Friday, January 10th, 2025

Kucing Guru Bercerita Tentang Kebarangkalian Esokmu

kucingguru

Setiap kali mereka mahu bersembahyang di rumah ibadat itu, sang kucing menyelinap di celah-celah kaki mereka.

Mengganggu fokus.

Guru berpandangan, “ikat kucing berkenaan di tiang, sebelum kita memulakan sembahyang!”

Anak murid bersetuju, kucing berkenaan diikat di situ.

Demikianlah setiap kali mereka hendak beribadat,  di tiang yang sama sang kucing itu akan diikat.

Hari duka, Guru meninggal dunia. Ibadat dipimpin guru yang baru pula.

Sang kucing masih seperti biasa, diikat di tiang sebelum sembahyang bermula.

Hari yang akan semua ingati, sang kucing mati.

Kucing baru diganti, untuk diikat di tiang, setiap kali sembahyang hendak dimulai!

Dan selepas beberapa zaman, ilmuwan-ilmuwan mengarang kitab tentang fadhilat mengikat kucing di tiang, sebelum jemaah mula bersembahyang!

TRAGEDI AGAMA YANG BUKAN LAGI DENGAN ILMU

Kisah The Guru’s Cat ini sudah biasa dibaca di sana sini. Kisah yang dibukukan di dalam koleksi kisah tentang kehidupan kita, di dalam buku The Song of the Bird oleh Anthony de Mello.

Nyata sekali, ia bukan kisah agama kita.

Tetapi agama kita memberi amaran yang sama.

Dalam iktibar kisah umat Nabi Nuh ‘alayhi al-Salam, Allah SWT mengingatkan:

71_23
“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.
[Nuh 71: 23]

Di dalam Sahih al-Bukhari (hadith nombor 4920), Ibn ‘Abbas menceritakan bahawa Wadd, Suwaa’, Yaghuth, Ya’uuq, serta Nasr ini adalah orang-orang soleh daripada kaum Nuh ‘alayhi al-Salam. Apabila orang-orang soleh ini meninggal dunia, Syaitan mengilhamkan kepada pengikut orang-orang soleh itu membuat patung yang kemudiannya dibawa dan diletakkan di dalam majlis-majlis mereka. Kemudian patung-patung itu diposisikan di tempat di mana para solehin itu pernah berada, bersama nama-nama menurut aturan asalnya.

Patung itu sekadar simbol.

Ia bukan sembahan.

Sekadar kenang-kenangan.

Mengenang orang-orang soleh yang pernah berjasa mendidik mereka.

Apabila generasi yang membuat patung-patung itu meninggal dunia, mati dan pergi bersama pengetahuan tentang tujuan asal ‘tugu peringatan’ itu dibina, akhirnya generasi yang menyusul, menyembah patung tersebut.

Tersebarlah syirik secara melata.

Bermula daripada pemujaan orang-orang soleh, dimanifestasikan dalam bentuk yang tidak disuruh agama, dengan alasan-alasan yang buat sementara ia selamat, untuk menjustifikasikannya. Namun sampai masa, ia mengundang SYIRIK yang sungguh MEMBINASA.

Demikianlah agama secara ikut-ikutan.

Agama tanpa ilmu.

Agama yang keliru antara menghormati orang soleh dan memanfaatkan keilmuan mereka, dengan memuja serta mengidolakan mereka.

Lena mata, lenakah jiwa memikirkannya?

HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam

Dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang relevan dan efektif, kita sering mendengar pelbagai alasan untuk menolak model luar—kononnya model Finland “asing” bagi masyarakat kita, model Singapura “tidak sesuai” dengan konteks tempatan, manakala model Jepun “hanya sesuai” untuk keperluan kanak-kanak di Jepun. Namun, apabila kita meneliti dengan cermat, banyak idea-idea penting yang diketengahkan oleh sarjana Muslim terdahulu sebenarnya telah lama diamalkan secara produktif di negara-negara tersebut. Mereka tidak ambil pusing sama ada amalan itu berasal daripada cendekiawan Muslim atau bukan, atau sama ada dilabel “tempatan” atau “asing.” Sebaliknya, mereka memberi keutamaan kepada amalan yang terbukti berkesan menurut hasil kajian demi kesejahteraan proses pembelajaran kanak-kanak. Kita perlu menginsafi ego kita yang cenderung mempertahankan kelemahan dan menghiasinya dengan hujah “kita ada cara sendiri,” tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “cara kita.” Jujurnya, jika kita mahu mengangkat jati diri sistem pendidikan sendiri, adalah lebih terhormat untuk bersikap terbuka dan menilai semula amalan yang wujud—bukannya menutup kelemahan dengan retorik lokaliti.

6 comments

  1. Haza min fadhli Rabbi.

    Pengisian ustaz, sentiasa menghidupkan hati. Moga Allah berkati.

    Benarlah seperti yang pernah ditekankan sebelum ini,

    melakukan sesuatu atas dasar kefahaman,
    bukan ikut-ikutan.

    • Saya pulangkan semua pujian kepada Allah. Saya hanya berusaha. Terima kasih kerana memanfaatkan pengajarannya.

  2. Saya mulakan dengan artikel neo qussas sehinggalah artikel ini dalam usaha mencari yang tersirat di sebalik paluan gendang kiri dan kanan oleh si pengikut yang mengidolakan orang2 tertentu.

    Terima kasih ustaz merungkai persoalan saya.

  3. Adat yang menjadi wajib. Banyak berlaku dalam masyarakat kita. Sangat benarlah beramal tanpa ilmu itu sia-sia malah mampu membawa kpd syirik. TQ Ustaz, artikel yg pendek tapi padat makna.

  4. Mohd Azam bin A Aziz

    Saya suka membaca tulisan ustaz. Banyak ilmu yang saya peroleh. Syabas!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content