
Ramadan kali ini terasa luar biasa mencabar. Ia bukan sahaja tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan tekanan yang datang daripada pelbagai penjuru yang tidak dapat saya kawal.
Sejak beberapa minggu lalu, saya bergelut untuk menyiapkan disertasi saya. Ia bukan kerana saya tidak tahu apa yang mahu ditulis, tetapi kerana kepala saya tidak mampu fokus. Maka saya membuat keputusan untuk meletakkan disertasi itu ke tepi buat sementara waktu. Sesekali saya jenguk juga, sekadar mengingatkan diri bahawa perjuangan itu masih belum selesai. Buat masa ini, fokus saya beralih kepada dua tugasan penting yang perlu dihantar pada 11 April 2025.
Pertama, saya perlu menyiapkan laporan reflektif tentang bengkel Trauma-Informed Practice yang saya kendalikan untuk para guru. Ia perlu menggabungkan teori dan aplikasi sebenar dalam bilik darjah.
Kedua, saya perlu melakukan systematic review mengenai pemegang taruh pendidikan inklusif di Malaysia. Saya perlu membandingkan perbezaan dan persamaan pendapat antara pendekatan functionalists dan symbolic interactionists, dengan meneliti konteks sekolah-sekolah di kawasan bandar dan luar bandar. Tugasan ini agak besar kerana di dalam kelas ini hanya ada tiga orang pelajar.
Rumah kami tahun ini agak sunyi kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja, universiti dan sekolah. Ia menjadikan saya tidak sampai hati untuk turut sama menjadi ‘unavailable‘.
Kebetulan pula, tenaga saya tidak mencukupi untuk ke kampus setiap hari seperti biasa. Fikiran saya kurang kemas hingga minggu lalu saya berjalan kaki dari stesyen keretapi Sallins/Naas ke rumah sejauh 7 km dalam keadaan berpuasa. Saya terlupa untuk bersabar menunggu bas yang dijadualkan tiba sejam kemudian. Lantas nekad menapak di bawah sinar mentari petang. Mujurlah cuaca dingin ketika itu.
Maka, saya memilih untuk berada di rumah hampir sepanjang masa, cuba menyiapkan tugasan sebanyak mungkin.
Menjelang waktu Zohor, fikiran saya sering berkabus kerana kesan ubat stimulant yang semakin hilang dari dalam sistem badan. Membaca hampir mustahil. Menulis, rumit sekali. Foggy brain adalah musuh saya sepanjang hayat semenjak sekian lama.
Usai solat Asar dan mula memasak juadah berbuka, bermulalah rutin yang penuh risiko. Setiap hari, memasak menjadi seperti satu peperangan. Saya bimbang pisau jatuh dan mencederakan kaki, seperti watak Chandler dalam siri Friends musim kelima episod 8. Pisau sememangnya sering terjatuh tanpa dijangka. Terkenang juga saya bersendirian di rumah. Siapa pula yang boleh membantu tersilap membawa lobak merah ke hospital dan bukannya ibu jari seperti kejadian sitcom berkenaan!
Untuk mengelakkan rasa jemu, saya menjelajah ke halaman YouTube Che Nom, Kak Yan, Ita Khairi dan Khairul Ameng. Ada waktunya saya mencuba resipi baharu, ada ketikanya saya belajar tip-tip tambahan untuk masakan yang sama. Ia bukan semata-mata tentang makanan, tetapi usaha saya untuk merangsang penghasilan dopamine agar lebih fokus dan ‘feel good’ semasa memasak.
Namun, kemalangan Ramadan kali ini sungguh menjadi-jadi. Minggu lalu, saya terpercik minyak panas dan tangan saya melecur. Luka belum sempat sembuh, minggu ini perkara sama berlaku sekali lagi, tetapi dalam skala yang lebih besar. Ketika menggoreng doughnut, dua butir telah meletup dalam minyak panas, mungkin kerana gas daripada yeast yang terperangkap dalam doh. Minyak panas tersimbah dan separuh lengan kanan saya melecur dengan teruk.

Apabila gelembung mula timbul pada kulit, saya tidak lagi mampu meletakkan tangan di atas meja untuk menaip. Ia menambah rasa murung dalam diri. Mujurlah sekarang ini kemudahan AI dan peralatan rencana suara (voice dictation tool) sudah efisyen.
Selalunya saya akan bertemu kaunselor dua minggu sekali. Beliau banyak membantu saya menyusun semula pemikiran. Namun, setelah jadual temu janji berubah kepada sebulan sekali, saya terpaksa menyusun semula segala yang berserabut di dalam kepala seorang diri. Insya-Allah baik-baik sahaja.
