudah cukup menjadi ruang untuk kita bermuhasabah. Saya ingin menutup perkongsian ini dengan kita merenung kepada sepotong hadis Nabi ﷺ yang terdapat di dalam Sahih Muslim:

من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان‏

“Sekiranya sesiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah ia dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah ia dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (hadith riwayat Muslim)

Saya ingin menyentuh tentang perkataan yang dipakai oleh Nabi ﷺ di dalam hadis tersebut. Bahawa tindakan yang kita lakukan terhadap kemungkaran yang kita lihat, bukan hanya mencegah atau menghalang. Perkataan yang dipakai di dalam bahasa Arab itu bukan falyamna’hu (فليمنعه) ataupun apa-apa yang memberikan maksud memberhentikannya, menghalangnya, atau mengepungnya. Tetapi perkataan yang baginda pakai adalah falyughayyirhu (فليغيره) “hendaklah dia mengubahnya.”

Maka mencegah kemungkaran mestilah mempunyai kualiti pada tindakan tersebut yang berpotensi mengubah kepada sesuatu yang lebih baik. Tindakan kita untuk mencegah kemungkaran tidak harus berada pada baseline yang rendah selama-lamanya dengan alasan “yang penting saya buat sesuatu.” Tetapi kita kena selalu memikirkan apakah langkah yang lebih efektif, paling efektif, untuk sebuah perubahan itu dapat dihasilkan.

Dan ini adalah merupakan satu saranan yang begitu produktif daripada Nabi ﷺ agar kita mengutamakan kualiti. Berbanding tindakan yang berasaskan semata-mata kepada sentimen.

Emosi itu adalah api yang akan padam apabila bekalan minyaknya berakhir.

Minyak itu datang daripada ilmu, pemerhatian, dan perbincangan, mesyuarat dan semua itu diperintahkan oleh agama agar menjadi sebahagian daripada modus operandi kita pada membantu Palestin dan umat Islam seluruhnya.

Hasrizal
Naas, Ireland
palestin.saifulislam.com

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share