DUNIA TANPA BAZAR DAN GERAI
Sebagai Muslim, Melayu dan rakyat Malaysia yang tinggal di negara asing seperti Ireland, tiada bazar Ramadan yang boleh kami kunjungi untuk ‘cuti’ daripada memasak. Mahu membeli makanan di luar pula memerlukan kos yang tinggi. Tambahan pula, tahun ini kami sekeluarga sedang berjimat cermat kerana komitmen universiti yang meningkat, sementara saya pula tidak banyak mengambil kerja tambahan. Maka kami bersabar, menerima keadaan ini sebagai sebahagian daripada pengorbanan hidup di perantauan.
Terlalu banyak pula saya mengeluh dalam tulisan ini. Astaghfirullah.
Kenapa lemah sangat, Hasrizal?
Saya tahu, kajian menunjukkan bahawa pertambahan usia akan menambah simptom-simptom ADHD, terutamanya dalam kalangan mereka yang menerima diagnosis di lewat usia. Bagi lelaki, penurunan hormon testosteron juga membawa kesan tersendiri. Penurunan ini tidak setajam estrogen, tetapi ia memberi kesan kepada kualiti tidur, kestabilan emosi dan fungsi kognitif. Apabila tekanan hidup, perubahan hormon dan proses penuaan bergabung, sistem kompensasi yang digunakan seumur hidup mula gagal berfungsi. ADHD seolah-olah mengganas semula, walaupun diagnosisnya baru diterima di usia pertengahan (Baca selanjutnya di majalah Additude ini https://www.additudemag.com/slideshows/signs-of-adult-adhd-or-old-age/).
Saya tidak menulis ini untuk merengek atau meminta simpati. Saya menulis untuk memberi suara kepada individu seperti saya yang turut melalui pengalaman yang serupa, tetapi tidak mampu meluahkannya. Anda tidak berseorangan. Ramai yang mengalaminya.
قَالَ رَسُولُ الله ﷺ: عَجَباً لأمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لأِحَدٍ إِلاَّ للْمُؤْمِن: إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خيْراً لَهُ. رواه مسلم.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Ajaib sungguh urusan orang mukmin. Semua urusannya adalah baik-baik belaka. Ia tidak berlaku kecuali khas di kalangan orang mukmin; tatkala beroleh nikmat, dia bersyukur. Lalu jadilah perkara itu kebaikan buatnya. Manakala ketika ditimpa musibah, dia bersabar. Lantas dengannya perkara itu turut menjadi kebaikan buatnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Apa yang penting, bukanlah perkara yang terjadi kepada kita. Sebaliknya, reaksi kita kepada kejadian itu.
Bersyukur, jadi kebaikan.
Bersabar, juga kebaikan.
Kita tidak boleh mengawal tiupan angin. Tetapi kita boleh mengawal layar. Reaksi kita adalah pilihan yang ada.
Pahala ibadah Ramadan kita mungkin sedikit. Tetapi saya berharap, setiap kepayahan yang ditempuh dengan sabar, Allah hitung juga sebagai ibadah.
Dalam hal ini, saya teringat kepada ulasan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani terhadap hadis Nabi ﷺ yang memberikan kekuatan besar kepada diri. Beliau menukilkan dalam Fath al-Bari maksud sabda Baginda ﷺ:
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا، يُصِبْ مِنْهُ
“Barang siapa yang Allah kehendaki kebaikan ke atasnya, maka Dia akan menimpakannya dengan musibah.”
Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani:
“Allah akan mengujinya dengan kesusahan agar Dia memberi ganjaran kepadanya. Atau Allah menghalakan bala menimpa seseorang supaya dengan itu Dia membersihkan dosanya dan mengangkat darjatnya. Hal ini disokong oleh riwayat Ahmad daripada hadis Mahmud bin Labid RA bahawa Nabi ﷺ bersabda:
إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ، فَمَنْ صَبَرَ فَلَهُ الصَّبْرُ وَمَنْ جَزَعَ فَلَهُ الْجَزَعُ
“Apabila Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka sesiapa yang bersabar, baginya pahala sabar; dan sesiapa yang tidak bersabar, maka dia akan mendapat balasan ketidaksabarannya.”
Bersabarlah wahai kaum neurodivergent sekalian.
Moga ujian ini menandakan sayang Allah ﷻ kepada insan serba kekurangan seperti kita semua.
Ameen.
Saya faham sebab saya pun sedang buat PhD.Struggle itu benar ustaz. Cuma disini saya nak share satu Ai yang best ustaz. Buka notebooklm . google . com. Ustaz boleh upload pdf article yang dah dikumpulkan dan lepas tu minta notebooklm tu summarize sama ada buat ayat literature review, buat introduction, make a argument berdasarkan konteks kajian kita.semoga membantu.